nuffnang adv

lazada adv

Showing posts with label tazkirah. Show all posts
Showing posts with label tazkirah. Show all posts

Sunday, July 9, 2017

Pengalaman di Alam Maut dan Alam Barzakh....untuk renungan



Masih Ingatkah KISAH NYATA Azlina...
Kejadian silam yg menggetarkan hati banyak Orang...
Gadis Yatim berhijab dari keluarga sederhana asal Bengkalis.
Yang Mati selama 2 jam...& selama itu pula ia diperlihatkn banyak kejadian di Alam Barzah yg tak pernah ia lupa hingga detik ini.
Detik menjelang Sakaratul Maut,dia melihat 2 orang malaikat datang dan mencabut nyawanya dari sebelah kanan kakinya..."Rasanya seperti Kulit hewan yg disayat..dri dagingnya sakit sungguh sakit" tuturnya.
Setelah rohnya dicabut dari jasad ia pun melihat Paman & Dokternya yg kala itu sedang menangani perawatan untuknya dirumah sakit, setelah itu Dia pun mengaku ditanya soalan oleh malaikat...dan kala itu Diapun mampu menjawab soalan tanpa tersendat.
Setelah itu dia pun dibawa oleh Malaikat bertemu dengan Ayahnya...yg sudah lama meninggal yg kala itu ayahnya nampak lebih muda. Ayahnyapun menangis & menyuruhnya kembali" kembalilah kasian adik-adikmu "tutur si Ayah. Namun Azlina berkata "tidak Ayah janji Allah sudah tiba.
Setelah itu..Diapun kembali dibawa Malaikat bertemu dengan seorang wanita cantik bercahaya...dan didudukan dikursi yg begitu Empuk lalu roh Azlinapun bertanya "siapa Anda?? "wanita itupun menjawab" sayalah Amalmu".
Lalu Azlinapun dibawa lagi diperlihatkan didepan hadapannya
👉Seorang yang memikul besi Amat berat dan rantai ditangannya, bajunya robek-robek dan bau busuk menjijikan...lalu Roh Azlinapun bertanya "Siapa orang itu pada amalnya, amalnyapun menjawab "Orang tersebut orng yang membunuh tapi tidak pernah dipertanggung jawabkan...didunia.
Lalu Azlina pun melihat
👉Seorang yang kulit dan dagingnya terburai,Ia pun bertanya kenapa dengan orang itu??
Amalnyapun menjawab "Dia tidak pernah SHALAT".
Lalu Diapun melihat..
👉Seorang yang dihantamkan besi ketubuhnya dia didunia orang yg gemar berzina.
Lalu
👉Diapun melihat orang yg saling bunuh...
Manusia golongan itu ialah manusia yg gemar bertengkar dan membenci orang lain hingga menerornya.
👉Diapun melihat 80 mata tusukan tiap-tiap tusukan terdapat 80 mata pisau yang tembus kedada orng yg senang membunuh.
👉Dan orang yang dihempaskan ketanah lalu dibunuh bangun lagi dan begitu seterusnya adalah anak Durhaka yang tidak memelihara orng tuanya waktu didunia.
Demikianlah Azlina ditampakkan berbagai macam siksa...di Alam Barzah.
Lalu Azlina dibawa Malaikat kesuatu tempat yang gelap tiba-tiba ia pun mendengar suara mengucap "Subhanallah, Alhamdulilah, Allahu Akbar...dan saat itu pula ada seorang yg mengalungkan sebuah Tasbih yg mempunyai 99 biji dan disana ia pun shalat layaknya orng yg shalat didunia.
Setelah itu Ia pun mendengar azan yang mirip sekali dengan azan di Masjid Nabawi.
Dan setelah itupun ia diperlihatkan dihadapannya makam Nabi Muhammad. SAW dan dimakam tersebut banyak sekali Batang-batang Emas yg didalamnya ada tepak Khusnul Khotimah lalu mengeluarkn cahaya...dan terdengar Suara "TOLONG SAMPAIKANLAH KEPADA UMMATKU UNTUK SUJUD PADA ALLAH"
Setelah itupun roh Azlina melihat miliaran Manusia dari beraneka ragam abad berkumpul disuatu tempat seperti tanah lapang yang sangat Luas. Roh Azlinapun cuma berjarak 5 meter saja dari kumpulan manusia itu.
Dan ia mendengar kumpulan manusia itu berbicara "Cepatlah kiamat saya sudah tidak tahan lagi disini Ya Allah..."
Manusia-manusia itupun memohon "Tolong kembalikan saya kedunia saya ingin beramal "Begitulah tutur Azlina dengan apa yg dilihatnya..."
Setelah itu tiba-tiba Azlina merasa jantungnya berdetak begitu kuat dan saat Ia membuka mata ia sudah ada di dunia kembali.
Itulah kejadian NYATA Azlina saat Dia telah Meninggal Dunia. Kisah ini cukup menjelaskan bahwa Alam Barzah, Neraka & Syurga itu memang betul ada...dan perbuatan dosa sekecil apapun kelak harus dipertanggung jawabkan.
Allah Hu Alam bisawab...


FB Nia A Nurningsih Aswin

Monday, July 21, 2014

Kisah Umar Al Khattab RA di Hari Raya... macam kita ke?


