nuffnang adv

lazada adv

Wednesday, May 29, 2013

Bank patuh syariah di London sasar tembusi Malaysia

Richard Thomas
GATEHOUSE Bank Plc, bank pelaburan borong berlandaskan syariah yang berpangkalan di London, Britain, kini meninjau kemungkinan mendapatkan lesen perbankan prinsipal di Malaysia, bagi mengembangkan lagi segmen perniagaan terasnya di dalam negara.

Bank itu yang membuka pejabat perwakilannya di Kuala Lumpur semalam, yang pertama di luar kota London, menyasarkan lesen dalam perbankan universal, perbankan pelaburan dan pengurusan kekayaan.

Ketua perwakilan Gatehouse Bank di Malaysia, Richard Thomas berkata, bank itu akan terus mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara Malaysia untuk cadangan lesen berkenaan.

“Operasi perbankan dijangka bermula kurang daripada dua tahun ini. Gatehouse Bank akan menimbangkan lesen mana yang akan dipohon dahulu, tertakluk kepada permintaan dan syarat. Kami mungkin memohon untuk kesemua sekali (ketiga-tiganya),” katanya sempena pelancaran pejabat perwakilan itu di Kuala Lumpur, semalam.

Thomas berkata, Malaysia adalah pilihan yang mutlak untuk mewujudkan pangkalan bagi bank di Asia.

Beliau berkata, selepas mewujudkan tapak kukuh dalam sektor perbankan Malaysia, Gatehouse Bank kemudiannya akan menggunakan prestasi baik itu untuk meneroka negara jiran seperti Singapura.    

Malaysia ialah pusat ketiga terbesar dunia dalam kewangan Islam dengan AS$133 bilion (RM404 bilion) aset berlandaskan shariah selepas Arab Saudi dan Iran.

 - Bernama

Boon Siew Honda sasar RM1b

Boon Siew Honda sasar RM1b
BOON Siew Honda Sdn Bhd (Boon Siew Honda) menyasarkan perolehan RM1 bilion tahun ini melalui jualan 260,000 motosikal sekali gus menguasai 50 peratus pasaran segmen motosikal di negara ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Satoshi Okada berkata, tahun lalu syarikat itu berjaya menjual sebanyak 253,000 unit motosikal dengan nilai RM900 juta.

Menurutnya, syarikat itu menguasai 47 peratus pasaran tempatan pada tahun lalu dan berhasrat untuk terus mengekalkan kedudukan sebagai peneraju segmen itu bagi tahun ini.

“Walaupun agak mencabar, kami tetap akan berusaha untuk mencapai 50 peratus penguasaan pasaran pada masa depan,” katanya pada majlis pelancaran Honda Wave 110 Serba Baru di Petaling Jaya, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Boon Siew Honda, Datuk Seri Tan Hui Jing dan Peneraju Projek Besar Honda R & D Asia Tenggara, Tatsuya Minagawa.

Okada berkata, syarikat itu turut meletakkan sasaran untuk menjual 30,000 unit motosikal Wave 110 Serba Baru menjelang akhir tahun ini.

“Sejak diperkenalkan ke pasaran tempatan, Wave terus popular dalam kalangan rakyat Malaysia  kerana praktikaliti, penjimatan bahan api dan prestasi yang dinamik,” katanya.  

Wave 110 serba baru itu  mempunyai dua varian iaitu DX110 dan S110 dengan kedua-dua model itu menawarkan standard lebih tinggi, berkuasa dan cekap bahan api sekali gus memberi pengalaman tunggangan terbaik kepada penunggang motosikal.

DX110 dijual pada harga atas jalan RM4,498 sebuah manakala model S110 pada harga RM3,898.

Kedua-dua varian itu turut didatangkan bersama insurans komprehensif untuk penunggang tunggal, jaminan selama dua tahun atau perbatuan sejauh 20,000 kilometer.

-sinar harian

Poto Travel lancar pakej Bonanza 3


Poto Travel & Tour Sdn Bhd menyasarkan untuk mencapai lebih 80 peratus daripada 3,500 tempat duduk yang disediakan bagi Pakej Bonanza 3 yang baru dilancarkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Poto Travel Abd Rahman Mohd Ali berkata, pakej Bonanza 3 adalah pakej yang ketiga selepas Bonanza yang pertama dilancarkan pada 2011.

“Bonanza 3 merupakan pakej pilihan melancong ke serata dunia yang dibuka untuk tempahan bermula hari ini (semalam) hingga 31 Julai bagi  tempoh penerbangan September dan Oktober tahun ini.

“Kami menerima sambutan yang menggalakkan daripada pakej Bonanza yang sebelum ini dengan telah menghantar kira-kira 3,000 pelanggan ke seluruh dunia,” katanya selepas pelancaran pakej Bonanza 3 di Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, pakej Bonanza 3 ini turut menawarkan destinasi baru seperti melancong ke bumi Balkan, Amerika Selatan dan meneroka dua negara Sarajevo dan Istanbul. 

Katanya, Poto Travel juga akan terus meningkatkan perkhidmatan seperti penginapan,  pengangkutan dan makanan untuk memastikan pelanggan mendapat keselesaan yang lebih baik.

Mengulas berhubung perkembangan syarikat, sehingga pertengahan tahun ini sahaja Poto Travel telah membawa 5, 000 pelanggan ke seluruh negara.

“Bagi memperluaskan capaian kepada pelanggan, kami bakal membuka tiga cawangan baru di Seremban, Kuantan dan Kuching pada September ini.

“Dan pada masa akan datang akan membuka beberapa lagi cawangan lain di Pantai Timur seperti di Kelantan, Terengganu dan Pulau Pinang,” katanya.

Bonanza 3 menawarkan pakej pelancongan serendah RM1,499 hingga RM11,000.

-sinar harian

10 Exco Selangor angkat sumpah hari ini


KLANG - Seramai 10 orang Adun Pakatan Rakyat (PR) Selangor hari ini akan mengangkat sumpah sebagai Exco negeri itu bagi penggal 2013-2018.

Exco Selangor kali ini menampilkan empat calon muka baru dan enam calon yang dikekalkan untuk penggal ini.

