nuffnang adv

lazada adv

Showing posts with label artis. Show all posts
Showing posts with label artis. Show all posts

Wednesday, February 22, 2017

Allahyarham Sudirman dalam kenangan

Image may contain: 1 person

SUDIRMAN SUDAH MATI

Itulah tajuk muka depan Harian Metro yang aku baca pada 22 Februari 1992. Masa tu aku kat Dataran Merdeka kerana menyertai satu raptai perbarisan kawad Kadet Polis...waktu tu aku masih dalam Tingkatan 4.
Aku bukanlah dalam kategori peminat nombor satu Sudirman, tetapi hampir kesemua lagu ballad arwah adalah lagu kegemaran aku sejak dulu lagi.
Disebabkan ‘key’ suara Allahyarham ni sangat tinggi, boleh kira dengan jari lagunya yang aku boleh melalak kat karaoke. Anyway, tak perlulah aku citer lebih-lebih pasal arwah kerana korang boleh baca kat dalam akhbar dan internet.

Image may contain: 1 person

Yang pasti, aku boleh berbangga kerana sempat merasa air kola jenama SUDI yang pernah dihasilkan syarikat arwah masa dia hidup.
Boleh kata fenomena jugaklah time tu, memanjang bila pergi kedai runcit atau restoran, orang minta air tin Sudi, aku rasa bos Coca-Cola kat Malaysia time tu confirm cuak giler.
Bahkan aku juga sempat merasa memakai kaca mata hitam ala Sudirman yang suatu ketika dulu cukup terkenal di kalangan anak muda. Cermin mata Sudirman ni tak ada bingkai dan tangkai, ia umpama negatif filem yang korang boleh terus lekatkan kat mata, sempoi tak?
Masa tu siap ada sebuah kedai jual merchandise Sudirman kat Plaza Sungei Wang, hebat tul, tak jumpa lagi artis yang seberjaya Sudirman setakat ni.
Berpelajaran tinggi, ahli korporat, peguam, penghibur, pelakon…pakej!
Apapun dia dah takde…yang ada hanya kenangan dan lagu-lagunya yang terus menjadi siulan hingga ke hari ini.

Image may contain: one or more people and sunglasses
Pada 22 Februari 1992 (bersamaan 18 Syaaban 1412), hari Sabtu jam 4:00 pagi, sebelum subuh, ketika berusia 37 tahun, Sudirman telah kembali ke Rahmatullah di rumah kakaknya, Datin Rudiah binti Haji Arshad yang beralamat di No. 16, Jalan Taban Satu, Lucky Garden, Bangsar Park, Kuala Lumpur setelah 7 bulan menghidap penyakit radang paru-paru (pneumonia).
Jenazah Allahyarham telah dibawa pulang ke Temerloh dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chengal, Temerloh pada hari yang sama, jam 3:45 petang - berdekatan dengan pusara ibu bapanya (selang beberapa baris).
Ribuan peminat setia termasuk Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad telah menziarahi jenazah Allahyarham yang dianggap sebagai suatu kehilangan yang besar bagi dunia hiburan tanah air.
Dari Allah kita datang, pada Allah kita pulang.
Al-Fatihah.

@ FB syahril A Kadir

Monday, February 6, 2017

Kisah P Ramlee di akhir hayat... sungguh sedih

No automatic alt text available.

PADA penghujung kariernya, P. Ramlee telah dijemput ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk 'Konsert 3 Ramlee' yang menggabungkan beliau, A. Ramlee dan L. Ramlie. Bila tiba gilirannya menyanyi, penonton beramai-ramai telah 'boo' beliau yang ketika itu baru hendak membuat persembahan di pentas utama.
Pada tahun 1968, syarikat rakaman EMI yang banyak mengaut keuntungan daripada nyanyiannya bertindak MENAMATKAN kontraknya. Muka P. Ramlee merah padam apabila Mr. Devan (EMI) memberitahu beliau yang lagunya orang dah tak boleh terima dan suaranya dah tidak digemari. P. Ramlee selepas itu bersumpah tidak akan lagi bekerjasama dengan syarikat tersebut yang selama ini membuat kekayaan dari lagu-lagunya.
Pengeluar filem Shaw Brothers yang kaya-raya hasil karya Allahyarham juga telah mengeluarkan satu surat yang KONTRAK P. RAMLEE TAK AKAN DISAMBUNG LAGI.
Tahun 1972-1973 adalah tahun yang paling sedih buat P. Ramlee kerana dia langsung takda sumber pendapatan, tiada show, tiada tawaran mengarah/ berlakon filem etc sehingga beliau dan isteri Saloma terpaksa mengambil upah dengan menyanyi di kenduri kahwin dan jadi hakim pertandingan nyanyian. Bila P. Ramlee nak buat filem warna ketika itu, semua bank menolak permohonannya untuk meminjam wang.
Malah RTM juga tidak menawarkan sebarang peluang untuk dia buat show/ menyanyi...bila arwah pergi ke sana untuk menemani isteri Saloma buat program, P. Ramlee hanya duduk di kantin sahaja. Dalam kunjungan terakhirnya ke Singapura untuk Pesta Filem Asia Pasifik, P. Ramlee yang ketika itu dicalonkan untuk filem Laksamana Do Re Mi, telah masuk ke dewan. Tiada siapa pun delegasi dari Malaysia yang pelawa beliau untuk duduk sekali dengan mereka...akhirnya dia cari sendiri kerusi dan duduk dengan delegasi Singapura, di belakang Aziz Sattar.
" Yam, orang dah tak peduli saya, karier saya pun orang dah tak suka...saya dah tua. Cita-cita saya nak jadikan filem Melayu lebih maju telah gagal, saya kecewa," katanya pada iparnya, Maryam. P. Ramlee mengalami masalah kewangan yang sangat teruk sampai hanya makan nasi dengan telur...
Sebelum subuh 29 Mei 1973, P. Ramlee diserang sakit jantung di rumahnya dalam usia 44 tahun dan meninggal dunia...Al-Fatihah.
(petikan dari P. Ramlee | History Channel Documentary)
@FB krik krik 2.0

