KOTA BHARU - Pas Kelantan menyifatkan tindakan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Pasir Mas, Che Johan Che Pa yang tidak menghantar borang pencalonan sebagai menipu penyokong sendiri.

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah mendakwa ia umpama petanda awal terhadap kekalahan yang bakal dihadapi BN dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) Mei ini.

“Ia (tindakan Che Johan) bagaikan petanda kepada kekalahan BN yang akan hilang satu kerusi di negeri ini kerana amalan politik kotor dalam kalangan ahli dan penyokong parti,” katanya dipetik Harakahdaily.net semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan mengejut Che Johan yang tidak menyerahkan borang pencalonan untuk bertanding di Parlimen Pasir Mas walaupun hadir ke Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas, kelmarin.

Mohd Amar berkata, seandainya penyokong boleh dikhianati, apatah lagi rakyat di peringkat akar umbi.

“Kalau penyokong sendiri boleh dia tipu, apa lagi rakyat di bawah, lagi senang nak tipu, parti macam ini kepada nak bagi harapan memerintah negara,” katanya.

Beliau yang turut menasihatkan penyokong BN agar tidak keluar mengundi kerana mereka tidak ada calon di Pasir Mas kerana pertandingan kali ini hanya akan menyaksikan calon Pas, Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz menentang calon Bebas, Datuk Ibrahim Ali.

Mengulas pengisytiharan Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Kamilia Ibrahim untuk keluar parti dan melepaskan semua jawatan untuk bertanding sebagai calon Bebas, Mohd Amar berkata ia bukti parti itu tidak menghargai sayap kiri perjuangan parti mereka.

“Tindakan itu membuktikan ada unsur tidak puas hari dalam kalangan pemimpin parti itu terutama dalam isu pencalonan pada PRU13 ini,” katanya.
sumber: Sinar Harian