ADIK DATO’ SERI HISHAMUDDIN TUN
HUSSEIN UNTUNG RM76 JUTA DALAM TIGA BULAN SELEPAS KWSP MENGAMBILALIH
SAHAM PEMEGANG KONSESI DUKE
Saya mengikuti perkembangan urusniaga pengambilalihan pegangan 40% di
dalam pemegang konsesi Lebuhraya Duta Ulu Kelang (DUKE) yang melibatkan
pembelian saham-saham di dalam Konsortium Lebuhraya Utara-Timur (KL) Sdn
Bhd (Kesturi) (iaitu pemegang konsesi DUKE) oleh Kumpulan Wang Simpanan
Pekerja (KWSP) daripada Ekovest Berhad.
Urusniaga ini yang
diumumkan melalui satu notis yang difailkan di Bursa Kuala Lumpur Ogos
lalu mendapat perhatian oleh kerana harga yang dibayar oleh KWSP dilihat
terlalu tinggi dan ada laporan yang meletakkan harga yang dipersetujui
KWSP itu sehingga 46% lebih tinggi dari nilai sebenar saham-saham yang
dibeli.
Juga mendapat perhatian ialah pemilikan Ekovest Berhad
yang dikawal oleh dua orang ahli perniagaan yang rapat dengan
pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak, iaitu:
i. Tan Sri Lim
Kang Hoo, iaitu pemegang saham terbesar. Beliau juga adalah rakan kongsi
syarikat dari China yang membeli tanah Pengkalan TUDM Sungai Besi dari
1MDB
ii. Dato’ Harris Onn Hussein, adik kepada Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein yang merupakan pemegang saham kedua terbesar
Dato’ Harris Onn Hussein mengawal sebanyak 13.38% saham-saham Ekovest
mengikut notis 29B yang difailkan di Bursa Kuala Lumpur pada 18 November
2016. Dato’ Harris memegang saham-saham ini melalui sebuah syarikat
bernama Kota Jayasama Sdn Bhd. Saya sertakan semakan Suruhanjaya
Syarikat Malaysia (SSM) yang menunjukkan Kota Jayasama Sdn Bhd dimiliki
oleh Dato’ Harris Onn.
Selain dari kontroversi mengenai harga
yang dibayar KWSP kepada syarikat yang dikuasai oleh ahli perniagaan
yang rapat dengan pentadbiran Dato’ Seri Najib, rentetan peristiwa
sepanjang urusniaga jual beli pemegang konsesi Lebuhraya DUKE
menimbulkan kerisauan rakyat sama ada KWSP juga sudah terheret di dalam
urusniaga-urusniaga yang menguntungkan sesetengah pihak.
Saya sertakan rentetan peristiwa utama jual beli saham yang melibatkan pemegang konsesi DUKE ini:
1. Pemegang konsesi DUKE iaitu KESTURI adalah syarikat usahasama di
antara Wira Kristal Sdn Bhd (yang dimiliki bersama Tan Sri Lim Kang Ho
dan Dato’ Harris Onn) dan KWSP. WKSB memiliki 70% pegangan dan baki 30%
dipegang Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB).
2. Dalam
tahun 2012, pemilikan Tan Sri Lim Kang Ho dan Dato’ Harris Onn
kemudiannya dipindahkan ke dalam Ekovest Berhad yang menjadikan
kedua-dua mereka pemegang saham terbesar di dalam Ekovest Berhad. Dalam
erti kata lain, mereka “menyuntik” konsesi Lebuhraya DUKE ke dalam
Ekovest.
3. MRCB dikawal oleh KWSP sebagai pemegang saham
terbesar. Dalam tahun 2012, pegangan KWSP di dalam MRCB adalah 42.16%
dan dalam tahun 2014, KWSP memiliki 38.37% saham MRCB. Ini bermakna
dalam kedua-dua tahun, KWSP mengawal keputusan MRCB.