Pas membariskan dua Adun muka lama iaitu Adun Chempaka, Iskandar Abdul Samad, Adun Selat Klang, Dr Halimah Ali dan Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi manakala calon muka, Adun Sabak, Sallehen Mukyi.

Manakala tiga Adun DAP terdiri dari Adun Sungai Pinang, Datuk Teng Chang Khim serta Adun Kota Shah Alam, Ganabatirau Veraman adalah Adun muka baru dan mengekalkan  Adun Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah.

Adun daripada PKR menampilkan seorang Adun muka baru Adun Sementa, Dr Daroyah Alwi dan turut mengekalkan Adun Batu Tiga, Rodziah Ismail serta Adun Bukit Lanjan, Elizabeth Wong.

Istiadat angkat sumpah, semua 10 Exco yang dipekenan Sultan Selangor  itu berlangsung tepat jam 9.30 pagi di Balairung Seri di hadapan  Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, di sini.

Adun Pas, Iskandar mengetuai barisan Exco memulakan istiadat angkat sumpah dan menerima surat perlantikan daripada Sultan Selangor.
 
Exco Selangor

Ahmad Yunus Hairi

dr-halimah-ali

Ean Yong Hian Wah
-Sinar Harian

Mior Tepati Ramalan Juara Kilauan Emas 3


SHAH ALAM: Peserta dari Selangor iaitu Mior Yazid Ahmad menepati ramalan apabila muncul sebagai juara program Kilauan Emas musim ketiga (KE3) yang berlangsung di Auditorium Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini pada malam Rabu.
Mior mendendangkan dua buah lagu iaitu Purnama dan sebuah lagu baharu ciptaan Adnan Abu Hassan berjudul Sampai Di Sini berjaya disampaikan dengan baik sehingga menambat hati juri dan pengundi menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
Juri profesional mewakili 70 peratus markah manakala penonton sebanyak 30 peratus.
Peserta berusia 44 tahun itu berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000 dan sebuah kereta Nissan Livina X-Gear sumbangan Astro yang bernilai RM90,000.
Mior turut memenangi Anugerah Khas Juri dan menerima wang tunai RM5,000.
Kesemua peserta akhir Kilauan Emas bergambar kenang-kenangan bersama hadiah masing-masing.
Mior ketika ditemui berkata, dia berhasrat untuk meneruskan karier nyanyian bersama kumpulan yang ditubuhnya sejak 25 tahun lalu iaitu Sixth Pack.
Jelasnya, masih belum terlambat untuknya bergerak aktif sebagai penyanyi dan mengangga program KE sebagai platform terbaik buat karier seninya.
"Mungkin akan bersama kumpulan saya untuk bergerak aktif kerana selesa bersama mereka," jelasnya.
Mior turut memberitahu dia masih belum mempunyai sebarang perancangan tentang wang kemenangannya itu.
"Saya tidak menyangka akan menang jadi belum mempunyai sebarang perancangan," jelasnya.
Sementara itu, tempat kedua menjadi milik peserta dari Kedah iaitu Idris Mohd Shabidin, 51, dan membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 berserta trofi.
Bagi tempat ketiga jatuh kepada Silahuddin Ali, 52, dan menerima hadiah berupa RM15,000 dan trofi.
Kesemua mereka diadili oleh tiga juri profesional iaitu Datuk Ramli MS, Datuk Shake dan Ziana Zain.
Manakala komposer Adnan Abu Hassan dan Siti Hajar bertindak sebagai guru vokal kepada para peserta.
Kilauan Emas akhir yang dihoskan oleh Raja Azura turut diserikan dengan persembahan daripada Datuk Shake, Ziana Zain, Ali Norpiah (Juara KE 1) dan Fuad (Juara KE 2).
-Mstar Online

Petronas: Jangan tunggu rakyat marah baru hendak berubah


KUALA LUMPUR: PAS menyarankan audit dilakukan terhadap prestasi kewangan dan ketelusan urus tadbir Petronas yang dilihat semakin tidak jelas hala tujunya.

Institut kajian dasar yang mempromosikan tatakelola dan pengurusan minyak, gas dan mineral secara berhemah dan bertanggungjawab, Revenue Watch Institute (RWI), meletakkan Malaysia di tempat ke 34 daripada 58 negara, dengan jumlah markah sebanyak 46 peratus dalam pengurusan hasil minyak dan gas negara.

Kedudukan itu dikeluarkan dalam terbitan terbaru Resource Governance Index (RGI) bagi tahun 2013.

Kedudukan ini jauh lebih rendah dari negara-negara jiran seperti Timor Leste, (13), Filipina (23), dan Indonesia (14).

Malah Mongolia berada di kedudukan yang lebih tinggi iaitu di tempat ke 26.

Pada 2010, Malaysia memperoleh markah sebanyak 48.4 peratus dalam kajian yang sama oleh RWI dan Transparency International (TI).

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, maklumat berkaitan bajet tahunan Petronas, sama ada di sektor huluan ataupun hiliran sukar diperoleh serta tidak jelas.

"Anggaran kasar menunjukkan bahawa Petrnas membelanjakan kira-kira RM35 hingga 40 billion setiap tahun untuk projek-projeknya.

"Angka ini jauh lebih besar daripada kementerian-kementerian penting dalam kerajaan seperti Kementerian Pendidikan dan Kesihatan.

"Malangnya rakyat serta wakil-wakil mereka di Parlimen tidak pernah diberi peluang untuk meneliti sama ada dana yang sebesar itu telah dibelanjakan dengan penuh tanggungjawab dan amanah," katanya pada sidang di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini.

Beliau juga berkata, maklumat tentang kriteria-kriteria yang diguna pakai ketika membuat penilaian tender untuk penganugerahan kontrak-kontrak juga tidak jelas.

"Sistem perlesenan dan pendaftaran vendor dan kontraktor yang tidak telus dan seolah-olah sengaja dipersulit jelasa memberi kelebihan kepada syarikat-syarikat yang menjadi kroni-kroni pemerintah BN dan pengurusan tertinggi Petronas untuk membolot kontrak-kontrak yang lumayan ini.

