Konsep perkongsian kuasa Barisan Nasional dalam kalangan pelbagai kaum di negara ini terbukti menjadi formula yang berjaya membawa pertumbuhan ekonomi dan mengekalkan keamanan serta kestabilan di negara ini, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Tiada siapa pun yang boleh menafikan bahawa negara ini berkembang dan menjadi kaya kerana BN berupaya mentadbir negara ini dengan baik," katanya pada majlis jamuan malam bagi meraikan beliau di Ipoh malam tadi.

Dr Mahathir menegaskan terdapat sesetengah pihak percaya bahawa Malaysia telah pun menjadi sebuah negara maju, hasil usaha kaum utamanya selain penduduk di Sabah dan Sarawak yang sedia bekerjasama dalam sebuah parti gabungan demi kejayaan negara ini.

Sambil membidas parti pembangkang yang cuba meniru cara BN mewujudkan sebuah perikatan, beliau berkata parti gabungan pembangkang bukanlah tulen.

Tidak seperti BN, katanya, mereka bertanding dalam pilihan raya menggunakan lambang masing-masing dan kekurangan ideologi serta dasar bersama.

"Saya harap apabila anda mengundi dalam pilihan raya akan datang, ingatlah bahawa orang lain mungkin membuat janji dalam manifesto mereka tetapi mereka berkata manifesto bukanlah janji," katanya.

Dr Mahathir berkata dengan pengalaman 56 tahun memerintah negara ini, BN mencatat rekod yang baik dalam membawa pembangunan yang boleh dilihat di mana-mana sahaja, termasuk bidang pengangkutan.

Beliau berkata rakyat Malaysia turut mengasah kemahiran berniaga hingga ke tahap melahirkan hartawan dalam kalangan mereka.

Di KUALA LUMPUR, veteran Umno Tan Sri Sanusi Junid memuji program transformasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk negara ini dan rakyatnya.

Sambil menarik perhatian bahawa Najib menguasai dengan baik perkara berkaitan ekonomi, beliau berkata: "Beliau (Najib) tentu mengkaji dari awal pembangunan ekonomi dalam negara daripada dulu dan beliau belajar ekonomi. Sebab itu dia dapat buat program-program transformasi ini."

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan kira-kira 100 penduduk dan keluarga mereka di Kampung Kerinchi di Ipoh.

- Bernama