Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT: “Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat.” (Surah An-Nisa, ayat 58) 

Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat.” Surah An-Nisa, ayat 58

Tugas pemimpin negara amat berat kerana perlu memelihara mandat yang telah diberikan rakyat. Oleh itu, Allah SWT memberi penghormatan besar kepada pemimpin yang adil dengan meletakkan mereka sebagai golongan pertama daripada tujuh golongan mendapat naungan Arash di Padang Mahsyar di akhirat kelak. 

Mereka juga diberikan kemuliaan iaitu diperkenankan doa mereka tanpa hijab seperti diriwayatkan Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda: “Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka iaitu doa seorang yang berpuasa hingga dia berbuka, doa pemimpin yang adil dan doa orang dizalimi.”

Makbul doa orang dizalimi

Dikisahkan, ketika Amru bin Al-As menjadi gabenor Mesir, berlaku kemarau yang menyebabkan Sungai Nil menjadi kering. Oleh itu, masyarakat Qibti memohon untuk menjalankan tradisi nenek moyang mereka iaitu upacara korban anak dara cantik supaya penunggu tidak murka kepada mereka. 
Amru bin Al-As menolak permohonan mereka dan memaklumkan mengenai hal ini kepada Khalifah Umar bin Al-Khattab. Khalifah Umar memuji dan menyokong tindakan Amru serta mengirimkan sepucuk surat lain yang meminta beliau mencampakkan surat itu ke dalam Sungai Nil.

Beliau mendapati surat itu beralamat untuk Sungai Nil manakala isi kandungannya ialah: “Daripada hamba Allah, Amirul Mukminin kepada Nil Mesir. Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah, jika engkau mengalir kerana kehendakmu semata-mata, maka janganlah engkau mengalir lagi, tetapi jika Allah SWT yang mengalirkanmu maka kami memohon kepada Allah supaya mengalirkan kamu semula,” 

Doa Saidina Umar itu telah dimakbulkan Allah SWT. Sungai Nil menjadi lebih luas dan mengalirkan air yang tidak pernah kering sehinggalah hari ini.

Kisah kedua ialah mengenai saha-bat Nabi Muhammad SAW iaitu Saad bin Abi Waqas yang didoakan Rasulullah SAW untuk dikabulkan doanya. Setiap kali beliau berdoa, Allah SWT selalu memakbulkan doanya. 

Ketika Saad bin Abi Waqas menjadi gabenor di Iraq, beliau telah difitnah oleh seseorang yang menyatakan beliau tidak pandai dalam solat dan menyatakan dirinya tidak melaksanakan hukum.

Doa Said dimakbulkan 

Terkesan dengan fitnah itu, maka dia pun mendoakan orang berkenaan iaitu, “Ya Allah, panjangkanlah umurnya, panjangkanlah kemiskinannya dan hadapkanlah dia ke dalam pelbagai fitnah.” 

Doa Said dimakbulkan Allah SWT. Akhirnya, beberapa tahun kemudian, orang itu berdiri di jalan-jalan Kota Kufah, dia meminta-minta kepada orang ramai dan menyentuh kanak-kanak perempuan dan mengekori mereka sambil berkata “Aku orang tua yang mendapat musibah kerana doa Saad.” 

Melalui dua kisah itu, terbuktilah bahawa Allah SWT tidak akan menolak doa pemimpin yang adil.

Pemimpin mestilah memiliki sifat mahmudah seperti beramanah dan adil supaya doa mereka dimakbulkan demi kesejahteraan semua yang berada di bawah tanggungjawabnya.

Supaya mereka tidak termasuk dalam golongan pemimpin yang khianat seperti sabda Baginda Rasulullah SAW daripada Ma’qil bin Yasar: “Sesiapa yang ditaklifkan (diamanahkan) oleh Allah untuk memimpin rakyatnya lalu mati dalam keadaan menipu rakyat, nescaya Allah mengharamkan ke atasnya (pemimpin) syurga.” (Riwayat Muslim) 

Sesungguhnya, tanggungjawab sebagai pemimpin amatlah berat. Oleh itu, jika ia dijalankan dengan sebaiknya, amat besarlah ganjaran yang akan diterima tetapi jika amanah itu tidak dilaksanakan, maka amat buruklah balasannya.