nuffnang adv

lazada adv

Saturday, April 27, 2013

PRU13: Isa Samad tiada tandingan untuk kerusi Parlimen Jempol


JEMPOL: Ketokohan Tan Sri Mohd Isa Samad sebagai ahli politik veteran dan pemimpin berjiwa rakyat, menjadi faktor penting bagi pengundi di kawasan Parlimen Jempol untuk memilih beliau pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), 5 Mei ini. 

Mohd Isa, yang pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun, bukan tokoh yang asing di Jempol kerana beliau banyak berjasa kepada negeri ini, malah pernah juga menjadi anggota Parlimen kawasan itu selama satu penggal pada pilihan raya umum 2004. 
Calon Barisan Nasional (BN) itu amat disenangi para pengundi kawasan itu untuk meneruskan usaha membela nasib mereka, sebagaimana yang ditunjukkan dalam perkhidmatan cemerlang beliau pada masa lepas. 


Daerah Jempol, yang menjadi satu daripada kawasan tumpuan pada PRU13, bakal menyaksikan pertembungan antara Mohd Isa dan calon PAS, Wan Aishah Wan Ariffin, seorang penyanyi lewat 80-an dan 90-an. 

Dari landskap politik, Parlimen Jempol dibahagikan kepada empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Serting, Palong, Jeram Padang dan Bahau dan adalah satu daripada kubu kuat BN di negeri ini. 

Pada pilihan raya umum 2008, BN memenangi kerusi Parlimen Jempol menerusi calonnya, Datuk Lilah Yasin yang menewaskan calon PAS Siti Meriam Naam dengan majoriti 12,320 undi, sementara di DUN, BN menyandang tiga daripada empat kerusi. 

Bagi PRU kali ini, Lilah beralih ke DUN Palong dan memberi ruang kepada Mohd Isa untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasan itu yang mempunyai 65,213 pengundi berdaftar. 
Ketua Pemuda Umno Bahagian Jempol Mohd Nizam Aman meramalkan BN mampu mengekalkan penguasaan di kerusi Parlimen dan tiga DUN yang dimenangi sebelum ini iaitu Serting, Palong dan Jeram Padang. 

"BN mempunyai peluang untuk mengambil semula DUN Bahau daripada DAP yang dilihat gagal menjadi wakil rakyat di kawasan itu," katanya. 

Beliau juga melihat, pencalonan Mohd Isa akan menyuntik semangat baharu kepada jentera parti untuk bekerja lebih kuat. 

"Mohd Isa, yang juga Pengerusi Felda, turut meneruskan usaha memperjuang nasib penduduk dengan menghulurkan pelbagai bantuan kepada peneroka Felda sehingga kini", katanya. 

"Keadaan ini berbeza dengan calon PAS (Aishah) yang sebenarnya tidak disenangi akar umbi Pas di Jempol yang sebelum ini mahu Ketua Dewan Pemuda Pas Jempol Mohd Fairuz Mohd Isa bertanding. 

Mohd Nizam berkata, berdasarkan siri kempen dan ceramah Aishah di kawasan itu menunjukkan bekas penyanyi itu seperti tidak mempunyai asas perjuangan dan hala tujuan. 

"Dalam setiap ceramahnya Aishah sering kali berhujah mahu memperjuangkan nasib artis di negara ini. Penduduk Jempol bukan artis, mereka adalah petani dan peneroka Felda.. jadi apa relevannya? 

"Saya yakin pengundi dapat menilai dan memilih wakil rakyat yang sesuai, berpengalaman, ada kredibiliti dan kemampuan untuk memimpin mereka," katanya. 

Walaupun berstatus 'kawasan pertanian' daerah Jempol tidak pernah ketinggalan dalam arus pembangunan bersesuaian dengan kehendak penduduknya yang mahukan kemajuan dan kemudahan infrastruktur. 

Yang Dipertua Majlis Daerah Jempol (MDJL) Wan Razali Wan Awang berkata antara pembangunan yang sedang rancak dilaksanakan kerajaan BN ialah pengubahsuaian dan menaiktaraf Stesen Keretapi Bahau yang akan memberi keselesaan kepada pengguna terutama penduduk sekitar daerah ini. 

Apabila siap kelak stesen itu bakal merubah landskap ekonomi di Jempol khususnya bandar Bahau. 

"Ia juga akan memberi imej yang baru bagi bandar Bahau dari sudut perkhidmatan pengangkutan awam dan pada masa yang sama ia dapat menarik minat pelancong tempatan dan asing untuk mengunjungi Bahau kelak," katanya kepada Bernama. 

Pelbagai pembangunan lain dirancang kerajaan termasuk pembinaan padang futsal, padang bola sepak dan pusat rekreasi di beberapa kawasan perumahan di daerah ini. 

Wan Razali berkata, MDJL baru-baru ini turut memasang lampu limpah di padang bola sepak Bahau dengan kos kira-kira RM500,000 bagi kemudahan penduduk setempat melakukan aktiviti sukan pada waktu malam. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment

Get the lowest PRICE booking by ONLINE

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...