Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil melahirkan rasa terkilan dan kecewa dengan tindakan bekas naib ketua sayap tersebut, Datuk Kamilia Ibrahim yang bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Kuala Kangsar.

Shahrizat berkata, sebagai seorang yang berpengalaman dalam bidang politik, Kamilia seharusnya lebih bersabar dan patuh pada pimpinan parti.

NONE"Saya teramat sedih kerana tak sangka Kamelia sampai hati buat keputusan untuk keluar daripada parti.

"Beliau dah pernah jadi senator, peguam, biro undang-undang parti sepatutnya dia tahu apa akan jadi bila bertanding Bebas, automatik terpaksa tinggalkan parti.

"Macam mana Kamelia sampai hati dia buat kita macam ini," katanya dalam perjumpaan bersama jentera pilihan raya Wanita Umno Kuala Kangsar di pejabat agama Islam Kuala Kangsar  hari ini.

Pada penamaan calon Sabtu lalu, Kamelia mengejutkan ramai pihak apabila bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Kuala Kangsar melawan calon PAS, Khalil Idham Lim dan Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad dari BN.

Kamilia semalam berkata beliau mengambil keputusan untuk bertanding bagi kerusi Bebas apabila tidak ditawarkan mana-mana kerusi untuk bertanding.

Bagaimanapun, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau telah menawarkan Kamelia kerusi DUN Bukit Chandan tetapi ditolak.

Kamilia merupakan antara 61 orang anggota Umno yang dipecat kerana bertanding sebagai calon Bebas menentang calon parti tersebut.

sumber: Malaysia kini