nuffnang adv

lazada adv

Thursday, March 26, 2020

Mengenali FREEMASON

Penempatan Illuminati atau Freemason Sebenarnya Telah Lama ...

KERAHSIAAN FREEMASON

Freemason yang dikaitkan sebagai The Secret Society (Organisasi Rahsia) menyangkal pandangan itu kerana mereka menonjolkan banyak simbol dan pengenalan yang sudah diketahui umum.Malahan pemakaian cincin, klip baju, pembinaan bangunan, kuil, monumen atau wang kertas 1 dollar Amerika Syarikat yang terang-terangan menggunakan nama, simbol dan ahli mereka sendiri mengaku sebagai seorang Mason membuatkan mereka sebuah organisasi yang bukan lagi rahsia.

Dalam temubual dokumentari "Hunting The Lost Symbol" yang cuba membantah beberapa dakwaan salah Dan Brown dalam novel beliau, "The Lost Symbol" mengenai Freemason, Mark Koltko-Rivera seorang Master Mason menyebut,

"Di era abad ke-21 ini, menepati ikrar adalah suatu yang istimewa. Kita sering diperlihatkan dengan realiti bahawa suatu kejayaan dicapai dengan cara tidak menepati ikrar dan menikam di belakang kawan, serta tidak taat pada jemaah.Tapi itu langsung tak membantu memajukan masyarakat, tidak membina tamadun. Jadi, salah satu tujuan Kerahsiaan Mason adalah melatih seseorang menepati ikrarnya walau sekecil-kecil perkara hingga akan membentuk sikap menepati ikrar pada perkara yang besar."

Kerahsiaan memang wujud dalam Freemason,mana-mana Mason pun mengakuinya sebab itu mereka lebih selesa disebut Organisasi Berrahsia (The Society with Secret). Namun perkara ini bukan asing bagi mana-mana gerakan di dunia. Dalam banyak gerakan Islam juga antara disiplin yang sering ditekankan adalah menjaga Sirr Jemaah (Kerahsiaan Organisasi). Malah, kerahsiaan organisasi ini pernah disebut oleh Ustaz Hasrizal (saifulislam.com) dalam tulisannya sebagai hasil pelajaran dari dakwah pertama Rasullah s.a.w,
"Apabila manusia yang fitrah perlu kepada Jamaah untuk merealisasikan keperluan dan tujuan hidupnya, maka mereka perlu kepada disiplin dan adab berjamaah. Soal komitmen (intima’), disiplin bekerja, dan kerahsiaan organisasi (sirr), adalah hasil pelajaran ahli gerakan Islam daripada dakwah pertama oleh Rasulullah SAW. Ia bukan idea-idea budak kampus."(Jemaah Itu Keperluan, Ummah Itu Tujuan-Abu Saif 1 Mei 2006)
Kerahsiaan ini yang menjadi punca banyak teori-teori konspirasi dihamburkan pada mana-mana gerakan yang mencurigakan di dunia atau yang mudah dipandang serong kerana tidak punya cukup maklumat mengenai organisasi itu, terutamanya yang ada cita-cita untuk melebarkan pengaruh ke seluruh dunia seperti Freemason dan Zionis, atau Al Qaeda dan Hizbut Tahrir, mahupun mana-mana negara yang dipercayai punya cita-cita terselindung seperti Amerika Syarikat atau Iran. Di Malaysia juga, parti-parti politik seperti UMNO atau PKR juga sering dihambat dengan pelbagai teori-teori konspirasi politik. Manusia terpaksa mencipta teori untuk dipercaya kerana ada banyak persoalan yang tidak dijawab, yang menghilangkan kepercayaan awam.

