nuffnang adv

lazada adv

Showing posts with label air asia x. Show all posts
Showing posts with label air asia x. Show all posts

Monday, May 20, 2013

Isu Utusan: Kalimullah sanjung sikap bos AirAsia X



11:43AM Mei 21 2013 
Ahli perniagaan Datuk Seri Kalimullah Hassan tampil mempertahankan ketua pegawai eksekutif AirAsia X, Azran Osman-Rani, yang dikecam hebat Utusan Malaysia kerana mengkritik pemberitaan akhbar milik Umno itu.

Kalimullah, dalam tulisannya di Twitter malah menyanjung tindakan dan sikap Azran dan menyifatkan eksekutif muda di syarikat penerbangan tambang murah itu sebagai “warga Malaysia sebenar”.

“Hanya orang yang taksub akan melihat komen seperti yang diutarakan Azran Osman-Rani itu sebagai (komen) menyakitkan hati,” kata Kalimullah dalam tulisan bertarikh 18 Mei.

Beliau yang pernah memimpin akhbar New Straits Times sebagai ketua pengarang kumpulan juga menyatakan rasa hairan dengan sikap yang ditunjukkan Utusan dalam isu Azran itu.

“Kadang-kadang, saya terfikir dari celah batu mana sesetengah personaliti Utusan ini muncul,” katanya, pada 8 Mei.
Dalam satu lagi tulisan, juga pada 8 Mei, beliau turut menyatakan rasa gembira apabila melihat rakyat Malaysia bersatu mengutuk “sikap rasis” Utusan.

"Amat mengujakan apabila melihat rakyat Malaysia bersatu dalam mengutuk (sikap) rasis Utusan yang terang-terangan dan berterusan," katanya.
Kenyataan berkenaan dipercayai merujuk kepada laporan muka depan Utusan bertarikh 7 Mei dengan tajuk besar "Apa lagi Cina mahu?"
Azran juga mula mendapat perhatian Utusan apabila beliau meluahkan rasa jengkelnya terhadap isu perkauman dalam laporan akhbar berkenaan.
Dalam tulisan di laman sosial Facebook dan Twitter, Azran dilaporkan turut mengkritik Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) sebagai pertubuhan tidak relevan yang menyebabkan orang Melayu berfikiran sempit.
Dalam reaksi balas, Utusan pada 14 Mei lalu menyiarkan kenyataan dari pemimpin PERKASA, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan juga kenyataan aktivis anti-PKR yang antara lainnya menyelar Azrin sebagai “bongkak” dan “lupa diri”.
Pengarang akhbar Utusan dalam pojok akhbar berkenaan seterusnya pada hujung minggu lalu mempertahankan laporan bertajuk 'Apa lagi Cina mahu' itu dengan kenyataan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
Pengarang itu juga menonjolkan betapa wartawan yang hadir di satu sidang media Najib bertepuk tangan apabila perdana menteri berkata: "Awak salahkan Utusan, bagaimana pula akhbar berbahasa Cina?" 
Dalam tulisan di pojok tersebut, pengarang Utusan turut menyatakan keyakinan bahawa akhbar berkenaan akan dapat bertahan walau tanpa iklan dari AirAsia.

Malah, nilai iklan tersebut lebih rendah daripada yang diperolehi mereka daripada iklan jamu atau rawatan rambut, kata pengarang berkenaan.
Dalam laporan hari ini pula, Utusan menonjolkan tuntutan dari satu NGO yang mahu pengerusi AirAsia X, Tan Sri Rafidah Aziz untuk memohon maaf bagi pihak Azran.
Presiden Badan Bertindak Anti Penyelewengan Negeri Kedah Khairul Anuar Ramli dalam laporan itu menyebut, bekas ketua Wanita Umno itu perlu berbuat demikian kerana Azran didakwanya "menghina maruah kaum sendiri".
"Tidak guna menjadi pengerusi AirAsia X jika hanya duduk macam tunggul kayu dan tidak mampu bertindak terhadap kesalahan tersebut," kata Khairul Anuar seperti dalam laporan itu.
Selain itu, Utusan turut melaporkan kenyataan dari persatuan pengguna yang mengkritik mutu perkhidmatan AirAsia.
Kritikan itu adalah berhubung tindakan AirAsia yang menghalang seorang bayi pengidap demam campak daripada menaiki penerbangan syarikat itu dari Ho Chi Minh pada Sabtu lalu.

-Malaysia Kini

Pemuda PAS: Azran Osman berani nyata kebenaran




 
Persatuan Veteran Umno bertindak luar rasional dengan mengarahkan anggotanya supaya memboikot perkhidmatan AirAsia X berikutan kenyataan Azran Osman Rani, ketua pegawai eksekutif penerbangan tambang murah itu yang didakwa mencerca akhbarUtusan Malaysia.
Azran telah menulis  di dalam Facebook beliau bahawa beliau adalah rakyat Malaysia dan anti perkauman serta meluat dengan pendirian pengarang Utusan.
 
