nuffnang adv

lazada adv

Saturday, June 8, 2013

Bingkisan tentang Arab Saudi dan Wahabi



 
Saya baru sahaja pulang dari umrah dua hari lepas. Lima hari saya di Mekah. Alhamdulillah, setelah hampir setahun saya tidak ke Mekah, saya direzekikan Allah untuk kembali ke sana. Bumi Mekah itu sentiasa menjadi kerinduan jiwa. 

Kita tidak mencari Tuhan di Mekah kerana Tuhan itu hadir di mana sahaja kita berada. Ia lebih dekat kepada kita dari urat tengkok kita sendiri. Tuhan sentiasa hampir kepada mereka yang memanggil dan mengharapkannya sekalipun seseorang itu berada begitu jauh dari Mekah. 

Kita ke Mekah untuk menunaikan ibadah. Kita ke Mekah untuk mencari limpahan keberkatan yang Tuhan janjikan. DIA telah melimpahkan keberkatanNYA kepada beberapa tempat dan waktu yang disebut dalam nas-nas al-Quran dan al-Sunnah, dan Mekah adalah ibu tempat limpahan keberkatan. 

Bergambar

Zaman telah berubah. Dahulu, tidak ramai orang kita yang dapat sampai ke Mekah. Namun hari ini, atas kurniaan rezeki yang Allah berikan kepada penduduk muslimin dalam negara ini, orang Malaysia melimpahi Mekah dan Madinah setiap waktu cuti. Di sana-sini saya bertemu orang Malaysia dan sering kali mereka meminta untuk bergambar bersama. 

Seingat saya dalam empat hari di Mekah, ratusan gambar saya yang diambil. Walaupun saya sebenarnya tidaklah begitu ‘seronok' kerana saya tahu tiada apa yang istimewa bagi seseorang bergambar dengan saya. Siapalah saya ini? Tiada keberkatan, tiada pula harga di pasaran. Saya sama seperti mereka juga, mencari keberkatan Tuhan di sana. 

Bahkan mereka yang bergambar itu mungkin jauh lebih mulia di sisi Allah dibandingkan saya. Terkenal nama, bukan bererti mulia. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui hakikat hamba-hambaNYA. Namun, jika itu hasrat mereka, sebagai insan yang bersosial maka saya izinkan saja. Saya rasa mereka pun faham hakikat itu. 

Mungkin bagi mereka sekadar kenangan di samping gambar pelbagai latar dan manusia lain yang mereka perolehi. Namun, dukacita jika ada yang lebih sibuk dengan kamera dari menumpukan perhatian kepada ibadah di tempat yang berkat tersebut sedangkan tempoh mereka di sana tidaklah lama.

Liberalisme

Semasa di Mekah baru-baru ini saya menginap di Hotel Hilton. Setiap pagi, hotel itu membekalkan akhbar Saudi Gazette. Kalau berdasarkan berita-berita akhbar berkenaan, perjuangan hak wanita di Arab Saudi makin rancak. Saya tahu, agak lama gerakan yang dilabelkan oleh ulama konservatif Saudi sebagai liberalism berjalan di Saudi. 

Golongan agamawan yang menguasai banyak institusi kerajaan Saudi cuba menghadapi arus ini. Namun, ia bukannya mudah. Makin berkembang atas banyak faktor. Antaranya, golongan bangsawan sendiri ramai yang menyokong.

Juga, disebabkan corak pemikiran agama yang dikatakan agak beku di Arab Saudi, Raja Abdullah telah menghantar ramai para pelajar Saudi termasuk dalam bidang agama ke universiti-universiti di Barat. Mereka mendapat biasiswa dan akan menjadi tenaga pengajar di universiti-universiti di Arab Saudi. 

Faktor bahasa Inggeris yang begitu berkembang di negara-negara Teluk seperti Qatar dan UAE amat menyumbang. Saudi juga terkena tempiasan walaupun belum sekuat negara-negara tersebut. Buku-buku yang mengkritik keadaan di Saudi juga mula dibaca oleh golongan muda.
NONENovel ‘Princess' yang merupakaninternational bestseller tulisan Jean Sasson yang mendedahkan tentang keadaan wanita dalam keluarga di Raja Saudi sudah dibaca oleh banyak pihak. 