"Sistem perlesenan ini juga telah gagal menyediakan tapak dan peluang, malah menjadi penghalang bagi kontraktor-kontraktor baru dan kecil tempatan untuk berkembang dalam industri minyak dan gas," kata bekas ahli Parlimen Kuala Selangor itu.

Kontrak Petronas berlegar di kalangan kroni

Selain itu, Dzulkifly juga mempersoal tindakan Petronas yang mengagihkan kontrak kepada syarikat kroni sahaja seperti SapuraKencana, Dialog, Petra dan Scomi.

Di kalangan syarikat-syarikat antarabangsa pula katanya, kontrak dibolot oleh syarikat seperti Schlumberger, Halliburton, Technip, Petrofac dan TransOcean yang diketahui rapat dengan pengurusan tertinggi Petronas.

"Sehingga dalam banyak keadaan menyekat peluang kontraktor-kontraktor tempatan sama ada milik bumiputera atau bukan bumiputera. Datuk Seri Najib seolah-olah berlepas tangan, malah merestui amalan-amalan yang tidak telus ini," katanya lagi.

Petronas juga memperkenalkan konsep baru dalam menganugerahkan kontrak bagi membangunkan medan-medan minyak bersaiz kecil yang dipanggil Risk Service Contract (RSC).

Pemenang-pemenang kontrak RSC ini terdiri daripada syarikat yang sama iaitu SapuraKencana, Dialog, Petra dan sebagainya.

Kontrak-kontrak dalam pusingan-pusingan awal RSC sememangnya diadakan secara tender terbuka tetapi kriteria-kriteria untuk menetapkan pemenang-pemenang kurang jelas.

"PAS difahamkan tidak lama lagi satu lagi kontrak RSC akan diumumkan untuk membangunkan medan minyal Bubu di perairan Terengganu dan bakal pemenangnya adalah salah satu daripada syarikat kroni yang dinamakan.

"Apa yang lebih mendukacitakan, untuk pusingan ini, tiada tender terbuka dibuat. Kontrak bakal diberi secara runding terus," katanya.

-Harakah Daily

Raja Muda Berbasikal Temui Rakyat



KANGAR, 29 Mei (Bernama) -- Hampir setiap minggu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mencemar duli dengan berbasikal menjelajahi serata pelusuk negeri untuk bertemu rakyat jelata.

Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) tidak berkayuh dengan tangan kosong sebaliknya membawa sumbangan zakat kepada asnaf terpilih termasuk warga emas.

Kegiatan berbasikal bersama ketua-ketua jabatan itu adalah pengisian bagi program MAIPs Peduli.

Dalam kegiatan terbaru, baginda berbasikal sejauh 14 kilometer yang bermula dan berakhir di Masjid Al Muqarrabin, Behor Empiang dekat Kangar, Rabu, menjelajah kampung-kampung di kawasan Kechor dan Abi untuk bertemu golongan asnaf.

Antara mereka ialah dua warga emas, Embun Muhammad berusia 102 tahun, dan Abu Bakar Kasa, 83, yang masing-masing menerima RM400.

Hadir pada majlis penyampaian sumbangan zakat kepada kedua warga emas itu di kediaman masing-masing ialah anggota dewan undangan negeri kawasan Bintong, Rela Ahmad yang juga Ketua Wanita UMNO Perlis.

Seorang penerima zakat Othman Rashid, 54, berkata, program MAIPs Peduli memberi kesan mendalam kepada masyarakat.

Katanya, kehadiran baginda ke kampung-kampung dengan berbasikal membuktikan sikap rendah diri baginda malah ini merupakan antara transformasi yang dibawa baginda dalam MAIPs.

Setiap kali selepas berbasikal, baginda menyertai anak kariah masjid untuk solat berjemaah.

--BERNAMA

MAS Kurangkan Kerugian, Jangka Pendapatan Interline Akan Terus Meningkat




KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Penambahbaikan yang begitu signifikan dalam operasinya telah menyaksikan Malaysia Airlines mengurangkan kerugian operasinya sebanyak 46 peratus kepada RM165 juta dalam tempoh suku pertama berakhir 31 Mac, 2013, daripada kerugian RM307 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Prestasi yang lebih baik ini diperlihatkan dalam berhadapan dengan keadaan ekonomi yang lemah di mana syarikat penerbangan itu mencatatkan peningkatan 17 peratus dalam aliran penumpang, 14 peratus pendapatan dan faktor muatan tempat duduk yang lebih tinggi iaitu 76.6 peratus.

Pendapatan meningkat kepada RM3.545 bilion daripada RM3.114 bilion sementara kerugian pracukai menambah kepada RM278.457 juta berbanding kerugian pracukai RM169.33 juta, demikian menurut kenyataan dari syarikat dan juga kepada Bursa Malaysia.

Syarikat penerbangan itu mencatatkan imbangan tunai yang positif iaitu RM147 juta hasil daripada aktiviti operasinya dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini berbanding pegangan tunai yang negatif RM202 juta dalam tempoh yang sama sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ahmad Jauhari Yahya berkata statistik operasi yang kukuh dan mencatatkan tarikan menggalakkan untuk meningkatkan jumlah penumpang serta pertumbuhan.

"Ini telah membolehkan kami menjana imbangan tunai yang positif," katanya.

Bagaimanapun, kami mempunyai banyak tugas yang perlu dilakukan untuk menyelaraskan kos dan pendapatan, untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan serta menambahbaik perolehan," katanya dalam satu kenyataan.

Bergerak ke hadapan, Ahmad Jauhari berkata kumpulan menjangkakan pendapatan "interline" akan terus meningkat kerana lebih ramai yang dapat mengetahui mengenai Malaysia menerusi "oneworld".

"Menyertai sekutu ini adalah platform yang baik untuk meluaskan jangkauan dan jenama kami," tambah beliau.

