nuffnang adv

lazada adv

Monday, December 6, 2010

Seattle... bandar kelahiran Boeing

Mari kita mengenali lebih lanjut tentang bandar kelahiran boeing ini....

Seattle - Bandaraya Kelahiran Jet Jumbo
oleh Salbiah Said

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Bandaraya pelabuhan Seattle sememangnya terkenal sebagai pengguna kopi yang besar.

Ini dapat dilihat dengan jelas melalui kehadiran kedai kopi Starbucks pada hampir setiap sudut deretan kedai di situ.

Bagaimana pun, kewujudan Starbucks yang mempunyai 69 cawangan bagi membolehkan penduduk dan para pelancongnya menikmati nikmat minuman kopi bukanlah satu-satunya sebab yang menjadikannya terkenal.

Selain turut terkenal kerana legenda "rock" Jimi Hendrix, bandaraya ini juga melahirkan jet jumbo.

Seattle, yang turut dikenali sebagai bandaraya jet, di negeri Washington, Amerika Syarikat dan merupakan gerbang ke Asia, Alaska dan bahagian lain di dunia, turut melahirkan jet jumbo Boeing.

Penulis ini adalah antara sekumpulan wartawan Malaysia yang diterbangkan ke Seattle oleh Malaysia Airlines (MAS) selepas bermalam di Los Angeles dari Kuala Lumpur pada bulan Oktober lepas.

Kumpulan itu, yang ditaja oleh syarikat penerbangan negara dan dihoskan Boeing Commercial Airplanes, telah dibawa melawat kemudahan pengeluaran syarikat pengeluar pesawat udara itu di Seattle.

Perjalanan itu, yang dilakukan dari 11 Okt hingga 16 Okt, diatur sebelum serahan pesawat Next-Generation 737-800 yang terbaharu milik MAS, yang dilengkapi dengan Boeing Sky Interior yang diinspirasikan oleh para penumpang sendiri.

RENTON, TAPAK PESAWAT UDARA YANG TERKEMUKA

Di Renton, yang terletak 21km ke tenggara Seattle dan tempat yang banyak melahirkan pesawat penerbangan komersil paling terkemuka, yang termasuk 707, 727, 737 dan 757, kumpulan itu menyaksikan para pekerja memasang pesawat 737, dan salah satu daripada pesawat satu lorong MAS yang terbaharu, iaitu B737-800.

Henry Ford, pengasas Ford Motor Company, telah memperkenalkan barisan pemasangan bergerak bagi pengeluaran automobil satu kurun yang lepas. Konsep itu telah membantu mengurangkan masa pemasangan pesawat dan juga memotong kos inventori dan pengeluaran.

Boeing Commercial Airplanes melakukan pemasangan utama kesemua pesawat 737 di kilangnya di Amerika Syarikat. Bagaimana pun, bahagian-bahagian pesawat itu didatangkan dari seluruh dunia, yang termasuk Malaysia.

Pesawat 737 pertama dihasilkan dari kilang Renton itu pada Januari 1967.

Pesawat 737 itu, yang merupakan satu pesawat satu lorong bagi penerbangan jarak dekat hingga sederhana, adalah jet komersil terlaris di dunia.

Pesawat jenis itu telah menerima lebih 8,400 tempahan bagi kesemua model pesawat enjin berkembar itu daripada lebih 80 pelanggan di seluruh dunia.

Pada September, Boeing telah mengumumkan bahawa kadar pengeluarannya bagi program Next-Generation 737 akan meningkat kepada 38 pesawat sebulan mulai suku kedua 2013.

Keputusan itu dibuat hanya beberapa bulan selepas mengumumkan kadar peningkatan pengeluaran pesawat jet komersil terlaris syarikat itu daripada 31.5 kepada 35 pesawat sebulan pada awal 2012.

Boeing telah menyerahkan 372 pesawat satu lorong 737 itu pada tahun lepas manakala pesaingnya, Airbus dari Eropah, menyerahkan 402 pesawat A320, yang setanding dengannya dalam tempoh yang sama.

Unjuran jangka panjang Boeing mengenai jumlah pengeluaran dan permintaan pesawat komersil, 2010 Current Market Outlook, mengunjurkan satu pasaran lebih 21,000 pesawat satu lorong bagi tempoh 20 tahun akan datang, yang merupakan jangkaan 69 peratus daripada pesawat yang diserahkan dan anggaran 47 peratus daripada nilai pasaran keseluruhan sebanyak US$3.6 trilion.

KILANG EVERETT MENARIK PARA PELAWAT

Aturcara selanjutnya kumpulan wartawan Malaysia itu ialah melawat kilang Boeing Everett, yang terletak 40km ke utara bandaraya itu, yang menarik ribuan pelawat sejak pembukaannya pada 1968.

Pada tahun itu, lebih 39,000 pelawat melawat kilang Boeing Everett, yang ketika itu sedang membina pesawat terbesar di dunia, pesawat 747. Kompleks itu diberi ranking sebagai bangunan terbesar di muka bumi ini di segi isi padu oleh Guinness Book of World Records.