Walaupun ada pihak yang mempertikaikan sejauh manakah keaslian cerita tersebut, namun banyak perkara yang disebutkan itu berasas yang dapat dirasai oleh wanita Saudi. Berita-berita pro-aliran pembaharuan ini banyak dalam akhbar berbahasa Inggeris. 

Ini dapat mengurangkan serangan dari golongan konservatif agama yang tidak membaca atau mampu membaca akhbar dalam bahasa tersebut. Jika tidak tentu pelbagai fatwa akan diistiharkan. Itu pun dah banyak ‘hukuman' telah dikeluarkan.

Faktor internet juga memainkan peranan penting dalam menggerakkan minda perubahan di Saudi. Maklumat tentang dunia, hak wanita dan rakyat sudah tidak dapat disekat. Twitter dan Facebook membantu usaha pembaharuan golongan muda.

Kegagalan

Ada satu faktor yang ingin saya tegaskan ialah soal kegagalan golongan agamawan untuk menangani masalah semasa yang dihadapi oleh umat. Kecenderungan kepada mengharamkan perkara-perkara baru tanpa memberikan jalan keluar ataupun alternatif kepada masalah menjadikan agama kelihatan tidak relevan pada mata mereka yang salah faham. 

Umpamanya, sekian lama ulama Saudi mengharamkan wanita memandu kereta kononnya itu boleh membawa kerosakan akhlak ataupun fitnah. Demikian soal mewajibkan purdah. Sekarang segolongan ulama Saudi sibuk pula menentang cadangan membenarkan wanita Saudi bekerja di premis perniagaan seperti di kedai ataupun supermarket. 

Alasannya sama, membawa fitnah. Dukacitanya, dalam masa yang sama mereka tidak sibuk untuk memperkatakan tentang keganasan rumahtangga secara bersungguh seperti mereka sibuk menghalang wanita memandu dan berniaga. Akhirnya dilihat agama bagaikan berat sebelah. Hanya asyik menghukum wanita tetapi memberikan pelbagai kuasa ‘penindasan' kepada lelaki.

NONEDalam akhbar Saudi Gazette bertarikh 2 Jun 2013 bertajuk:‘Hit her if you dare'. Ia menceritakan sekumpulan muda wanita melancarkan kempen anti-domestic violence (anti keganasan rumahtangga). Kumpulan ini diusahakan oleh Libra Productions, sebuah studio pengeluar audio dan muzik di Jeddah. 

Usaha yang seperti ini sepatutnya dijuarai oleh para ulama khususnya mereka yang ternama dan berkedudukan. Fatwa-fatwa membela wanita sepatutnya jelas kedengaran dan diedarkan secara meluas seperti mana kesibukan mereka dengan fatwa-fatwa yang mengongkong wanita. 

Walaupun sebahagian fatwa itu mempunyai asas dalil yang kuat, namun sebahagian yang lain hanya atas sentimen semata tanpa hujah yang kukuh seperti isu memandu dan melarang wanita berniaga. Sementara yang lain, hanya sentiment mazhab seperti isu purdah. 

Wanita Saudi patut membaca buku Tahrir al-Mar'ah fi ‘Asr al-Risalahtulisan Abd al-Halim Abu Suqqah yang menggambarkan kehidupan wanita pada zaman Nabi SAW. Maksud buku itu ialah Pembebasan Wanita di Zaman Nabi Muhammad s.a.w. Baginda sebenarnya membebaskan wanita dari kongkongan jahiliah dan kekejaman lelaki. Apa yang berlaku dalam sesetengah masyarakat beragama seakan membawa kepada sebaliknya.

Wahabi

Arab Saudi sering dikaitkan dengan fahaman Wahabi. Asalnya, ia merujuk kepada gerakan Muhammad bin Abd al-Wahhab. Mulanya, ia sebuah gerakan pembaharuan yang sepatutnya menghidupkan 'reform'. Antara yang bagus dalam gerakan itu ialah keluasan bermazhab dan melihat dalil dari pelbagai pihak. 