-- BERNAMA

Tuesday, May 28, 2013

Senarai Blog Popular dari Denaihati


Berikut adalah adalah 23 blog popular yang disenaraikan di blog Denaihati. Masih jauh lagi perjalanan blog ini untuk menjejaki blog-blog yang tersenarai. Banyak lagi homework kena buat, kena rajin, konsisten dan banyak sekali pengorbanan, apapun yang pasti biar kita enjoy berblogging dan semua dapat manfaat dari blog kita.

Senarai Top 23 Blog Malaysia Paling Popular mengikut katogeri
  1. Paultan.org (Blog Automotif/PR4)
  2. Shahabudeenjalil.com (Blog Bisnis/PR3)
  3. Honeykoyuki.blogspot.com (Blog Selebriti/PR3)
  4. Kucing.my (Blog CSR/PR1)
  5. iluvislam.com (Blog Pendidikan/PR4)
  6. ohbulan.com (Blog Hiburan/PR4)
  7. Koleksi1001resepi.com (Blog F&B/PR2)
  8. All-aboutiphone.blogspot.com (Blog Gadget/PR0)
  9. Rotikaya.com (Blog Gossip/PR3)
  10. Ninieahmad.com (Blog Kesihatan/PR3)
  11. Founder.limkokwing.net (Blog Inovasi/PR5)
  12. Eqbalzack.com (Blog Lifestyle/PR3)
  13. Yunainspired.com (Blog Musik/PR3)
  14. Danielzaidi.com (Blog photography/PR2)
  15. Chedet.cc (Blog Politik/PR5)
  16. Kznabihah.com (Blog Shopping/PR2)
  17. World-superbikes.blogspot.com (Blog Sukan/PR1)
  18. Placesandfoods.com (Blog Travel/PR3)
  19. Inianwarhadi.com (Blog Video/PR2)
  20. Fukkenlol.blogspot.com (Blog Jenaka/PR1)
  21. Hazrey.com (Blog Vocal/PR2)
  22. Bicaramakdara.com (Blog Terburuk/PR2)
  23. Ariffshah.com (Upcomimg Blogger/PR4)

Lebihan penonton di stadium tangguhkan perlawanan Piala FA antara Pahang-Johor DT


28/05/2013 10:32pm

KUANTAN - Sepak mula perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dengan Johor Darul Takzim (Johor DT) ditangguhkan seketika ekoran lebihan penonton yang memasuki Stadium Darul Makmur, Kuantan.
Jumlah penonton yang memasuki stadium tersebut melebihi kapasiti tempat duduk iaitu 40,000 orang, hinggakan sebahagian besar daripada penonton dilihat memenuhi kawasan trek stadium berkenaan.
Perlawanan tersebut dijadualkan bermula pada pukul 8.45 malam. Sekitar pukul 9.50 malam tadi, barulah kelibat pegawai pertandingan dilihat memasuki padang.
Kira-kira pukul 10.05 malam, Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Jasmani Yusoff meyakinkan orang ramai yang memenuhi stadium dengan mengumumkan bahawa perlawanan selamat untuk dilangsungkan. Bagaimanapun, kekecohan berlaku pula di tempat duduk penyokong Johor DT akibat balingan objek dari luar stadium.

- KOSMO!

Perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang-Johor DT ditangguh ke tarikh lain


28/05/2013 10:45pm

KUANTAN - Penonton perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dengan Johor Darul Takzim (Johor DT) ditangguhkan ke tarikh lain berikutan keadaan di stadium yang terlalu sesak dan dikhuatiri tidak selamat.
Ribuan penonton, sama ada yang hadir di Stadium Darul Makmur mahupun yang mengikuti siaran langsung di televisyen, hampa apabila perlawanan tersebut telah tertangguh hampir dua jam walaupun usaha pengurusan dan kawalan cuba dijalankan pihak berkuasa.
Kekecohan ditambah pula dengan insiden balingan objek dari luar stadium hingga membahayakan kumpulan penyokong Johor DT. - KOSMO!

kosmo online

KWSP Kekal Polisi Benar Keluar Simpanan Persaraan Pada Usia 55 Tahun


KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengekalkan polisi membenarkan ahlinya mengeluarkan keseluruhan simpanan persaraan mereka pada usia 55 tahun walaupun umur persaraan penjawat awam dinaikkan kepada 60 tahun.
Bagaimanapun, KWSP menggalakkan pencarum mengamalkan pengeluaran caruman secara fleksibel berbanding sekali gus, yang boleh mengundang pembaziran.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata langkah pengeluaran secara fleksibel itu diperkenal bagi membantu anggota KWSP mengurus perbelanjaan mereka selepas bersara.
"Sebelum ini, kebanyakan ahli mengeluarkan wang secara sekali gus. Seperti yang anda sedia maklum, adalah sukar untuk mengurus dan menyimpan wang berkenaan dalam tempoh tiga hingga lima tahun selepas bersara," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.
Beliau berkata pihaknya sedang mempergiat usaha menggalakkan pencarum melakukan pengeluaran fleksibel serta memberi kesedaran berhubung kepentingan merancang kewangan selepas tamat perkhidmatan.
Shahril Ridza berkata setakat ini, sambutan terhadap pengeluaran caruman secara fleksibel di kalangan ahli adalah memberangsangkan.
"Jangka hayat sekarang ini semakin panjang sehingga 76 atau 77 tahun. Dan jika semua wang telah dikeluarkan, mereka akan hanya ada baki caruman lima tahun untuk menampung kewangan selepas bersara (pada usia) 60 tahun," katanya.
Pada suku pertama tahun ini, sebanyak 43,775 permohonan pengeluaran fleksibel umur 55 tahun bernilai RM1.66 bilion diluluskan KWSP berbanding RM1.50 bilion bagi tempoh sama tahun lepas.
Pada suku pertama 2013, sejumlah 481,603 pengeluaran dibuat ahli berbanding 451,194 bagi tempoh sama tahun lepas, naik 6.74 peratus.
Pengeluaran yang diluluskan pada suku pertama 2013 meningkat 3.54 peratus kepada RM8.77 bilion daripada RM8.47 bilion bagi 2012.
Pada 31 Mac, 2013, sejumlah 13.69 juta orang berdaftar dengan KWSP dan daripada jumlah itu, 6.41 juta adalah ahli aktif yang masih mencarum untuk persaraan mereka berbanding 13.26 juta orang dengan 6.28 juta ahli aktif pada suku yang sama pada 2012.
Jumlah majikan berdaftar ialah sebanyak 509,139 pada suku pertama 2013, meningkat 3.26 peratus berbanding 493,066 bagi tempoh sama tahun lepas.

