nuffnang adv

lazada adv

Friday, May 23, 2014

Isu GST: Siapa Untung Siapa Rugi

Dari kiri - Moderator Prof Madya Dr Shaharuddin, Rafizi, Nur Jazlan, Muhammad Sha’ani dan Prof Dr Faridah membahaskan topik yang diketengahkan dalam sidang Wacana Sinar Harian bertajuk
GST: Siapa Untung Siapa Rugi.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan bajet tahun lalu telah mengumumkan yang cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan dilaksanakan pada 1 April 2014. Susulan pengumuman tersebut, banyak pihak menyifatkan perlaksanaan cukai itu akan membebankan rakyat.

Bagaimanapun, GST telah diakui oleh 160 negara yang mengamalkan bahawa sistem tersebut adalah lebih baik berbanding cukai yang lain. Bagi mengupas sejauh mana keberkesanan GST dan sama ada akan membebankan rakyat, ikuti laporan Wacana Sinar Harian bertajuk, GST: Siapa Untung Siapa Rugi.

Wacana ini membariskan empat orang panel iaitu Profesor Pengurusan Strategi dan Pemasaran, Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof  Dr Faridah Hassan, Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Muhammad Sha’ni Abdullah dan moderatornya, pensyarah Fakulti Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Terknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin.
 
Moderator:  Sebagai permulaan apakah yang boleh dihuraikan mengenai GST?

Prof  Dr Faridah Hassan

Pertama sekali kita perlu fahami maksud GST, iaitu cukai barangan dan perkhidmatan di mana jika diambil dari sudut lain ini cukai kepenggunaan. Cukai untuk rakyat kepada rakyat oleh rakyat. Bila bercakap mengenai cukai banyak tapisan daripada pengusaha kepada pengeluar, pemborong sehingga peruncit.

Dari sudut kebaikan cukai GST ini satu untuk semua, dan akan dilaksanakan 1 April 2015. Maka waktu itu cukai sebelum SST akan dimansuhkan buat masa ini, cukai jualan dan perkhidmatan (SST) 16 peratus dan GST dalam percaturan akan dikenakan enam peratus.

Hanya Brunei, Malaysia dan Myanmar belum laksanakan GST. Brunei mungkin tidak akan laksanakan Myanmar dalam kajian perlaksanaan. Tetapi negara jiran yang lain seperti Indonesia dan Singapura sudah lama memperkenalkan GST. Singapura telah mulakan GST secara berperingkat daripada tahun 1997 dengan tiga peratus kini telah menjadi tujuh peratus.

Pengetahuan secara berperingkat ini dibuat supaya rakyat dapat memahami dan tidak menyebabkan kekeliruan serta kebimbangan rakyat. GST bukan cukai baru, sudah 160 negara dari lima benua telah melaksanakannya.

Jumlah enam peratus adalah antara terendah berbanding negara Asean yang lain seperti Jepun, Taiwan. Negara lebih maju seperti Norway mengenakan cukai sebanyak 25 peratus, Afrika 40 peratus Turkmenistan kini hampir 40 peratus dan negara Eropah juga telah hampir 20 peratus.

Apa yang perlu difahami ketika ini adalah bagaimana proses itu bermula pengeluar sehingga ke peruncit. Mereka perlu mengisytiharkan cukai tersebut mengikut kehendak yang akan dilaksanakan. Dari segi pendidikan perlu ditingkatkan dan diulangi kerana tidak mencukupi untuk rakyat fahami dengan hanya sekali penerangan, perlu difahamkan mengenai kebaikan jangka panjang oleh rakyat.

Apabila GST dilaksanakan tahun depan, 10 peratus barangan dan perkhidmatan sahaja akan berlaku kenaikan harga, manakala 40 peratus pula harga turun dan 50 peratus lain pula kekal.

Sebagai seorang pendidik saya rasa banyak kajian perlu dilakukan ke atas rakyat kerana rakyat lebih tahu apa yang perlu di cukai dan dikecualikan.


Moderator: GST bukan cukai baru dan sudah pasti kajian perlu dilakukan dan sepatutnya sudah dilakukan 10 tahun yang lalu. Kenapa tuan mengatakan GST itu hanya memberikan satu peratus keuntungan tetapi 99 peratus merugikan rakyat, adakah itu benar atau hanya diperbesarkan PR?



