Berpatah Arang Berkerat Rotan! Kehadiran bekas Ahli Parlimen Setiu Barisan Nasional (BN)(2004-2008), Mohd Yusop Majid sebagai calon Bebas mengundang tindakan keras UMNO dan BN.
Bagaimanapun, beliau bersedia berdepan tindakan yang bakal diterima dengan perlucutan keahlian Umno secara automatik kerana bertanding atas tiket Bebas bagi Dun Permaisuri. Menurutnya, beliau sedia maklum berhubung perkara itu (dilucutkan keahlian) sebagaimana termaktub dalam perlembagaan Umno.
“Saya faham siapa yang bertanding menentang calon Barisan Nasional (BN) secara automatiknya akan terkeluar daripada Umno.
Saya juga faham dan saya telah baca perkara itu (perlembagaan). “Bagaimanapun saya ambil pendirian ini berdasarkan suara rakyat yang mahukan perubahan, sekaligus menyuburkan semangat demokrasi di negara ini. Apa pun saya harap masyarakat faham tujuan saya supaya hasrat mereka tercapai,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Yusop yang juga pengamal undang-undang mengakui sebelum ini beliau menanti-nantikan sekiranya ada wakil yang tampil ke hadapan untuk memperjuangkan suara rakyat, namun tiada siapa yang berani menyuarakan kemahuan rakyat.
“Jadi saya mengambil keputusan, biarlah saya bersama bantu rakyat untuk memperjuangkan nasib mereka dan ini hanyalah permulaan kerana bagi saya perjalanan ini masih jauh.
“Saya harap rakyat faham maksud perjuangan saya ini, pencalonan saya bukan berniat untuk membalas dendam ataupun rasa ketidakpuasan hati saya tidak dicalonkan pada PRU lalu,” katanya.
Sementara itu, Mohd Yusop mengakui beliau sendiri tidak pernah merancang untuk bertanding termasuk semasa diminta oleh BN untuk menjadi calon pada 2004.
“Bagaimanapun saya amat berterima kasih kepada pucuk pimpinan BN kerana memberi peluang kepada berkhidmat sebagai wakil rakyat.
“Misi saya dalam PRU13 ini adalah membela suara rakyat dan berharap dapat melaksanakan tugas tanpa sebarang tekanan,” katanya.
sumber: Teganuku blogspot
No comments:
Post a Comment