Kisah hari raya bersama Saidina Umar......
Suatu hari anak Khalifah Umar al-Khattab pulang dari sekolah dengan menangis teresak-esak. Ketika ditanya oleh ayahnya, ia menjawab bahawa teman-temannya di tempat pengajiannya menghina bajunya yang penuh dgn tampalan. Di antara mereka mengatakan, “Hai kawan-kawan, perhatikan berapa jumlah tampalan budak ini!” Ia menjadi bahan ketawa teman-temannya, amatlah sedih hatinya.Pola hidup keluarga Khalifah Umar memang sederhana, teramat sederhana. Walaupun berjawatan sebagai khalifah, tampalannya bajunya ada empat belas. Salah satunya ditampal dengan kulit kayu.Tibalah suatu hari apabila Umar al-Khattab berhajat utk membelikan pakaian baru utk anaknya di bulan Syawal, kerana ketiadaan wang pergilah Umar ke Baitulmal untuk meminjam beberapa dirham untuk membeli pakaian tersebut . Kerana tidak bertemu Saidina Umar dengan bendahara Baitulmal, beliau meninggalkan sepucuk surat, isinya sebagai berikut…“Kepada bendahara Baitulmal yang terhormat saya memohon pinjaman sebesar empat dirham. Insya-Allah pada awal bulan depan, setelah pembahagian gaji dari Baitulmal, saya akan segera melunasinya.”Si bendahara tidak langsung cemas setelah menerima surat dari Khalifah. Dia juga tidak cepat-cepat mengambil wang dari Baitulmal lalu mengirimnya kepada Khalifah. Dia mengamati surat itu sangat lama. Dia mengetahui bahawa pemimpinnya itu bukan sejenis penguasa yang memanfaatkan amanat rakyat untuk kepentingan peribadinya. Saidina Umar bin Khattab R.A dikenali sebagai pemimpin yang adil dan tegas. Bukan saja dia adil terhadap rakyat sekitarnya, beliau juga bersikap adil terhadap anak-anaknya dan dirinya. Apabila dirinya terbukti salah dalam menjalankan amanat Allah, dia rela dihukum dan didenda walaupun dia mampu menolak penghukuman tersebut kerana jawatannya. Apabila dia dihadapkan kepada dua kepentingan, kepentingan si anak dan kepentingan Islam, maka dia akan mendahulukan kepentingan agamanya.Sifat Umar al-Khattab seperti ini sudah umum diketahui oleh rakyatnya, tidak terkecuali si bendahara Baitulmal ini. Si bendahara menjawab surat Khalifah dalam bentuk sebuah pertanyaan…Kepada Amir al-Mukminin Umar bin Khattab,“Telah saya baca surat anda tentang permohonan pinjaman dari wang Baitulmal. Aku sekadar ingin bertanya, apakah Tuan berani bahawa diri Tuan pasti tetap hidup sampai akhir bulan sehingga aku dapat menuntut hutang Baitulmal dari Tuan? seandainya ajal menjemput Tuan sebelum bulan ini berakhir, apakah Tuan mampu mempertanggungjawabkanya di hadapan Allah? Wasalam.”Selesai membaca surat balasan dari pejabat Baitulmal, Khalifah Umar merasa amat sedih kerana tidak mampu melunasi hajatnya untuk membeli baju baru untuk anaknya.Setibanya Hari Raya, Umar al-Khattab melihat anaknya memakai baju yang bertampal-tampal dan beliau terus menangis,“Mengapa engkau menangis, wahai ayahku?” tanya anaknya.Umar menjawab, “Aku bimbang hatimu sedih di Hari Raya apabila kawan-kawanmu menghina bajumu yang bertampal-tampal itu.”Kemudian anaknya berkata, “Seharusnya yang harus bersedih itu ialah orang yang tidak mendapat keredhaan Allah dan menderhakai kedua orang tuanya. Sesungguhnya aku berharap agar Allah Azza wa Jalla memberikan redha-Nya kepadaku sebab keredhaanmu kepadaku”.Semakin deras air mata Khalifah Umar mengalir apabila mendengar kata-kata anaknya dan beliau terus memeluknya dan mendoakannya

@facebook.c0m/raja iskandar

#Selamat Hari Raya Daripada ADMIN BUDAK KG SETIU

Saturday, June 8, 2013

Bingkisan tentang Arab Saudi dan Wahabi



 
Saya baru sahaja pulang dari umrah dua hari lepas. Lima hari saya di Mekah. Alhamdulillah, setelah hampir setahun saya tidak ke Mekah, saya direzekikan Allah untuk kembali ke sana. Bumi Mekah itu sentiasa menjadi kerinduan jiwa. 

Kita tidak mencari Tuhan di Mekah kerana Tuhan itu hadir di mana sahaja kita berada. Ia lebih dekat kepada kita dari urat tengkok kita sendiri. Tuhan sentiasa hampir kepada mereka yang memanggil dan mengharapkannya sekalipun seseorang itu berada begitu jauh dari Mekah. 

Kita ke Mekah untuk menunaikan ibadah. Kita ke Mekah untuk mencari limpahan keberkatan yang Tuhan janjikan. DIA telah melimpahkan keberkatanNYA kepada beberapa tempat dan waktu yang disebut dalam nas-nas al-Quran dan al-Sunnah, dan Mekah adalah ibu tempat limpahan keberkatan. 

Bergambar

Zaman telah berubah. Dahulu, tidak ramai orang kita yang dapat sampai ke Mekah. Namun hari ini, atas kurniaan rezeki yang Allah berikan kepada penduduk muslimin dalam negara ini, orang Malaysia melimpahi Mekah dan Madinah setiap waktu cuti. Di sana-sini saya bertemu orang Malaysia dan sering kali mereka meminta untuk bergambar bersama. 

Seingat saya dalam empat hari di Mekah, ratusan gambar saya yang diambil. Walaupun saya sebenarnya tidaklah begitu ‘seronok' kerana saya tahu tiada apa yang istimewa bagi seseorang bergambar dengan saya. Siapalah saya ini? Tiada keberkatan, tiada pula harga di pasaran. Saya sama seperti mereka juga, mencari keberkatan Tuhan di sana. 

Bahkan mereka yang bergambar itu mungkin jauh lebih mulia di sisi Allah dibandingkan saya. Terkenal nama, bukan bererti mulia. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui hakikat hamba-hambaNYA. Namun, jika itu hasrat mereka, sebagai insan yang bersosial maka saya izinkan saja. Saya rasa mereka pun faham hakikat itu. 

Mungkin bagi mereka sekadar kenangan di samping gambar pelbagai latar dan manusia lain yang mereka perolehi. Namun, dukacita jika ada yang lebih sibuk dengan kamera dari menumpukan perhatian kepada ibadah di tempat yang berkat tersebut sedangkan tempoh mereka di sana tidaklah lama.

Liberalisme

Semasa di Mekah baru-baru ini saya menginap di Hotel Hilton. Setiap pagi, hotel itu membekalkan akhbar Saudi Gazette. Kalau berdasarkan berita-berita akhbar berkenaan, perjuangan hak wanita di Arab Saudi makin rancak. Saya tahu, agak lama gerakan yang dilabelkan oleh ulama konservatif Saudi sebagai liberalism berjalan di Saudi. 

Golongan agamawan yang menguasai banyak institusi kerajaan Saudi cuba menghadapi arus ini. Namun, ia bukannya mudah. Makin berkembang atas banyak faktor. Antaranya, golongan bangsawan sendiri ramai yang menyokong.

Juga, disebabkan corak pemikiran agama yang dikatakan agak beku di Arab Saudi, Raja Abdullah telah menghantar ramai para pelajar Saudi termasuk dalam bidang agama ke universiti-universiti di Barat. Mereka mendapat biasiswa dan akan menjadi tenaga pengajar di universiti-universiti di Arab Saudi. 

Faktor bahasa Inggeris yang begitu berkembang di negara-negara Teluk seperti Qatar dan UAE amat menyumbang. Saudi juga terkena tempiasan walaupun belum sekuat negara-negara tersebut. Buku-buku yang mengkritik keadaan di Saudi juga mula dibaca oleh golongan muda.
NONENovel ‘Princess' yang merupakaninternational bestseller tulisan Jean Sasson yang mendedahkan tentang keadaan wanita dalam keluarga di Raja Saudi sudah dibaca oleh banyak pihak. 

Walaupun ada pihak yang mempertikaikan sejauh manakah keaslian cerita tersebut, namun banyak perkara yang disebutkan itu berasas yang dapat dirasai oleh wanita Saudi. Berita-berita pro-aliran pembaharuan ini banyak dalam akhbar berbahasa Inggeris. 

Ini dapat mengurangkan serangan dari golongan konservatif agama yang tidak membaca atau mampu membaca akhbar dalam bahasa tersebut. Jika tidak tentu pelbagai fatwa akan diistiharkan. Itu pun dah banyak ‘hukuman' telah dikeluarkan.