 -BERNAMA

Bot Karam Dipercayai Terlebih Muatan - Pesurujaya Polis Sarawak

gambar bot sebelum karam


KUCHING: Berdasarkan siasatan awal, polis percaya bot ekspres yang karam di Sungai Rajang dekat Belaga pagi ini terlebih muatan dengan dinaiki lebih 200 penumpang, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.
Beliau berkata penumpang yang menaiki bot ekspres itu dengan muatan jauh melebihi jumlah yang dibenarkan iaitu 67 penumpang duduk dibuat berdasarkan cerita mangsa yang terselamat dalam insiden itu.
"Identiti mereka yang hilang masih samar kerana belum ada jumlah rasmi penumpang memandangkan pengusaha bot ekspres itu dipercayai tidak menyimpan senarai penumpang," katanya kepada Bernama.
Setakat ini laporan tidak rasmi menyebut 21 orang masih hilang manakala 181 orang lagi berjaya berenang menyelamatkan diri apabila bot ekspres itu terhempas ke batu kira-kira 40 minit selepas meninggalkan pekan Belaga.
Beliau berkata anggota polis, yang terdiri daripada pasukan mencari dan menyelamat, masih berada di tempat kejadian dan sebarang maklumat tepat atau pengesahan berhubung jumlah sebenar mangsa hanya dapat diketahui dalam beberapa jam lagi.
gambar bot semasa karam

-BERNAMA

Bot Ekspres Karam Di Jeram Berbahaya - Adun Belaga



KUCHING: Lokasi bot ekspres dipercayai membawa lebih 200 penumpang yang karam pada Selasa terkenal kerana mempunyai jeram yang dalam dan berbahaya, kata Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Belaga Liwan Lagang.
Beliau berkata terdapat batu besar di dalam sungai itu di Giam Tukok, iaitu kira-kira 40 minit perjalanan menghilir sungai dari bazar Belaga, dan sehingga malam ini kira-kira 21 penumpang masih hilang.
Bercakap kepada Bernama ketika dihubungi di Belaga, beliau berkata berdasarkan cerita mangsa yang terselamat, satu daripada batu besar di dalam sungai itu mengakibatkan bot ekspres yang sarat muatan itu menjadi senget dan akhirnya karam.
"Saya diberitahu oleh seorang daripada mangsa yang terselamat bahawa pemandu bot sebelum itu cuba mengelak daripada melanggar sebatang balak yang terapung di sungai dan ketika berbuat demikian, bahagian belakang bot itu terlanggar batu besar itu dan mengakibatkannya gagal dikawal serta menjadi senget," katanya.
Liwan, yang juga Menteri Muda Kebudayaan dan Warisan Sarawak, berkata beliau secara kebetulan sedang menaiki helikopter melintasi kawasan itu dari Sungai Asap, Belaga, apabila ternampak bot ekspres itu mula karam.
Beliau kemudian meminta juruterbang untuk mendaratkan helikopter itu di kawasan berdekatan tempat kejadian sebelum mengelolakan penduduk kampung dari dua rumah panjang di kawasan itu untuk menyelamatkan kira-kira 30 penumpang dan pada masa sama ada antara penumpang terbabit berjaya berenang menyelamatkan diri.
Keseluruhannya, polis Belaga mengesahkan 181 penumpang terselamat dalam tragedi itu dan menurut Liwan, antara mereka adalah kanak-kanak.
"Menurut kiraan saya terdapat lebih daripada 10 (kanak-kanak) yang menaiki bot itu memandangkan mereka mengikut keluarga masing-masing untuk cuti Gawai," katanya.
Liwan, yang berada kira-kira tiga jam bersama mangsa yang terselamat, memberitahu Bernama beliau akan bermalam di Belaga dan terus membantu pihak berkuasa yang berkenaan dalam operasi mencari dan menyelamat.
Setakat 8 malam ini, Ketua Polis Daerah Belaga DSP Bakar Sebau, gagal dihubungi untuk mengesahkan sama ada operasi itu dihentikan malam ini.

 -BERNAMA

Jeti Merang dinaik taraf- YDP Majlis Daerah Setiu



Oleh; Esah Abdullah

Jeti Merang akan dinaik taraf menjadi kompleks jeti Merang dengan anggaran kos berjumlah RM14.7 juta.

Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu, Encik Johan Ibrahim berkata, kerja-kerja pembinaan kompleks jeti berkenaan akan bermula Oktober depan dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun. 

“Apabila kompleks berkenaan siap ia akan menempatkan terminal jeti untuk feri dan bot ke Pulau Redang dan Pulau Lang Tengah,” katanya.

 Menurutnya, kompleks ini juga akan mempunyai ruang perniagaan dan tempat menunggu yang selesa di samping dataran ketibaan dan kaunter tiket.

Tambahnya, usaha menaik taraf jeti ini selaras dengan status jeti sebagai laluan utama ke beberapa pulau peranginan di negeri ini.





-Teganu Kita

SEPI SEORANG PENGGIAT SENI BERTUKAR GEMBIRA MENERIMA KUNJUNGAN EXCO, DATO' MOHD JIDIN


Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Kehidupan ini penuh dengan ujian, kadang-kadang di saat kita bergembira tiba-tiba sahaja duka datang bertandang.

Begitulah dengan Mazlan Zakaria, 53 tahun seorang aktivis seni dan budaya yang kini terlantar disebabkan penyakit kronik.


Pejuang seni budaya, khususnya teater yang sedang bertarung dengan penyakit kencing manis, hari ini begitu terharu dan gembira menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan negeri, Dato’ Haji Mohd Jidin Shafee, di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
 Dato’ Haji Mohd Jidin meluangkan masa kira-kira setengah jam untuk bertanya khabar dan menyampaikan sumbangan peribadi kepada aktivis teater yang pernah menjadi juara Bakat TV tahun 1990 an iaitu bersama kumpulannya yang dinamakan sebagai Pak Su (Mazlan) dan Pak Da (Azmi).

