nuffnang adv

lazada adv

Showing posts with label candat sotong. Show all posts
Showing posts with label candat sotong. Show all posts

Saturday, May 25, 2013

Tahun Melawat Terengganu 2013 Kian Meriah Bermula Cuti Persekolahan




Oleh Ahmad Erwan Othman

KUALA TERENGGANU, 26 Mei (Bernama) -- Kemeriahan Tahun Melawat Terengganu (TMT 2013) kian terasa dengan kehadiran banyak konvoi kenderaan yang mula memasuki negeri itu hingga menyebabkan keadaan lalu lintas bertukar sibuk di sepanjang jalan utama dari Kemaman hinggalah ke Besut.

Tinjauan Bernama di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu mendapati kebanyakan jalan utama sesak dengan kehadiran rata-ratanya kenderaan dari luar negeri ini, lebih-lebih lagi sempena musim cuti sekolah yang kini tiba.

Pelancong tempatan mula mengambil kesempatan cuti sekolah semester pertama yang bermula Jumaat lepas (bagi Terengganu, Kedah dan Kelantan) dan Sabtu bagi negeri-negeri lain untuk melancong ke Terengganu.

Seorang pelancong dari Johor, Azizan Abdul Rahman, 47 berkata beliau sudah lama merancang percutian ke Terengganu pada Mei ini kerana berhasrat mahu membawa keluarganya ke Tasik Kenyir yang begitu berminat dengan aktiviti memancing.

"Kebetulan ada adik beradik yang nak ikut pula, jadi kami merancang untuk menyewa bot house sahaja sepanjang tiga hari dua malam di tasik itu nanti," katanya yang datang ke Terengganu dengan konvoi lapan buah kereta.

Selain orang perseorangan, banyak syarikat korporat dari luar juga mengambil peluang musim mencandat sotong di Terengganu yang dijadikan aktiviti tahunan syarikat mereka untuk meraikan pekerja.

Tinjauan Bernama di Pelabuhan Perikanan Chendering di sini mendapati kawasan itu sentiasa penuh setiap petang dengan rombongan pelancong yang datang untuk mencandat sotong.

Naib Presiden Kumpulan AmBank, Hamdan Abdul Rahman, pemilihan Pulau Kapas sebagai lokasi mencandat sangat tepat kerana setiap kali ke situ, pasti mereka tidak pulang dengan tangan kosong.

"Terengganu memang mempunyai banyak tempat menarik dan ramai petugas bank memang suka jika terdapat aktiviti di negeri ini kerana banyak pulau yang cantik dan kraftangan yang sangat bermutu tinggi," katanya.

Bagi nelayan, Dahalan Ali, kunjungan ramai pelancong sempena TMT 2013 bagaikan rahmat untuk mereka yang berpeluang menambah pendapatan untuk membawa pelancong ke perairan Laut China Selatan berdekatan Pulau Kapas.

Ketua Sekretariat TMT 2013, Ahmad Fathil Abd Ghani berkata kedatangan pelancong ke negeri ini agak perlahan pada awal tahun kerana faktor cuaca yang tidak menentu di Terengganu hingga menyebabkan banjir besar di beberapa daerah seluruh negeri.

"Namun, bermula Mac, setelah pulau-pulau peranginan mula dibuka, kedatangan pelancong naik mendadak dan bermula semalam, saya dimaklumkan semua bilik hotel di sekitar Terengganu penuh, malah rumah inap desa, chalet, rumah tumpangan dan resort juga tidak putus-putus dikunjungi pelancong.

"Alhamdulillah, sambutan memberangsangkan ini adalah hasil promosi sejak tahun lepas di lapangan terbang utama negara, iklan billboard di beberapa lebuh raya ke utara, selatan dan timur serta di majalah-majalah utama pelancongan seperti Gaya Travel, Santai, Lets Travel, Traveller Digest dan Akses yang banyak membantu pengunjung memilih pakej pelancongan yang mereka minati di Terengganu," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Mohd Jidin Shafee berkata pihaknya akan terus memperhebatkan promosi TMT 2013 yang masih berbaki enam bulan lagi bagi memastikan sasaran pelancong seramai empat juta tercapai.

-- BERNAMA

Monday, May 20, 2013

Perairan Pulau Kapas, Pulau Bidong lokasi utama candat sotong


KUALA TERENGGANU - Perairan Pulau Kapas dan Pulau Bidong merupakan antara lokasi kegemaran peminat aktiviti mencandat sotong, kata Pengerusi Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) cawangan Terengganu Wan Supian Datuk Wan Ishak.

Beliau berkata, berdasarkan kajian serta maklumat pelancong, haiwan itu banyak terdapat di kedua-dua lokasi manakala bulan Mei hingga Julai merupakan musim mencandat sotong paling baik.

"Kita jangka antara 10 hingga 30 bot dalam seminggu pergi untuk aktiviti mencandat antara lokasi Pulau Bidong dan Pulau Kapas," katanya pada sidang akhbar selepas perasmian Pakej Candat Sotong 2013 oleh Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia Datuk Mirza Muhammad Taiyab di Prinzpark Resort hari ini.

Wan Supian juga berkata pelancong tidak perlu risau dari segi keselamatan di laut kerana semua bot nelayan mempunyai lesen dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Sementara itu, Mirza berkata, Pelancongan Malaysia menyasar ketibaan 26.6 juta pelancong ke Malaysia pada tahun ini dan 28.3 juta sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

"Untuk tiga bulan pertama tahun ini, sambutan menggalakkan dari segi jumlahnya, tahun lepas bilangan pelancong yang datang adalah seramai 25.3 juta orang, hal ini menunjukkan peningkatan daripada tahun ke tahun," katanya.

Selepas sidang akhbar, barisan artis daripada Kelab Sukan Artis Malaysia (MASC) menguji kehandalan dengan memasak pelbagai resipi berasaskan sotong seperti kari, masam manis, spaghetti, percik dan maggi. - Bernama

Sunday, May 12, 2013

Wakil Media, Artis Sertai Aktiviti Candat Sotong Di Pulau Kapas Pada 18 Mei


KUALA TERENGGANU, 12 Mei (Bernama) -- Pejabat Tourism Malaysia Terengganu akan menganjurkan Program Candat Sotong Bersama Media dan Persatuan Sukan Artis Malaysia di perairan Pulau Kapas, Marang pada 18 hingga 19 Mei ini.

Program dua hari satu malam itu bertujuan memperkenalkan produk pelancongan sukan air yang diadakan bersempena Terengganu Water Fiesta 2013.

Pengarahnya Mohd Nasir Kushairi berkata seramai 100 peserta dijangka mengikuti program yang mampu memberi pendedahan, idea serta rangsangan kepada agensi pelancongan Terengganu untuk menawarkan pakej sukan air bertaraf antarabangsa.

"Aktiviti candat sotong sememangnya sinonim di Terengganu dan penganjuran program itu akan menjadi tarikan terbaharu pelancong ke negeri ini, malah, kita yakin jumlah pengunjung dan peserta akan meningkat jika terus menganjurkan program seumpama ini," katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pemilihan perairan Gong Kapas sebagai lokasi karnival juga bertepatan berikutan kedudukan pantai itu yang menghadap Laut China Selatan yang sememangnya sesuai dijalankan aktiviti mencandat sotong.

-- BERNAMA

Get the lowest PRICE booking by ONLINE

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...