nuffnang adv

lazada adv

Friday, July 18, 2014

MH17: Kita sasaran teori konspirasi?


SAYA sedang menelaah buku Deadly Mist lewat malam semalam ketika telefon berkicau memberitahu Malaysia dilanda musibah terbaharu.

INNALILLAHIWAINNAILAIHIROJIUN!

Pesawat MAS Boeing 777 yang bawa 298 nyawa, ditembak jatuh di Ukraine.

Mungkin kerana terlalu dipengaruhi Jerry D Gray bahawa ada manusia tamak kuasa yang sanggup lakukan apa sahaja termasuk membunuh berjuta-juta nyawa tidak berdosa untuk kuasa dan wang, saya teringat kenyataan PM Najib siangnya bahawa beliau baharu sahaja menerima panggilan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.

Kata Najib, beliau telah memberi jaminan kepada Abbas bahawa Malaysia akan terus menyokong perjuangan rakyat Palestin menentang rejim Zionis yang kini sedang kemaruk darah di Gaza.

Lalu tanpa diminta oleh sesiapa, fikiran saya langsung merangkumkan kedua-duanya - tulisan Jerry D Gray yang saya baca dengan kenyataan Najib mengenai Palestin/ Gaza.
Apakah tragedi di sempadan Ukraine - Rusia itu episod paling baharu dalam teori konspirasi?

Saya yakin Israel dan juga kuasa-kuasa besar yang menjadi pelobi Zionis tidak suka dengan sokongan Malaysia terhadap Palestin. Bukan sahaja kerajaannya, pasukan sukarelawan kita juga cukup aktif di Gaza.

Apakah kerana itu, kita jadi sasaran mereka? 

Saya curiga kalau yang merancang tragedi ini adalah ejen asing yang dihantar masuk ke dalam kumpulan pemisah Ukraine dengan tujuan mahu mengalih perhatian dunia terhadap apa yang sedang berlaku di Gaza.

Ya, ini hanya andaian saya tetapi andaian bukan sesuatu yang mustahil. Dan saya juga tidak menafikan saya mungkin telah dibawa ke alam mimpi oleh Jerry D Gray, seorang bekas tentera Amerika Syarikat (AS) yang berpaling tadah dan kini aktif membongkar rahsia New World Order (NWO) daripada persekongkolan pemimpin negaranya dengan Zionis.

Akan tetapi, kalau kita perhalusi, talian untuk mengaitkan tragedi MH17 dengan teori konspirasi, tidaklah terlalu halus.

Israel sememangnya pun tidak mahu dunia memberi perhatian terhadap Gaza untuk memudahkan lagi kerja pembantaian yang sedang mereka lakukan. Zionis tidak akan berpuas hati selagi mereka tidak mendapat keseluruhan tanah Palestin yang tinggal sekangkang kera itu dengan menghapuskan kesemua orang Arab di Gaza.

Minggu lalu, Zionis menyerang ketika dunia memberi tumpuan pada kemuncak World Cup di Brazil.

Mereka boleh melakukannya dengan lebih mudah jika dunia diheret ke dalam satu isu besar dan Gaza ditinggalkan sendirian seperti biri-biri yang terpisah dari kawanan untuk mereka ratah!

Selain itu, saya juga terfikir, Rusia punya hubungan baik dengan Malaysia walaupun tidak seakrab China. Dan seperti China, Rusia juga sedang berusaha untuk kembali bangkit menjadi kuasa pesaing AS. Seakan komplot yang bersiri, selepas China, Rusia pula diatur untuk bermasam muka dengan Malaysia.

Kita tahu dalam konflik dengan Rusia, Ukraine dilindungi oleh AS dan Ukraine juga awal-awal lagi sudah pukul canang bahawa yang menembak jatuh MH17 adalah kumpulan pemisah pro Rusia.

Rusia pula mengatakan MH17 menggunakan laluan yang sama dengan pesawat IL96 yang membawa Vladimir Putin dengan selang masa tidak sampai sejam. Mesej Rusia seakan mahu memberitahu tembakan itu disasarkan kepada pesawat yang membawa Putin.

Kekeliruan dikatakan berpunca daripada warna biru merah dan corak pesawat IL96 yang seakan sama kedua-duanya. Maka Ukraine pun dituduh!

Dalam sidang akhbar terawal jam 4 pagi semalam, PM Najib memberitahu beliau telah dihubungi oleh Presiden Ukraine, Petro Poroshenko dan Obama juga telah menelefonnya dari Washington.

Saya lalu tertanya-tanya, mengapa Putin tidak hubungi Najib sedangkan kejadian itu berlaku di sempadan negaranya, dan ada pula pihak yang menuduh tentera atau kumpulan yang ditaja Rusia terlibat?

Mungkin Putin masih trauma...

Dalam pada itu, timbul pula nama CIA di media sosial. CIA dituduh terlibat untuk membuka laluan AS masuk secara langsung dalam konflik Ukraine - Rusia. Ini bukan perkara baharu dalam percaturan politik berprofil tinggi di peringkat dunia. CIA watak utama NWO.

Menelusuri salasilah NWO yang bermula daripada pengasas dinasti Rothschild, Mayer Amschel pada 1770an, melempar batu sembunyi tangan hingga orang lain berperang untuk mengaut keuntungan, sudah lama mereka jadikan 'perniagaan'.

Walau apa pun, kita harap ini andaian yang hanya sekadar andaian. Minta dijauhkan daripada Malaysia, tanah air kita ini dilibatkan sebagai bidak di papan catur kuasa besar yang tamak dan pura-pura bercakaran.

Sama ada MH370 atau MH17, biarlah kemalangan hanya sekadar kemalangan walaupun misteri yang menyelubungi agak sukar untuk dirungkaikan. Ironinya, petunjuk sedang membawa kita ke satu arah yang seakan menjadikan kita sasaran. Kepada ALLAH kita minta perlindungan!

@mohamad matyakim@sinarharian

No comments:

Post a Comment

Get the lowest PRICE booking by ONLINE

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...