nuffnang adv

lazada adv

Wednesday, May 15, 2013

Najib Umum Senarai Anggota Kabinet Transformasi




KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Kabinet baharu Datuk Seri Najib Tun Razak yang diumumkan hari ini terdiri daripada mereka yang berpengalaman, teknokrat dan wakil golongan muda yang diyakini mampu meneruskan agenda transformasi nasional.

"Saya yakin bahawa Kabinet ini mampu meneruskan momentum transformasi nasional di samping dapat meningkatkan lagi keyakinan rakyat terhadap kerajaan," kata Perdana Menteri dalam satu taklimat kepada editor media sejurus sebelum mengumumkan senarai barisan Kabinet beliau.

"Saya yakin anggota Kabinet yang dilantik mempunyai kewibawaan untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai anggota pentadbiran dan mempunyai tingkah laku yang disukai rakyat," katanya.

Selain diperkukuhkan oleh dua wakil generasi muda, Najib turut membawa masuk Presiden Transparency International Malaysia Datuk Paul Low, yang dilihat sebagai bukti keseriusan beliau untuk mempertingkatkan lagi integriti dalam kerajaan dalam usaha memerangi rasuah.

Pemilihan Presiden Maybank Datuk Seri Abdul Wahid Omar menganggotai Kabinet Najib juga dilihat sebagai usaha serius perdana menteri untuk meneruskan pelaksanaan agenda transformasi ekonomi negara.

"Mereka yang merupakan teknokrat boleh menyumbang dari segi kepakaran khususnya yang ada pada mereka yang amat penting untuk menyumbang idea kreatif lagi bernas untuk pertimbangan kerajaan," katanya ketika mengumumkan barisan kabinet di pejabatnya di Putrajaya.

Najib juga memperkenalkan kabinet yang mantap dengan mengurangkan bilangan kementerian kepada 24 dari 25, dan menyelaras beberapa aktiviti dan bidang tugas kementerian-kementerian.

Katanya antara kementerian yang diselaraskan ialah Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi yang digabungkan menjadi Kementerian Pelajaran yang akan diterajui dua orang menteri.

Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar diselaraskan menjadi Kementerian Wilayah Persekutuan, manakala portfolio kesejahteraan bandar di bawah kementerian itu digabungkan dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, katanya.

"Dengan ini fungsi kementerian tersebut mempunyai sinergi agar lebih efektif," katanya.

Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan diselaraskan menjadi Kementerian Komunikasi dan Multimedia, manakala elemen kebudayaan dicantumkan dengan Kementerian Pelancongan.

"Dengan langkah tersebut, bilangan timbalan menteri dikurangkan kepada 27, kurang 11 berbanding 38 dahulu," kata beliau.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata bilangan menteri hampir sama dengan Kabinet sebelum ini kerana Barisan Nasional (BN) merupakan sebuah keluarga besar dan oleh demikian sukar untuk mengecilkan lagi saiz Kabinet kerana ia terpaksa menampung parti yang banyak.

Menyentuh ketiadaan wakil komponen BN, MCA dalam Kabinet beliau, Najib berkata Kementerian Pengangkutan yang dipangku seorang menteri (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein) mungkin akan dipegang wakil parti tersebut sekiranya mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) parti itu memutuskan menarik balik keputusan tidak mahu menyertai Kabinet.

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebelum ini mengumumkan kekal dengan keputusan parti untuk tidak menerima sebarang jawatan Kabinet sekiranya prestasi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lebih buruk daripada pilihan raya umum ke-12.

MCA hanya memenangi tujuh kerusi Parlimen daripada 37 kerusi pada PRU13 5 Mei lepas berbanding 15 kerusi pada 2008.

Najib menegaskan bagaimanapun anggota Kabinet beliau akan memberi khidmat kepada semua rakyat tanpa mengira kaum di mana yang patut, walaupun banyak terdiri daripada Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak.

"Kita tidak boleh bersikap rasis, kita akan menjaga semua orang. Di kalangan bumiputera Sabah dan Sarawak ada yang beragama Kristian. Kita (BN) mesti bersikap moderat dan menjadi 'centrist party (parti berpandangan moderat)'," katanya.

Mengulas lanjut mengenai langkah beliau membawa masuk Abdul Wahid dan Paul Low, Najib berkata beliau memerlukan sebuah pasukan yang kuat untuk mengurus transformasi ekonomi dan transformasi sosial.

Katanya pengalaman Abdul Wahid sebagai teknokrat di dalam bidang perbankan dipercayai dapat membantu kerajaan menjayakan lagi program transformasi, manakala Paul Low akan menumpukan kepada pengukuhan integriti menerusi Institut Integriti Nasional (IIN) dan menangani hal-hal berkaitan Biro Pengaduan Awam.

"Bagaimanapun Abdul Wahid akan mengambil tugas tiga minggu dari sekarang kerana beliau perlu menyelesaikan tugas beliau di Maybank terlebih dahulu."

Najib berkata elemen pembangunan usahawan akan diwujudkan di salah sebuah kementerian untuk membantu melahirkan usahawan baharu dan sedia ada.

Sementara itu, Najib berkata, "Paul Low sendiri tidak melihat diri beliau sebagai wakil Cina, tetapi sebagai seorang rakyat Malaysia yang berminat dan berazam untuk berkhidmat."

Najib berkata beliau berharap MCA akan dapat menyertai Kabinet beliau kelak kerana tanpa jawatan dalam kerajaan parti itu sukar untuk memulihkan kembali kedudukannya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Get the lowest PRICE booking by ONLINE

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

pos terhangat