nuffnang adv

lazada adv

Monday, May 27, 2013

Teh LIBIDO di Sri Lanka


SECAWAN teh Ceylon panas biasanya dijadikan minuman untuk meredakan tekanan dan merehatkan diri pada waktu petang. Bagaimanapun, teh berkualiti mewah dari Sri Lanka itu kini dikaitkan sebagai minuman perangsang nafsu berahi seseorang membuatkan permintaannya semakin melonjak di pasaran.
Eksport teh Ceylon semakin tinggi sedangkan sebelum ini di sesetengah tempat di Sri Lanka sendiri adakalanya orang ramai lebih gemar menikmati air kosong berbanding teh.
"Kami menekankan kebaikan teh itu yang memberi kebaikan kepada anda di tempat tidur," ujar Rohan Fernando yang menjual 60 gram teh Ceylon premium pada harga AS$350 (RM1,057).
"Teh sejak dulu menjadi minuman untuk orang kurang berkemampuan. Kami mahu mengubah persepsi itu untuk menjadi teh Ceylon teh premium di dunia," tambahnya.
Walaupun belum disahkan secara klinikal kaitan teh Ceylon meningkatkan libido atau nafsu berahi, tetapi kepercayaan itu semakin kuat dalam kalangan penggemarnya.

Kualiti teh putih
"Mereka yang biasa meminum teh ini akan dapat merasai kualiti teh putih dikenali sebagai Silver Tips dan Golden Tips. Ia mula mendapat perhatian daripada usahawan dari China dan orang kaya dari Arab Saudi dan Jepun," kata Fernando.
Tidak seperti teh ortodok yang lain, teh putih itu dipetik daripada tunas teh yang dikeringkan di bawah matahari. Proses itu berlanjutan sehingga ia bertukar menjadi warna keemasan atau keperangan.
Ketika berada di kilangnya yang terletak di bandar Kandana, Fernado menjelaskan teh tersebut tidak hanya baik untuk kesihatan batin.
Teh tersebut mengandungi folifenol, flavonoid dan antioksida yang dipercayai meningkatkan sistem imun dan peredaran darah.
Pembuat teh terkenal, Herman Gunaratne berusaha untuk memperkenalkan teh keluarannya yang dikatakan teh 'putih suci' kerana ia langsung tidak disentuh oleh tangan. Berbanding dengan penghasilan teh biasa yang menggunakan tenaga manusia ketika memetik teh dari ladang.
Harga pasaran teh itu yang dijual di Mariage Freres, Paris berharga AS$88 (RM265) untuk 20 gram iaitu bersamaan dengan AS$4,400 (RM13,296) sekilogram.
"Teh putih suci saya mengandungi 10.11 peratus antioksida. Ia menjadikan teh ini sebagai minuman yang mempunyai tahap antioksida yang tinggi berbanding jenama lain. Apabila kesihatan tubuh sihat secara menyeluruh, bermakna tahap kesihatan batin anda akan meningkat dengan sendirinya," ujar Herman.

Teh bukan tumbuhan asli di Sri Lanka, ia mula popular hanya selepas warga Scotland, James Taylor menanam benih pertama jenis Camellia Sinensis di situ. Sehingga kini ia menjadi sumber eksport utama Sri Lanka. Tahun lalu, tanaman teh membawa keuntungan sebanyak AS$1.5 bilion (RM4.53 bilion).
Sri Lanka juga menjalankan lelongan teh mingguan terbesar di dunia dengan lima hingga enam juta kilo telah bertukar tangan.
Herman merupakan salah seorang yang menjalankan usaha murni dalam mengekalkan reputasi Sri Lanka sebagai pengeluar teh bersih. Ia merangkumi produk bebas racun perosak dan bahan pencemar yang lain.
Dia juga mahu melihat lebih banyak teh berkualiti tinggi berbanding eksport tradisional yang dijual dengan harga murah.
"Kami perlu untuk menjenamakan semula teh kami. Ia mempunyai potensi untuk meningkatkan pendapatan teh dalam negara," ujarnya.
Kempen pemasaran
Lembaga Teh Sri Lanka sedang dalam usaha untuk melakukan kempen pemasaran antarabangsa buat julung-julung kalinya. Kempen itu akan mempromosi kebaikan teh kepada kesihatan yang terdapat dalam secawan teh berkualiti tinggi.
Pengarah Lembaga, Hasitha de Alwis berkata, buat masa ini hanya 42 peratus hingga 43 peratus teh Ceylon dieksport dalam paket kurang tiga kilogram setiap satunya. Ia bakal ditingkatkan kepada 60 peratus dalam jangka masa lima tahun akan datang.
Ketua firma broker teh Sri Lanka Asia Siyaka Commodities, Anil Cooke bersetuju bahawa teh Ceylon perlu dinaik taraf ke peringkat global dengan memberi fokus kepada peningkatan kepada nilainya.
"Ia telah dilakukan secara kecil-kecilan oleh beberapa syarikat, tetapi langkah itu boleh diperbesarkan lagi," ujar Anil.
Walaupun telah mengurangkan pengutipan daun teh daripada 20,000 kepada 2,000 kilogram dalam masa sehari, produk berkualiti tinggi Gunaratne terjual sepuluh kali ganda berbanding teh biasa.
"Sejak bertukar kepada teh berkualiti tinggi, saya mendapat pulangan berlipat kali ganda," ujar Herman. - AFP
-Kosmo Online

No comments:

Post a Comment

Get the lowest PRICE booking by ONLINE

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

pos terhangat