Faktor internet juga memainkan peranan penting dalam menggerakkan minda perubahan di Saudi. Maklumat tentang dunia, hak wanita dan rakyat sudah tidak dapat disekat. Twitter dan Facebook membantu usaha pembaharuan golongan muda.

Kegagalan

Ada satu faktor yang ingin saya tegaskan ialah soal kegagalan golongan agamawan untuk menangani masalah semasa yang dihadapi oleh umat. Kecenderungan kepada mengharamkan perkara-perkara baru tanpa memberikan jalan keluar ataupun alternatif kepada masalah menjadikan agama kelihatan tidak relevan pada mata mereka yang salah faham. 

Umpamanya, sekian lama ulama Saudi mengharamkan wanita memandu kereta kononnya itu boleh membawa kerosakan akhlak ataupun fitnah. Demikian soal mewajibkan purdah. Sekarang segolongan ulama Saudi sibuk pula menentang cadangan membenarkan wanita Saudi bekerja di premis perniagaan seperti di kedai ataupun supermarket. 

Alasannya sama, membawa fitnah. Dukacitanya, dalam masa yang sama mereka tidak sibuk untuk memperkatakan tentang keganasan rumahtangga secara bersungguh seperti mereka sibuk menghalang wanita memandu dan berniaga. Akhirnya dilihat agama bagaikan berat sebelah. Hanya asyik menghukum wanita tetapi memberikan pelbagai kuasa ‘penindasan' kepada lelaki.

NONEDalam akhbar Saudi Gazette bertarikh 2 Jun 2013 bertajuk:‘Hit her if you dare'. Ia menceritakan sekumpulan muda wanita melancarkan kempen anti-domestic violence (anti keganasan rumahtangga). Kumpulan ini diusahakan oleh Libra Productions, sebuah studio pengeluar audio dan muzik di Jeddah. 

Usaha yang seperti ini sepatutnya dijuarai oleh para ulama khususnya mereka yang ternama dan berkedudukan. Fatwa-fatwa membela wanita sepatutnya jelas kedengaran dan diedarkan secara meluas seperti mana kesibukan mereka dengan fatwa-fatwa yang mengongkong wanita. 

Walaupun sebahagian fatwa itu mempunyai asas dalil yang kuat, namun sebahagian yang lain hanya atas sentimen semata tanpa hujah yang kukuh seperti isu memandu dan melarang wanita berniaga. Sementara yang lain, hanya sentiment mazhab seperti isu purdah. 

Wanita Saudi patut membaca buku Tahrir al-Mar'ah fi ‘Asr al-Risalahtulisan Abd al-Halim Abu Suqqah yang menggambarkan kehidupan wanita pada zaman Nabi SAW. Maksud buku itu ialah Pembebasan Wanita di Zaman Nabi Muhammad s.a.w. Baginda sebenarnya membebaskan wanita dari kongkongan jahiliah dan kekejaman lelaki. Apa yang berlaku dalam sesetengah masyarakat beragama seakan membawa kepada sebaliknya.

Wahabi

Arab Saudi sering dikaitkan dengan fahaman Wahabi. Asalnya, ia merujuk kepada gerakan Muhammad bin Abd al-Wahhab. Mulanya, ia sebuah gerakan pembaharuan yang sepatutnya menghidupkan 'reform'. Antara yang bagus dalam gerakan itu ialah keluasan bermazhab dan melihat dalil dari pelbagai pihak. 

Dalam sejarah gerakan tersebut, ia telah menjadi inspirasi kepada banyak gerakan lain di dunia ini. Sehingga para ulama Deoband India yang beraliran Asha'irah dan Maturidiyyah juga dituduh Wahabi oleh penduduk di sana. Golongan pembaharuan di Indonesia dan Tanah Melayu juga dituduh Wahabi sejak dahulu sehingga hari ini. 

Prof Hamka dituduh Wahabi, gerakan Kaum Muda yang membela wanita Melayu dalam pelajaran dan rumahtangga dilabel sebagai wahabi dan pelbagai lagi. Padahal - walaupun ada beberapa sudut persamaan - di Tanah Melayu pengaruh Muhammad Abduh dan Rasyid Ridha yang lebih kuat. Wahabi telah dijadikan jenama untuk golongan konservatif menuduh musuh-musuh mereka.

Ini menunjukkan pengaruh gerakan pembaharuan Muhammad ‘Abdul Wahhab begitu kuat. Sehingga Dr Wahbah al-Zuhaili menyebut : "Sesuatu yang tiada syak padanya, menyedari hakikat yang sebenar, bukan untuk meredhakan sesiapa, berpegang kepada ayat al-Quran yang agung yang bermaksudnya:

"Jangan kamu kurangkan manusia apa yang menjadi hak-haknya (Surah Hud: 85), bahawa suara kebenaran yang paling berani, pendakwah terbesar untuk islah (pembaikian), membina umat, jihad dan mengembalikan individu muslim kepada berpegang dengan jalan salafus soleh yang terbesar ialah dakwah Muhammad bin ‘Abdul Wahhab pada kurun yang kedua belas hijrah.Tujuannya untuk mentajdidkan kehidupan Muslim, setelah secara umum dicemari dengan berbagai khilaf, kekeliruan, bid'ah dan penyelewengan. Maka Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab ialah pemimpin kebangkitan agama dan pembaikian (islah) yang dinantikan, yang menzahir timbangan akidah yang bersih." 
(Dr Wahbah al-Zuhaili, Risalah Mujaddid al-Din fi Qarn al-Thani ‘Asyar, m.s 57-58).

Namun malangnya, ramai pewaris gerakan itu dan golongan yang menggunakan jenama ‘salafi' memilih untuk bermazhab dengan kejumudan dalam memahami nas-nas agama. Mereka enggan memahami keluasan nas dengan melihat kepada konteksnya yang sepatut. Lalu mereka jumud dalam muamalat sehingga gagal menghidangkan Islam yang dapat menangani perkembangan masyarakat hari ini. 

Maka, ‘wahabi' menjadi jenama kejumudan bukan lagi keluasan. Ia telah seiras dengan golongan konservatif agama yang sedia ada walaupun berbeza dalam beberapa perkara. Bahkan segelintir golongan yang dinamakan wahabi itu mengharamkan Fiqh al-Waqi'ataupun memahami realiti dalam berfatwa. Ini disebabkan kejumudan minda dan kedangkalan memahami Usul al-Fiqh.

Di samping sibuk dengan isu-isu pinggiran seperti isbal, muzik, mengklasifikasikan orang, menyesatkan mereka yang tidak sealiran, sebahagian mereka yang menggelar diri salafi itu pula sibuk menjadi lidah yang membela para pemerintah yang mungkar. 

Mereka mengumpulkan dalil untuk berhujah tentang kewajipan mentaati pemerintah dalam apa keadaan sekalipun, tapi mereka tidak mengumpulkan dalil tentang haramnya kezaliman, rasuah, penyalahgunaan kuasa, penindasan hak dan pelbagai perkara yang lain. 

