nuffnang adv

lazada adv

Showing posts with label pasar payang. Show all posts
Showing posts with label pasar payang. Show all posts

Sunday, June 9, 2013

Isu Pasar Payang: Siapa Tipu Siapa?


KUALA TERENGGANU: Sembilan puluh lima peratus (95%) peniaga di Pasar Besar Kedai Payang (Pasar Payang) gelisah dan melahirkan rasa bimbang dengan tindakan pihak berkuasa memutuskan untuk merobohkan segera pasar berkenaan untuk dirikan bangunan baru diatas tapaknya.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Selamatkan Pasar Payang, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah (Raja Bahrin - gambar tengah) berkata para peniaga di Pasar Payang kini bimbang kerana telah ada pihak individu yang datang membuat ukuran, bancian dalam pasar tersebut.

Katanya, tindakan itu boleh menjejaskan emosi rakyat terutama di kalangan para peniaga yang bakal ‘kehilangan’ tempat perniagaan yang menjadi sumber rezeki mereka.

Beliau turut melahirkan rasa sedih dan simpatinya kepada para peniaga Pasar Payang dalam suasana hampir menjelang bulan Ramadan tidak lama lagi dan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

“Kita (umat Islam) hendak puasa tidak berapa lama lagi dan hendak raya (Aidilfitri). Ini suatu perkara yang sangat menyedihkan, apabila para peniaga (Pasar Payang) kini berada dalam kebimbangan kerana tempat mereka berniaga mencari rezeki sejak sekian lama akan ‘hilang’.

“Kita (PAS) agak terkejut sehari-dua selepas Menteri Besar (Ahmad Said) mengangkat sumpah, satu arahan dikeluarkan kepada Bandaraya (MBKT) untuk menyiapkan kertas Exco untuk meluluskan projek ini secara bersegera. Kenapa kerajaan negeri begitu tergesa-gesa untuk memulakan projek ini,” soalnya.

Menurutnya, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said pula enggan bertolak ansur dengan bantahan rakyat serta mahu segera meneruskan projek bernilai RM400 juta itu.

Raja Bahrin mempersoalkan dakwaan MB Terengganu itu bahawa hanya ‘segelintir’ pihak yang tidak bersetuju dengan cadangan merobohkan Pasar Payang tersebut.

Pada 20 Februari lalu, Ahmad Said berkata bantahan segelintir peniaga berhubung cadangan kerajaan negeri membina pasar baru Pasar Payang selesai apabila mereka bersetuju dengan cadangan tersebut hasil pertemuan beliau dengan pihak terbabit.

Ahmad Said mendakwa, dalam pertemuan itu yang diadakan di Seri Iman, Menteri Besar bersetuju menerima cadangan peniaga untuk menempatkan semula semua peniaga yang beroperasi di Pasar Payang ke bangunan baru setelah pembinaannya siap kelak.

Sebaliknya Raja Bahrin berkata, berdasarkan kajiselidik serta maklum balas dari pelbagai pihak termasuk Badan Bukan Kerajaan (NGO) membuktikan bukan segelitir tetapi majoriti rakyat membantah.

Bahkan katanya, disebaliknya dakwaan Ahmad isu terbabit selesai, sebanyak 22 NGO telah menyerahkan memorandum bantahan kepada Perdana Menteri,pada 23 Februari, tiga hari selepas kenyataan Ahmad itu.

“Saya ingin mempersoalkan kenyataan Menteri Besar (MB) yang mendakwa hanya ‘segelintir’ yang tidak setuju dan bantah. Saya ada bukti sebelum ini, satu memo bantahan daripada 22 NGO juga telah dibuat dan diserahkan kepada Perdana Menteri (Najib Razak) pada tarikh 23 Februari 2013 lalu, sewaktu lawatan di Pasar Payang dan Hentian Bas MBKT.

“Kita (PAS) juga pernah kumpulkan tandatangan rakyat termasuk orang luar yang tidak setuju Pasar Payang dirobohkan dan lebih 98 peratus dari kajiselidik kita orang tidak bersetuju.

“Ini banyak bukti yang menunjukkan orang tidak setuju. Jadi kenyataan MB kata ‘segelintir’ itu kita (rakyat) tidak boleh terima kerana tidak ada bukti yang menunjukkan segelintir tetapi sebaliknya majoriti ramai tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan itu,” jelasnya.

Katanya, pihak Jawatankuasa Bertindak Selamatkan Pasar Payang juga mengambil inisiatif mendapatkan tandatangan sokongan orang ramai termasuk pengunjung luar dan pelancong.

Selain itu, kata Dato’ Raja Kamarul Bahrin lagi, isu keselamatan yang ditimbulkan sebelum ini dilihat ada keraguan berdasarkan laporan Jabatan Kerja Raya (JKR) sendiri.

Beliau menjelaskan, berdasarkan laporan JKR pada tahun 2010 itu memang ada kerosakan pada struktur tiangnya tetapi hanya berlaku bahagian di dalam air iaitu melibatkan pasar ikan sahaja.

“Kenapa disebabkan tiang, kita (kerajaan) hendak rombak semuanya kerana kita tahu yang terlibat di bahagian air itu, hanya sebahagian dari pasar ikan. Jika tidak selamat sudah tiga tahun, sudah lama runtuh.

“Kita (PAS) ada rekod semuanya, tapi jika hendak buat juga (pasar baru) seperti mana dicadangkan (bangunan hotel dan apartmen), buatlah di tempat lain dan bukannya di tapak Pasar Payang,” tegasnya.

