nuffnang adv

lazada adv

Friday, May 9, 2014

HALANGAN SEBENAR PERLAKSANAAN HUDUD DI KELANTAN



Pelaksanaan undang-undang Islam termasuk yang berkaitan dengan jenayah telah menjadi hasrat dan cita-cita pejuang Islam di Malaysia sejak sekian lama. Apabila PAS mula memerintah Kelantan pada tahun 1990, satu pasukan khas telah diwujudkan untuk merealisasi hasrat tersebut. Pasukan ini menggabungkan pelbagai kepakaran dari kalangan pemimpin politik, ahli akademik dan mengamalkan undang-undang. Hasilnya pada tahun 1993, satu Rang Undang-undang Jenayah Syariah II telah diluluskan di Dewan Undangan Negeri Kelantan. Kelulusan undang-undang ini merupakan satu kejayaan besar kepada perjuangan Islam di dalam negara.

Walau bagaimana pun, hasrat ini mendapat tentangan keras dari pemimpin negara pada waktu itu. Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad telah menulis satu surat bertarikh 15 Julai 1994 yang menyatakan secara jelas larangan pelaksanaannya serta memberikan amaran bahawa tindakan akan diambil jika ia diteruskan. Dengan mengambil kira amaran itu dan pengalaman kerajaan Kelantan di bawah PAS pernah berdepan dengan pengisytiharan darurat dan dirampas kuasa melalui tindakan MAGERAN (Majlis Gerakan Negara) pada tahun 1977, maka hasrat murni itu terpaksa ditangguhkan.

Usaha yang serupa dilakukan oleh kerajaan negeri Terengganu di bawah pemerintahan PAS (1999-2004) apabila Enakmen Jenayah Syariah 2002 telah diluluskan. Undang-undang ini telah diperkenankan oleh DYMM Sultan Terengganu pada 2 September 2002, disiarkan dalam warta pada 23 September 2002 dan diisytiharkan berkuat kuasa pada 27 Oktober 2003. Namun, ia tidak dapat dikuatkuasakan kerana tiada kerjasama dari kerajaan Persekutuan Malaysia.

Walau pun undang-undang jenayah Syariah di Kelantan dan Terengganu belum dapat dilaksanakan, ia merupakan satu kejayaan dalam dakwah kepada rakyat Malaysia dan juga masyarakat dunia. Pertamanya, ia membuktikan bahawa undang-undang jenayah Islam boleh dikanunkan dengan sempurna dan baik melalui mekanisme perundangan moden. Kedua, ia meneroka medan ijtihad yang berani khususnya berkaitan dengan perlaksanaannya dalam sebuah negara berbilang kaum. Ketiga, ia menunjukkan perlaksanaan hukum Allah adalah satu kewajipan sebenar, bukan sekadar menjadikannya sebagai retorik atau propaganda politik. Keempat, ia menjinakkan hati masyarakat agar semakin dekat dengan syariat Islam dan yakin dengan kemampuan Islam menyelesaikan kemelut jenayah yang membarah.

Hasilnya, selepas hampir 20 tahun, semakin ramai pihak yang mempunyai sikap terbuka untuk menerima hudud. Demikian juga dengan lonjakan ketara sokongan bukan Islam terhadap undang-undang jenayah Islam.   Persoalan yang timbul kini ialah dari sudut pelaksanaannya. Apakah sebenarnya penyelesaian kepada penguatkuasaan yang tertangguh ini. Di manakah ia sepatutnya bermula.

Apa halangan sebenar?

Pada dasarnya terdapat dua bentuk halangan perlaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 Kelantan dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) 2002 Terengganu. Halangan pertama ialah halangan politik iaitu sikap kerajaan Persekutuan yang tidak menyokong, tidak memberikan kerjasama serta melarang pelaksanaannya. Halangan kedua ialah halangan perundangan. Berikut dijelaskan terlebih dahulu halangan perundangan.

Halangan Perundangan

Halangan perundangan yang jelas ialah Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 mengehadkan skop kuasa Mahkamah Syariah. Seksyen 2 Akta itu memperuntukkan bahawa:

Mahkamah Syariah yang ditubuhkan dengan sempurnanya di bawah mana-mana undang-undang dalam sesuatu Negeri dan diberi bidang kuasa ke atas orang-orang yang menganuti agama Islam dan berkenaan dengan mana-mana perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai II bagi Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan adalah dengan ini diberi bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam oleh orang-orang yang menganuti agama tersebut yang boleh ditetapkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis:
Dengan syarat bahawa bidang kuasa sedemikian tidaklah boleh dijalankan berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima ribu ringgit atau sebatan melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut.