MUSLIM MENJADI FREEMASON

Wujudkah orang Islam yang menjadi ahli Freemason? Ya, memang wujud. Asasnya Freemason tidak mendoktrinkan apa-apa akidah khusus pada ahli barunya, cuma cukup dengan beberapa syarat seperti berikut membolehkan seseorang diterima menjadi ahli biasa Freemason:

1. Datang dengan sukarela
2. Yakin pada Yang Maha Berkuasa (Supreme Being yang terbuka kepada tafsiran calon tersebut)
3. Berumur antara 18 hingga 25 tahun (kadang kala anak kepada seorang Mason yang digelar Lewis boleh menjadi ahli kurang dari umur 18 tahun)
4. Mempunyai moral dan reputasi yang baik
5. Sempurna mental dan fizikal (di masa lalu ada Lodge yang tak menerima ahli cacat, tapi kini jika kecacatan tidak menjejaskan reputasi maka tetap diterima)
6. Seorang yang merdeka (sebahagian Freemason telah mansuh syarat ini berikutan sudah tidak ada sistem hamba di dunia moden)
7.Mempunyai seorang atau dua ahli senior Mason sebagai rujukan.

*Lodge adalah kelompok-kelompok kecil yang merupakan cabang atau markaz Freemason suatu tempat. Mereka bergerak atas diri sendiri selagi mempunyai pengiktirafan dari Lodge atau Grand Lodge Freemason yang lain, berikutan Freemason tidak ada organisasi induk sedunia yang mengawal.


Dalam laman Islamonline.net terdapat seorang Mason yang beragama Islam bertanyakan soalan mengenai hukum statusnya sebagai ahli Freemason.
"Assalamualaikum.

Walaupun saya pernah mendengar dan membaca orang Islam tidak patut menyertai Freemason, tapi saya ingin bertanya apa akan jadi jika kita menyertainya. Saya menjadi ahli Freemason 6 tahun lepas. Amalan agama saya tidak terjejas, begitu juga tidak pernah saya mengamalkan apa-apa khurafat. Apa yang diajar cuma menguatkan lagi akhlak dan moral yang sudah diajar dalam Islam.

Adakah saya bersalah menjadi ahli organisasi ini? Jika salah, tolong beritahu saya sebabnya. Jawapan anda amat dihargai oleh ramai muslim yang keliru sama ada wajar atau tidak mengikut saya menjadi ahli Freemason. Terima kasih."(Sharara)

Dalam jawapan kepada soalan di atas, para ulama Islamonline.net telah memetik jawapan Sheikh Ahmad Kutty, seorang ulama dari Islamic Institute Toronto Canada yang menyebut,

"Sepanjang apa yang saya tahu Freemason adalah organisasi rahsia yang merahsiakan segala kepercayaan dan amalan mereka, kecuali kepada yang benar-benar menjadi sebahagian dari mereka.Mereka mempunyai kerahsiaan mengikut peringkat, pada ahli yang berada di peringkat lebih bawah tidak akan didedahkan.Umat Islam tidak wajar terjerat atau memberikan ketaatan pada suatu yang tidak dapat dipastikan dari ajaran Al Quran dan Sunnah.Sesiapa yang menyertai Freemason seumpama orang yang menandatangani cek kosong; dengan berbuat begitu dia bersetuju untuk taat secara buta pada apa sahaja cita-cita pihak tersebut.

Tiada seorang muslim pun patut menyerah diri bulat-bulat pada sesiapa kecuali Allah s.w.t. Jika buat begitu, dia sudahpun syirik kepada Allah, yang mana Allah berfirman, "Apakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan Allah? Sekiranya tak ada ketetapan yang menentukan (dari Allah) tentulah mereka telah dibinasakan. Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan memperoleh azab yang amat pedih."(As-Shuraa:21)"


Dalam senarai ahli Freemason di wikipedia.org, ada beberapa nama tokoh di kalangan umat Islam yang tersenarai sebagai ahli Freemason.Antaranya adalah Sheikh Abdul Qadir Aljazairi, ulama sufi Algeria yang menentang penjajahan Perancis pada abad ke 19;Mustafa Kamal Attartuk, pemimpin yang menubuhkan negara sekular Turki dan menjatuhkan Khilafah Uthmaniyyah;dan Mehmet Talat Pasha tokoh gerakan Turki Muda dan Menteri dalam kerajaan Uthmaniyyah sejak sebelum Perang Dunia Kedua.