 Dato’ Mat Jidin menyifatkan aktivitis budaya dan seni adalah merupakan golongan yang turut menyumbang peranan kepada negeri yang juga perlu diberi perhatian, lebih-lebih lagi bila mereka dalam keadaan uzur. 

Turut hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, YB Bazlan Abdul Rahman dan Adun Jabi, YB Mohd Iskandar Jaafar.

 Mazlan yang aktif di bidang teater sejak di bangku sekolah dan kemudian menyertai Ruang Teater Tamu dan seterusnya menyertai perkumpulan teater Komputer Beliau memberitahu, mengalami penyakit tersebut sejak kira-kira 10 tahun yang lalu dan kini kaki kanannya telah dipotong kerana mengelak jangkitan kuman. 

‘Saya akan meneruskan perjuangan seni saya hingga ke akhir hayat selagi ada kemampuan,’ katanya yang amat mencintai bidang tersebut dan berkebolehan meniup sunai Melayu dengan pelbagai irama.

 “Kunjungan YB Dato’ amat mengharukan saya, juga saya anggap sebagai pengiktirafan kepada penggiat seni seperti saya ini,” katanya dengan nada suara putus-putus.

 Isterinya Asmah Sulong 47, mengucap terima kasih atas kunjungan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu kepada suaminya yang sedang terlantar itu. Hasil perkongsian hidup, mempunyai tujuh orang anak dan dua orang cucu dan 3 anak masih bersekolah. 





-Teganu Kita

Barcelona gembira keputusan Neymar



BARCELONA - Jurulatih dan para pemain Barcelona cukup teruja dengan keputusan Neymar untuk menyertai kelab Catalan itu sekali gus mengetepikan musuh tradisi mereka, Real Madrid.
Pemain berusia 21 tahun itu bersetuju menyertai Barcelona selama lima musim dan menolak tawaran yang lebih lumayan dari Real Madrid.
"Kami mahu mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Neymar yang memilih kami atas dasar gaya permainan bola sepak dan bukannya kerana faktor ekonomi," kata pengurus Barcelona, Tito Vilanova.
Pengumuman Neymar itu datang sehari selepas Santos berkata, mereka telah menerima tawaran daripada Barcelona serta Real dan menyerahkan kepada pemain antarabangsa Brazil itu membuat pilihan.
"(Neymar) memilih Barcelona kerana dia percaya mampu menyesuaikan diri dengan gaya permainannya.
"Jika dia memilih faktor kewangan, Barcelona tidak mempunyai apa yang dia mahukan dan saya yakin dia mampu bermain dengan baik di Eropah serta membantu kami menjadi sebuah pasukan yang lebih hebat," kata Vilanova.
Vilanova melabelkan Neymar sebagai pemain yang dicari-carinya selama ini sambil menafikan keraguan sama ada bintang yang semakin bersinar mampu menyesuaikan diri di samping Lionel Messi.
"Jika mereka mengatakan Neymar adalah pemain yang terkenal di laman web Youtube, itu adalah satu pujian kerana dia adalah pemain bola sepak yang hebat serta mampu menjaringkan banyak gol menarik.
"Menjadi satu impian mana-mana jurulatih mempunyai sebuah barisan serangan yang lengkap sebegini dan memberikan banyak pilihan kepada saya dalam usaha memenangi perlawanan.
"Sekarang saya perlu menggabungkan mereka semua dalam langkah yang betul seperti mana sebelum ini serta memahami cara mereka bermain," katanya.
Barcelona meraih kejuaraan liga buat kali keempat dalam lima musim tetapi mereka dimalukan dengan agregat 7-0 oleh Bayern Munich dalam dua pertemuan separuh akhir Liga Juara-Juara musim ini.
Kehadiran Neymar cukup menggembirakan pertahanan dan rakan senegara, Dani Alves yang berkata, pemain itu bukannya pemain bintang pop dan David Villa pula menganggap adalah satu berita baik kepada para penyokong Barcelona.
Presiden Barcelona, Sandro Rosell yang turut mendapat pujian kerana menjadi watak penting memujuk Neymar ke Sepanyol berkata, masih belum dapat ditetapkan tarikh memperkenalkan pemain Brazil itu kepada pihak media.
Walaupun begitu, dia tidak mahu lain-lain pihak menganggap kejayaan mendapatkan Neymar sebagai satu kemenangan kepada Real Madrid.
''Kami tidak mahu mendapatkan pemain semata-mata mahu menunjukkan siapa lebih berpengaruh serta mengganggu perancangan pihak lain tetapi adalah untuk meningkatkan lagi kualiti pasukan," katanya. - AGENSI


-Utusan online

Kes khalwat satu perangkap - Shahz Jaszle



KUALA LUMPUR 28 Mei - Pelakon, Shahz Jaszle, 25, yang baru-baru ini ditangkap khalwat enggan mengulas panjang berhubung kes itu kerana tidak mahu mengganggu proses mahkamah.
Namun katanya, dia merasakan kes khalwat itu seperti sesuatu yang dirancang.
“Diam bukan kerana saya mengaku bersalah, sebaliknya perkara ini seperti satu perangkap yang dilakukan untuk menganiaya saya.
“Kedua-dua belah keluarga menerima penjelasan yang diberikan dan mereka sebenarnya lebih mengenali siapa saya," katanya ketika ditemui di set penggambaran drama Iman Nabila di sini hari ini.
Terdahulu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah mengesahkan bahawa Shahz Jaszle ditahan oleh Bahagian Penguatkuasaannya di Apartment Taman Sri Subang dekat sini pada 3.30 pagi 16 Mei lalu
Mengulas tentang hubungan dengan tunangnya, Redzwani Puteri, 25, jelasnya, mereka masih baik.
“Tiada sebarang masalah, malah penjelasan sebenar tentang keadaan yang berlaku telah diberikan kepadanya.
“Saya bersyukur kerana memiliki Redzwani sebagai tunang yang sangat matang dalam berfikir dan tidak membuat keputusan terburu-buru," ujarnya yang sudah merancang untuk bernikah sekitar hujung tahun ini.