Akta ini menetapkan had dari sudut jenis atau skop kesalahan iaitu ‘kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam oleh orang-orang yang menganuti agama tersebut’. Buat masa ini skop kesalahan ini ditafsirkan secara luas sesuai dengan keluasan Syariah Islam itu sendiri. Dalam enakmen-enakmen jenayah syariah yang sedia ada sudah mengandungi kesalahan-kesalahan seperti berjudi, muncikari, zina, sumbang mahram, persetubuhan luar tabii dan seumpamanya. Bahkan bentuk kesalahan yang ada dalam jenis hukum hudud seperti zina dan qazaf pun sudah ada dalam undang-undang hari ini. Lihat contohnya seksyen 22 hingga 38 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995. Sesetengah kesalahan yang disebut dalam enakmen ini sebenarnya juga diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan. Contohnya seseorang yang didakwa melakukan kesalahan liwat, dia tertakluk kepada dua undang-undang iaitu enakmen jenayah syariah dan juga Kanun Keseksaan. Berdasarkan hakikat ini dapat disimpulkan bahawa kewujudan kesalahan-kesalahan seperti mencuri, bunuh dan lain-lain seperti yang disebutkan dalam Enakmen Jenayah Syariah 2 Kelantan adalah tidak bercanggah dengan Akta. Jika hukuman bagi kesalahan itu ada disebut dalam ajaran Islam, maka ia juga sepatutnya dianggap sebagai sebahagian dari jenayah Syariah.

Namun demikian, seksyen 2 mengehadkan bidang kuasa jenayah mahkamah Syariah dari sudut hukuman. Mahkamah Syariah tertakluk kepada had hukuman maksimum tiga tahun penjara atau denda RM5,000 atau enam sebatan atau gabungan mana-mana hukuman terbabit. Had inilah merupakan halangan sebenar kepada enakmen jenayah syariah Kelantan dan Terengganu.

Memandangkan enakmen jenayah Syariah menetapkan hukuman yang lebih tinggi seperti iaitu seratus rotan dan penjara yang lebih lama, maka ia dikira pertentangan dengan Akta. Demikian juga hukuman yang tidak disebut oleh akta itu seperti rejam dan potong tangan tidak boleh berkuat kuasa kerana bertentangan dengan Akta. Mana-mana undang-undang negeri yang bercanggah dengan undang-undang Persekutuan akan dikira tidak sah dan batal.

Bagi mengatasi halangan ini Parlimen perlu membuat pindaan ke atas Seksyen 2 Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 iaitu dengan menaikkan had yang disebut itu sesuai dengan kadar yang ditetapkan oleh enakmen-enakmen terbabit.

Bercanggah Perlembagaan?

Isu kedua adalah berkaitan dengan percanggahan antara enakmen jenayah syariah Kelantan dengan Perlembagaan Persekutuan. Perkara 4 secara jelas menyebut bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi dan mana-mana undang-undang yang bercanggah dengannya adalah terbatal. Mana-mana akta atau Enakmen, termasuk enakmen jenayah syariah tidak boleh bercanggah dengan Perlembagaan.

Aspek yang disebut bercanggah ialah Perkara 74 memperuntukkan agihan kuasa antara negeri dan Persekutuan berdasarkan Jadual Kesembilan. Kerajaan persekutuan dan negeri hanya boleh membuat undang-undang dan mentadbir dalam ruang bidang kuasa masing-masing. Jika mana-mana kerajaan membuat undang-undang di luar bidang kuasanya, undang-undang itu adalah pertentangan dengan Perlembagaan.

Oleh itu enakmen ini dianggap bercanggah dengan Perlembagaan kerana ia mengadakan kesalahan-kesalahan seperti mencuri, membunuh, merompak yang sebahagian besarnya bertindan dengan kesalahan-kesalahan yang termasuk di dalam Senarai Persekutuan, Jadual Kesembilan dan kesalahan-kesalahan ini terdapat dalam undang-undang Persekutuan iaitu Kanun Keseksaan. Ini juga bercanggah dengan butiran 1, Senarai Negeri yang mengehadkan kuasa membuat undang-undang jenayah Islam setakat mana ia tidak ‘berkaitan dengan perkara-perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan’.

Namun begitu dakwaan bahawa ia bercanggah dengan perlembagaan masih boleh dipertikaikan. Ini kerana, jika ia dianggap bercanggah maka undang-undang ke atas kesalahan berjudi, muncikari, zina, sumbang mahram, persetubuhan luar tabii, zina dan qazaf yang sedia ada kini dalam enakmen-enakmen jenayah syariah negeri juga dianggap bercanggah. Namun setakat ini tiada orang yang mencabarnya, dan ia diterima umum sebagai undang-undang yang sah.