Mereka gagal melihat dalil dalam konteksnya. Mereka mengikut salaf dalam perkara yang mereka mahu, dan meninggalkan salaf dalam perlara yang bertentangan dengan nafsu penguasa yang mereka patuhi.

Maka jadilah jenama salafi ataupun ‘wahabi' itu makin disalahfahami dan mengelirukan.

PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis.

-Malaysia Kini

Monday, May 20, 2013

Jangan Silap Didik Anak- Ustaz Zawawi YUsof


SEMUA anak dilahirkan fitrah, bersih, baik, cenderung pada kebaikan dan kenal ALLAH.  Tetapi kesilapan ayah, ibu dan persekitaran dalam mendidik menyebabkan anak ini membesar menjadi Nasrani, Majusi atau Yahudi," kata pendakwah terkenal Datuk Ustaz Mohd Zawawi Yusoh.

Beliau berkata sedemikian dalam satu slot ceramahnya yang dipetik dari Youtube bertajuk Punca anak derhaka siri satu dan dua.

Ibn Khaldun pernah menyebut, "manusia itu adalah anak kepada persekitaran". Oleh itu, dengan merujuk kepada faktor persekitaran, radio, TV, majalah dan kawan itu saling mempengaruhi.

"(Bayi) asalnya bersih kemudian dikotorkan. Bersih sepatutnya dibersihkan dengan kebersihan iaitu diteruskan dengan pendidikan al-Quran, agama, kenal ALLAH, sayang ALLAH, berkaitan dengan pemikiran, perasaan dan keyakinan. Kerana dengan keyakinan ia membetulkan akal dan nafsu," katanya.

Antara faktor lain punca anak derhaka adalah pemberian nama panggilan tidak bagus; tidak diajar mengenali al-Quran; dan mencintai Rasulullah SAW.

Antara lain punca mengapa anak derhaka adalah kerana rasa cemburu.

"Ibu dan ayah yang memberi rasa anak cemburu. Contohnya, ibu ayah tidak menyamakan pemberian kepada anak dan tidak berlaku adil, bila layanan tidak betul kadang-kadang berlaku resapan.

Resapan itu di mana anak akan menyimpan (perasaan) dan akhirnya akan timbul rasa hendak membalas dendam.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Samakanlah pemberian antara anak-anak seperti kamu sekalian senang apabila mereka adil dalam berbakti yang sama kepada kamu sekalian (ibu bapa).” (Riwayat Muslim)

-Sinar Harian

Sunday, May 12, 2013

Perkongsian- Di antara Bos dan Staf- Shamsudin Kadir



Bismillah. Banyak kali saya mendengar rungutan staf-staf terutama diperingkat esekutif, di mana bos besar mahukan mereka bekerja lebih masa, supaya ianya menunjukkan kita benar-benar komited dengan kerja. Bagi sebahagian bos mereka suka staf yang balik kerja lewat malam, dan menjadikan dirinya sebagai contoh, dengan balik kerja seawal 10 ataupun 11 malam setiap hari.

Tidak semua kepimpimpinan melalui teladan dapat ditiru ataupun diikuti oleh staf yang menerima arahan. Ini kerana banyak aspek perlu diambil kira. Bos besar seperti CEO biasanya tidak merasa tertekan sewaktu berada di pejabat, berbanding staf biasa, kerana staf biasa kebanyakan masa menerima arahan, manakala bos secara 90% adalah memberi arahan. Saya pernah berada di kedua-dua jawatan itu, apabila menjadi staf, tahap tekanan kita banyak dari segi kita tidak boleh buat apa yang kita suka terutama pada waktu pejabat, manakala bos besar bebas.

Kebanyakan bos besar mempunyai anak-anak yang sudah dewasa sama ada sudah berdikari ataupun sudah tidak tinggal bersamanya lagi. Balik pukul berapa tidak memberi banyak erti kepada kehidupan keluarganya hanya ada isteri ataupun suami di rumah.

Bagi staf biasa, anak-anak yang masih kecil memerlukan banyak tumpuan dan juga kasih sayang, sewaktu pagi sehingga petang, mereka tidak dapat menunaikan sebahagian tanggungjawab sebagai ibu bapa kerana bekerja, oleh itu, mereka mahu balik seawal yang mungkin bagi menguruskan hal rumah tangga dan juga anak-anak mereka, termasuk mendampingi dan berbicara dengan anak-anak.

Saya cukup suka dengan beberapa CEO, tempat lama saya bekerja dahulu kerana mereka sangat mementingkan waktu staf bersama keluarga mereka. Di pejabat saya dahulu sewaktu bertugas dengan Tuan Yim Choong Chow, saya tidak dibenarkan berada di pejabat walaupun 5 minit selewat waktu bekerja tamat. Bagi beliau itu tanda staf yang tidak berkualiti dan tidak cekap. Beliau juga sangat mementingkan waktu stafnya bersama keluarga masing-masing.

Lain kepimpinan, lain pula caranya, saya secara peribadi tidak gemar apabila melihat staf terpaksa bekerja lebih masa. Kerana ianya secara peribadi membuatkan saya bersedih, kerana mereka tidak dapat kebebasan di dalam kehidupan mengikut ajaran Islam yang saya pelajari. Beri ruang supaya staf kita dapat masak makanan malam ataupun pergi ke surau pada sebelah malam, bagi meningkatkan lagi prestasi ketakwaan kepada Allah. Rumah-rumah Allah itu menanti hambaNya datang bersolat berjemaah dan mengimarahkannya.

Lain sekolah, lain pula ajarannya. Hormati perbezaan.
-Facebook Shamsudin Kadir

Thursday, May 9, 2013

Merebut Tawaran Satu Dibalas 700, itulah SEDEQAH



Oleh Kurniawati kamarudin

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Kehidupan ini akan menjadi lebih bermakna jika nikmat dan rezeki yang dimiliki dikongsi dengan orang lain walaupun sedikit.

Namun lumrah manusia, apabila memberi sesuatu, sering mengharapkan balasan yang lebih dari apa yang diberikan.

Siapa yang tidak mahu jika ditawarkan balasan yang besar seperti 'Satu dibalas 700'?. Pasti ramai yang berebut-rebut untuk mendapatkan tawaran itu.

Tawaran satu dibalas 700 itu nampak luar biasa, namun telah ramai kalangan kita yang merasai nikmat dan meyakini kebenarannya.

TIDAK LOGIK?

Pasti ramai yang menganggap tawaran satu dibalas 700 sebagai tidak logik dan mustahil atau berunsur judi yang menawarkan pulangan yang besar.

Namun menurut Eksekutif Zakat Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Ustaz Ahmad Adha Ahmad Zohdi, tiada apa yang mustahil bagi Allah yang telah menjanjikannya bagi mereka yang bersedekah dan membayar zakat.

Sepertimana janji Allah dalam Ayat 261, Surah Al-Baqarah :"Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih menumbuhkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya lagi meliputi ilmu pengetahuanNya".

Berdasarkan maksud ayat itu, pahala orang yang bersedekah akan dilipatganda seperti berkembangnya satu biji benih menumbuhkan tujuh tangkai dan setiap tangkai ada 100 biji. Malahan Allah boleh memberi lebih daripada itu mengikut kehendakNya.