-utusan Online

Monday, May 27, 2013

Teh LIBIDO di Sri Lanka


SECAWAN teh Ceylon panas biasanya dijadikan minuman untuk meredakan tekanan dan merehatkan diri pada waktu petang. Bagaimanapun, teh berkualiti mewah dari Sri Lanka itu kini dikaitkan sebagai minuman perangsang nafsu berahi seseorang membuatkan permintaannya semakin melonjak di pasaran.
Eksport teh Ceylon semakin tinggi sedangkan sebelum ini di sesetengah tempat di Sri Lanka sendiri adakalanya orang ramai lebih gemar menikmati air kosong berbanding teh.
"Kami menekankan kebaikan teh itu yang memberi kebaikan kepada anda di tempat tidur," ujar Rohan Fernando yang menjual 60 gram teh Ceylon premium pada harga AS$350 (RM1,057).
"Teh sejak dulu menjadi minuman untuk orang kurang berkemampuan. Kami mahu mengubah persepsi itu untuk menjadi teh Ceylon teh premium di dunia," tambahnya.
Walaupun belum disahkan secara klinikal kaitan teh Ceylon meningkatkan libido atau nafsu berahi, tetapi kepercayaan itu semakin kuat dalam kalangan penggemarnya.

Kualiti teh putih
"Mereka yang biasa meminum teh ini akan dapat merasai kualiti teh putih dikenali sebagai Silver Tips dan Golden Tips. Ia mula mendapat perhatian daripada usahawan dari China dan orang kaya dari Arab Saudi dan Jepun," kata Fernando.
Tidak seperti teh ortodok yang lain, teh putih itu dipetik daripada tunas teh yang dikeringkan di bawah matahari. Proses itu berlanjutan sehingga ia bertukar menjadi warna keemasan atau keperangan.
Ketika berada di kilangnya yang terletak di bandar Kandana, Fernado menjelaskan teh tersebut tidak hanya baik untuk kesihatan batin.
Teh tersebut mengandungi folifenol, flavonoid dan antioksida yang dipercayai meningkatkan sistem imun dan peredaran darah.
Pembuat teh terkenal, Herman Gunaratne berusaha untuk memperkenalkan teh keluarannya yang dikatakan teh 'putih suci' kerana ia langsung tidak disentuh oleh tangan. Berbanding dengan penghasilan teh biasa yang menggunakan tenaga manusia ketika memetik teh dari ladang.
Harga pasaran teh itu yang dijual di Mariage Freres, Paris berharga AS$88 (RM265) untuk 20 gram iaitu bersamaan dengan AS$4,400 (RM13,296) sekilogram.
"Teh putih suci saya mengandungi 10.11 peratus antioksida. Ia menjadikan teh ini sebagai minuman yang mempunyai tahap antioksida yang tinggi berbanding jenama lain. Apabila kesihatan tubuh sihat secara menyeluruh, bermakna tahap kesihatan batin anda akan meningkat dengan sendirinya," ujar Herman.

Teh bukan tumbuhan asli di Sri Lanka, ia mula popular hanya selepas warga Scotland, James Taylor menanam benih pertama jenis Camellia Sinensis di situ. Sehingga kini ia menjadi sumber eksport utama Sri Lanka. Tahun lalu, tanaman teh membawa keuntungan sebanyak AS$1.5 bilion (RM4.53 bilion).
Sri Lanka juga menjalankan lelongan teh mingguan terbesar di dunia dengan lima hingga enam juta kilo telah bertukar tangan.
Herman merupakan salah seorang yang menjalankan usaha murni dalam mengekalkan reputasi Sri Lanka sebagai pengeluar teh bersih. Ia merangkumi produk bebas racun perosak dan bahan pencemar yang lain.
Dia juga mahu melihat lebih banyak teh berkualiti tinggi berbanding eksport tradisional yang dijual dengan harga murah.
"Kami perlu untuk menjenamakan semula teh kami. Ia mempunyai potensi untuk meningkatkan pendapatan teh dalam negara," ujarnya.
Kempen pemasaran
Lembaga Teh Sri Lanka sedang dalam usaha untuk melakukan kempen pemasaran antarabangsa buat julung-julung kalinya. Kempen itu akan mempromosi kebaikan teh kepada kesihatan yang terdapat dalam secawan teh berkualiti tinggi.
Pengarah Lembaga, Hasitha de Alwis berkata, buat masa ini hanya 42 peratus hingga 43 peratus teh Ceylon dieksport dalam paket kurang tiga kilogram setiap satunya. Ia bakal ditingkatkan kepada 60 peratus dalam jangka masa lima tahun akan datang.
Ketua firma broker teh Sri Lanka Asia Siyaka Commodities, Anil Cooke bersetuju bahawa teh Ceylon perlu dinaik taraf ke peringkat global dengan memberi fokus kepada peningkatan kepada nilainya.
"Ia telah dilakukan secara kecil-kecilan oleh beberapa syarikat, tetapi langkah itu boleh diperbesarkan lagi," ujar Anil.
Walaupun telah mengurangkan pengutipan daun teh daripada 20,000 kepada 2,000 kilogram dalam masa sehari, produk berkualiti tinggi Gunaratne terjual sepuluh kali ganda berbanding teh biasa.
"Sejak bertukar kepada teh berkualiti tinggi, saya mendapat pulangan berlipat kali ganda," ujar Herman. - AFP
-Kosmo Online

Tuah terlalu kacak, wanita misteri beri Mercedes


OTTAWA - Seorang lelaki  yang dilaporkan pernah dibuang negeri dari Arab Saudi kerana terlalu kacak mendapat tuah yang tidak disangka apabila menerima sebuah kereta Mercedes daripada peminat misterinya.

Omar Borkan al-Gala, 23, pernah dibuang dari negara asalnya kerana terlalu kacak hingga dibimbangi akan menarik perhatian ramai wanita.