Monday, June 29, 2015

Mulut Jahat Azwan Ali beri rezeki pada Nor Azira untuk nikmati Steak di Restoran ME'NATE...



Bertuah orang bernama Nor Azira kerana ME'NATE  dan walaupun di makin hamun oleh Azwan Ali, tetapi apabila rezeki Allah swt datang, ia tetap dibalas dengan kebaikan yang tidak disangka.

Sebab itulah kita ini hendaklah sentiasa berbaik sangka dan manis tutur bicara. Apatah lagi menggunakan bahasa yang kasar dan teruk sekali, sedangkan kita ini public figure.. Jika begitu bahasa mulutnya, selalunya begitu jugalah perangainya.

Walaupun ada sesuatu keadaan yang kita tak suka, kena fikir dulu apa yang ingin dikata. Bukan meminta public figure atau contoh jadi contoh, tetapi sekurang-kurangnya tak perlulah naik 'hangin'.

Apapun tahniah pada Nor Azira yang banyak bersabar sehingga mendapat perhatian pemilik Restoran Ekslusif Steak ME'NATE untuk dijamu dengan steak yang mewah sehingga mencecah RM4,000 sekali santap..

Bertuah badan, Admin jika dijemput pun teringin jugak nak merasa kehebatan ME'NATE di mana Chef Mustaffa ini pernah berkhidmat untuk Queen Elizabeth..

Inilah kisah yang berlaku yang dipetik dari blog OH MEDIA...

Bayangkan bila niat baik ingin berkongsi tempat makan menarik akhirnya diri sendiri pula yang dimaki-hamun tak ingat dunia, tentu menyakitkan hati sesiapa sahaja. Satu Malaysia mungkin dah tahu pasal kejadian yang berlaku beberapa hari lalu ni melibatkan Nur Azira Wazi Azman dan juga selebriti dikenali, Azwan Ali selepas ianya viral di laman sosial Oh! Media.

Kejadian bermula apabila Azwan Ali menulis di Twitter'nya yang dia teringin nak makan Steak untuk santapan berbuka puasa hari ini. Nur Azira yang membalas tweet tersebut dengan tulisan "Menate" mendatangkan salah faham pada Azwan Ali yang jelas tidak tahu ianya adalah nama sebuah restoran Steak popular dan bukan niat Nur Azira menggelarkannya sebagai "binatang".

Baca respon orang ramai di Facebook Oh! Media tentang ini.
Azwan Ali terus mengeluarkan kata-kata kesat dan maki-hamun berbakul-bakul kepada Nur Azira bagaikan tiada lagi hari esok. Kata-kata seperti "Sundal Bertudung", "Menyalak Real Anjing" dan turut menggelarkan Nur Azira sebagai "Neraka" sememangnya satu sifat biadap yang wujud dalam diri Azwan Ali sejak dahulu.

Nur Azira jelas terkejut dengan respon dari Azwan Ali itu dan menjelaskan ianya adalah nama sebuah Steak House. Namun tiada respon memohon maaf dan sebagainya keluar dari mulut Azwan Ali sehingga saat ini dan hati hitamnya terus mengeluarkan kata-kata kesat (termasuk block) orang ramai yang menegurnya akan hal tersebut.

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Hal tersebut turut mendapat perhatian dari pihak Me'nate Steak Hub apabila terbaca tentangnya di Oh! Media dan menjemput Nur Azira untuk datang berbuka puasa bersama keluarga di Restoran utama mereka di Ampang Jaya.


