nuffnang adv

Get the lowest PRICE booking by ONLINE

Monday, April 22, 2013

Jadilah Pemuda Kebanggaan Rasulullah S.A.W- Ustaz Nasrudin bin Hasan Tantawi



Para pemuda ibarat ruh dalam setiap tubuh komuniti ataupun kelompok; baik ia dalam skop kecil ataupun luas seperti negara. Mereka merupakan jentera penggerak kemajuan sebuah negera. Sebagai generasi penerus, kaum muda selalu dituntut untuk meningkatkan kualiti di pelbagai dimensi kehidupan. Nabi Muhammad S.A.W pernah bersabda (mafhumnya), "Aku didokong oleh para pemuda sementara Aku sering dicanggah oleh orang-orang tua." - Riwayat Bukhari

Ungkapan Baginda S.A.W jelas mengiktiraf fungsi pemuda dalam mendokong perjuangan yang diasaskan oleh Baginda S.A.W. Pemuda yang dimaksudkan pastinya pemuda yang beriman, bertaqwa dan berjihad untuk menegakkan syariat dan meninggikan syiar agama Allah Taala. Pemuda yang mewaqafkan diri dan bersedia untuk mengorbankan segala kepentingan diri dan duniawi demi memastikan syariat dan sunnah berjaya didaulatkan di atas tanahair ini khasnya dan di atas muka bumi ini amnya.

Pemuda yang berjiwa besar, mampu dan sanggup menggalas beban amanah pula mendepani mehnah guna melunaskan tanggungjawab dakwah dan tarbiyah. Pemuda yang memiliki aqidah yang benar, fikrah yang jelas dan menghiaskan diri dengan akhlak Islami yang indah.

Pemuda yang tentu tidak pernah mengaku kalah dengan segala ancaman atau tahaddiyat yang digerakkan oleh musuh untuk menghalang hasrat dan perjuangan murni mendaulatkan syariat dan sunnah.

Inilah pemuda harapan dan sandaran ummah bagi mengembalikan semula kegemilangan agama suci ini setelah sekian lama ia diinjak oleh musuh dan lebih malang ianya kini dipersiakan oleh penganutnya sendiri.

Inilah pemuda kebanggaan Rasulullah S.A.W yang berani mencagarkan kebebasan hidup semata-mata ingin mengabadikan diri kepada perjuangan suci memartabatkan kembali izzah ummah setelah sekian lama ianya tercalar angkara kejahilan dan kebejatan.

Ringkasnya, pemuda seperti inilah yang diperlukan oleh PAS untuk memacu perjuangan di bumi bertuah ini agar Islam kembali bertapak dan cahaya keadilannya kembali menerangi ummah setelah berlalu tempoh kegelapan yang panjang menyelubungi kehidupan ummah.

Pemuda PAS sewajarnya menjadi duta penyelamat dan kasih sayang, membebaskan insan yang derita di sangkar jahiliyah. Biarpun diri terkorban justeru itulah sunnatullah bagi mujahid yang mendokong cita-cita besar perjuangan Islam.

Pemuda yang tidak mengenal istilah kalah melainkan menang atau syahid. Menang mendaulatkan syariat Allah Taala atau menang mengatasi desakan nafsu yang memujuk agar meninggalkan perjuangan. Jika tidak, syahid di medan jihad fi sabilillah menjadi impian yang ingin dicapai.

Pemuda PAS sekali lagi ditegaskan, mestilah mempunyai keupayaan malah kesungguhan untuk mendalami urusan agama agar tahu dan faham berkait dengan "produk" (Islam) yang ingin di"pasar" (dakwah) kepada masyarakat.

Semangat semata-mata, jelas tidak memadai untuk memimpin perubahan dan membimbing kesedaran masyarakat hari ini yang rata-ratanya inginkan perubahan kepada keadaan yang lebih baik setelah lama terperangkap dalam kebodohan sistem yang mengasingkan dunia dan akhirat.

Era yang kita hadapi hari ini memerlukan kita selangkah lebih jauh ke depan berbanding kelicikan musuh yang tidak pernah rehat mengatur strategi dan konspirasi untuk memadam cahaya hidayah Allah Taala. Malah kita mestilah selangkah lebih cepat bertindak berbanding musuh yang pintar dan menguasai pelbagai sarana penerangan bagi mengelirukan minda masyarakat.

Kesimpulannya, pemuda mestilah senantiasa dalam keadaan bersiap siaga. Bersedia bila diperlukan, hadir bila dipanggil, bertindak bila diarah dan responsif terhadap situasi sekeliling terutama berhubung dengan keperluan parti (jamaah) dan tuntutan ummah tanpa lengah dan alasan yang tidak wajar dan layak.


Biodata Penulis

Ustaz Nasrudin bin Hasan Tantawi merupakan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM). Beliau pernah mendapat pendidikan di Maahad Fathul Islami Damascus, Syria dan Universiti Al Azhar, Tanta, Mesir. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia. Antara tokoh ulama yang beliau kagumi adalah Syeikh Dr.Yusuf Al Qaradawi dan Syeikh Muhammad Al Ghazali.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...