nuffnang adv

lazada adv

Tuesday, May 28, 2013

KWSP Kekal Polisi Benar Keluar Simpanan Persaraan Pada Usia 55 Tahun


KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengekalkan polisi membenarkan ahlinya mengeluarkan keseluruhan simpanan persaraan mereka pada usia 55 tahun walaupun umur persaraan penjawat awam dinaikkan kepada 60 tahun.
Bagaimanapun, KWSP menggalakkan pencarum mengamalkan pengeluaran caruman secara fleksibel berbanding sekali gus, yang boleh mengundang pembaziran.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata langkah pengeluaran secara fleksibel itu diperkenal bagi membantu anggota KWSP mengurus perbelanjaan mereka selepas bersara.
"Sebelum ini, kebanyakan ahli mengeluarkan wang secara sekali gus. Seperti yang anda sedia maklum, adalah sukar untuk mengurus dan menyimpan wang berkenaan dalam tempoh tiga hingga lima tahun selepas bersara," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.
Beliau berkata pihaknya sedang mempergiat usaha menggalakkan pencarum melakukan pengeluaran fleksibel serta memberi kesedaran berhubung kepentingan merancang kewangan selepas tamat perkhidmatan.
Shahril Ridza berkata setakat ini, sambutan terhadap pengeluaran caruman secara fleksibel di kalangan ahli adalah memberangsangkan.
"Jangka hayat sekarang ini semakin panjang sehingga 76 atau 77 tahun. Dan jika semua wang telah dikeluarkan, mereka akan hanya ada baki caruman lima tahun untuk menampung kewangan selepas bersara (pada usia) 60 tahun," katanya.
Pada suku pertama tahun ini, sebanyak 43,775 permohonan pengeluaran fleksibel umur 55 tahun bernilai RM1.66 bilion diluluskan KWSP berbanding RM1.50 bilion bagi tempoh sama tahun lepas.
Pada suku pertama 2013, sejumlah 481,603 pengeluaran dibuat ahli berbanding 451,194 bagi tempoh sama tahun lepas, naik 6.74 peratus.
Pengeluaran yang diluluskan pada suku pertama 2013 meningkat 3.54 peratus kepada RM8.77 bilion daripada RM8.47 bilion bagi 2012.
Pada 31 Mac, 2013, sejumlah 13.69 juta orang berdaftar dengan KWSP dan daripada jumlah itu, 6.41 juta adalah ahli aktif yang masih mencarum untuk persaraan mereka berbanding 13.26 juta orang dengan 6.28 juta ahli aktif pada suku yang sama pada 2012.
Jumlah majikan berdaftar ialah sebanyak 509,139 pada suku pertama 2013, meningkat 3.26 peratus berbanding 493,066 bagi tempoh sama tahun lepas.

 -BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Get the lowest PRICE booking by ONLINE

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

pos terhangat