Begitu juga beberapa orang Sultan di Malaysia disenaraikan sebagai ahli Mason adalah Sultan Ibrahim dan Sultan Idris ibni Sultan Iskandar, dan nama yang lain adalah Tunku Abdul Malik Ibni Sultan Badlishah dan Ghaz'zara Shazrul Al-Mahdi.

tambahan admin

underyourskin said...
Sultan Ibrahim Keluar dari Freemason tahun 1923 kalau tak silap... dia perintah anak2nya dan semua pegawai kerajaan negeri JOhor untuk keluar juga. Akibat dari perintah itu keanggotaan FM di Johor merosot drastik hanya tinggal 45 orang. Hanya SUltan Idris dari Perak yang yang kekal ahli FM. Manakala Tunku Abdul Malik Ibni Sultan Badlishah juga keluar dari FM pada tahun 1979 selepas Perdana Menteri Malaysia Tun Hussein Onn umumkan di parlimen FM adalah haram untuk muslim. Maaf terpaksa beritahu fakta seluruhnya untuk elak terjadinya fitnah.


FREEMASON SEBAGAI GERAKAN SYAITAN DAN DAJJAL

Sejak populariti siri The Arrivals menggegarkan dunia youtube.com, Ibnuyaacob.com juga mendapat tempiasnya kerana berbicara soal teori konspirasi Dajjal. Walaupun perihal akhir zaman, Dajjal dan Imam Mahdi mula kembali popular dan meniti kembali bibir-bibir penceramah-penceramah atau diskusi di forum-forum maya mahupun realiti, namun dakwaan teori-teori konspirasi ala-ala The Arrivals atau Dan Brown yang mengaitkan Freemason sebagai "Dajjal bermata satu" yang dikhabarkan di dalam hadis perlu difikirkan semula.

Dr. Asri Zainul Abidin,bekas Mufti Perlis pernah menyindir dakwaan penceramah akan Dajjal itu adalah Freemason (simbol mata satu) atau Amerika dengan berkata,

"Semua hadis-hadis Dajjal menunjukkan bahawasanya dakwaan orang kata Dajjal itu sebenarnya itu Amerika sekaranglah- mata satu.Semua ini menunjukkan mereka ini tak membaca hadis.Kalau Dajjal itu suatu simbolik, Nabi tak pergi tengok Ibnu Shayyad (untuk pastikan dia Dajjal atau tidak).Ini semuanya menunjukkan Dajjal adalah orang (seorang manusia).Makhluk. Hadis Tamim adDari itu menunjukkan hadis Dajjal adalah makhluk.Kadang-kadang orang ini seronok simbolik.Amerika itu nampak sebelah (mata), itulah Dajjal.Dia rasa dia pandai. Hang tak pandai secara banding dengan apa yang ada dalam hadis,salah sebutan hang tu."

Begitu juga tokoh ulama manhaj salafi Amerika yang tidak kurang popular,Dr Bilal Philips menyebut,

"Menurut Nabi s.a.w, Dajjal itu mirip Abdul Uzza Ibn Qathan dari Bani Mustolaq di Khuza'ah, yang meninggal pada era awal Islam.Jadi Dajjal digambarkan berupa manusia yang khusus, serupa manusia yang pernah dikenali. Maka kita menolak tafsiran lain seperti kononnya Dajjal itu adalah televisyen. Menurut beberapa orang, sebab Dajjal hanya ada satu mata maka samalah televisyen itu serupa mata besar yang melihat kita. Jadi dikatakan Dajjal itu televisyen. Atau ada yang berpendapat, Dajjal adalah Tamadun Barat. Atas sebab, apabila dikatakan Dajjal itu buta sebelah mata, yang buta itu mata rohaninya, maka samalah seperti unsur materialistik. Jadi ia adalah tamadun materialistik barat. Banyak lagi pendapat tentang apa itu Dajjal, tetapi jelas gambaran yang diberi oleh Nabi s.a.w kepada kita, bahawa Dajjal adalah seorang manusia."
Ada tulisan yang tersebar di alam maya di kalangan pelayar muda Malaysia, yang ditulis oleh Maulana Muhammad Ali bertajuk "Dajjal Dan Ya'juj Wa Ma'juj". Walaupun apa yang tersirat ingin dinyatakan dalam tulisan penuh Maulana Muhammad Ali itu terlihat usaha promosi kehebatan Mirza Ghulam Ahmad menafsir siapakah Dajjal dan Ya'juj Wa Ma'juj menerusi maksud-maksud tersirat dalam hadis dan ayat Quran, namun hujah mengatakan Dajjal dan Ya'juj Ma'juj kedua-duanya merujuk kepada bangsa Eropah dan penganut Kristian yang ada kini cukup popular dan mudah dipercayai sesetengah orang, walaupun hujah itu dari gerakan Ahmadiyyah atau Qadiani yang difatwa sesat dan menyeleweng dari ajaran Islam.