Namun, beliau bijak menggunakan kelebihan yang ada padanya dengan memilih kerjaya sebagai model.

“Saya menerima hadiah Mercedes G55 sempena sambutan harijadi saya daripada seorang wanita misteri,” katanya kepada majalah In Touch.

Selain menerima hadiah, Omar juga dikatakan kini mula membina tapak dalam kerjaya lakonan apabila membintangi sebuah filem pendek bersama bintang terkenal Navid Negahban.

-sinar harian

Ada minyak dalam telaga di Tumpat, Kelantan


TUMPAT - Tiga sekeluarga di Kampung Baru Pasir Pekan di sini, terkejut apabila telaga yang digunakan sejak 30 tahun mengeluarkan minyak dipercayai petrol.

Kejadian itu disedari Zulnurain Ahmad, 28, ketika membersihkan telaga di rumahnya dua minggu lalu.

“Semasa saya ceduk air telaga dengan timba, saya nampak air telaga ini berminyak dan berbau seperti minyak petrol.

“Pada mulanya saya tidak mengesyaki apa-apa tetapi selepas ditapis ia seakan minyak petrol,” katanya.

Lebih meyakinkan Zulnurain, minyak yang diambil dari telaga itu apabila dituangkan ke dalam tangki mesin rumput, ia berfungsi dan apabila dicucuh api, ia terbakar.

 
Air telaga berbau minyak petrol

Dengan penemuan itu, misteri air telaga Zulnurain berbau minyak petrol selama empat bulan lalu terjawab.

Zulnurain berkata, dia amat risau keselamatan keluarganya kerana telaga tersebut berada di dalam rumah.

“Saya ada anak kecil berusia lapan bulan, bau petrol dari telaga itu memenuhi ruang rumah saya.

“Bukan sahaja mendatangkan pencemaran bau, tetapi boleh mengundang kebakaran dan  memudaratkan kesihatan  saya kerana air telaga itu sudah tercemar,” katanya.

Zulnurain berkata, sejak penemuan minyak itu, hampir 100 liter minyak dipercayai  petrol berjaya dikumpulkan dan diletakkan dalam tangki mesin rumput.


Dua telaga  jiran Zulnurain turut terlibat

Tinjauan Sinar Harian di kampung tersebut mendapati dua lagi telaga iaitu di rumah Nik Yusof Nik Salleh, 75, dan Ahmad Othman, 69, turut berbau minyak petrol dan airnya berminyak.

Didapati telaga milik Nik Yusof yang berada di belakang rumahnya seperti ada mata air bercampur minyak membuak keluar dari celah kerek telaga itu.

Dari mana minyak ini datang terus menjadi misteri, bagaimanapun tinjauan wartawan mendapati kira-kira 200 meter dari kediaman mereka, beroperasi sebuah stesen minyak.

Khuatir disambar api

Isteri Ahmad, Salbina Mohamad, 46, berkata, sejak dia mengetahui telaganya bercampur dengan minyak dipercayai petrol, dia tidak memasak khuatir disambar api.

“Permukaan telaga saya yang terletak di dalam rumah dipenuhi dengan minyak, saya khuatir ia disambar api ketika saya sedang memasak,” katanya.

Menurutnya, akibat meminum air telaga tersebut, suaminya Ahmad sakit, namun alhamdulillah  semakin pulih selepas berhenti menggunakan air dari telaga itu.

Lapor kepada Jabatan Alam Sekitar

Salbina berkata, masalah air telaga bercampur minyak di percayai petrol sudah dimaklumkan kepada Jabatan Alam Sekitar.

“Kami harap masalah ini dapat diselesaikan segera kerana ia melibatkan keselamatan kami tiga sekeluarga di sini.

“Bila-bila masa sahaja kebakaran boleh berlaku, sekiranya ada puntung rokok tercampak dalam telaga ini, atau apa sahaja sumber api berada berhampiran telaga ini,” katanya.

-Sinar Harian

Saturday, May 25, 2013

Ustaz Azhar Idrus (UAI) kahwin lagi...

Acara makan beradab

Hari dapat gambar di Facebook, Ustaz Azhar Idus penceramah terkenal telah berkahwin seorang lagi. Ini adalah isteri ketiga beliau.

Tahniah dan moga perkahwinan kekal ke akhir hayat dan menjadi contoh kepada anak muda.

Kantoi Curi 'Nescafe' Dalam Seluar Dalam di Besut


JERTIH - Seorang lelaki yang kantoi selepas cuba mencuri tiga bungkus kopi menerima akibatnya apabila bukan sahaja terpaksa menahan sakit dibelasah orang ramai tetapi turut menanggung malu kerana diikat pada sebatang tiang elektrik.

Lelaki berusia 46 tahun dari Kampung Air Tawar, dekat Kampung Raja itu diikat di tepi jalan Kuala Besut –Jertih dekat Kampung Dengir, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, suspek ditangkap penduduk kampung selepas perbuatannya di sebuah kedai runcit depan Masjid Kampung Dengir disedari pemilik kedai terbabit.

Pemilik kedai runcit yang hanya mahu dikenali sebagai Na, 23, berkata, dia yang ketika itu seorang diri di dalam kedai ternampak suspek memasukkan bungkusan berkenaan ke dalam seluar dalamnya.


Menurutnya, menyedari perbuatan suspek, dia keluar memberitahu beberapa lelaki yang kebetulan berada di kedai berhampiran.

“Selepas mengambil barangan curi itu, dia datang ke kaunter untuk membayar sebatang aiskrim berharga 50 sen dan ketika itu saya bertanya kepadanya apa yang dia curi, namun dia tidak mengaku,” katanya.

Menurutnya, sejurus kemudian penduduk kampung keluar beramai-ramai dan menangkap suspek.

"Bimbang suspek meloloskan diri, penduduk kampung terpaksa mengikatnya pada sebatang tiang elektrik sebelum menyerahkannya kepada polis," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan suspek ditangkap oleh orang awam dan diserahkan kepada polis.

"Barang yang dicurinya dirampas dan saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphertamine (pil kuda).

"Suspek ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.

-sinar harian

Get the lowest PRICE booking by ONLINE

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...