Ini bermakna pahala sedekah bukan 10 atau 30 kali ganda, sebaliknya 700 kali ganda malahan lebih, katanya.

Ia ditambah dengan hadis Nabi S.A.W, "Tiga perkara ini Aku khabarkan kepada kalian dan kalian peliharalah ia. Pertama, tidak kurang harta yang dikeluarkan untuk sedekah, bahkan akan bertambah", Riwayat Imam At-Tarmidzi.

Bermakna bersedekah bukan sahaja menambah pahala, tetapi juga menambahkan harta yang mana perlu direbut dengan ikhlas oleh umat Islam.

HILANGKAN RIAK

Ahmad Adha berkata amalan berzakat perlu disertakan dengan niat yang ikhlas kerana Allah dan hendaklah menggunakan harta benda dan sumber pendapatan yang halal tanpa perasaan riak.

Bagi menghindarkan daripada perasaan tersebut, pembayar digalakkan menunaikan zakat di institusi-institusi zakat berwajib kerana pembayar dan penerima tidak mengenali antara satu sama lain.

Ini juga akan memudahkan untuk menyemak dan mentaksir tuntutan zakat yang wajib dikeluarkan.

"Pastikan zakat didahulukan bagi mereka yang layak kemudian barulah diikuti dengan sedekah sunat lain seperti derma, infaq atau wakaf.

"Selain itu wajib juga berusaha menyelesaikan hutang-hutang zakat (qadha zakat) yang belum dijelaskan sebelum ini demi memastikan kesempurnaan Islam seseorang itu seperti mana yang terdapat dalam Rukun Islam ketiga," katanya.

Dalam kerancakan bersedekah, pastikan juga kesempurnaannya dengan menyemak dan mentaksir tuntutan zakat yang wajib dibayar agar bertepatan dengan syarak.

PPZ-MAIWP menyediakan khidmat yang mudah bagi pembayar zakat dengan menghubungi talian 1-300-88-5757 atau www.facebook.com/myzakat untuk maklumat lanjut.

BERI KETENANGAN

Rasa terlepas tanggungjawab apabila dapat bayar zakat walaupun tidak banyak. Hidup rasa lebih tenang, dapat tidur lena, ujar Letta Tambi (perempuan), 61, seorang pembayar zakat.

Beliau yang membayar zakat emas sejak berumur 30 tahun berkata, banyak nikmat yang dirasakannya bukan sahaja rezeki yang semakin bertambah, tetapi juga nikmat kesihatan yang baik yang diberikan Allah.

Pada usia emas itu, Letta masih lagi diberikan kudrat mencari rezeki sebagai pembersih am di sebuah syarikat swasta di Cheras.

"Inilah sebahagian nikmat yang Allah bagi kepada mak cik. Masih sihat, mampu lagi bekerja mencari rezeki dan tidak meminta kepada anak dan orang lain," katanya yang kini menetap di Pudu.

Walaupun tidak layak untuk membayar zakat pendapatan, namun beliau sentiasa bersedekah terutama membantu keluarga terdekat untuk berkongsi rezeki yang diperoleh.

"Apa yang ada kita kongsikan bersama. InsyaAllah, hidup kita akan tenang. tak usah takut kalau duit tak cukup ke, takut tak makan ke... sebab janji Allah jika kita sedekah, makin diluaskan rezeki kita," katanya yang berasal dari Melaka.

REZEKI YANG MENCUKUPI

Bagi seorang kakitangan syarikat swasta, Syed Mazhar Syed Othman, 29, kesedaran membayar zakat timbul setelah merasakan pendapatan bulanannya sentiasa tidak cukup, malah kadangkala terpaksa meminjam daripada keluarga dan rakan-rakan.

"Duit tidak pernah cukup sedangkan saya belum berumahtangga lagi. Tak tahu mana duit tu dihabiskan setiap bulan. Nak menyimpan jauh sekali," katanya kepada Bernama.

Ujarnya , melalui ceramah mengenai pentingnya membayar zakat menyedarkannya akan tanggungjawab yang sepatutnya ditunaikan bagi menyucikan harta dan pendapatan yang ada.

"Saya nilai balik, mungkin ada silap di mana-mana yang menyebabkan saya lupa tunaikan tanggungjawab saya sebagai orang Islam," katanya yang membayar zakat melalui potongan gaji bulanan sejak setahun lepas.

Ujarnya, perubahan demi perubahan dapat dirasakan setelah menunaikan kewajipan itu terutama rezeki yang sentiasa dilapangkan.

"Saya lebih pandai menguruskan kewangan, walaupun gaji tak banyak tapi sentiasa cukup. Kita harus yakin kepada Allah yang memberi rezeki dan ikhlas menunaikannya," katanya yang turut merasakan hidup lebih tenteram setelah menunaikan rukun Islam ketiga itu.

TAMBAH NILAI ZAKAT

Perkara sama turut diakui oleh Zarifol Abdul Rahman, 40-an. Beliau yang membayar zakat pendapatan, wang simpanan dan emas sejak 10 tahun lepas dapat melihat pertambahan nilai zakat yang dibayar setiap tahun.

"Bila nilai zakat yang kita bayar bertambah setiap tahun, bermakna rezeki, nilai harta dan pendapatan kita juga telah bertambah," katanya.

Ujarnya, sebagai manusia, usaha dan doa menjadi senjata utama dalam kehidupan dan itulah yang diamalkannya bagi meningkatkan taraf ekonomi keluarga agar dapat sama-sama dikongsi dengan masyarakat yang memerlukan.

Setiap sebahagian rezeki yang kita miliki ada hak orang lain yang perlu kita kongsi termasuk melalui sedekah atau zakat, katanya.

"Tak usah takut untuk keluarkan zakat kerana yakinlah rezeki kita akan lebih berkat kerana akhirnya keredaan Allah juga yang kita cari," katanya.

-- BERNAMA

Tuesday, April 30, 2013

Semaikan semangat ukhuwwah sekalipun berbeza pemikiran


Ustaz Nasrudin bin Hasan,30 Apr 2013

Apabila saya menegur dan mengkritik bukan sahaja saya mesti bersedia untuk menerima respon balas (dalam bentuk penghujahan positif atau negatif) daripada pihak yang dikritik, tetapi saya juga mestilah jujur dan benar dalam teguran dan kritikan yang bakal dilontarkan. Malah saya jua mesti terikat dengan etika mengkritik sekalipun berhadapan dengan kemungkinan hujah balas yang tidak beretika dan berdisiplin.

Tidaklah bermakna hanya saya yang benar. Berkemungkinan besar, saya salah dan silap dalam mengemukakan pandangan dan setiap kali saya berbeza pendapat dengan pihak lain, apa yang saya harapkan agar Allah menunjuk jalan-Nya yang benar. Inilah prinsip yang akan terus saya "genggam" bersama sedikit nikmat ilmu anugerah Allah.