Dalam sejarah gerakan tersebut, ia telah menjadi inspirasi kepada banyak gerakan lain di dunia ini. Sehingga para ulama Deoband India yang beraliran Asha'irah dan Maturidiyyah juga dituduh Wahabi oleh penduduk di sana. Golongan pembaharuan di Indonesia dan Tanah Melayu juga dituduh Wahabi sejak dahulu sehingga hari ini. 

Prof Hamka dituduh Wahabi, gerakan Kaum Muda yang membela wanita Melayu dalam pelajaran dan rumahtangga dilabel sebagai wahabi dan pelbagai lagi. Padahal - walaupun ada beberapa sudut persamaan - di Tanah Melayu pengaruh Muhammad Abduh dan Rasyid Ridha yang lebih kuat. Wahabi telah dijadikan jenama untuk golongan konservatif menuduh musuh-musuh mereka.

Ini menunjukkan pengaruh gerakan pembaharuan Muhammad ‘Abdul Wahhab begitu kuat. Sehingga Dr Wahbah al-Zuhaili menyebut : "Sesuatu yang tiada syak padanya, menyedari hakikat yang sebenar, bukan untuk meredhakan sesiapa, berpegang kepada ayat al-Quran yang agung yang bermaksudnya:

"Jangan kamu kurangkan manusia apa yang menjadi hak-haknya (Surah Hud: 85), bahawa suara kebenaran yang paling berani, pendakwah terbesar untuk islah (pembaikian), membina umat, jihad dan mengembalikan individu muslim kepada berpegang dengan jalan salafus soleh yang terbesar ialah dakwah Muhammad bin ‘Abdul Wahhab pada kurun yang kedua belas hijrah.Tujuannya untuk mentajdidkan kehidupan Muslim, setelah secara umum dicemari dengan berbagai khilaf, kekeliruan, bid'ah dan penyelewengan. Maka Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab ialah pemimpin kebangkitan agama dan pembaikian (islah) yang dinantikan, yang menzahir timbangan akidah yang bersih." 
(Dr Wahbah al-Zuhaili, Risalah Mujaddid al-Din fi Qarn al-Thani ‘Asyar, m.s 57-58).

Namun malangnya, ramai pewaris gerakan itu dan golongan yang menggunakan jenama ‘salafi' memilih untuk bermazhab dengan kejumudan dalam memahami nas-nas agama. Mereka enggan memahami keluasan nas dengan melihat kepada konteksnya yang sepatut. Lalu mereka jumud dalam muamalat sehingga gagal menghidangkan Islam yang dapat menangani perkembangan masyarakat hari ini. 

Maka, ‘wahabi' menjadi jenama kejumudan bukan lagi keluasan. Ia telah seiras dengan golongan konservatif agama yang sedia ada walaupun berbeza dalam beberapa perkara. Bahkan segelintir golongan yang dinamakan wahabi itu mengharamkan Fiqh al-Waqi'ataupun memahami realiti dalam berfatwa. Ini disebabkan kejumudan minda dan kedangkalan memahami Usul al-Fiqh.

Di samping sibuk dengan isu-isu pinggiran seperti isbal, muzik, mengklasifikasikan orang, menyesatkan mereka yang tidak sealiran, sebahagian mereka yang menggelar diri salafi itu pula sibuk menjadi lidah yang membela para pemerintah yang mungkar. 

Mereka mengumpulkan dalil untuk berhujah tentang kewajipan mentaati pemerintah dalam apa keadaan sekalipun, tapi mereka tidak mengumpulkan dalil tentang haramnya kezaliman, rasuah, penyalahgunaan kuasa, penindasan hak dan pelbagai perkara yang lain. 

Mereka gagal melihat dalil dalam konteksnya. Mereka mengikut salaf dalam perkara yang mereka mahu, dan meninggalkan salaf dalam perlara yang bertentangan dengan nafsu penguasa yang mereka patuhi.

Maka jadilah jenama salafi ataupun ‘wahabi' itu makin disalahfahami dan mengelirukan.

PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis.

-Malaysia Kini

No comments:

Post a Comment

Get the lowest PRICE booking by ONLINE

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

pos terhangat