nuffnang adv

lazada adv

Monday, May 20, 2013

Pemuda PAS: Azran Osman berani nyata kebenaran




 
Persatuan Veteran Umno bertindak luar rasional dengan mengarahkan anggotanya supaya memboikot perkhidmatan AirAsia X berikutan kenyataan Azran Osman Rani, ketua pegawai eksekutif penerbangan tambang murah itu yang didakwa mencerca akhbarUtusan Malaysia.
Azran telah menulis  di dalam Facebook beliau bahawa beliau adalah rakyat Malaysia dan anti perkauman serta meluat dengan pendirian pengarang Utusan.
 
Saya menyanjung tinggi keberanian dan keterbukaan Azran. Sebagai pegawai tinggi sebuah syarikat besar negara, beliau sanggup mengeluarkan kenyataan sedemikian, menandakan golongan menengah dan berpendidikan tinggi yang celik maklumat telah berani keluar dari kepompong ketakutan politik yang mencengkam mereka selama ini.
Beliau adalah ikon golongan koporat yang berani bangkit menyatakan kebenaran. Jika Azran Osman berani mengeluarkan kritikannya, ia bererti ramai lagi golongan korporat, usahawan dan profesional yang menyimpan perasaan yang sama dan meluat dengan tahap media utama negara ini.  
 
Soalnya mengapa Persatuan Veteran Umno pula yang terasa hati? Apakah Veteran Umno mempunyai saham atau akhbar Utusan Malaysia sememangnya milik Umno? Jika ia milik kerajaan dan rakyat, sepatutnya terimalah kritikan tersebut dengan besar hati.
Usah diperbesarkan dan mengugut untuk boikot AirAsia X hanya disebabkan kritikan ketua Pegawai Eksekutif syarikat tersebut.
 
Jika Utusan Malaysia milik Umno, buatlah kenyataan terbuka bahawa ia adalah hak milik Umno dan terhad hanya untuk ahli-ahli sahaja sebagaimana terhadnya Harakah dan Keadilan kepada ahli partinya sahaja. Kenyataan Kelab Veteran Umno telah memalukan Umno sehingga ke tahap Presidennya yang juga Perdana Menteri Malaysia.

Isunya adalah etika Utusan Malaysia yang sudah hilang wibawanya dan jauh tersasar dari landasan kewartawanan sebenar. Utusan Malaysia juga telah lama hilang punca kerana hanya mengikut telunjuk kuasa politik pemimpin negara.
Lihatlah pada sejumlah saman yang dikenakan terhadap akhbar tersebut. Sampai bilakah media di negara ini terus menjadi budak suruhan pemimpin negara?
 
Pilihanraya umum ke-13 membuktikan bahawa tahap kebebasan media negara masih jauh dari norma yang sebenarnya. Tidak hairanlah apabila Indeks Kebebasan Akhbar di negara ini akan terus jatuh merudum saban tahun manakala tahap demokrasi di negara ini terus menjadi pertikaian.


MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ adalah Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan. Tulisan ini adalah peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

-Malaysia Kini

No comments:

Post a Comment

Get the lowest PRICE booking by ONLINE

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

pos terhangat