Tidak senang sebenarnya untuk mengkritik, justeru kritikan adalah melahirkan rasa tidak setuju terhadap pihak lain yang berkemungkinan boleh mengguris perasaannya dan mungkin juga boleh mengendurkan tali persahabatan yang telah lama terjalin.

Namun begitu, selamanya saya tidak boleh berdiam diri terhadap suatu yang saya tidak bersetuju dengannya. Terutama dalam perkara yang melibatkan penyelewengan fakta, kekeliruan maklumat, tuduhan tanpa bukti, fitnah tanpa asas dan keangkuhan yang berpanjangan.

Lantaran itu, sebagaimana saya mesti tabah, terbuka dan berhati-hati dalam menatah kalimah bernada kritikan, saya juga sangat mengharapkan pihak lain (yang dikritik) tidak cepat melatah, berjiwa besar, jujur dalam menilai dan apa yang paling penting ialah, tidak menganggap kritikan itu sebagai satu peluru yang membunuh nilai persahabatan dan juga nilai keintelektualan atau kesarjanaan.

Saya percaya jika yang dikritik itu bertaraf sarjana, sebagaimana ia tidak mudah tewas hujah begitulah seharusnya ia tidak mudah terpengaruh dengan elemen-elemen yang mengheretnya ke medan pergaduhan atau perbalahan yang menimbulkan rasa benci di hati dan kecewa di jiwa.

Sebaliknya ia mestilah sangat menghormati kritikan dan pandangan pihak lain biarpun ia menganggap kritikan itu hanyalah hujah picisan atau pandangan yang dangkal (sebab kita boleh tidak menerimanya), justeru menghormati pandangan dan kritikan pihak lain adalah suatu sikap terpuji dan selayaknya itulah penampilan seorang sarjana apatah lagi jika dia seorang ahli politik.

"Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum agama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna." (Surah az-Zumar : ayat 18)


Sikap tidak menghormati hujjah dan kritikan pihak lain hanya mempamerkan keangkuhan dan keegoan diri yang mungkin "teruja" dengan pencapaian ilmunya atau anugerah kesarjanaannya. Soalnya, apakah hujah dari pihak kita sahaja menepati ciri-ciri ilmiah sedang hujjah dari pihak lain dinilai picisan biarpun sarat dengan hujjah dan dalil?

Saya suka membawa pendekatan para sarjana agung dalam sejarah peradaban Islam. Ternyata mereka sangat tinggi disiplin dalam menangani khilaf dalam apa jua isu, terutama dalam isu-isu yang tidak menjejaskan akidah.

Ilmu dan tawaduk (merendah diri) menjadi asas disiplin tersebut di samping mereka mengetengahkan adab-adab ikhtilaf yang cukup wibawa dan berkualiti.

Lihat sahaja bagaimana imam-imam mazhab mengendalikan khilaf dalam kalangan mereka. Biarpun mereka menafikan sekeras-kerasnya hujah pihak lain, tidak sedikit pun mencalarkan penghormatannya terhadap orang yang mereka kritik apatah lagi meremehkan hujjah pihak lain. Imam Ahmad bin Hanbal pernah berkata terhadap imam As-Syafii, “Beliau (Imam As-Syafii) adalah manusia yang paling faqih (paling faham) tentang Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya.” (Lihat : Tarikh at-Tasyri’ al-Islami. hlmn:312.)

Imam Ahmad bin Hanbal juga ada menyebut dalam rujukan yang sama, “Aku tidak mengetahui nasikh hadis daripada mansukhnya melainkan aku duduk bersama As-Syafii.”

Walapun masing-masing membentuk mazhab, mereka berkhilaf di atas pentas ilmu yang dihiasi dengan keikhlasan dan ketakwaan bukan semangat menegakkan benang basah dan bersikap prejudis terhadap pihak lain.

Wajarnya disiplin mereka dalam menangani medan perbahasan dan penghujahan ini diterima pakai dalam setiap pertikaian antara kita dewasa kini.

Saya akur, bahawa khilaf tidak mungkin boleh dihapuskan. Terlalu banyak punca dan sebab yang menghela ke arah khilaf. Perbezaan latar belakang menuntut ilmu sudah cukup meletakkan para ilmuwan ini berkhilaf antara mereka. Tahap pencapaian ilmu, perbezaan manhaj dan method, jurang usia, perbedaan zuruf (suasana), perbedaan kefahaman dan (maslahah) kepentingan turut menjadi penyumbang penting berlakunya khilaf.

Kita tidak perlu sempit dada dan sesak nafas dengan fenomena ini. Ia sihat, malah terlalu sihat andainya para ilmuwan Islam ini dapat menanganinya dengan disiplin khilaf yang tinggi dan baik.

http://www.tarbawi.my

Sunday, April 28, 2013

Pemimpin adil diberi penghormatan di akhirat


Baik buruk balasan bergantung pelaksanaan amanah diberi rakyat tanggungjawab

Agama Islam sangat menitikberatkan mengenai pemilihan pemimpin yang bertanggungjawab dan berwibawa kerana setiap pemimpin berserta rakyatnya akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Jika baik pemimpin maka baiklah rakyatnya, begitulah jika berlaku sebaliknya.


Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT: “Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat.” (Surah An-Nisa, ayat 58) 

Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat.” Surah An-Nisa, ayat 58

Tugas pemimpin negara amat berat kerana perlu memelihara mandat yang telah diberikan rakyat. Oleh itu, Allah SWT memberi penghormatan besar kepada pemimpin yang adil dengan meletakkan mereka sebagai golongan pertama daripada tujuh golongan mendapat naungan Arash di Padang Mahsyar di akhirat kelak. 

Mereka juga diberikan kemuliaan iaitu diperkenankan doa mereka tanpa hijab seperti diriwayatkan Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda: “Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka iaitu doa seorang yang berpuasa hingga dia berbuka, doa pemimpin yang adil dan doa orang dizalimi.”

Makbul doa orang dizalimi

Dikisahkan, ketika Amru bin Al-As menjadi gabenor Mesir, berlaku kemarau yang menyebabkan Sungai Nil menjadi kering. Oleh itu, masyarakat Qibti memohon untuk menjalankan tradisi nenek moyang mereka iaitu upacara korban anak dara cantik supaya penunggu tidak murka kepada mereka. 
Amru bin Al-As menolak permohonan mereka dan memaklumkan mengenai hal ini kepada Khalifah Umar bin Al-Khattab. Khalifah Umar memuji dan menyokong tindakan Amru serta mengirimkan sepucuk surat lain yang meminta beliau mencampakkan surat itu ke dalam Sungai Nil.

Beliau mendapati surat itu beralamat untuk Sungai Nil manakala isi kandungannya ialah: “Daripada hamba Allah, Amirul Mukminin kepada Nil Mesir. Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah, jika engkau mengalir kerana kehendakmu semata-mata, maka janganlah engkau mengalir lagi, tetapi jika Allah SWT yang mengalirkanmu maka kami memohon kepada Allah supaya mengalirkan kamu semula,” 

Doa Saidina Umar itu telah dimakbulkan Allah SWT. Sungai Nil menjadi lebih luas dan mengalirkan air yang tidak pernah kering sehinggalah hari ini.