Rafizi Ramli

Gambaran bahawa cukai jualan dan perkhidmatan (SST)   adalah 16 peratus adalah salah, kerana cukai jualan adalah 10 peratus dan enam peratus adalah perkhidmatan. Cukai barangan itu hanya dikenakan barangan yang dikeluarkan daripada kilang

SST dan GST tidak sama, SST dikenakan kepada pengeluar produk antara 10 peratus atau enam peratus, bukan 16 peratus. Ia diulang-ulang seolah-olah berlaku penurunan cukai yang tinggi, itu tidak betul.



Kerajaan yang paling baik adalah kerajaan yang tidak mencukai langsung. Ada sebab kerajaan perlukan cukai kita faham nak bayar gaji dan pembangunan.

Tetapi kalau kerajaan berterusan memperkenalkan cukai dan membebankan rakyat kita perlu kaji apakah faktor menyebabkan kerajaan mengambil keputusan tidak popular itu.

Sama seperti pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang beria-ia mahu memperkenalkan GST walaupun beliau tahu tindakan itu tidak popular, sebab itu kita perlu lihat pengurusan ekonomi negara. Bukan soal GST baik atau tidak kepada rakyat, tetapi soalnya adalah kerajaan tidak dapat uruskan ekonomi dengan baik sehingga terpaksa memperkenalkan cukai yang baru.

Rekod berhutang kerajaan BN selama 16 tahun berturut-turut mencatatkan defisit. Selama ini oleh kerana perbelanjaan besar tidak padan dengan kutipan cukai setiap tahun menyebabkan BN berhutang sehinggakan defisit .

Setelah 16 tahun kadar hutang negara telah mencecah siling melanggar peraturan yang dibuat oleh kerajaan Malaysia iaitu 55 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.

Apabila sudah sampai pada siling itu, maka institusi pasaran semasa sudah tidak yakin dengan kemampuan kerajaan membayar cukai. 

Kalau mereka tidak yakin, sebelum ini berhutang kita kenakan faedah tiga peratus, apabila tinggi kadar faedah juga tinggi, Malaysia sudah tidak boleh berhutang sewenangnya sebelum ini, oleh kerana kerajaan pimpinan BN tidak mahu mengawal keborosan, ketirisan itu mereka terpaksa mengambil jalan kedua iaitu, perkenalkan cukai dan cukai yang dipilih yang dikenakan kepada semua peringkat kerana mahu pukul rata semua.

Soal GST adalah soal kewangan negara, negara Malaysia yang pendapatannya banyak dan sumber banyak, berbanding negara lain lebih baik kerana perlu diperkenalkan satu cukai pada masa rakyat bergelumang dengan kesusahan kenaikan kos yang tinggi hasil daripada dasar kerajaan menaik subsidi.

Pada masa ini juga yang memperkenalkan cukai GST ini. Kalau ikut media BN, saya adalah orang yang paling mengelirukan, saya akauntan bertauliah, cukai pertama yang saya belajar dan praktikal di London adalah GST.

Cukai paling mudah adalah GST, kerana tidak ada yang mengelirukan, kerana beli satu barang bayar, gunting rambut bayar kerana setiap urusan itu dikenakan cukai kecuali ada pengecualian cukai pada barang itu.

Ini bukan soal GST atau tidak, tetapi kebertanggungjawaban kerajaan, pertama, kalau kita tahu selama 16 tahun perbelanjaan tidak terkawal dan keborosan , bukankah lebih baik kita kawal perbelanjaan. Contohnya kalau gaji RM3500 jangan pakai Mercedes (Benz).

Sebab itu kalau kita kawal wang yang ada sebelum ini, mencukupi menampung perbelanjaan itu, ini yang kerajaan BN kata tidak boleh. Saya tanya lagi pada Parlimen, tidak mengapa mengutip cukai tetapi kenapa perlu GST yang pukul rata semua peringkat, tidak kira tua, muda, cacat, bekerja atau tidak.

Sedangkan di Malaysia masih ada cukai-cukai yang belum dilaksanakan orang kaya, iaitu Capital Gain Tax, Windfall Tax dan Super Rich Tax.

Negara lain, orang yang kaya cukainya dibayar dengan kadar yang lebih tinggi. Sebab itu soal GST baik atau tidak. Pada dasarnya semua ubat adalah baik, tetapi salah bagi ubat pada demam yang salah... mati.

