WeChat, peneraju aplikasi komunikasi sosial mudah alih dengan 300 juta pengguna berdaftar di seluruh dunia memegang kedudukan teratas bagi carta aplikasi percuma untuk enam minggu berturut-turut sekali gus menjadi aplikasi sosial nombor satu yang paling banyak dimuat turun di Google Play dan App Store di Malaysia.

WeChat mempunyai kadar penembusan 60 peratus di kalangan pengguna telefon pintar di Malaysia.

Timbalan Presiden Tencent International Business, PoshuYeung berkata, WeChat bukan sahaja aplikasi mesej yang membolehkan pengguna berhubung antara satu sama lain tetapi juga membenarkan komunikasi korporat dengan pelanggan melalui rangkaian dua hala bagi jenama dan pengguna.

Menurutnya, WeChat menyasarkan untuk membina ekosistem unik yang mana pengguna boleh berhubung dan bersosial sambil menikmati fungsi interaktif semua dalam satu yang menyediakan keperluan berlainan kepada pengguna.

-Sinar Harian