nuffnang adv

lazada adv

Tuesday, April 23, 2013

PRU 13: Surat Daripada Seorang PENGUNDI BARU


Siti Norhayati Mohd Yusoff,

Dewasa ini topik politik telah mendominasi perbualan ramai. Angkat telefon sahaja untuk bercakap dengan sahabat mahupun saudara, dan tanpa sedar, kita sudah berbual mengenai politik.

Saya tidak berminat politik sehinggalah baru-baru ini, setelah saya merasakan wang dan titik peluh saya telah berakhir di dalam beg tangan mahal segelintir individu kaya.

Kita telah sedia maklum kisah cincin dan beg tangan, di mana dakwaan tersebut telahpun disahkan sendiri oleh wanita terbabit. Apa yang penting bukanlah hujah beliau bahawa beliau tidak membelinya. Hakikatnya ialah beliau dan keluarga beliau ada suatu kesukaan untuk kemewahan sebegitu, sehingga cincin mahal lebih RM20 billion boleh dihantar ke sini.

Apakah - atau bolehkan - sesiapa antara kita melakukan sedemikian? Di masa rakyat sedang bersusah payah mengharungi kehidupan seharian dan kos hidup yang tinggi, mereka sekeluarga pula mengidamkan cincin mewah.

Sekarang, mereka memulangkan kepada kita RM200 atau RM500. Tapi tunggu! Saya kenal akan mereka yang menghantar anak mereka ke sekolah swasta yang yurannya RM30,000 setahun pun telah mendapat wang tersebut!

Pilihanraya yang akan datang ialah pertama kali saya mengundi. Bila saya mendaftarkan diri sebagai pengundi, bukanlah kononnya untuk menunaikan hak saya, tapi semata-mata untuk menidurkan hantu BN dan penyokong mereka yang telah mengamuk sejak tahun 2008.

Saya punya ramai kawan-kawan yang lebih sanggup mengundi buah ‘pisang’ atau apa-apa buah lain jika dicalonkan untuk melawan BN!

Tapi, ada juga hari-hari di mana fikiran saya terganggu semasa berbual dengan rakan-rakan yang masih taksub BN. Saya ingin menyelami apa yang mereka tidak tahu lagi. Akhirnya, kesimpulan saya adalah mereka berada di dalam kegelapan maklumat.

Mereka ini terdiri daripada golongan yang tidak membaca atau hanya membaca Utusan Malaysia dan menonton TV3. Jadi, saya cuba memberitahu mereka tentang kajian baru-baru ini yang menunjukkan rakyat Malaysia lebih banyak mendapat berita daripada sumber-sumber selain RTM atau TV3 atau mana-mana saluran tradisional. Mereka bergantung kepada sumber berita di internet seperti Malaysiakini dan The Malaysian Insider.

Saya cuba memberitahu mereka: kamu tidak perlulah berhenti menonton TV3, tidak juga perlu membaca Harakah kerana sebagai organ parti, mungkin ia ada kecenderongannya. Di luar sana masih lagi banyak portal berita internet yang dikendalikan oleh mereka yang bukan secara langsung mempunya kepentingan politik.

Ramai juga yang bukan saja tidak tahu langsung mengenai penyelewengan melampau BN. Mereka sebenarnya takut kehilangan apa yang ada di tangan. Kebanyakan mereka adalah Melayu, sebahagiannya India Muslim. Golongan kedua ini mungkin didaftar sebagai 'Bumiputera' hasil susah-payah orang tua mereka dulu yang berulang-alik ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk membolehkan anak mereka didaftarkan sebagai Melayu. Dengan ini, mereka merasakan semacam satu perlindungan di bawah BN.

Lalu saya merenung: apakah mereka berfikir sebagai seorang Islam yang sebenar? Ada antara mereka yang saya kenal sangat warak orangnya. Saya berfikir: kini mereka bersolat dan beramal dengan hati yang senang dan selamat. Tetapi apakah golongan ini akan bersolat dengan niat yang sama apabila semua yang ada pada mereka hilang?

Apakah mereka ini akan bersolat dan berzikir sekirannya mereka bangun dari tidur satu hari nanti untuk melihat kemunculan sebuah kerajaan baru mengisytiharkan hak saksama kepada semua, sepertimana diajar Islam? Tidakkah mereka faham apa yang dimaksudkan dengan sifat Allah yang Maha Adil?

Apa yang boleh kamu hilang? 7 peratus diskaun Bumiputera dalam pembelian rumah? Apakah kamu sebagai seorang Islam merasa tidak bersalah diberikan tempat di universiti tempatan sedangkan yang lain dinafikan tempat? Apakah kamu merasa tidak bersalah apabila ramai bukan-Melayu yang miskin terus dizalimi oleh polisi sedemikian?

Ada antara mereka yang telah tinggal di negara ini lebih lama daripada kita – apakah betul untuk kita menyuruh mereka balik ke tempat asal moyang mereka? Balik ke mana? Ke India? Ke China? Ramai antara mereka sudah tidak boleh bertutur Tamil dan Mandarin dengan baik.

Setelah lebih 50 tahun, dengan segala “keistimewaan” yang ada, di mana kamu sekarang?

Ya, kita dilindungi, tapi di mana kita? Kita masih si fulan yang pulang ke rumah dengan duit yang tidak cukup setiap bulan, yang tidak mampu membiayai anak-anak kita walau untuk membantu membeli sebuah rumah kecil. Apa yang berlaku kepada “keistimewaan” kita?