Baca respon orang ramai di Facebook Oh! Media tentang ini.
Pemilik restoran Me'nate Steak Hub, Chef Mustaffa Othman semalam apabila Oh! Media tanya apa respon dia tentang apa yang berlaku ni, beliau yang sangat positif hanya menjawab, "Takapalah, biarkan dia. Kita kena penuhkan hidup kita dengan orang-orang yang positif dan orang yang buat kita gembira. Abaikan orang-orang yang tidak memberikan kebaikan kepada hidup kita. Tapi saya berdoa agar suatu hari Allah buka pintu hati beliau untuk jadi insan yang lebih hebat".

Dari Instagram Nur Azira Wazi Azman.
Begitulah kata-kata seorang Master Butcher Chef berusia 62 tahun yang berpengalaman tinggi menjadi tukang masak disegani untuk Queen Elizabeth di Buckingham Palace sejak zaman Puteri Diana lagi. Biarpun kini memiliki beberapa cawangan restoran yang cukup gah buat peminat daging ini di sekitar Kuala Lumpur, tiada satupun kata-kata negatif orang sekeliling yang dapat mengganggu dirinya yang semuanya diterima dengan senyuman kerana menurutnya, cukuplah Allah sentiasa berada di sisi dirinya.



Oh! Media juga turut diundang untuk berbuka puasa bersama-sama. Terima kasih kami ucapkan kepada pihak Me'nate Steak Hub, Chef Mustaffa Othman dan semua pekerja mereka yang memberikan layanan dan servis yang cukup terbaik (VVIP) kepada pihak Oh! Media dan juga kepada Nur Azira sekeluarga.

Kad membership yang diberikan oleh Chef Mustaffa Othman kepada krew Oh! Media seorang satu. Yay!
Nur Azira (dua dari kiri) bersama-sama pemilik Me'nate Steak Hub, Chef Mustaffa Othman dan warga Oh! Media. 
Ini total bila datang makan bawa satu kampung. Hehe. Chef Mustaffa belanja *wink*
Bagi Nur Azira pula, apa yang berlaku ini dianggap sebagai rezeki bulan Ramadhan untuk dirinya dan keluarga. Menurut Nur Azira, dia malu diperlakukan begitu oleh Azwan Ali namun dia bukan sesiapa untuk membalas. Biarlah Allah sahaja yang menentukan segalanya.



Selepas semua ini viral di Oh! Media semalam, Azwan Ali yang malu sendiri dari sepatutnya membuat permohonan maaf kepada Azira namun terus memilih untuk mengeluarkan sepatah dua kata di Instagram'nya seperti berikut.



Untuk pengetahuan Azwan Ali, setakat Chili's dan Nandos tu semua, itu semua kedai biasa-biasa sahaja. Semua orang boleh masuk kalau nak lagi-lagi yang perasan artis walhal dah sendu tak laku macam awak. Me'nate tu terang-terang jauh lagi tinggi level dia.

Hurmm, bilalah nak bertaubat Doraemon Tua ni.

+ Baca respon pembaca tentang post ini di Facebook Oh! Media.


OHMEDIA: ORANG TANYA KAMI BAGAIMANA NAK SEBUT KEDAI ME'NATE NI? KAMI TANYA CHEF MUSTAFFA, JAWAPAN DIA NAMA ME'NATE TU DATANG DARI BAHASA ENGLISH IAITU "MEN ATE". BAGAIMANAPUN UNTUK MENYEBUT NAMA KEDAI INI, IANYA TETAP "ME-NA-TE" SEPERTI YANG ANDA BAYANGKAN.
- See more at: http://www.ohmedia.my/2015/06/dimaki-azwan-ali-nur-azira-diundang-berbuka-puasa-di-menate.html#sthash.c75U1cAd.dpuf

Monday, May 20, 2013

Pelakon Lelaki Terkenal Ditangkap Khalwat Oleh JAIS



SHAH ALAM, 16 Mei (Bernama) -- Seorang pelakon lelaki terkenal tempatan ditangkap khalwat oleh sepasukan pegawai Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sebuah unit Apartment Taman Sri Subang di sini awal Khamis.

Pelakon berusia 25 tahun itu, yang pernah bertunang pada Disember tahun lepas, ditahan pukul 3.30 pagi selepas pasukan penguatkuasa mendapat maklumat daripada orang awam.

Pengarah JAIS Datuk Marzuki Hussin, dalam satu kenyataan Khamis, mengesahkan bahawa pelakon itu, yang sudah bertunang Disember lepas, ditahan Bahagian Penguatkuasaan JAIS berdasarkan maklumat awam.

"Dia ditahan mengikut Seksyen 29(1) A dan B, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995," katanya.