Cukai ini dibuat ada tujuan khusus masing masing, GST ada kebaikannya, memang GST boleh kutip lebih daripada cukai pendapatan sebab dikenakan kepada semua, Cukai pendapatan hanya dikutip pada orang yang layak.

Tetapi ubat hanya boleh diberikan pada masa dan sakit yang sesuai. Hanya ubat yang sesuai pada masa yang sesuai baru boleh sembuh.

Ambil GST sekarang dalam keadaan rakyat berhadapan kebaikan barang dengan gaji tidak naik serta ada graduan yang belum mendapat kerja menyebabkan rakyat terbeban banyak sebab itu saya kata 90 peratus sebelum ini tidak bayar cukai kena bayar cukai.

Sementara yang di ‘atas’ yang dapat projek banyak akan terus kaya, sebab itu bila Tanya siapa untung siapa rugi, sudah tentu 99 peratus rakyat keseluruhan semua rugi, yang untung hanya orang kaya.

 
Moderator: Apakah peranan Fomca sebagai mediator supaya semua orang tidak rugi apabila GST dilaksanakan.

Muhammad Shaani Abdullah

Persepsi adalah salah, adalah lebih baik kita fahami dan Rafizi juga menghalang yang GST lebih baik. Kalau memahami tujuan pencukaian untuk membiayai kerajaan, kedua agihan pendapatan, yang kaya tanggung yang miskin, ketiga adalah mengekang tabiat buruk seperti alkohol, rokok dan judi perlu dikenakan cukai tinggi.

Pada pendirian Fomca kami harus menerangkan apa itu GST dan kelebihan, jangan disebut GST akan sebab kita rugi, sekarang juga kita telah rugi. Tanggungjawab bersama untuk kita tanggung kerugian sekarang kerana masih ada ketirisan, dan rasuah menjadi beban kepada rakyat.

Memang kita sokong (GST) tetapi kerajaan perlu telus dan berkesan menangani rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Jika tidak, tiada pihak yang akan mewajarkan kutipan cukai melalui GST bahawa kita akan dapat lebih banyak sedangkan ketidakcekapan tidak ditangani.

Cadangan kami menjadi kenyataan apabila pihak pembangkang menggunakan hujah-hujah kami untuk menolak GST. Sebagai rakyat bertanggungjawab, jangan hanya meletakkan pada bahu kerajaan sahaja untuk mengawal pihak yang menentang GST.

Jangan menggunakan helah perbandingan kadar peratusan SST dengan GST bahawa rakyat akan menikmati penurunan 10 peratus selepas ini. Kita perlu jujur dalam penerangan yang dibuat, daripada perkiraan memang ada penurunan dan naik.

Sebagai kerajaan bertanggungjawab perlu tulus dan yakinkan rakyat bahawa bayar cukai adalah tanggungjawab rakyat. Apabila rakyat memahami asasnya mereka akan menyokong, bukan hanya tertumpu bahawa GST merugikan.
Kenapa enam peratus?

Ahli ekonomi juga mahu tahu kenapa enam peratus, kerana apabila berlaku peralihan sistem tidak berlaku pengambilan untung, perlu ada perolehan neutral. Dengan enam peratus ada kutipan berlebihan akan menambah persoalan dan menimbulkan ketidakyakinan rakyat, sedangkan GST mampu mengatasi kelemahan sistem cukai yang ada sekarang. Kenapa tidak mulakan dengan kadar yang lebih rendah agar pematuhan lebih baik.

Moderator : Banyak persoalan menuju kepada kerajaan, jadi apakah yang boleh Datuk jelaskan tentang GST?

Nur Jazlan

Sistem percukaian negara ini memang diperlukan, jangan campurkan dengan isu lain seperti ketirisan dan sebagainya tengok pada dasarnya. Cukai ada pelbagai cukai korporat, pintu, eksais, tanah dan SST.

Yang penting kerajaan nak pastikan kalau nak cukai rakyat pun biar cukai itu adil. Cari satu kadar yang adil, daripada semua cukai ini cari cukai purata supaya adil dengan utamakan golongan pendapatan rendah dan menengah.

Untuk  cari kadar purata ini bukan senang , bila SST ni yang tak cekap dari segi kutipan dan pengurusannya. Banyak penipuan dan banyak orang lari bayar cukai.

