Keputusan jutawan terkenal, Robert Kuok melabur di Puteri Harbour, Iskandar Malaysia merupakan petunjuk jelas keyakinan pelabur terhadap dasar pro-perniagaan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Menteri Besar dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Datuk Abdul Ghani Othman berkata keputusan Kuok untuk melabur di negeri kelahirannya, menunjukkan Johor dan Iskandar Malaysia memiliki masa depan ekonomi yang amat menyakinkan.

"Ia suatu petunjuk yang amat bermakna. Saya percaya rakyat Johor mempunyai masa depan yang menyakinkan kerana adanya pertumbuhan ekonomi, dengan pelaburan yang berterusan yang membawa kekayaan dan kemakmuran kepada Johor," katanya.

Abdul Ghani yang akan bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), berkata demikian pada majlis makan malam bersama 800 anggota daripada 154 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Cina Gelang Patah, di Joor Baharu.

Abdul Ghani mengajak pengundi Gelang Patah supaya terus bersama kerajaan BN di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menuju ke arah kemakmuran ekonomi.

"BN di bawah Datuk Seri Najib Tun Razak akan membawa negara ini ke arah kemakmuran ekonomi dan kekayaan. Itulah yang kita usahakan sejak sekian lama, Johor kini menuju ke arah kemakmuran dalam bidang ekonomi," katanya.

Semalam, Kuok menerusi syarikat Kuok Brothers Group menandatangani perjanjian usahasama dengan Khazanah Nasional untuk membangunkan tanah seluas 4.8 hektar di Puteri Harbour dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) mencecah RM1 bilion.

Projek Kuok itu akan terletak berdekatan dengan projek lain di Nusajaya, yang dalam kawasan parlimen Gelang Patah.

Menteri Besar itu berkata beliau telah berjumpa dengan Kuok setahun lepas dan mencadangkan kepada jutawan terbabit supaya meninjau pelaburan-pelaburan berpotensi di Iskandar Malaysia.

Robert Kuok menurutnya, mempunyai nilai sentimental terhadap Johor, negeri kelahirannya di mana beliau dibesarkan dan menerima pendidikannya dan kini menjadi negeri destinasi pelaburan syarikatnya.

Turut hadir pada majlis makan malam itu adalah Ketua MCA Bahagian Gelang Patah Jason Teoh dan calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai, Liang Ah Chy.

Lawan Abdul Ghani di kerusi Parlimen Gelang Patah adalah Penasihat DAP Lim Kit Siang.

- Bernama