Pelakon berkenaan sebelum ini pernah dikaitkan mempunyai hubungan cinta dengan wanita yang lebih berusia dan seorang lagi pelakon wanita, namun hubungannya dengan mereka berakhir begitu sahaja.

--BERNAMA

Sunday, May 12, 2013

Wakil Media, Artis Sertai Aktiviti Candat Sotong Di Pulau Kapas Pada 18 Mei


KUALA TERENGGANU, 12 Mei (Bernama) -- Pejabat Tourism Malaysia Terengganu akan menganjurkan Program Candat Sotong Bersama Media dan Persatuan Sukan Artis Malaysia di perairan Pulau Kapas, Marang pada 18 hingga 19 Mei ini.

Program dua hari satu malam itu bertujuan memperkenalkan produk pelancongan sukan air yang diadakan bersempena Terengganu Water Fiesta 2013.

Pengarahnya Mohd Nasir Kushairi berkata seramai 100 peserta dijangka mengikuti program yang mampu memberi pendedahan, idea serta rangsangan kepada agensi pelancongan Terengganu untuk menawarkan pakej sukan air bertaraf antarabangsa.

"Aktiviti candat sotong sememangnya sinonim di Terengganu dan penganjuran program itu akan menjadi tarikan terbaharu pelancong ke negeri ini, malah, kita yakin jumlah pengunjung dan peserta akan meningkat jika terus menganjurkan program seumpama ini," katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pemilihan perairan Gong Kapas sebagai lokasi karnival juga bertepatan berikutan kedudukan pantai itu yang menghadap Laut China Selatan yang sememangnya sesuai dijalankan aktiviti mencandat sotong.

-- BERNAMA

Tuesday, April 30, 2013

Johan As'aari Azam Lengkapkan Solat Lima Waktu




Johan As'ari. Foto LOW LAY PHON
PETALING JAYA: Pelakon Johan As'ari bersyukur apabila kunjungannya ke Mekah untuk melakukan umrah pada 26 Mac hingga 8 April lalu telah membuka hatinya untuk lebih peka dalam hal berkaitan agama Islam.
Johan, 26, berkata, walaupun masih lagi belum sempurna sebagai lelaki soleh, dia cuba memastikan untuk menjalankan tanggungjawabnya memenuhkan perkara wajib dalam rukun Islam iaitu tidak meninggalkan solat lima waktu.
"Sebelum ini saya pernah menunaikan umrah ketika mengadakan penggambaran di Mekah menerusi drama Syahadat Cinta dan Tersalah Cinta. Tetapi ketika itu saya tidak terlalu fokus dengan ibadat dan lebih tertumpu pada kerja.
"Tetapi apabila kali kedua saya ke Mekah bersama-sama dengan penyanyi Hafiz Hamidun, terasa beza dan sayunya berada di sana. Saya juga saya mengambil kesempatan itu melakukan ibadah sebaik-baiknya dan bermuhasabah diri.
"Alhamdulillah, sejak pulang dari Mekah, saya sentiasa ke masjid. Dan azam saya kali ini adalah untuk lengkapkan solat wajib. Saya mahu berubah menjadi insan yang lebih baik, tetapi mahu buat dengan perlahan-lahan, Insya-Allah," katanya.
Johan kini bergiat aktif dalam memberikan ceramah di beberapa buah sekolah dan masjid. Foto adalah milik Johan
Tambah Johan, dia kini juga mahu mengenakan syarat-syarat lakonan di mana enggan melakukan adegan peluk dengan gandingan wanitanya jika ditawarkan berlakon.
Dalam pada itu, pelakon drama Karlos itu berkata, ketika menunaikan umrah, dia juga mendoakan keharmonian negara agar tiada terjadi perkara-perkara buruk pada masa akan datang.
"Biasalah sekarang ini macam-macam perkara pelik yang berlaku di negara ini jadi saya berdoa kepada Allah agar Malaysia aman dan makmur.
"Sebagai seorang rakyat, menjadi tanggungjawab dan adalah wajar untuk saya berbuat demikian," tuturnya.
Sementara itu Johan memberitahu bahawa dia kini menjadi duta kepada Dewan Pemuda Masjid Malaysia di mana dia akan ke beberapa masjid melakukan ceramah yang berkaitan dengan isu-isu remaja.
"Sehingga kini saya telah melakukan beberapa ceramah di sekolah dan masjid. Alhamdulillah. Nak kata ceramah pun tak juga, tetapi lebih berkongsi ilmu pengetahuan dan pengalaman kepada budak-budak remaja.
"Syukur, saya menerima respons yang baik daripada golongan remaja ini. Mereka cukup bersemangat mahu mendengar pengalaman saya selain bertanyakan pelbagai soalan," ujarnya
-Mstar Online

Get the lowest PRICE booking by ONLINE

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...