PENDANG: Mampukah Pendang, antara kubu kuat PAS di Kedah, 'menyelamatkan' karier politik Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang kalah dalam dua dalam pilihan raya (PRU) umum lalu.
Keputusan Timbalan Presiden PAS itu yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu bertanding di Pendang dalam PRU-13 berhadapan bekas anggota Parlimen Pendang, Datuk Othman Abdul akan ditentukan oleh lebih 63,000 pengundi pada 5 Mei ini.
Othman, 62, berkata faktor Pendang dikuasai PAS sejak 2004 tidak memberi kelebihan kepada parti itu dan pertandingan satu lawan satu di kawasan berkenaan menguntungkan BN atas banyak sebab termasuk memiliki jentera pilihan raya yang mantap.
"Undi kami tidak pecah dan saya yakin pengundi masyarakat Siam berjumlah hampir 4,000 akan bersama BN. Secara tidak langsung kami akan lebih fokus menjalankan tidak kurang 10 ceramah setiap malam.
"Isu saya dan dua lagi calon BN untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) anak tempatan turut memberi kelebihan kepada BN manakala wakil rakyat dari PAS tidak langsung membawa pembangunan di Pendang dan Tokai," kata bekas Ahli Parlimen Pendang dari 1983 hingga 2004 itu.
Beliau ditemui selepas pengumuman nama-nama calon bagi kerusi Parlimen dan DUN oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Pendang Mohd Nordin Yahya hari ini. "Masa jadi anggota Parlimen dulu mudah projek pembangunan dibawa ke Pendang.
Sekarang masyarakat di sini amat memerlukan wakil rakyat yang boleh berhubung terus dengan kerajaan pusat untuk bawa perubahan yang diidamkan," kata Othman.
Sementara itu, kerusi DUN Tokai menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara
penyandang dari PAS, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul, Najmudin Darus (BN) dan seorang calon Bebas, Abu Bakar Abdullah.
DUN Sungai Tiang pula menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan penyandang dari BN Datuk Suraya Yaacob, Fadhil Baharom (PAS), Chearean Isem (Kita) dan calon Bebas, Rosli Omar.
Sementara itu Suraya berkata masyarakat Siam amat taat dan tidak akan memberikan undi selain kepada BN.
"Undi mereka sebanyak 85 peratus konsisten sejak 2008 namun saya yakin jumlahnya boleh bertambah setelah kerajaan persekutuan mengiktiraf masyarakat Siam sebagai Bumiputra walaupun mereka kumpulan etnik yang kecil," katanya.
Najmudin, 50, berkata Mohamed Taulan (PAS) tidak memberi perhatian untuk membangunkan Tokai dan memikirkan masa depan generasi kedua.
Katanya Tokai seharusnya 'dilayan' sebagai kawasan pinggir bandar yang hampir dengan bandar raya Alor Setar kerana taraf hidup di sini sama seperti di kedua-dua bandar itu.
"Harga rumah di sini sama seperti di Alor Setar dan Sungai Petani. Ramai orang kaum Cina dari luar datang dan menetap di Tokai yang seharusnya menjadi faktor kuat Tokai dibangunkan sejak dua tiga tahun lepas. Saya akan berusaha memecahkan tradisi ini," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment