nuffnang adv

lazada adv

Saturday, April 27, 2013

Fanatik, akhlak buruk punca ummah retak


Sebahagian petanda yang menunjukkan keperibadian buruk dan bersikap fanatik (semoga Allah SWT melindungi kita) ialah seseorang itu akan menjauhi saudara Islamnya hanya semata-mata mereka berselisih pendapat dalam sesuatu perkara sama ada urusan agama, kehidupan atau politik.

Sehubungan itu, seseorang akan menegah orang lain daripada duduk bersama mereka yang dianggap musuhnya atau melarang daripada menziarahi musuhnya itu. 
Perbuatan ini adalah salah satu contoh fanatisme dan menunjukkan ‘kebankrapan ilmu’ bagi orang yang melakukannya kerana perbuatan sebegini hanya dilakukan kumpulan manusia yang tidak mampu berdepan secara berhujah dengan seseorang. 

Firman Allah SWT: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu juga yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (Surah al-Nahl, ayat 125)

Kaedah perbincangan ilmiah secara berhujah sebenarnya jauh daripada unsur fanatik dan bersikap keras kepala. Ketahuilah bahawa duduk berbincang bersama pengamal ajaran sesat atau seseorang yang dituduh bersalah dengan mengemukakan hujah bernas adalah jalan rintis nabi-nabi.

Nabi-nabi diperintah oleh Allah SWT untuk berhujah dengan sesiapa saja seperti firmanNya: “Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: Tidak sekali-kali akan masuk syurga melainkan orang yang beragama Yahudi atau Nasrani. Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka saja. Katakanlah (Wahai Muhammad): Bawalah ke mari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang yang benar.” (Surah al-Baqarah, ayat 111)

Hikmat kebijaksanaan

Firman-Nya lagi: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu juga yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (Surah al-Nahl, ayat 125) 
Berdasarkan dalil di atas jelaslah kepada kita bahawa cara berdakwah dengan menjauhi orang yang melakukan kesalahan, golongan sesat dan melakukan perbuatan bidaah adalah satu tindakan yang negatif. Bahkan ia jauh sekali daripada apa yang dicontohi Rasulullah SAW. 

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak halal bagi seseorang Muslim menjauhkan diri daripada saudaranya lebih dari tiga hari tiga malam. Kedua mereka apabila bertemu saling mendedahkan keaiban antara satu sama lain. Dan orang yang paling baik antara keduanya ialah orang yang mula-mula sekali memberi salam apabila mereka bertemu.”

Hadis ini jelas membuktikan bahawa al-Hijr iaitu ‘menjauhkan diri’ hanya dapat mengelakkan perjumpaan bagi mengadakan perbahasan, perbandingan hujah dan perbincangan yang mana semua ini dapat disempurnakan melalui hujah bernas lagi mencukupi dengan dalil konkrit. 

Suasana kehangatan Pilihan Raya Umum Ke-13, kelihatan ramai kalangan umat Islam gagal menunjukkan budi pekerti mulia. Kata-kata yang benar dianggap palsu, kejahatan bertukar menjadi kebaikan, kebenaran dipersendakan, fitnah berleluasa, agama menjadi barang mainan serta ulama menjadi sasaran.

Sedarlah bahawa setiap gerak geri kita diperhatikan oleh Allah SWT. Kita semua diberi balasan terhadap apa yang kita lakukan. Walaupun kita teruja mengharungi pilihan raya tetapi insaflah bahawa Allah SWT amat berkuasa memilih nyawa kita untuk kembali kepada-Nya.

Maka marilah kita memohon kepada Allah SWT supaya Dia memperelokkan akhlak kita semua seperti Nabi SAW. Semoga Allah memelihara lidah daripada menuturkan kata-kata keji dan memelihara diri daripada perbuatan yang hina.

sumber: Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Get the lowest PRICE booking by ONLINE

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

pos terhangat