Jadi kerajaan buat keputusan buat GST. GST ada strukturnya pakai komputer hubungkan semua pekedai, peniaga dan pekilang yang ada supaya mereka didaftarkan dan dikesan siapa yang nak lari dari cukai. Lebih telus tak ada siapa yang boleh lari.

Tetapi dalam SST mereka boleh main-main lagi tak bayar cukai. Bawah sistem GST semua kena daftar dia masuk ke jalan kena bayar cukai. Itu matlamat yg kerajaan nak capai. Soal pelaksanaan GST ini mudah saja, dasar percukaian negara ikut kesesuaian perkembangan ekonomi.

Masa kita merdeka hasil banyak daripada komoditi seperti getah dan kelapa sawit sebab tu banyak cukai daripada hasil tersebut. Tahun 70- an mula proses perindustrian sebab tu cukai korporat penting.

Tetapi dalam tempoh itu pendapatan rakyat makin bertambah maka perkenalkan cukai pendapatan. Tahun 90-an cukai Petronas masuk kerajaan guna duit itu untuk pembangunan tapi kena ingat kerajaan tak naikkan cukai pendapatan dan cukai pintu dan pelbagai cukai lagi yang berkaitan dengan rakyat.

Masuk tahun 2000 kekayaan rakyat bertambah dengan dasar perindustrian. Jadi tiba masa rakyat mengambil bahagian dalam cukai secara langsung.

Sebabnya senang, dulu kita gerak daripada ekonomi pertanian kepada ekonomi perindustrian dan sekarang ekonomi kepenggunaan. Cukai yang lebih adil dikenakan ialah cukai kepenggunaan.

Apa yang kita beli apa yang kita guna itu yang dibayar cukai. Siapa nak margin besar bayar cukai lebih besar. Golongan menengah kalau nak pakai TV besar kalau mampu kenalah bayar cukai tapi biar berpada dengan pendapatan, tapi jangan lupa biarpun kena GST, cukai pendapatan lebih kurang orang bayar.

Barang-barang barang yang dikecualikan GST seperti barang asas seperti minyak, beras dan perkhidmatan kerajaan, sekolah, hospital dan perumahan.

Walaupun cukai itu dilaksanakan tapi banyak ditarik balik pengecualian supaya tak bebankan orang berpendapatan rendah. Kerajaan cuba nak adil tetapi tidak mungkin dapat puaskan hati semua orang, itulah masalahnya namun cara penyelesaian bukanlah pergi berdemonstrasi.

Ada sebab kenapa kerajaan nak laksanakan GST ia adalah penstrukturan sistem percukaian bukan untuk mengenakan rakyat tapi nak seimbangkan supaya dapat sistem purata yang adil kepada rakyat.
Kalau kerajaan tidak cukup duit, kerajaan kena potong belanja itu betul. Kita lebih baik dari Barat sebab kalau pergi hospital hanya RM1 yang dibayar.  Isu ketirisan isu lain dari segi pencukaian.

Round 2
Moderator: Bagaimana, ahli akademik, Fomca, PAC dan PR boleh memastikan GST dilaksanakan sebaiknya, apakah yang boleh dijelaskan?


Prof  Dr Faridah Hassan

Kalau digabungkan atau diasingkan kita dapat lihat GST masih pada tahap rendah. Saya tidak setuju kerajaan tidak mengenakan apa-apa cukai, kalau kita mahu jari tempat yang tidak ada cukai kita perlu pergi ke Langkawi, Labuan atau kedai yang bebas cukai, saya tidak tahu negara mana ada penetapan cukai.

Apabila disebut ketirisan dan pembaziran turut berlaku di peringkat pengguna, sebelum ini kita bebas dari segi penggunaan produk dan perkhidmatan, tetapi akhir-akhir ini kita disedarkan untuk berjimat. Cepat atau lambat GST akan dilaksanakan. Sudah lama GST ini ditangguhkan pelaksanaannya sampai bila ia harus di tangguh lagi.

Saya berpendapat sudah sekarang adalah masa yang sesuai kita memahami tentang GST, kenapa negara lain gunakan GST, apakah faedah dan bagaimana kita dapat selaraskan GST secara berperingkat. Apa yang Datuk (Nur Jazlan) cakap tadi benar. Kalau kita belanja kita bayar cukai. Kalau berjimat cermat, sikitlah yang kita bayar.

Cara ini juga dapat menikmati pendapatan diterima dipulangkan kepada rakyat.