Saya menyanjung tinggi keberanian dan keterbukaan Azran. Sebagai pegawai tinggi sebuah syarikat besar negara, beliau sanggup mengeluarkan kenyataan sedemikian, menandakan golongan menengah dan berpendidikan tinggi yang celik maklumat telah berani keluar dari kepompong ketakutan politik yang mencengkam mereka selama ini.
Beliau adalah ikon golongan koporat yang berani bangkit menyatakan kebenaran. Jika Azran Osman berani mengeluarkan kritikannya, ia bererti ramai lagi golongan korporat, usahawan dan profesional yang menyimpan perasaan yang sama dan meluat dengan tahap media utama negara ini.  
 
Soalnya mengapa Persatuan Veteran Umno pula yang terasa hati? Apakah Veteran Umno mempunyai saham atau akhbar Utusan Malaysia sememangnya milik Umno? Jika ia milik kerajaan dan rakyat, sepatutnya terimalah kritikan tersebut dengan besar hati.
Usah diperbesarkan dan mengugut untuk boikot AirAsia X hanya disebabkan kritikan ketua Pegawai Eksekutif syarikat tersebut.
 
Jika Utusan Malaysia milik Umno, buatlah kenyataan terbuka bahawa ia adalah hak milik Umno dan terhad hanya untuk ahli-ahli sahaja sebagaimana terhadnya Harakah dan Keadilan kepada ahli partinya sahaja. Kenyataan Kelab Veteran Umno telah memalukan Umno sehingga ke tahap Presidennya yang juga Perdana Menteri Malaysia.

Isunya adalah etika Utusan Malaysia yang sudah hilang wibawanya dan jauh tersasar dari landasan kewartawanan sebenar. Utusan Malaysia juga telah lama hilang punca kerana hanya mengikut telunjuk kuasa politik pemimpin negara.
Lihatlah pada sejumlah saman yang dikenakan terhadap akhbar tersebut. Sampai bilakah media di negara ini terus menjadi budak suruhan pemimpin negara?
 
Pilihanraya umum ke-13 membuktikan bahawa tahap kebebasan media negara masih jauh dari norma yang sebenarnya. Tidak hairanlah apabila Indeks Kebebasan Akhbar di negara ini akan terus jatuh merudum saban tahun manakala tahap demokrasi di negara ini terus menjadi pertikaian.


MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ adalah Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan. Tulisan ini adalah peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

-Malaysia Kini

Veteran Umno arah anggota boikot AirAsia, AirAsia X



2:25PM Mei 19 2013 
Persatuan Veteran Umno mengeluarkan arahan kepada anggotanya supaya memboikot perkhidmatan penerbangan tambang murah AirAsia dan AirAsia X berikut kenyataan seorang pegawai tinggi syarikat AirAsia X yang didakwa mencerca akhbar milik Umno, Utusan Malaysia.

Laporan edisi hujung minggu akhbar tersebut hari ini memetik kenyataan setiausaha Veteran Umno Datuk Mustapha Yaakub yang mahu anggota persatuan tersebut menunjukkan reaksi balas itu atas sikap yang ditunjukkan ketua pegawai eksekutif AirAsia X Azran Osman-Rani.

Tindakan itu juga ekoran kegagalan AirAsia X memecat Azran dari jawatan tersebut, kata Mustapha yang menganggap dakwaan cercaan ke atas Utusan itu sebagai penghinaan ke atas kaum Melayu.

"Kenyataan Azran benar-benar menghina Melayu. Oleh kerana AirAsia X tidak mahu menghukumnya, maka veteran UMNO akan menghukum AirAsia X dan AirAsia dengan memboikot kedua-dua syarikat ini.

"Bagi kami Azran adalah lambang Melayu yang lupa identiti bangsanya. Inilah Melayu yang dikatakan kacang lupakan kulit. Individu seperti inilah yang menjadikan Melayu hilang identiti malah sanggup menggadai maruah bangsa sendiri," katanya.

Menurut Utusan, Azran dalam tulisannya di Facebook menulis: "I am Malaysian. I am anti-racism. I am disgusted by Utusan's editorial stance. (Saya rakyat Malaysia. Saya antiperkauman. Saya meluat dengan pendirian pengarang Utusan),"

Azran juga mengumumkan untuk menarikh balik iklan AirAsia, di Utusan Malaysia dan menyebut: "Utusan sudah lama tidak relevan. Jumlah pembaca merosot kerana minda pengarang sempit. Utusan tidak mewakili Melayu Malaysia."

AirAsia merupakan antara pembeli ruang iklan utama di media Malaysia.

- Malaysia Kini

Get the lowest PRICE booking by ONLINE

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...