Kisah kedua ialah mengenai saha-bat Nabi Muhammad SAW iaitu Saad bin Abi Waqas yang didoakan Rasulullah SAW untuk dikabulkan doanya. Setiap kali beliau berdoa, Allah SWT selalu memakbulkan doanya. 

Ketika Saad bin Abi Waqas menjadi gabenor di Iraq, beliau telah difitnah oleh seseorang yang menyatakan beliau tidak pandai dalam solat dan menyatakan dirinya tidak melaksanakan hukum.

Doa Said dimakbulkan 

Terkesan dengan fitnah itu, maka dia pun mendoakan orang berkenaan iaitu, “Ya Allah, panjangkanlah umurnya, panjangkanlah kemiskinannya dan hadapkanlah dia ke dalam pelbagai fitnah.” 

Doa Said dimakbulkan Allah SWT. Akhirnya, beberapa tahun kemudian, orang itu berdiri di jalan-jalan Kota Kufah, dia meminta-minta kepada orang ramai dan menyentuh kanak-kanak perempuan dan mengekori mereka sambil berkata “Aku orang tua yang mendapat musibah kerana doa Saad.” 

Melalui dua kisah itu, terbuktilah bahawa Allah SWT tidak akan menolak doa pemimpin yang adil.

Pemimpin mestilah memiliki sifat mahmudah seperti beramanah dan adil supaya doa mereka dimakbulkan demi kesejahteraan semua yang berada di bawah tanggungjawabnya.

Supaya mereka tidak termasuk dalam golongan pemimpin yang khianat seperti sabda Baginda Rasulullah SAW daripada Ma’qil bin Yasar: “Sesiapa yang ditaklifkan (diamanahkan) oleh Allah untuk memimpin rakyatnya lalu mati dalam keadaan menipu rakyat, nescaya Allah mengharamkan ke atasnya (pemimpin) syurga.” (Riwayat Muslim) 

Sesungguhnya, tanggungjawab sebagai pemimpin amatlah berat. Oleh itu, jika ia dijalankan dengan sebaiknya, amat besarlah ganjaran yang akan diterima tetapi jika amanah itu tidak dilaksanakan, maka amat buruklah balasannya.

Saturday, April 27, 2013

Fanatik, akhlak buruk punca ummah retak


Sebahagian petanda yang menunjukkan keperibadian buruk dan bersikap fanatik (semoga Allah SWT melindungi kita) ialah seseorang itu akan menjauhi saudara Islamnya hanya semata-mata mereka berselisih pendapat dalam sesuatu perkara sama ada urusan agama, kehidupan atau politik.

Sehubungan itu, seseorang akan menegah orang lain daripada duduk bersama mereka yang dianggap musuhnya atau melarang daripada menziarahi musuhnya itu. 
Perbuatan ini adalah salah satu contoh fanatisme dan menunjukkan ‘kebankrapan ilmu’ bagi orang yang melakukannya kerana perbuatan sebegini hanya dilakukan kumpulan manusia yang tidak mampu berdepan secara berhujah dengan seseorang. 

Firman Allah SWT: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu juga yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (Surah al-Nahl, ayat 125)

Kaedah perbincangan ilmiah secara berhujah sebenarnya jauh daripada unsur fanatik dan bersikap keras kepala. Ketahuilah bahawa duduk berbincang bersama pengamal ajaran sesat atau seseorang yang dituduh bersalah dengan mengemukakan hujah bernas adalah jalan rintis nabi-nabi.

Nabi-nabi diperintah oleh Allah SWT untuk berhujah dengan sesiapa saja seperti firmanNya: “Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: Tidak sekali-kali akan masuk syurga melainkan orang yang beragama Yahudi atau Nasrani. Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka saja. Katakanlah (Wahai Muhammad): Bawalah ke mari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang yang benar.” (Surah al-Baqarah, ayat 111)

Hikmat kebijaksanaan

Firman-Nya lagi: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu juga yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (Surah al-Nahl, ayat 125) 
Berdasarkan dalil di atas jelaslah kepada kita bahawa cara berdakwah dengan menjauhi orang yang melakukan kesalahan, golongan sesat dan melakukan perbuatan bidaah adalah satu tindakan yang negatif. Bahkan ia jauh sekali daripada apa yang dicontohi Rasulullah SAW. 

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak halal bagi seseorang Muslim menjauhkan diri daripada saudaranya lebih dari tiga hari tiga malam. Kedua mereka apabila bertemu saling mendedahkan keaiban antara satu sama lain. Dan orang yang paling baik antara keduanya ialah orang yang mula-mula sekali memberi salam apabila mereka bertemu.”

Hadis ini jelas membuktikan bahawa al-Hijr iaitu ‘menjauhkan diri’ hanya dapat mengelakkan perjumpaan bagi mengadakan perbahasan, perbandingan hujah dan perbincangan yang mana semua ini dapat disempurnakan melalui hujah bernas lagi mencukupi dengan dalil konkrit. 

Suasana kehangatan Pilihan Raya Umum Ke-13, kelihatan ramai kalangan umat Islam gagal menunjukkan budi pekerti mulia. Kata-kata yang benar dianggap palsu, kejahatan bertukar menjadi kebaikan, kebenaran dipersendakan, fitnah berleluasa, agama menjadi barang mainan serta ulama menjadi sasaran.

Sedarlah bahawa setiap gerak geri kita diperhatikan oleh Allah SWT. Kita semua diberi balasan terhadap apa yang kita lakukan. Walaupun kita teruja mengharungi pilihan raya tetapi insaflah bahawa Allah SWT amat berkuasa memilih nyawa kita untuk kembali kepada-Nya.

Maka marilah kita memohon kepada Allah SWT supaya Dia memperelokkan akhlak kita semua seperti Nabi SAW. Semoga Allah memelihara lidah daripada menuturkan kata-kata keji dan memelihara diri daripada perbuatan yang hina.

sumber: Berita Harian

Tuesday, April 23, 2013

Kisah TITANIC Dalam Surah Yasin?


Ucaplah ''Subhanallah..''.Siapa yang tidak tahu tentang kisah tragik kapal RMS Titanic tenggelam di tengah laut Atlantik Utara tahun 1912.Ramai sedia maklum bahawa kapal gergasi yang paling mewah ketika itu tenggelam kerana melanggar bongkah ais gergasi.Dengan sedikit sahaja kebocoran,kapal Titanic yang dibina dalam masa 3 tahun itu tenggelam dalam masa 3 jam sahaja.