Saya juga berpendapatan cadangan saudara Rafizi mengenai cukai orang kaya Capital Gain Tax, Windfall Tax dan Super Rich Tax boleh dibawa ke forum yang lain agar ada kesedaran daripada orang ramai.

Rafizi Ramli

Ingin saya maklumkan yang isu cukai orang kaya ini telah dibawa ke Parlimen dan dijawab oleh Timbalan Menteri Kewangan bahawa cukai ini tidak sesuai. Saya ada beberapa perkara nak ulas mengenai pengecualian cukai kepada barang asas, kononnya GST tidak akan membebankan rakyat, Walhal barang asas itu terlalu kecil, beras, gula, tepung gandum, rempah ratus, minyak masak, budu, belacan, kacang dal cencaluk yang dituliskan dalam ucapan perdana menteri.

Masalahnya kita tidaklah makan belacan 24 sehari. Jika kita lihat barang asas lain, biskut kena, susu pekat kena, diulang berkali-kali barang asas itu adalah kecil. Kalau makan di kedai mamak, memang kena bayar GST atas nasi yang diambil.

Akhirnya, GST dilaksanakan, maka kebanyakan harga barangan dan perkhidmatan akan naik kecuali barang yang disebut tadi. Kesan GST kepada kos pengeluaran akan menyumbang pada harga, contohnya  walaupun jual belacan, tapi sewa kena GST, beli meja, tisu, elektrik kena GST, semua ini tambah kos peniaga maka harganya akan dinaikkan.

Kesan keseluruhan selepas melaksanakan GST adalah harga barang naik dan inflasi naik dari enam hingga lapan peratus. Kali terakhir kita cecah lapan peratus pada 2008 apabila minyak naik secara mendadak. Perubahan sistem cukai mengikut kesesuaian ekonomi tetapi pelaksanaan GST masih tidak sesuai dilaksanakan buat masa ini melihat kepada ekonomi negara sekarang. Sistem cukai kena sesuai dengan ekonomi rakyat dan negara.

Kenapa tidak sesuai? Di mana-mana negara yang memperkenalkan GST seperti Eropah, tidak bersetuju cukai ini untuk mencukai pengguna, cukai GST adalah cukai mudah dikutip berbanding cukai pendapatan. Kerana daripada beberapa ribu kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri menjadi berjuta pengutip cukai. GST menjadi cukai ganti pada cukai pendapatan.

Di negara lain boleh melaksanakan GST ekoran pendapatan rakyat yang tinggi berbanding di Malaysia. Namun jika ia dilaksanakan di negara ini tidak sama kerana hanya 1 juta rakyat Malaysia daripada 10 juta pekerja di Malaysia yang pendapatannya cukup tinggi untuk membayar cukai. Maknanya yang lain gaji terlalu rendah, jika diperkenalkan GST rakyat yang sebelum ini miskin sebab tidak layak bayar cukai juga terpaksa bayar cukai.

Muhammad Shaani Abdullah

Untuk panduan, di Malaysia ada lebih kurang 12 juta pekerja, lebih kurang 5 juta berdaftar dengan KWSP, tidak tahu kenapa selebihnya tidak berdaftar. Hanya 2.5 juta daftar dengan LHDN, separuh daripada itu, lebih kurang 1.5 juta membayar cukai. Betullah sesiapa yang gaji RM2,500 mesti daftar dan ada fail. Tidak kira dia bayar atau tidak. Tetapi hanya 1.2 juta bayar cukai pendapatan dan juga ini selalu berlaku, 80 peratus pekerja kurang berpendapatan.

Secara teori 15 peratus bayar cukai, tetapi bila GST dilaksanakan akan dikenakan cukai lebih tinggi kepada semua orang tidak masuk cukai pendapatan. Memang betul kos GST kita akan tanggung cukai lebih tinggi. Kerajaan harus ambil perkiraan untuk yakinkan, barulah rakyat akan jadi pintar, jangan jadikan rakyat kurang bijak.

Kerajaan telah belanjakan subsidi berbilion, tindakan itu perlu telus dan jadikan rakyat pandai, jangan takut jadikan rakyat pandai. Sokong perkara baru dilaksanakan kerajaan. Melihat situasi pernah berlaku sebelum ini apabila GST dijalankan di Kanada, apabila kerajaan Progresif kalah, sampai parti itu kena gulung tikar, ini adalah kenyataan. Lebih baik kerajaan lebih terbuka, telus meyakinkan. Bukan kita menidakkan GST. Tetapi jika kita faham sebagai rakyat bertanggungjawab akan sokong pelaksanaan ini.