Bagi menampung penambahan pembinaan kumpulan jet berbadan lebar syarikat itu, bumbung kilang itu dibina seluas 98.3 ekar (39.8 hektar) dan meliputi ruang kawasan 472 juta kaki padu (13.3 juta meter padu). Hari ini, lebih 100,000 orang melawat kilang itu setiap tahun.

Antara pelawat ternama ke kilang Everett itu termasuk bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Presiden AS Bill Clinton, dan mendiang Presiden Rusia Boris Yeltsin dan almarhum Raja Hussein dari Jordan.

Kilang itu, yang juga dikenali sebagai bandaraya Boeing city, yang menampung kira-kira 30,000 pekerja, adalah seperti satu bandaraya yang kecil. Kemudahan itu dilengkapi klinik perubatan, pencawang elektrik dan loji rawatan air.

Selepas menonton klip video ringkas mengenai Boeing, kumpulan wartawan Malaysia itu diberikan satu penutup muka perlindungan sebelum memulakan lawatan berkenaan.

Bersama-sama hos Linda Lee, wakil Boeing bagi komunikasi antarabangsa bagi China, Asia Timur dan Tenggara, yang memandu kenderaan di padang golf, kumpulan itu menyaksikan pembinaan pesawat bagi pelbagai peringkat semasa lawatan tersebut.

Kilang Everett itu mengeluarkan pesawat jarak jauh - pesawat 747, 767, 777 dan 787 Dreamliners.

LANTAI KILANG BOLEH MENAMPUNG 15 JET

Lantai kilang itu boleh menampung 15 jet dalam pelbagai peringkat pembinaan, yang termasuk beberapa dozen sayap, ekor dan bahagian badan yang lain. Dalam sehari seseorang pelawat boleh melihat empat pesawat jet, dengan juruteknik dan pekerja sedang merangkak di merata-rata tempat di sekitar dalam dan luarnya.

Pemandangan terbaik bagi merakam detik-detik itu di kilang Boeing yang besar itu ialah dari kawasan pemerhatian terbuka. Seseorang boleh melihat para pekerja merangkak seperti semut di dalam dan luar pesawat berkenaan, memasang fiuslaj, sambil menyambung sayap dan memasang enjin jet dari bahagian atas.

Para pekerja bergerak ke sana ke sini menggunakan basikal di bawah siling yang dipasang menggunakan kren, yang menggerakkan bahagian pesawat di sekitar bangunan itu. Terdapat 1,300 basikal dan basikal roda tiga di kilang itu yang digunakan oleh para pekerja untuk bergerak ke sana sini.

Satu ciri yang menarik di dalam kilang Everett itu ialah terowong pejalan kaki yang digunakan bagi mengendalikan utiliti dan berguna semasa musim sejuk. terdapat terowong pejalan kaki sepanjang 2.33 batu atau 3.7 km di bawah kilang itu.

Di kilang Everett itu, para pekerjanya bekerja sepanjang masa, dengan pasukan-pasukan khas memastikan para mekanik yang bekerja memasang pesawat itu mendapat peralatan dan bahagian yang mereka perlukan. Terdapat sejuta bahagian dalam 360,000 pemasangan telah menukar tiub fiuslaj kosong kepada satu jentera terbang.

Kebanyakan komponen pesawat Boeing itu (sebuah 747 terdiri daripada enam juta komponen) dikeluarkan di tempat lain dan dibawa ke Everett menggunakan trak, kapal, rel dan jet. Pemasangan kemudiannya memakan masa empat bulan.

Pemasangan satu pesawat 737 merupakan kerja yang kompleks. Pekerja kilang itu perlu menggunakan 367,000 bahagian; pengancing di dalam bilangan yang sama dan 36 batu (58 km) wayar elektrik dan dijadikan sebauh pesawat.

Setiap pesawat dipasang mengikut seksyen, dipasang wayar sebelum dicantumkan. Pesawat itu kemudiannya ditarik ke kawasan pemasangan akhir dan ditambah tempat duduk, permaidani dan perhiasan dalaman yang lain.

Pesawat berkenaan kemudiannya dibawa ke tempat penyimpanan pesawat berasingan untuk dicat. Sejumlah 272 kg cat digunakan pada pesawat yang lebih besar. Pesawat itu kemudiannya diuji di landasan udara berdekatan, yang dikenali sebagai Paine Field, dan menjalani dua ujian penerbangan sebelum diserahkan kepada para pelanggan.

Bangunan terbesar di dunia di segi isi padu itu juga menempatkan lukisan dinding grafik digital yang menghiasi kilang utama Boeing Everett. Lukisan itu meliputi kesemua enam pintu kilang di sebelah selatan bangunan itu.

Guinness Book of World Records telah mengiktiraf lukisan itu yang mengandungi lebih 9,290 meter persegi cetakan filem, sebagai grafik digital terbesar di dunia.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Get the lowest PRICE booking by ONLINE

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...