4. Pada 29
Januari 2014, MRCB menjual kesemua 30% pegangannya di dalam KESTURI
kepada Ekovest pada harga RM228 juta. MRCB melaporkan keuntungan
sebanyak RM95 juta dari penjualan tersebut.
5. Pada 21 September
2016, Ekovest melaporkan kepada Bursa Kuala Lumpur bahawa ia akan
menjual 40% sahamnya di dalam KESTURI pada harga RM1.13 bilion kepada
KWSP.
Keputusan KWSP (secara tidak langsung melalui MRCB) menjual
30% pegangannya di dalam pemegang konsesi Lebuhraya DUKE dalam tahun
2014 pada harga RM288 juta, kemudiannya membeli kembali dua tahun
setengah kemudian (dengan tambahan 10% saham menjadi 40%) pada harga
RM1.13 bilion telah banyak dipersoalkan oleh pencarum dan orang ramai.
Walaupun jawapan rasmi KWSP adalah pembelian tersebut mengambil kira
aliran tunai akan datang dari lebuhraya baru DUKE 2, beberapa perkara
penting perlu diambil kira:
1. Nilaian 46% yang lebih mahal itu
telah mengambil kira jumlah yang telah dan bakal dibelanjakan oleh
Ekovest untuk membina DUKE 2
2. Jika aliran tunai akan datang
dari DUKE 2 sangat menguntungkan, apakah sebabnya KWSP (secara tidak
langsung melalui MRCB) menjual sahamnya dalam tahun 2014 mengambil kira
bahawa perjanjian konsesi DUKE Fasa 2 (atau DUKE 2) telah pun
ditandatangani seawal 3 Disember 2012. Bukankah pada ketika itu, KWSP
(secara tidak langsung melalui MRCB) sepatutnya telah tahu bahawa
nilaian Ekovest akan naik mendadak dan sewajarnya tidak menjual
saham-sahamnya?
Ekoran dari urusniaga yang menjadi durian runtuh
kepada Ekovest ini, saya telah mengikuti dengan dekat urusan jual beli
saham pemilik saham terbesarnya.
Dato’ Harris Onn mula menjual
sahamnya pada 11 November 2016 setelah harga saham Ekovest naik mendadak
selepas pengumuman pembelian KWSP, seperti carta harga saham dibawah:
Di antara 11 November 2016 hingga yang terakhir 20 Januari 2017, Dato’
Harris Onn telah menjual sebanyak 43.876 juta sahamnya di dalam Ekovest
yang memberi perolehan (hasil jualan saham) sebanyak RM105 juta.
Saya sertakan senarai urusniaga penjualan saham oleh Dato’ Harris Onn
secara terperinci di dalam Lampiran untuk menunjukkan bagaimana beliau
mula menjual saham Ekovest pada jumlah yang tinggi setelah harga saham
Ekovest naik mendadak,
Dalam tempoh tiga bulan iaitu November
2016 ke Januari 2017, Dato’ Harris Onn telah membuat keuntungan sebanyak
RM76 juta dari jualan saham yang naik mendadak setelah keputusan KWSP
membeli kembali saham-sahamnya yang dijual dalam tahun 2014.
Sementara saya percaya KWSP ada jawapan yang baik, rakyat berhak
mengetahui kenapa saham-saham ini dijual dalam tahun 2014 hanya untuk
dibeli kembali dalam tahun 2016, sedangkan maklumat aliran tunai masa
depan telah diketahui.
Pada masa adik menteri kanan dan sepupu
Dato’ Seri Najib beraya sakan dengan durian runtuh RM76 juta, wang itu
samalah seperti wang pencarum yang dibayar oleh KWSP.
RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN
Laporan penuh bersama lampiran boleh didapati di:
Blog | Rafizi Ramli
http://rafiziramli.com/
Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di:
Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan
Youtube | INVOKE Malaysia
https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg
admin: apa yang admin kagum dengan Rafizi adalah setiap hujah yang dikemukan disertakan dengan bukti laporan dan sebagainya. Bermakna setiap tulisan dan laporan beliau adalah hasil bacaan dan kajian oleh beliau sendiri.