Tidak hairan, buku sebegini mudah tersebar dan kurang dipantau oleh pihak berkuasa Malaysia, kerana kurangnya pengetahuan umum berkenaan idealisme atau motif hujah individu yang berasal dari satu-satu gerakan haram.Namun, hujah popular Ahmadiyyah mengenai Dajjal dan Ya'juj Ma'juj sebagai bangsa Eropah mirip dengan apa yang telah diangkat oleh sebahagian pencipta teori konspirasi mengenai Freemason itu adalah Antichrist atau Dajjal.Bukankah Amerika itu ditubuh oleh beberapa tokoh Mason yang asalnya dari Eropah sebagai The Founding Fathers?

Malah faktor penguasaan ekonomi dan politik dunia oleh Amerika sebagai kuasa dunia tunggal, ditambah dasar-dasar unilateral ketika melancarkan pencerobohan di negara orang dan kekejaman yang dilakukan tentera mereka, menambahkan lagi keyakinan umum untuk melabelkan Amerika sebagai Dajjal yang dikhabarkan akan muncul dalam hadis-hadis Nabi.

Bagaimanapun Ustaz Azhar Idrus membantah pendapat bahawa Dajjal dan Ya'juj Ma'juj itu sama.Beliau menyebut,

"Ya'juj Ma'juj dengan Dajjal (sama)? Lain-lain (berbeza).Dajjal ini maknanya orang yang akan menyesatkan akan manusia sesesat-sesatnya melainkan orang yang selamat daripada (kerana) pemeliharaan Allah. Allah jaga dia.Ya'juj Ma'juj lain. Ya'juj Ma'juj ini membuat kerosakan.Buat punah.Benda yang buat punah-Ya'juj Ma'juj.Ia makan belaka.Lintas pua' (makan) lintas pua'(makan).Lintas lembu, baham lembu. Lintas orang, ratah orang."

Bagi Ibnuyaacob.com, Freemason tak mungkin adalah Dajjal seperti dakwaan siri The Arrivals.Ibnuyaacob berpendapat dengan yakin, sesuai dengan apa yang dipegang oleh Dr Asri, Dr Bilal Philips, Ustaz Azhar bahawa segala dalil dari hadis menunjukkan Dajjal adalah seorang manusia. Namun, berbeza buat Ibnuyaacob adalah beliau percaya Dajjal adalah Raja Konspirasi Dunia, bermaksud seorang manusia yang telah cuba mengatur perjalanan dunia demi cita-citanya. Malah Ibnuyaacob berpendapat Dajjal berumur panjang; sudah muncul dan hidup sehingga kini; sejak pertemuan Tamim adDari dengan Rasulullah s.a.w lagi telah menjalankan konspirasi dunia sepanjang sejarah manusia.Namun, kelihatan dari artikelnya, beliau bersetuju Freemason adalah alat Dajjal untuk mengatur konspirasi dunia.

Lain pula bagi Saudara Ahmad Nizam.Dalam satu tulisan beliau, beliau menulis Freemason sebagai pasukan Dajjal. 'Mata Satu' dalam simbol Freemason sebagai "The all seeing eye" yang didakwa sebagai mata Tuhan oleh mereka, didakwa oleh Saudara Nizam sebagai Mata Dajjal. Ertinya kita fahami Saudara Nizam menganggap Freemason menyembah Dajjal dan itu persis dengan gelaran beliau kepada Freemason sebagai pasukan Dajjal. Namun beliau menulis juga Freemason berasal dari The Knights Templar, dan The Knights Templar pula menyembah Baphomet,tuhan berkepala kambing yang menghasilkan simbol pentagram syaitan yang selalu dikaitkan dengan gerakan pemujaan syaitan.