Pertembungan kuasa

Contoh terbaik untuk menggambarkan pendekatan mahkamah dalam kes ini ialah kes Mamat bin Daud lwn. Kerajaan Malaysia (1988) 1 MLJ 119. Dalam kes ini plaintif-plaintif telah dituduh di bawah seksyen 298A Kanun Keseksaan, yang baru dipinda bagi menambah satu kesalahan baru iaitu melakukan tindakan di atas asas agama, yang boleh menjejaskan perpecahan atau menyebabkan atau menjejaskan keharmonian di antara rakyat yang menganut agama yang sama atau berbeza. Mereka dituduh melakukan tindakan yang menjejaskan perpaduan di kalangan masyarakat Islam iaitu apabila bertindak sebagai bilal, khatib dan imam yang tidak bertauliah. Mereka menuntut pengisytiharan bahawa s. 298A adalah ultra vires dengan Perkara 74 kerana ia secara ‘inti pati dan isi’ (pith and substance) berkaitan dengan agama Islam yang tertakluk kepada bidang kuasa negeri, dan Parlimen tidak ada kuasa untuk membuat undang-undang tersebut.

Setelah meneliti secara terperinci, Mahkamah Agung telah memutuskan dengan majoriti tiga daripada lima orang hakim, bahawa tindakan yang dilarang oleh akta tersebut tiada kaitan langsung dengan ‘keselamatan awam’ yang tertakluk kepada bidang kuasa Persekutuan, sebaliknya ia menyentuh secara langsung dengan agama Islam yang terletak di bawah bidang kuasa negeri. Menurut Salleh Abas KHN :

Dengan melihat dari sudut pandangan yang sepatutnya, setakat untuk perlaksanaan ke atas orang-orang Islam, seksyen yang dipertikaikan ini adalah satu undang-undang yang bertujuan untuk memastikan agama Islam diamalkan di negara ini menepati panduan, aturan dan amalan yang dibenarkan oleh negeri-negeri…. Dalam meluluskan seksyen yang dipertikaikan ini, saya tidak fikir bahawa Parlimen boleh bergantung kepada kuasa perundangan berasaskan ketenteraman awam kerana penggunaan kuasa tersebut akan menyebabkan pertembungan secara langsung dengan kuasa kerajaan negeri untuk membuat undang-undang dan mengawal urusan amalan agama Islam.
Seah dan Mohamad Azmi HHMA yang turut bersetuju dengan keputusan pengisytiharan pembatalan seksyen berkenaan menjelaskan;

…apa yang perlu diambil kira adalah isi atau inti pati kepada sesuatu statut bukannya bentuk atau sifat luarannya… sebanyak mana pun ‘kosmetik’ digunakan untuk membuat ‘hiasan perundangan’ tidak dapat menutup penyamaran dalam perundangan. Matlamat, tujuan dan bentuk seksyen yang berkenaan mesti diterokai untuk mengenal pasti rupa sebenar dan inti pati sesuatu undang-undang dan untuk mengenal pasti kategori undang-undang tersebut…

Hujah majoriti berkisar di sekitar tujuan dan matlamat sebenar yang membawa kepada kewujudan seksyen 298A Kanun Keseksaan itu. Walaupun diakui bahawa ia mempunyai kaitan dengan ketenteraman awam, tetapi hubungannya dengan pengamalan agama Islam adalah lebih dekat dan hampir dengan tujuan undang-undang itu diperkenalkan.

Keputusan ini memberikan ‘perlindungan’ kepada kuasa perundangan terpenting kerajaan negeri iaitu hal ehwal agama Islam. Contohnya dalam kes terdahulu iaitu Tengku Nik Maimunah lwn Majlis Ugama dan Adat Melayu Negeri Terengganu [1979] 1 MLJ 157, mahkamah telah memutuskan bahawa persoalan wakaf adalah di bawah bidang kuasa negeri berdasarkan Perkara 74 dan Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, maka undang-undang negeri yang berkaitan iaitu Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam Terengganu 1955 adalah berkuat kuasa. Selagi negeri-negeri tidak menyerahkan kuasa membuat undang-undang kepada kerajaan Persekutuan melalui beberapa mekanisme seperti Perkara 76 yang membenarkan kerajaan Persekutuan membuat undang-undang di bawah bidang kuasa kerajaan Negeri dengan sebab-sebab tertentu, selagi itulah Negeri mempunyai kuasa perundangan mutlak ke atas urusan agama Islam. Jika di lihat kepada pendekatan yang telah digunakan dalam kes-kes ini, kita dapat andaikan bahawa enakmen jenayah syariah yang melibatkan hudud dan qisas di Kelantan dan Terengganu adalah tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.


