Keputusan mahkamah yang membawa maksud bukan Islam boleh bertugas 
sebagai peguam syarie di Kuala Lumpur harus menjadi iktibar kepada 
negeri-negeri lain untuk meminda peraturan berkaitan, kata Persatuan
 Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

"PGSM berhasrat, perkara yang berlaku ini menjadi iktibar kepada negeri-negeri
 lain iaitu Perlis, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak yang masih tidak
 meletakkan syarat Islam dalam kaedah atau peraturan peguam syarie 
masing, supaya segera meminda kaedah atau peraturan tersebut dengan 
memasukkan Islam sebagai syarat untuk layak diterima sebagai peguam
 syarie," kata presidennya Musa Awang.

Mahkamah Rayuan di Putrajaya semalam memutuskan, Majlis Agama Islam
 Wilayah Persekutuan (MAIWP) bertindak di luar batas undang-undang ketika
 enggan memproses permohonan peguam bukan Islam Victoria Jayaseele 
Martin (kiri) untuk beramal sebagai peguam syarie.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Abu Samah Nordin yang bersidang
 bersama Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dan Datuk Aziah Ali dilaporkan
 sebulat suara memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan peguam 
berkenaan dan perintah-perintah yang dimohonnya.

Menurut laporan media lagi, ini bermakna, peguam bukan Islam yang 
mempunyai pengetahuan mencukupi dalam undang-undang syariah boleh
 memohon kepada MAIWP dan dikehendaki menduduki peperiksaan tertentu
 sebelum diterima masuk sebagai peguam syarie.

Dalam kenyataannya hari ini, Musa juga berkata, PGSM merafak sembah
 kepada Yang di-Pertua Agong sebagai ketua agama Islam kepada negeri-
negeri yang disebut, kecuali Perlis, untuk bertidah supaya tindakan segera 
diambil bagi menyekat kehadiran bukan Islam di Mahkamah Syariah.

Langkah itu atas alasan, kepentingan umat Islam yang "mengelakkan 
mudarat tertentu atau yang bersifat mendatang".


Sementara itu, Musa (kanan) juga berkata, keputusan semalam masih bukan
muktamad kerana prosiding rayuan masih boleh teruskan ke peringkat 
Mahkamah Persekutuan.

Ini kes pertama dilaporkan di ibu negara seorang peguam bukan Islam diberi
 kebenaran mencabar keputusan bahawa hanya peguam beragama Islam 
boleh bertugas sebagai peguam syarie di Mahkamah Syariah.

Artikel penuh di http://www.malaysiakini.com/news/233659

p/s: Di harap PGSM akan berusaha bersungguh bagi memastikan syiar Islam 
terus teguh dan di hormati. Biarlah peguambukan Muslim menghormati 
perundangan Syarie, kerana mana mungkin mereka yang tidak mengamalkan
 Islam dapat memberi pertimbangan tentang apa yang tidak mereka sendiri
 mengamalkannya. Umpama Doktor Haiwan mahu memberi pandangan tentang 
perubatan manusia, mereka sama-sama doktor.