Dalam tulisan beliau berkenaan Illuminati pula, beliau menggunakan "Illuminati/Dajjal" seolah-olah mendakwa Illuminati itu adalah Dajjal. Namun kemudiannya beliau menulis , "Illuminati adalah pemuja-pemuja kepada dewa-dewi lama". Di sini kelihatan jelas, golongan pengkaji 'dajjal' atau 'freemason' mahupun 'illuminati' tidak begitu tegas dengan pendirian mereka. Siapa Dajjal pada pendirian mereka, Dajjal adalah golongan Mason, atau Dajjal adalah tuhan yang disembah Mason, atau Dajjal itu adalah Baphomet berkepala kambing, atau Dajjal adalah Illuminati, atau Dajjal itu dewa-dewi lama yang dipuja Illuminati?

Sebenarnya, siapakah yang mula-mula mengaitkan Freemason dengan gerakan syaitan dan Dajjal ini? Persoalan itu boleh dijawab apabila kita lihat senarai ahli-ahli Freemason majoritinya dari penganut Kristian atau umat Kristian yang memberontak atas dogma Kristianiti yang tak dipersetujui mereka.Gereja Katolik dan Protestan, kedua-duanyalah yang mula-mula bermusuh dengan Freemason. Malah, mereka pernah mengeluarkan fatwa-fatwa keras ke atas ahli-ahli Freemason sejak sebelum abad ke 16 lagi dan menghalang pengikut gereja mereka dari menyertai organisasi itu.Fakta hubungan konflik panjang antara Kristian dan Freemason adalah suatu yang tak dapat disangkal.

Bagaimana konflik ini boleh merebak di tengah umat Islam pula? Jika diperhatikan kebanyakan hujah-hujah mengaitkan Freemason dengan gerakan syaitan dan dajjal banyak dipinjam dari sumber pejuang Kristian yang anti-Freemason.Freemason yang asalnya didakwa ditubuhkan untuk menentang dogma dan ajaran Gereja, kini didakwa pula ditubuh untuk memusnah dan menyesatkan umat Islam. Adakah adaptasi ini tepat, atau hanya kesempatan yang diambil untuk propaganda dan publisiti?

ORDE BARU DUNIA FREEMASON

Cita-cita melebarkan pengaruh dan penguasaan ke atas dunia bukan cerita baru di abad ke-21 ini. Cita-cita itu telah lama dicanang oleh para penakluk ternama dunia seperti di zaman empayar Rom (Alexander the great) dan Parsi (Cyrus the great), peluasan Empayar Islam (Khalifah Umar, Bani Umayyah, Abbasiyah, Uthmaniyyah) , ketika dasar Imperialisme Eropah (British,Perancis,Portugis, Belanda), atau ketika Perang Dunia 1 dan 2.

Menguasai dunia boleh dikatakan impian kemuncak banyak pemimpin politik yang rakus dan tamak. Cita-cita Freemason untuk mewujudkan Orde Baru Dunia (The New World Order) bukanlah cita-cita yang mengejutkan. Malah kemuncak usaha dakwah Islam juga adalah supaya Islam diterima oleh seluruh manusia, dan semua penguasa tunduk di bawah naungan Islam atau Khilafah Islamiyyah.

Sebelum mencungkil cita-cita Orde Baru Freemason itu, terlebih dahulu pastinya kita tertanya-tanya dengan nama 'Mason' itu sendiri.Pengumpulan fakta di wikipedia.org dapat membantu dalam memahami sejarah Mason atau Freemason dengan lebih tersusun.

