nuffnang adv

lazada adv

Tuesday, April 23, 2013

Uslub Jalan) Dakwah Wali Songo, Ulama Amilin Di Indonesia



Umumnya, kita mengenal Wali Songo hanyalah sebagai sembilan wali. Mereka itu sebenarnya terdiri daripada Sunan Gresik, Sunan Ampel, Sunan Bonang, Sunan Giri, Sunan Drajad, Sunan Kalijaga, Sunan Kudus, Sunan Muria dan Sunan Gunung Jati. Siapakah mereka ini dan bagaimanakah strategi dakwahnya sehingga berjaya mentransformasikan masyarakat Hindu Majapahit.

Sebenarnya Wali Songo adalah manifestasi kepada sebuah gerakan dakwah, dinamakan "Dewan Dakwah" yang dianggotai oleh sembilan orang yang berilmu yang dinamakan wali dan diamanahkan melaksanakan dakwah di kepulauan Jawa. Dewan ini bergiat mengembangkan agama Islam seawal tahun 1400 Masehi di Tanah Jawa. Apabila salah seorang wali uzur atau meninggal dunia, maka akan diganti dengan wali yang baru. Peranan Wali Songo adalah membuat perancangan dakwah dan memutuskan pendekatan-pendekatan yang terbaik bagi mengembangkan Islam secara berhikmah.

Sunan Ampel & Falsafah Moh Limo

Sunan Ampel atau Raden Rahmat adalah sesepuh Wali Songo atau ketua kepada Dewan Dakwah di kalangan wali-wali atau sunan. Beliau datang ke Jawa pada tahun 1421M dan memimpin Wali Songo sehingga meninggal dunia pada tahun 1478M di Ampel. Ketika beliau memimpin Wali Songo, kerajaan Majapahit sedang bergelut dengan perang saudara dan menghadapi masalah gejala sosial yang sangat parah. Sunan Ampel menumpukan perhatian kepada masalah gejala sosial yang melanda dan memperkenalkan Falsafah Moh Limo iaitu :
  1. Moh Main atau tidak mahu berjudi.
  2. Moh Ngombe atau tidak mahu minum arak.
  3. Moh Maling atau tidak mahu mencuri.
  4. Moh Madat atau tidak mahu menghisap candu, ganja, dadah dan lain-lain.
  5. Moh Madon atau tidak mahu berzina.
Raja Majapahit, Prabu Brawijaya yang beragama Buddha amat senang dengan falsafah Moh Limo ini kerana ia telah berjaya menangani gejala sosial secara berkesan. Kerana kejayaan itu, Sunan Ampel diberi kebebasan untuk menyebarkan Islam di seluruh jajahan kerajaan Majapahit.

Dalam konteks sekarang di Malaysia, kita berhadapan dengan al-mungkar yang didokong dan ditaja oleh syarikat korporat seperti Judi (Empat Nombor Ekor, Genting Highlands), Arak (Carlsberg, Guinness Stout), Zina (Rancangan Hiburan yang ditaja oleh syarikat televisyen yang menggalakkan pergaulan bebas), Dadah (syarikat rokok seperti Dunhill, Marlboro, Benson & Hedges dan lain-lain). Mungkin falsafah Moh Limo boleh dilaksanakan dengan berkesan dalam pendekatan baru yang melibatkan strategi pengiklanan dan media massa yang serba canggih khususnya melalui kerjasama badan dakwah serta pihak kerajaan.

Dakwah Halus & Sunnah Tadarruj (bertahap)

Sunan Kalijaga atau Raden Said yang berketurunan pembesar Majapahit di Tuban, Jawa Timur menyertai Wali Songo berserta Sunan Giri dan Sunan Bonang pada tahun 1463M. Sebagai seorang bangsawan yang berjiwa rakyat, Sunan Kalijaga cukup mengerti bagaimana untuk mengembangkan Islam secara halus dan bertahap di kalangan masyarakat Jawa yang majoritinya beragama Hindu dan Buddha. Di kalangan Wali Songo, terdapat dua pendekatan dakwah yang nampak bertentangan, tetapi sebenarnya lengkap-melengkapi satu sama lain.

Pendekatan pertama ialah pendekatan tauhid yang bermaksud para pendakwah harus menekankan soal tauhid sebagai asas keimanan dan setelah kefahaman mantap dengan sendirinya, mad‘u (sasaran dakwah) akan meninggalkan segala yang khurafat dan kekufuran. Pendekatan ini dipelopori oleh Sunan Ampel, Sunan Giri dan Sunan Drajad.

Pendekatan kedua atau lebih dikenali sebagai Aliran Tuban mengambil pendekatan halus melalui dua tahap :
  1. Tahap pertama adalah menghindarkan konfrontasi secara langsung atau secara kekerasan dalam cara menyiarkan agama Islam, umpama menangkap ikan tetapi tidak mengeruhkan airnya.
  2. Tahap kedua adalah mengubah adat dan kepercayaan secara halus dengan melakukan pengubahsuaian dan membiarkan dulu yang sukar dan terlalu tebal kepercayaan untuk diubah pada masa dan suasana yang sesuai.
Aliran Tuban ini dipelopori oleh Sunan Kalijaga, Sunan Bonang, Sunan Muria, Sunan Kudus dan Sunan Gunung Jati. Dengan adanya dua aliran ini, satu mementingkan kualiti sedangkan yang satu lagi menekankan kuantiti, maka berlakulah sinergi yang sihat kepada perkembangan Islam di Tanah Jawa. Hal ini begitu jelas dalam Sidang Wali Songo apabila Sunan Kalijaga mengusulkan agar adat istiadat Jawa seperti selamatan, bersaji, kesenian wayang dan gamelan diberi ciri-ciri keislaman.

Namun Sunan Ampel khuatir jika pada kemudian hari adat istiadat dan upacara lama itu akan dianggap sebagai ajaran yang berasal daripada agama Islam. Sunan Kudus yang mewakili aliran Tuban mengambil keputusan bahawa adat istiadat lama yang masih boleh diarahkan kepada agama Tauhid akan diberinya warna Islam. Sedang adat dan kepercayaan lama yang jelas menjurus ke arah kemusyrikan akan ditinggalkan sama sekali.

Mengikut pendekatan ini, perbezaan strategi dakwah tidak menyebabkan para pendakwah bermusuhan di antara satu sama lain asalkan ada sikap tasamuh (toleransi), berlapang dada, dan faham memahami satu sama lain sebagaimana yang ditunjukkan oleh Wali Songo itu.

Pelajaran kedua ialah kemampuan para pendakwah menyerapkan faham Islam ke dalam kesenian amatlah kreatif sekali. Dalam suasana remaja yang sedang menggilai dunia hiburan dan sukan pada hari ini, bagaimanakah agaknya pendakwah masa kini menanganinya secara proaktif? Boleh jadi cara Ustaz Azhar Idrus menjadi alternatif pada zaman ini.
Mohd Azmir bin Maideen merupakan Pegawai Pembangunan Dan Penyelidikan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DDPM).

No comments:

Post a Comment

Get the lowest PRICE booking by ONLINE

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...