Lihat sekeliling kita - tidak akan terjumpa sebuah kedai 'hangphone' pun kalau bukan kerana masyarakat Tiong Hua. Orang Cina ini telah dinafikan pelbagai “kelebihan” yang diberikan khas untuk kita. Mereka bersusah-payah sejak dilahirkan. Tapi ingatlah, usaha mereka lebih diberkati Allah kerana mereka mencari makan dengan bekerja keras sementara kita masih menunggu serpihan pemberian daripada kerajaan.

Setakat ini, kita tidak ke mana-mana. Jadi apalah sangat “kelebihan” yang kita sangat takut akan hilang, wahai sahabat-sahabatku yang masih menyokong BN?

Ramai di kalangan sahabat saya juga menganggap golongan bukan-Melayu adalah 'racist'. Saya boleh bersetuju dengan anggapan itu. Namun, soalan saya ialah: apakah kita juga tidak racist? Kita diberikan lebih banyak “hak” daripada bukan Melayu hanya kerana sijil kelahiran kita menyatakan kita ini "Bumiputera"! Hakikatnya adalah semua orang di Malaysia adalah "racist".

Ada juga yang memberitahu bahawa syarikat-syarikat Cina hanya suka beri jawatan tinggi kepada ‘orang mereka sendiri’. Saya bersetuju. Tapi sebelum ini, bukankah bangsa kita didahulukan untuk masuk ke universiti sambil golongan lain ramai yang dinafikan?

Pada masa yang sama juga, ada juga orang Cina yang mengadu bahawa orang Melayu juga adalah racist, dan sikap ini terserlah dalam pilihan kedai orang Melayu untuk membeli barangan runcit. Setuju, tetapi saya juga pernah melihat jurujual Cina yang tidak mahu melayan pelanggan bukan Cina.

Jadi mengapa kita semua racist? Jawapannya terletak di atas sana, konsep politik dan kerajaan kita yang menganggap sesuatu bangsa itu lebih berhak dari yang lain. Jadi orang bukan-Melayu yang miskin yang hanya ada Malaysia sebagai tanahair mereka, dalam proses bersusah-payah mencari makan, mula menanam bibit kebencian terhadap orang Melayu. Dan bilamana kebencian ini terserlah secara terbuka, ada orang Melayu yang memberikan reaksi lalu melabelkan mereka sebagai racist dan mengajak supaya "kita pertahankan negara ini". Negara mana, negara siapa?

Apakah orang Melayu sedar mereka mewakili Islam di Malaysia? Apakah mereka sedar bahawa kebencian terhadap Islam yang tersemai dalam jiwa sebilangan orang bukan-Islam yang jahil ini adalah kerana institusi perkauman ini? Bolehkah mereka disalahkan?

Sudah tentu mereka jahil. Akan tetapi, kita juga sama jahil! Kita bercakap soal Islam, mempertahankan Islam, tetapi jiwa kita ketandusan iman. Yang kita pentingkan adalah 'keistimewaan' untuk kita!

Ambil contoh Australia. Tidak kira apa pandangan kita terhadap Australia, hakikatnya ialah sistem negara itu memberikan hak yang saksama kepada semua, termasuk orang Islam yang baru menjadi warganegara beberapa minggu. Inilah sebabnya mereka umat Islam di sana masih ada semangat kenegaraan kepada Australia walaupun terdapat beberapa batasan dalam amalan agama mereka seperti larangan melaungkan azan di tempat awam.

Apabila kita sebagai orang Islam berlaku adil, komuniti bukan-Islam akan menerima realiti Malaysia dan sejarah serta identiti Islamnya, lalu mereka akan akur dengan beberapa batasan, seperti juga orang Islam di Australia telah menerima syarat-syarat yang dikenakan.

Islam itu adil. Semua diberi hak yang sama. Jika kita masih merasakan anak kita memerlukan perlindungan daripada kuasa manusia (BN) dan bukannya Allah, kita sebenarnya hidup dalam situasi yang dinyatakan oleh Al-Quran iaitu "Buta, pekak, bisu dan meraba-raba dalam kegelapan" (Surah al-Baqarah, ayat 18). Ingatlah juga amaran Allah: "Janganlah disebabkan kebencian kamu kepada sesuatu kaum menyebabkan kamu tidak berlaku adil. Berlaku adillah kamu kerana ia lebih hampir kepada taqwa." (Surah al-Maidah, ayat 8).

Bagi saya, di atas kertas undi nanti, saya akan memilih “buah pisang” yang saya tidak kenali itu. Berilah Pakatan Rakyat peluang. Saya juga mempunyai pelbagai keraguan terhadap Pakatan Rakyat. Tetapi saya yakin, ia tidaklah lebih teruk daripada keadaan kita sekarang.

Kerana jika ia terbukti lebih teruk, akan saya menghukumnya dalam masa lima tahun akan datang. Tetapi sekiranya BN diberikan lima tahun lagi, hilanglah pembangkang, dan akhirnya hilanglah pertandingan yang sihat.

Di mana-mana negara, pertandingan sedemikian adalah wajar. Apa yang beza sangat tentang Malaysia?

* Penulis, Siti Norhayati Mohd Yusoff, 30-an, seorang suri rumah yang tinggal di Subang Jaya.

No comments:

Post a Comment

Get the lowest PRICE booking by ONLINE

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...