NGO yang telah menghantar memorandum bantahan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak pada 22 Februari lalu iaitu Persatuan Penjaja & Peniaga Kecil Melayu Negeri Terengganu, Persatuan Penjaja & Peniaga Kecil Melayu Cawangan Kuala Terengganu, Persatuan Penjaja & Peniaga Kecil Melayu Cawangan Kompleks Hentian Bas MBKT, Dewan Perniagaan melayu Malaysia Negeri Terengganu, Dewan Perniagaan & Perindustrian Cina Negeri Terengganu, Dewan Perniagaan & Perindustrian India Negeri Terengganu, Majlsi Belia Negeri Terengganu.

Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu, Persatuan Agensi Pelancongan, Pengembaraan Malaysia Cawangan Kuala Terengganu, Persatuan Sejarah Negeri Terengganu, Persatuan Peniaga-peniaga Ikan Melayu Negeri Terengganu, Persatuan Penjual Melayu Pasar Chabang Tiga Kuala Terengganu, Persatuan Penanam Sayur & Pengeluar Buah-buahan Negeri Terengganu.

Persatuan Pemandu Pelancong Negeri Terengganu, Persatuan Hotel Bajet Negeri Terengganu, Persatuan Penarik-penarik Beca Negeri Terengganu, Persatuan Peniaga Melayu Pasar Malam Negeri Terengganu, Persatuan Penjaja Melayu Pasar Malam dan Pekan Sehari Kuala Nerus, Persatuan India Muslim Negeri Terengganu, Persatuan Pembatek Negeri Terengganu, Persatuan Ibu Tunggal Negeri Terengganu dan Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Terengganu Selatan.

-harakah daily

Saturday, May 25, 2013

Tahun Melawat Terengganu 2013 Kian Meriah Bermula Cuti Persekolahan




Oleh Ahmad Erwan Othman

KUALA TERENGGANU, 26 Mei (Bernama) -- Kemeriahan Tahun Melawat Terengganu (TMT 2013) kian terasa dengan kehadiran banyak konvoi kenderaan yang mula memasuki negeri itu hingga menyebabkan keadaan lalu lintas bertukar sibuk di sepanjang jalan utama dari Kemaman hinggalah ke Besut.

Tinjauan Bernama di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu mendapati kebanyakan jalan utama sesak dengan kehadiran rata-ratanya kenderaan dari luar negeri ini, lebih-lebih lagi sempena musim cuti sekolah yang kini tiba.

Pelancong tempatan mula mengambil kesempatan cuti sekolah semester pertama yang bermula Jumaat lepas (bagi Terengganu, Kedah dan Kelantan) dan Sabtu bagi negeri-negeri lain untuk melancong ke Terengganu.

Seorang pelancong dari Johor, Azizan Abdul Rahman, 47 berkata beliau sudah lama merancang percutian ke Terengganu pada Mei ini kerana berhasrat mahu membawa keluarganya ke Tasik Kenyir yang begitu berminat dengan aktiviti memancing.

"Kebetulan ada adik beradik yang nak ikut pula, jadi kami merancang untuk menyewa bot house sahaja sepanjang tiga hari dua malam di tasik itu nanti," katanya yang datang ke Terengganu dengan konvoi lapan buah kereta.

Selain orang perseorangan, banyak syarikat korporat dari luar juga mengambil peluang musim mencandat sotong di Terengganu yang dijadikan aktiviti tahunan syarikat mereka untuk meraikan pekerja.

Tinjauan Bernama di Pelabuhan Perikanan Chendering di sini mendapati kawasan itu sentiasa penuh setiap petang dengan rombongan pelancong yang datang untuk mencandat sotong.

Naib Presiden Kumpulan AmBank, Hamdan Abdul Rahman, pemilihan Pulau Kapas sebagai lokasi mencandat sangat tepat kerana setiap kali ke situ, pasti mereka tidak pulang dengan tangan kosong.

"Terengganu memang mempunyai banyak tempat menarik dan ramai petugas bank memang suka jika terdapat aktiviti di negeri ini kerana banyak pulau yang cantik dan kraftangan yang sangat bermutu tinggi," katanya.

Bagi nelayan, Dahalan Ali, kunjungan ramai pelancong sempena TMT 2013 bagaikan rahmat untuk mereka yang berpeluang menambah pendapatan untuk membawa pelancong ke perairan Laut China Selatan berdekatan Pulau Kapas.

Ketua Sekretariat TMT 2013, Ahmad Fathil Abd Ghani berkata kedatangan pelancong ke negeri ini agak perlahan pada awal tahun kerana faktor cuaca yang tidak menentu di Terengganu hingga menyebabkan banjir besar di beberapa daerah seluruh negeri.

"Namun, bermula Mac, setelah pulau-pulau peranginan mula dibuka, kedatangan pelancong naik mendadak dan bermula semalam, saya dimaklumkan semua bilik hotel di sekitar Terengganu penuh, malah rumah inap desa, chalet, rumah tumpangan dan resort juga tidak putus-putus dikunjungi pelancong.

"Alhamdulillah, sambutan memberangsangkan ini adalah hasil promosi sejak tahun lepas di lapangan terbang utama negara, iklan billboard di beberapa lebuh raya ke utara, selatan dan timur serta di majalah-majalah utama pelancongan seperti Gaya Travel, Santai, Lets Travel, Traveller Digest dan Akses yang banyak membantu pengunjung memilih pakej pelancongan yang mereka minati di Terengganu," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Mohd Jidin Shafee berkata pihaknya akan terus memperhebatkan promosi TMT 2013 yang masih berbaki enam bulan lagi bagi memastikan sasaran pelancong seramai empat juta tercapai.

-- BERNAMA

Get the lowest PRICE booking by ONLINE

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...