Langkah penyelesaian

Walau bagaimana pun, halangan utama ialah halangan politik. Jika ada kemahuan politik kekangan yang wujud dalam Perlembagaan Persekutuan atau mana-mana akta boleh dirungkaikan dengan mudah. Jika kekangan politik ini dapat diatasi tindakan yang wajar dilakukan untuk menjamin kelancaran pelaksanaan undang-undang jenayah Islam dengan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa) 1965 bagi membolehkan Mahkamah Syariah membicarakan kes-kes jenayah berkaitan dan menjatuhkan hukuman-hukuman seperti potong tangan, sebat dan mati. Peluasan kuasa ini bukan hanya dapat dinikmati oleh Kelantan dan Terengganu, bahkan juga untuk negeri-negeri lain.

Selain itu, bagi memberikan laluan yang lebih selesa, agar tidak dianggap wujud percanggahan antara enakmen jenayah syariah dan undang-undang Persekutuan, maka perkataan ‘kecuali mengenai perkara-perkara yang termasuk dalam senarai Persekutuan’ perlu digugurkan dari Butiran 1 Senarai Negeri. Bagi memberikan ruang yang lebih selesa perkataan jenayah syariah dan skopnya perlu dimasukkan dalam Senarai Negeri.

Pilihan yang lain ialah dengan memberikan kuasa khusus kepada Kelantan dan Terengganu untuk meluluskan dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan jenayah. Pada dasarnya bidang kuasa jenayah adalah di bawah bidang kuasa Pusat melalui Jadual Kesembilan Perlembagaan, namun Parlimen boleh meluaskan kuasa kerajaan negeri melalui Perkara 76A. Oleh itu enakmen jenayah syariah boleh berkuat kuasa jika ia diberikan laluan melalui kaedah ini.

Hak bukan Islam

Pemimpin dan rakyat bukan Islam tidak seharusnya gusar dengan penguatkuasaan undang-undang jenayah syariah di Kelantan. Undang-undang yang diluluskan itu hanya meliputi orang-orang Islam sahaja. Oleh itu penganut agama lain tidak tertakluk kepada undang-undang hudud.

Selain itu, persoalan hak asasi sewajarnya menjadi pertimbangan pemimpin dan rakyat bukan Islam. Ini kerana hasrat untuk diadili melalui undang-undang Islam adalah sebahagian dari hak asasi rakyat Kelantan untuk beramal dengan agama sebagai mana yang diperuntukkan di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan. Jika mereka dihalang untuk mendapat keadilan melalui sistem perundangan Islam, mereka sebenarnya dinafikan hak asasi untuk mengamalkan agama mereka sendiri.

Selain itu, hak untuk diadili dengan undang-undang jenayah syariah juga merupakan hak demokratik rakyat Kelantan. PAS secara terbuka dan jelas menyatakan hasratnya untuk menguatkuasakan undang-undang Islam. Undi majoriti yang diberikan kepada PAS di Kelantan pada pilihan raya umum 1990, 1995, 1999, 2004 dan 2008 membuktikan kewujudan hasrat rakyat Kelantan untuk mengamalkan undang-undang jenayah Islam. Menghalang pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah bermakna menafikan hak demokratik rakyat Kelantan.

Selain itu perlu diingat juga bahawa undang-undang berkenaan hanya mahu dilaksanakan di Kelantan. Kedudukan Kelantan sebagai sebuah negeri yang mempunyai ciri-ciri khusus perlu dihormati. Penghayatan kepada semangat federalime meliputi pengiktirafan perbezaan yang wujud antara satu negeri dengan negeri lain. Fakta bahawa undang-undang tersebut mendapat sokongan kerajaan dan juga pembangkang di Kelantan juga satu yang unik. Seruan dan titah Baginda Sultan Kelantan agar undang-undang itu dikuatkuasakan mengukuhkan pandangan bahawa Kelantan perlu dibenarkan menjalankan undang-undang hudud.

Tegasnya, kini terpulang kepada pihak berkuasa khususnya kerajaan Persekutuan untuk menggerakkan langkah bagi memberikan laluan perlaksanaan undang-undang hudud di Kelantan. Sebenarnya kebenaran perlaksanaan Enakmen Jenayah Syariah 2 Kelantan boleh dilakukan oleh kerajaan Persekutuan tanpa perlu menunggu usul Rang Undang-undang Persendirian dari wakil Kelantan. Jalan yang paling mudah ialah dengan meminda Seksyen 2 Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965. Pindaan ini boleh diusulkan oleh Menteriu kerajaan Persekutuan menggunakan kaedah biasa. Ia boleh diluluskan dengan sokongan majoriti mudah, tanpa perlu persetujuan dua per tiga ahli Parlimen.
Dr Muhammad Fathi Yusof Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan), Pusat Penyelidikan Fiqh Sains dan Teknologi (CFiRST), Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
@http://fathiyusof.wordpress.com/
admin: perkongsian daripada senior sekolah admin SMAASZA Batu Buruk

No comments:

Post a Comment

Get the lowest PRICE booking by ONLINE

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

pos terhangat