Pertama, dapat disimpulkan sejarah sebenar Freemason tidak dapat disahihkan. Apa yang tinggal cuma teori semata-mata. Antara teori nama "Freemason" diambil dari:

1. Perkataan Perancis, Franc Macon - gelaran yang diberikan kepada pekerja binaan dan ukiran di Lodge yang disediakan oleh Gereja.
2.Perkataan Perancis, Frere Macon-bermaksud Mason bersaudara
3.Perkataan Free Men- bermaksud lelaki merdeka
4.Perkataan Freestone-sejenis kuari batu yang menjadi lokasi kerja Mason. Akhirnya dipanggil Freestone Mason.


Kedua, sejarah siapakah Freemason sebenar juga tak dapat disahihkan. Sekali lagi, beberapa teori diberikan:

1.Mereka adalah pentadbir bagi Priory of Sion.
2.Mereka adalah kelompok intelektual di Collegium bagi Rom purba.
3.Mereka adalah kelompok intelektual Comicini di kalangan pekerja binaan zaman pertengahan.
4.Mereka asalnya pengukir binaan dari Jerman yang digelar Steinmetz atau dari Perancis yang digelar Compagnonnage.
5.Mereka ditubuhkan oleh Francis BaconOliver Cromwell, atau Stuart Pretenders untuk keluarga diraja Inggeris.
6. Mereka adalah berasal dari pekerja arkitek Sir Christopher Wren dan pembinaan semula Gereja St Paul.


Ketiga, masalah untuk mengenalpasti asal usul gerakan Freemason adalah kerana tiada catatan direkodkan, sehinggalah Freemason benar-benar terorganisasi lebih sistematik pada tahun 1717 ketika mereka menubuhkan Grand Lodge England barulah mereka mula menyusun organisasi, mesyuarat dan cawangan mereka dengan lebih teratur.

Keempat, pada tahun 1723 James Anderson telah menerbitkan Perlembagaan Freemason yang mencatatkan juga sejarah asal Freemason.Namun, banyak sekali kesilapan fakta yang ditulis dalam sejarah itu, menjadikan kisah sejarah itu suatu yang tak boleh dipercayai dan dongeng mitos rekaan Anderson sahaja untuk menyuntik elemen megah pada ahli Freemason bahawa kononnya mereka telah tertubuh sejak tamadun Greek dan Rom purba lagi di kalangan perekabentuk dan ahli matematik serta ilmuwan tersohor di zaman itu.

Apa yang pasti, kelihatan jelas falsafah yang dipegang oleh banyaknya ahli Mason yang ternama adalah pada aliran Pencerahan (Enlightment).Konsep umum mereka adalah pada motto, "kebebasan, persaudaraan, dan kesamarataan" (liberty, fraternity, and equality) yang pernah digunapakai oleh Revolusi Perancis. Kemudiannya saat ini 3 kualiti itu juga diterima sebagai triniti demokrasi, atau boleh kita kata juga akar falsafah perjuangan Demokrasi.

Jika dilihat dari segi amalan ritual mereka pula, banyaknya dikutip dari pelbagai simbol-simbol mistik purba dan dipinjam dari pelbagai agama khususnya agama samawi seperti Yahudi, Kristian dan Islam. Kemudiannya penerimaan mereka mencampurkan pelbagai unsur kepercayaan dan ritual campuran malah menerima ahli dari penganut pelbagai agama, itu menunjukkan jelas mereka juga berpegang kuat pada falsafah Pluralisme-mengambil,menerima dan mengakui kebaikan dari semua ajaran.

Dan permusuhan pihak gereja dengan mereka sama ada sebagai Freemason atau Illuminati, memaksa mereka merahsiakan falsafah, pemikiran, amalan, kepercayaan dan cita-cita pada era awal mereka, adalah kerana adanya semangat Liberalisme yang cuba memisahkan kehidupan dan keupayaan pemikiran manusia daripada dogma keagamaan, doktrin kristianiti, dan pelbagai sekatan-sekatan yang dirasakan mereka suatu yang jumud. Saya tak menolak semangat awal Mason yang mengikat persaudaraan dan bergerak secara sembunyi-sembunyi ini adalah disebabkan mereka menentang arus iaitu Zaman Gelap Eropah, atau dengan lebih ringkas mereka adalah golongan 'tajdid' (pembaharuan) yang cuba mencari kebenaran sebenar.