Nur Jazlan

Kalau betul kerajaan bertegas nak laksanakan GST, dan seperti dikatakan panel kerajaan BN akan kalah seperti kerajaan Kanada jika laksanakan GST, itu tidak akan berlaku. Sepatutnya Rafizi doakan GST dilaksanakan. Tanggungjawab rakyat untuk bayar cukai, itu tidak boleh lari.

Tanggungjawab kerajaan belanjakan duit itu dengan berkhemah. Jangan kita tolak sewenangnya. Saya duduk di BN pun sementara sahaja, Rafizi pun lima tahun sekali sahaja di jawatannya. Tetapi dasar percukaian untuk rakyat sampai bila-bila akan dikenakan. Tidak ada kerajaan buat GST selepas itu batalkan GST. Semua teruskan, jika kalahpun kerana tidak laksana dengan baik.

Cari maklumat di internet untuk cari maklumat mengenai GST. Tambahkan ilmu pengetahuan. Buat keputusan berdasarkan fakta dan ilmu.


Soalan/Penggulungan

Nur Jazlan


PAC memang kerja susah sebab cari salah orang. Tetapi masalahnya sistem yang ada  perlu ditambah baik dahulu. Saya selalu cakap kepada semua orang, kita perlu ada sistem memori maknanya tukar orang pun sistem itu akan berjalan dengan lancar. Kedua kita ada audit. Maklumat disimpan dalam sistem. Tetapi masalah kebanyakannya takut untuk di audit.

PAC bagi penarafan kepada jabatan kerajaan 'C', sebab penolakan jabatan kerajaan untuk automasi kerja jabatan. Jika tidak ada teknologi hanya bergantung kepada manual, fail boleh hilang, orang boleh bertukar, jadi keputusan boleh bertukar, sukar buat keputusan.

Tetapi bila automasi orang akan pertikai pula. Jadi itu, dalam kes KLIA2, panggil semua pihak. PAC diberitahu semua berjalan lancar, tetapi sebenarnya tidak seperti diharapkan.

PAC terdiri daripada wakil rakyat kerajaan dan pembangkang, ada maklumat salah guna kuasa, bagi kepada wakil rakyat ini agar PAC dapat panggil jabatan berkaitan. Namun bila tidak ada maklumat, bagaimana PAC nak jalankan tugas.

Muhammad Shaani Abdullah

Bila peralihan SST kepada GST akan berlaku kenaikan harga. Sekarang ia melibatkan kos perlaksanaan. Sekarang peniaga yang tidak ada komputer perlu beli komputer, guna internet, beli perisian dan perlu latih pekerja, itu semua kos.

Kita terpaksa adjust harga sebenar selepas dikenakan cukai dan kos pelaksanaan seterusnya menyebabkan kenaikan harga barang. Oleh itu peniaga perlu masukkan semua kos tersebut. Misalnya sekarang dikenakan peringkat kilang yang asalnya rendah, tetapi apabila sampa peringkat runcit harga berlipat ganda.

Semua kos perkhidmatan atau tempoh sediakan perkhidmatan terpaksa bayar GST dan terpaksa kenakan bayaran kepada rakyat. Kos perlaksanaan menyebabkan kenaikan harga.

Mengenai peranan Fomca, kami tidak menyokong mana-mana pihak, kami tetap memihak kepada pengguna. Hanya membangkang sesuatu cadangan. Seperti AES kami sokong tetapi kami tidak sokong penswastaan AES. Tetapi bagi yang boikot dengan tidak bayar saman, bukan cara didik masyarakat.

Jika nak turun bantah pula itu boleh sebab itu pilihan rakyat, sama ada dilakukan rakyat atau wakil rakyat itu hak rakyat. Tetapi kita perlu lebih bertanggungjawab, hujah mesti ada asasnya. GST perlu dilaksanakan untuk jamin ekonomi negara di masa akan datang.

Kita mesti rasa kehilangan dana besar kerajaan oleh pihak tidak bertanggungjawab. Subsidi jangka pendek adalah bagus. Bermakna ekonomi mengajar kita untuk didik rakyat lebih bertanggungjawab agar lebih jauh haknya.