Tetapi para sarjana dan ilmuwan Islam terkemuka dunia yang mengkaji sejarah kapal itu menemui hasilnya yang amat mengejutkan.Baca balik Surah Yaasin ayat ke 41 hingga ayat ke 44,AllahuAkhabar!!:

لَا الشَّمْسُ يَنبَغِي لَهَا أَن تُدْرِكَ الْقَمَرَ وَلَا اللَّيْلُ سَابِقُ النَّهَارِ وَكُلٌّ فِي فَلَكٍ يَسْبَحُونَ
41. Dan suatu tanda (kebesaran Allah yang besar) bagi mereka adalah bahwa Kami angkut keturunan mereka dalam bahtera yang penuh muatan.
وَآيَةٌ لَّهُمْ أَنَّا حَمَلْنَا ذُرِّيَّتَهُمْ فِي الْفُلْكِ الْمَشْحُونِ
42. dan Kami ciptakan untuk mereka yang akan mereka kendarai seperti bahtera itu [1269]. [1269] Maksudnya : binatang-binatang tunggangan, dan alat-alat pengangkutan umumnya.
وَخَلَقْنَا لَهُم مِّن مِّثْلِهِ مَا يَرْكَبُونَ
43. Dan jika Kami menghendaki niscaya Kami tenggelamkan mereka, maka tiadalah bagi mereka penolong dan tidak pula mereka diselamatkan.
وَإِن نَّشَأْ نُغْرِقْهُمْ فَلَا صَرِيخَ لَهُمْ وَلَا هُمْ يُنقَذُونَ
44. Tetapi (Kami selamatkan mereka) karena rahmat yang besar dari Kami dan untuk memberikan kesenangan hidup sampai kepada suatu ketika.

Dan mereka turut menyatakan bahawa maksud dari potongan itu bahawa berdasarkan kenyataan bongkak kapten kapal Titanic iaitu Kapten Edward J.Smith
''Tuhan sendiri tidak dapat menenggelamkan kapal ini.Dengan pengalaman lebih 40 tahun,tidak ada satu pelayaran di bawah sayapun yang pernah gagal saya kendalikan walau dalam apa jua keadaan laut yang menggila..''.Kenyataan beliau itu cukup menunjukkan mereka telah lupa ada kuasa yang jauh lebih hebat iaitu Tuhan.''Hasil'' dari kenyataan bongkak itu,Tuhan mentakdirkan kapal itu belayar hanya 3 hari saja dan lautan Atlantik Utara menjadi perkuburan besar bagi hampir 1500 orang ''mangsa'' Titanic.Subhanallah..:)


sumber: Facebok/king jason

Monday, April 22, 2013

Jadilah Pemuda Kebanggaan Rasulullah S.A.W- Ustaz Nasrudin bin Hasan Tantawi



Para pemuda ibarat ruh dalam setiap tubuh komuniti ataupun kelompok; baik ia dalam skop kecil ataupun luas seperti negara. Mereka merupakan jentera penggerak kemajuan sebuah negera. Sebagai generasi penerus, kaum muda selalu dituntut untuk meningkatkan kualiti di pelbagai dimensi kehidupan. Nabi Muhammad S.A.W pernah bersabda (mafhumnya), "Aku didokong oleh para pemuda sementara Aku sering dicanggah oleh orang-orang tua." - Riwayat Bukhari

Ungkapan Baginda S.A.W jelas mengiktiraf fungsi pemuda dalam mendokong perjuangan yang diasaskan oleh Baginda S.A.W. Pemuda yang dimaksudkan pastinya pemuda yang beriman, bertaqwa dan berjihad untuk menegakkan syariat dan meninggikan syiar agama Allah Taala. Pemuda yang mewaqafkan diri dan bersedia untuk mengorbankan segala kepentingan diri dan duniawi demi memastikan syariat dan sunnah berjaya didaulatkan di atas tanahair ini khasnya dan di atas muka bumi ini amnya.

Pemuda yang berjiwa besar, mampu dan sanggup menggalas beban amanah pula mendepani mehnah guna melunaskan tanggungjawab dakwah dan tarbiyah. Pemuda yang memiliki aqidah yang benar, fikrah yang jelas dan menghiaskan diri dengan akhlak Islami yang indah.

Pemuda yang tentu tidak pernah mengaku kalah dengan segala ancaman atau tahaddiyat yang digerakkan oleh musuh untuk menghalang hasrat dan perjuangan murni mendaulatkan syariat dan sunnah.

Inilah pemuda harapan dan sandaran ummah bagi mengembalikan semula kegemilangan agama suci ini setelah sekian lama ia diinjak oleh musuh dan lebih malang ianya kini dipersiakan oleh penganutnya sendiri.

Inilah pemuda kebanggaan Rasulullah S.A.W yang berani mencagarkan kebebasan hidup semata-mata ingin mengabadikan diri kepada perjuangan suci memartabatkan kembali izzah ummah setelah sekian lama ianya tercalar angkara kejahilan dan kebejatan.

Ringkasnya, pemuda seperti inilah yang diperlukan oleh PAS untuk memacu perjuangan di bumi bertuah ini agar Islam kembali bertapak dan cahaya keadilannya kembali menerangi ummah setelah berlalu tempoh kegelapan yang panjang menyelubungi kehidupan ummah.

Pemuda PAS sewajarnya menjadi duta penyelamat dan kasih sayang, membebaskan insan yang derita di sangkar jahiliyah. Biarpun diri terkorban justeru itulah sunnatullah bagi mujahid yang mendokong cita-cita besar perjuangan Islam.

Pemuda yang tidak mengenal istilah kalah melainkan menang atau syahid. Menang mendaulatkan syariat Allah Taala atau menang mengatasi desakan nafsu yang memujuk agar meninggalkan perjuangan. Jika tidak, syahid di medan jihad fi sabilillah menjadi impian yang ingin dicapai.

Pemuda PAS sekali lagi ditegaskan, mestilah mempunyai keupayaan malah kesungguhan untuk mendalami urusan agama agar tahu dan faham berkait dengan "produk" (Islam) yang ingin di"pasar" (dakwah) kepada masyarakat.

Semangat semata-mata, jelas tidak memadai untuk memimpin perubahan dan membimbing kesedaran masyarakat hari ini yang rata-ratanya inginkan perubahan kepada keadaan yang lebih baik setelah lama terperangkap dalam kebodohan sistem yang mengasingkan dunia dan akhirat.

Era yang kita hadapi hari ini memerlukan kita selangkah lebih jauh ke depan berbanding kelicikan musuh yang tidak pernah rehat mengatur strategi dan konspirasi untuk memadam cahaya hidayah Allah Taala. Malah kita mestilah selangkah lebih cepat bertindak berbanding musuh yang pintar dan menguasai pelbagai sarana penerangan bagi mengelirukan minda masyarakat.

Kesimpulannya, pemuda mestilah senantiasa dalam keadaan bersiap siaga. Bersedia bila diperlukan, hadir bila dipanggil, bertindak bila diarah dan responsif terhadap situasi sekeliling terutama berhubung dengan keperluan parti (jamaah) dan tuntutan ummah tanpa lengah dan alasan yang tidak wajar dan layak.


Biodata Penulis

Ustaz Nasrudin bin Hasan Tantawi merupakan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM). Beliau pernah mendapat pendidikan di Maahad Fathul Islami Damascus, Syria dan Universiti Al Azhar, Tanta, Mesir. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia. Antara tokoh ulama yang beliau kagumi adalah Syeikh Dr.Yusuf Al Qaradawi dan Syeikh Muhammad Al Ghazali.

Get the lowest PRICE booking by ONLINE

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...