Namun disebabkan adanya semangat setia pada tradisi untuk memastikan pergerakan mereka berkesinambungan, maka segala unsur dan ritual yang aneh dan tak diterima akal yang dijalankan oleh para Mason ini, masih terus disambung supaya senioriti dalam hirarki organisasi mereka terpelihara disamping mengembangkan pengaruh mereka sebagai sebuah gerakan sedunia untuk mengubah dunia. Ya, hal itu bukanlah cita-cita yang menghairankan kerana semua perjuangan dan pergerakan perlulah ada kepercayaan pada suatu idealisme dan bagaimana idealisme itu dapat disebarluaskan seterusnya seluruh dunia berubah menerimanya sebagai amalan.Mungkin itulah Orde Baru Dunia yang dianggap cita-cita suci para Mason.

DUNIA MUSLIM HARI INI

Melihatkan kepada falsafah dan idea Freemason ini, usaha sedunia mereka dalam meresapi revolusi yang berlaku di Eropah sehingga mewujudkan penguasaan sedunia yang cenderung ke arah falsafah sama yang dipegang oleh Freemason iaitu Demokrasi, Pluralisme dan Liberalisme, maka fahamlah kita kenapa wujud banyak sekali teori-teori konspirasi berkenaan dengan Freemason dewasa ini.

Jika benar, asas perjuangan negara Amerika untuk mengamankan dunia dengan falsafah Demokrasi, Pluralisme dan Liberalisme yang sedang giat dipromosi di seluruh dunia kini, maka George Washington presiden pertama Amerika itu bukan saja ahli Freemason , malah beliau meninggalkan legasi penguasaan Freemason dalam menentukan arah perjuangan dan cita-cita negara mereka. Namun, satu fakta yang tak boleh diketepikan, adalah adanya kelompok elit Yahudi yang sering didakwa punya pengaruh langsung kepada sebarang dasar dan keputusan kerajaan Amerika. Adakah Freemason hanyalah percaturan Yahudi untuk dapatkan proksi-proksi mereka di kalangan bangsa bukan Yahudi khususnya untuk bekerjasama dengan puak Nasrani (Kristian), supaya akhirnya mereka berjaya menguasai dunia.

Jika itulah asas konspirasinya, maka itu juga bukanlah suatu yang sangat mengejutkan umat Islam, kerana Allah s.w.t telah pun berfirman,

"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu."(al baqarah: 120)

Adakah para pemuda pemudi Islam yang teruja dengan kisah-kisah misteri Freemason dan kaitan Freemason dengan syaitan, jin atau Dajjal lebih suka mencari-cari teori konspirasi atau mencipta teori-teori konspirasi semata-mata? Padahal akhirnya kesemua itu hanya membantu cita-cita pihak Yahudi dan Nasara untuk menimbulkan kegerunan kepada mereka, dan semakin mereka dapat memijak kepala umat yang sudah tercabut kekuatan yang suatu masa dulu menggerunkan pihak musuh.

Lebih utama, cita-cita meresapkan falsafah yang sama dipegang Freemason dalam hati umat juga dilihat berjaya, dengan tumbuhnya para pejuang muslim sendiri memperjuangkan Demokrasi, Pluralisme dan Liberalisme. Rasa malu untuk meninggikan Islam setinggi-tingginya mula tersemai, lalu rela mengaku sekular atau unsur Islam hanya diselit-selit melukut di tepi gantang pada perjuangan Demokrasi, Pluralisme dan Liberalisme. Malah tak kurang ada yang sanggup mengadaptasi perjuangan ala Freemason, Illuminati atau filosofi Pencerahan ini yang dulunya untuk menentang doktrin gereja, kini digunakan untuk mengubah ajaran Islam.

Jika hal ini berkembang dalam diri umat, tidak perlu menunggu Freemason berkonspirasi untuk menyesatkan umat, sudah ada kaki dan tangan umat yang berusaha membuat kerja-kerja Freemason ini tanpa sedar.

Wallahua'lam.

sumber al hikmah-diari.blogspot.com

No comments:

Post a Comment

Get the lowest PRICE booking by ONLINE

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...