Di antara pandangan Kasim Ahmad terhadap ISLAM:
Kesilapan-kesilapan Umat Islam
Di manakah kesilapan-kesilapan besar mereka? Saya akan senaraikan beberapa kesilapan besar itu di sini.
(1) Umat Islam pada hari ini tidak mengikut ajaran-ajaran nabi Muhammad dalam Quran. Inilah kesilapan yang besar yang telah mereka lakukan. Mereka ikut satu kasta paderi yang dipanggil ulama, seperti penganut-penganut agama Hindu dan Kristian dulu. Kasta paderi ini tidak wujud dalam zaman Nabi dan empat khalifah rasyidun. Mereka muncul kira-kira 300 tahun kemudian dan melantik diri mereka sendiri sebagai pentafsir ugama kepada umat Islam.
(2) Khususnya, kesilapan-kesilapan itu boleh saya senaraikan seperti berikut:
(a) Mereka mendewa-dewakan pemimpin ugama yang mereka anggap maksum dan yang telah memutuskan semua soalan dalam kehidupan mereka – apa yang dikatakan ‘penutupan pintu ijtihad’. Dalam puak ahli sunnah wal jamaah, empat pemimpin besar boleh dikenal pasti, iatu : Imam Shafi’e (767-820), Imam Hanafi (699-767), Imam Hanbali (780-855) dan Imam Maliki (711-795). Dalam mazhab Syiah, mereka ada imam-imam mereka pula. Imam-imam ini telah mereka dewa-dewakan berlawanan dengan perintah Tuhan melarang pendewaan seseorang pemimpin atau sarjana, dan, malah, berlawanan dengan ajaran imam-imam besar itu sendiri.
(b) Mereka mendewa-dewakan Nabi Muhammad. Syahadah yang kedua itu satu bukti. [8] Juga di kebanyakan rumah orang Islam, perkataan-perkataan ‘Allah’ dan ‘Muhammad’ ditulis sama besar dan sama paras. Apabila disebut nama Muhammad, frasa ‘sa’al-Lallahu ‘alaihi wasallam’ (SAW) disebut sekali, sedangkan apabila disebut nama nabi-nabi lain, disebut ‘alihissalam’. Pada hal frasa SAW itu ditujukan juga kepada orang mukmin juga dalam Quran. [9] Juga perkataan ‘salla/yusalli’ bermakna ‘restu’, ‘bantu’ dan ‘sokong’, bukan selawat, seperti yang dibuat sekarang.
(c) Perhatikan satu perubahan baru dalam ‘aurat wanita. Perkataan ‘aurat’ berasal dari bahasa Arab. Ertinya ‘kebogelan’. Tiga puluh tahun dulu, wanita-wanita Islam tidak memakai tudung. Mereka pakai selendang, sehelai kain yang mereka letak di bahu, atau pun di atas kepala tanpa menutup semua rambut, kerana rambut bukan ‘aurat wanita. Menutup rambut dengan bertudung bermakna udara bersih tidak dapat memasuki rambut. Dengan itu rambut menjadi busuk. Dengan lain perkataan, ia tidak sihat. Anehnya, wanita-wanita yang bertudung menganggap diri mereka lebih suci! [10]
Sebab-sebabnya nyata mengapa umat Islam jatuh. Mereka telah mengabaikan ajaran-ajaran Tuhan yang sebenar serta mengikut ajaran-ajaran kasta paderi.
Tiap-tiap generasi diperintah oleh Tuhan mengkaji semula ajaran-ajaran pemimpin mereka yang terdahulu; yang betul diterima dan diteruskan, yang salah ditolak. Inilah yang seharusnya dilakukan oleh generasi-generasi Islam kemudian. Malangnya, penilaian semula ini tidak dapat mereka lakukan persis kerana pendewaan tadi. Maka itu apabila saya menulis buku Hadis - Satu Penilaian Semula pada tahun 1986, langit Malaysia runtuh menimpanya! Selama dua bulan, perbincangan berlaku dalam televisyen, radio, akhbar dan majalah tentang buku ini. Sesetengah menyokong saya dan sesetengah membantah. Selepas dua bulan, buku ini diharamkan oleh pihak berkuasa atas hasutan pihak yang berkepentingan.
Siapakah yang mewajibkan hadis sebagai satu sumber undang-undang sama seperti Quran dalam masyarakat Islam? Jawabnya, Imam Shafi’e (767-820). Beliaulah yang bertanggungjawab membuat doktrin baru menyatakan hadis satu sumber hukum sama seperti Quran. [11] Sebelum beliau, apa yang dikatakan hadis sudah muncul, tetapi bilangannya sedikit sekali dan tidak diwajibkan diikut oleh umat Islam. Sejarah mencatat khalifah-khalifah Abu Bakr, Omar Ibni Khattab, Uthman Ibni Affan dan Ali Abi Thalib memiliki buku-buku nota yang mereka tulis perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan Nabi. Catitan-catitan ini tidak banyak dan hanya menjadi ikutan, jika sesuai, tetapi tidak diwajibkan.
Setelah doktrin baru oleh Imam Shafi’e ini diterima oleh masyarakat Islam, timbullah pengumpul-pengumpul hadis seperti Imam Bukhari (m. 870), Imam Muslim (m. 875) dan lain-lain. Imam Bukhari dilaporkan telah mengumpul 600,000 hadis dan beliau menapis hadis-hadis ini sehingga akhirnya tinggal 7,275 hadis yang beliau isytiharkan sebagai hadis sahih. [12]
(dari blog kasim ahmad di http://kassimahmad.blogspot.com
Matlamat blogger menzahirkan perkara di atas adalah untuk melahirkan betapa jauhnya pemikiran beliau (Kasim AHmad) yang jelas tidak memahami susur galur perkembangan Islam dan perkembangan ilmu Islam yang telah diasaskan oleh ulama-ulama terdahulu.
Jika tidak dengan pencerahan ilmu daripada imam empat mazhab, mana mungkin kita mampu melaksanakan ibadat syumul seluruh kehidupan kita daripada ibadah fardhu ain, fardhu kifayah, muamalah, malah hal yang sekecil-kecilnya dalam hukum Feqah dan sebagainya telah difikirkan mereka dan mengeluarkan ilmu demi membangunkan ummat.
Satu contoh yang jelas adalah, mana mungkin kita dapat bersolat dan memahami kaifiyat solat jika tidak daripada hadis Rasulullah saw, iaitu ' sollu kama raitumuni usalli". Jadi bagaimana kita nak tahu solat rasulullah saw yang sebenarnya kerana dalam AL Quran memang menyuruh kita untuk bersolat dan menunaikan zakat. Inilah peranan ulama yang terdiri daripada para sahabat, tabiin, tabi tabiin sehinggalah kepada kita hari ini.
Kita hari ini amat lemah, nak mengarang sebuah kitab sebagaimana Imam Syafie atau Imam Nawawi pun tidak mampu, sedangkan zaman kita ini semuanya serba moden dan canggih, bermacam-macam rujukan yang hebat. Namun kita masih tidak mampu mengupas sebaik ulama terdahulu. Apakah Imam Kasim AHmad? mampu mengarang kitab panduan Islam baru sebagaimana yang difikirkannya untuk dijadikan panduan umum?.
Kalau hadis pun kita tidak terima, tetapi pandangan cendikiawan barat masih mampu kita terima, agak-agak bagaimana asas pemikiran kita sebenarnya.
No comments:
Post a Comment