Rafizi Ramli

Mekanisme cukai jualan dan perkhidmatan berbanding dengan GST. Sekarang ini cukai barangan dikenakan kepada barang yang di kilang, memang ada cukai lain tetapi sedikit sahaja kebanyakan cukai jualan dikenakan 10 peratus dari kilang. Sebab itu kita tahu rantaian, tidak datang dari kilang ke pengguna terus, tetapi pergi kepada pemborong. Ada lima hingga tujuh peringkat sebelum sampai kepada pengguna. 10 peratus harga yang dikenakan kilang, tetapi pemborong dan kedai harga berbeza. 10 peratus ditanggung pemborong.

Yang bezanya GST akan dikenakan setiap peringkat. Kilang jual kepada pemborong pertama akan dikenakan cukai, dan mereka boleh tuntut kepada kerajaan. Dia jual pula kepada pemborong kedua akan dikenakan cukai lagi, akhirnya sampai ke peringkat kedai, harga sudah berkali ganda. Rakyat kena tanggung cukai tujuh peringkat itu.

Itu bezanya antara SST dengan GST, Kedua tuntut balik cukai, peniaga boleh tuntut maka peniaga tidak naikkan harga. Selain cukai dikenakan itu, harga barang naik sebab perlu upah akauntan dan beli mesin baru. Ini semua termasuk kos ditanggung oleh peniaga dan menyebabkan harga barang naik. satu lagi bagi menampung kenaikan kos sebab inflasi.

Ada dua unsur, GST. Unsur naik barang, naik kos kepada peniaga tidak tuntut dari kerajaan, maka peniaga akan naikkan harga dan akan ditanggung oleh rakyat, maka laksana GST maka akan naik barang.

Di bawah SST ataupun GST, masalah banyak syarikat tidak umum keuntungan dengan betul ia berkaitan dengan moral dan masalah rasuah yang berterusan. Bukannya sebab cukai. Pasti akan ada pihak yang sedaya upaya elak bayar cukai.
Persediaan rapi sebelum laksana GST adalah keberkesanan. Sebelum ini urus sedikit, sekarang perlu jaga lebih besar.

Baik di bawah SST soal GST, bukan sola cukai tetapi gejala rasuah yang diangkat oleh kerajaan dan diturunkan untuk dicontohi rakyat.

Tentang peratusan hutang negara pula, 55 peratus di kira masih baik berbanding negara maju lain. Hutang dilihat melalui keutuhan ekonomi, jika Amerika Syarikat (AS) atau Jepun mahu berhutang ia tiada masalah kerana simpanan banyak dan kuasa ekonomi dua negara ini punyai pengaruh besar dan boleh kawal nilai mata wang.

Namun Malaysia bukan negara kukuh jika lepas 55 peratus hutang. Ada sebab kerajaan sasar 55 peratus.

Prof Dr Faridah Hassan

Sekarang ada perisian GST yang diperkenalkan kepada pembekal dan penjual, tidak perlu ambil akauntan bertauliah untuk bantu menguruskan perniagaan terutama syarikat kecil. Bila ada perisian akan bebaskan peniaga untuk tahu sendiri maklumat dikehendaki.

Pendidikan untuk isi borang GST online perlu diadakan. Ada masa lagi sebelum GST dilaksanakan. Selain dua perkara itu, saya rasa barang yang disenaraikan tidak dikenakan GST tidak terhad terutama bahan mentah perlu buat kajian kepada semua lapisan rakyat apa mereka perlukan lagi.

Berbalik kepada negara Kanada, fakta kejatuhan itu tidak benar. Pada 2006, Australia telah laksana GST, rakyat memang takut, bagi pandangan mereka GST memberi kesan negatif kepada semua, jadi rakyat beli barang secara banyak. Namun pada 2007 ekonomi negara itu, buat kali pertama tidak meningkat, tetapi pada 2008, ekonomi meningkat dari segi pembelian, jadi rakyat baru sedar mereka tidak miskin kerana masih mampu membeli.

Selain itu, jika cukai lain yang berkaitan golongan jutawan perlu dikenakan cukai khas dan Parlimen menolak untuk dilaksanakan, ia perlu diutarakan melalui platform lain.

Saya tegaskan, GST akan tertera lebih telus, kerana setiap pembelian akan dicatatkan ke atas barangan yang dibeli.

@sinar harian

No comments:

Post a Comment

Get the lowest PRICE booking by ONLINE

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

pos terhangat