nuffnang adv

lazada adv

Tuesday, February 25, 2014

Jangan sekadar kritik, debat dengan saya, kata Kassim Ahmad

Jangan sekadar kritik, debat dengan saya, kata Kassim Ahmad


Dr Kassim Ahmad tidak asing lagi dengan kontroversi, dan baru-baru ini beliau dituduh dengan pelbagai perkara, termasuk mempromosikan murtad.
Satu-satunya individu yang mempertahankan beliau hanyalah bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kedua-dua mereka merupakan mahasiswa di Universiti Malaya Singapura satu ketika dahulu.
Kassim, yang pernah memimpin Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) sudah beberapa kali dikecam kerana kenyataannya terhadap hadis, termasuk di Putrajaya minggu lalu.
Dr Mahathir bagaimanapun berkata, Kassim dilabel sebagai "anti hadis" disebabkan pihak berkepentingan tidak berdebat dengannya dalam isu agama.
"Tun (Dr Mahathir) adalah seorang pemikir," kata Kassim.
"Beliau memberikan pendapatnya terhadap pelbagai perkara dan ramai orang menghormatinya," katanya kepada The Malaysian Insider, ketika ditemui di kediamannya di Kulim, Kedah, baru-baru ini.
Kassim yang pernah menyertai Umno pada 1986 turut memuji Dr Mahathir dan berkata, beliau mempunyai matlamat untuk memperbaiki apa yang dilihatnya sebagai satu kesilapan.
Mengimbau detik peletakan jawatan Dr Mahathir 10 tahun lalu, Kassim pernah memberitahu bekas presiden Umno itu, mereka berdua adalah generasi tua dan sekiranya generasi muda enggan mendengar nasihat, mereka tidak mampu untuk melakukan apa-apa.
Kassim berkata, Dr Mahathir hanya menjawab beliau akan terus memberikan pandangannya.
Kassim berasal dari Bukit Pinang, Jitra, empat batu dari Titi Gajah, di mana Dr Mahathir pernah menetap di sana.
"Selepas dibuang daripada Umno pada September 1969, saya pergi ke rumahnya. Beliau kata bila nampak saya di pintu rumahnya saya tidak kelihatan seperti komunis.
"Saya mengetuai PSRM ketika itu," katanya, dan menambah, Dr Mahathir yang membebaskannya daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak berapa lama selepas menjadi perdana menteri pada 1981.
Kassim menjadi presiden PSRM pada 1968 hingga 1984, dan ditahan hampir lima tahun. Pada usia 80 tahun kini, beliau sekali lagi menjadi perhatian berhubung kenyataannya tentang Islam terutamanya hadis.
Beliau kini disiasat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) terhadap kenyataan kontroversi yang dikeluarkannya di seminar "Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian", anjuran  Yayasan Kepimpinan Perdana yang dinaungi Dr Mahathir.
Selain itu, Kassim mendakwa sesetengah ulama di Malaysia meniru sistem "kasta paderi".
Beliau berkata, umat Islam terbahagi dua apabila mempersoalkan hadis untuk menginterpretasikan Al-Quran dan berkata Nabi "hanyalah sebagai penyampai maklumat Allah."
Dalam ucapannya bertajuk "Ucapan kepada konferensi politik nasional untuk menentukan hala tuju negara Malaya untuk 30 tahun akan datang", Kassim turut mempersoalkan pemakaian tudung oleh wanita Islam dan bekata "rambut bukanlah sebahagian daripada aurat."
Susulan daripada kenyataan kontroversinya itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha berkata pihaknya akan memanggil Kassim untuk disiasat.
Sementara itu, dalam khutbah Jumaat lalu, Jakim mengingatkan umat Islam di negara ini untuk terus beriman dengan Allah, menerima dan patuh kepada hadis, dan juga menjelaskan perkataan "Nabi" adalah sedia ada termaktub di dalam undang-undang Islam.
Dr Kassim Ahmad ketika ditemubual di rumahnya di Kulim, baru-baru ini, berkata beliau berani berdebat mempertahankan pendiriannya. Kassim berkata, beliau sudah menjangkakan reaksi sebegitu daripada Jakim sambil mengalu-alukan pihak berkuasa untuk "memeriksa jiwanya" dan mencabar untuk membuktikan tuduhan beliau menghina Nabi.
"Mereka mengabaikan yang lain dan terus membuat kesimpulan. Dalam erti kata lain, mereka tidak jujur. Allah maha mengetahui. Saya tidak takut kepada mereka (Jakim), mereka itu hanya kumpulan kecil sahaja dalam Malaysia," katanya sebelum menawarkan nasihat dan pandangan beliau kepada Jakim.
"Mereka perlu buat kerja betul-betul, ini nasihat saya kepada Jakim."
Kassim berkata, beliau menerima reaksi yang berbeza-beza, ada daripada mereka yang mencabarnya untuk berdebat dan ada juga mengucapkan tahniah.
Katanya, pendapat beliau berkenaan hadis bukan perkara baru, merujuk kepada bukunya; "Hadis: Satu Penilaian Semula" yang diharamkan pada 1986.
Beliau pernah menulis kepada Kementerian Dalam Negeri berhubung perkara itu, tetapi kes itu diserahkan ke Jakim.
Mengenai pandangannya ulama Islam mengamalkan "kasta paderi", Kassim berkata, ini adalah kerana ulama sudah menjadi diktator kepada umat Islam dalam pemahaman terhadap agama.
"Kelas paderi mengawal interpretasi agama kepada umum. Mereka diktator. Tiada kebebasan," katanya.
Beliau berkata, ketika Eropah sudah lama meninggalkan "kasta paderi" amalan itu masih berlaku di Malaysia dan menggunakan isu Allah sebagai contoh.
Kassim berkata, pemakaian tudung bukan tuntutan dalam Al-Quran, dan menambah ibu dan wanita Melayu di zamannya tidak memakai tudung.
Kassim sebaliknya berkata, fenomena tudung hanyalah berlaku selepas revolusi Iran apabila ulama membuat hukuman menggunakan nama Tuhan.
"Al-Quran mengatakan apabila sembahyang, lelaki dan wanita perlu menyapu kepala mereka. Itu automatik mengatakan kepala tidak perlu ditutup," katanya menawarkan intepretasi dalam isu tersebut.
"Itu penilaian Tuhan. Logiknya, jika kepala ditutup ia akan menghalang udara melaluinya dan membuatkan kepala berbau. Itu tidak sihat," katanya.
Tentang kritikan daripada pemimpin PAS, Kassim berkata, parti tersebut sudah melalui pelbagai fasa di bawah kepimpinan berbeza.
Beliau berkata, Dr Burhanuddin Helmy yang mengetuai PAS dari 1956 hingga 1969 mempunyai pandangan mengenai Islam yang lebih terbuka, insklusif dan progresif.
Kassim sebelum ini diserang oleh Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kerana tidak pernah diambil tindakan oleh Jakim walaupun mempunyai pandangan "anti hadis".
Buku tulisan Dr Kassim Ahmad berjudul Hadis Satu Penilaian Semula dan terjemahannya Hadith: A Re-evaluation, yang diharamka n di Malaysia. Beliau turut diselar oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim yang menganggapnya tidak relevan lagi kepada masyarakat Malaysia dan meminta Jakim agar mengambil tindakan.
Kassim berkata, beliau juga bersedia untuk bertemu bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan akan berdebat berkenaan dialog hadis anjuran Sinar Harian pada 3 Mac di Ibu Pejabat Karangkraf di Shah Alam.
"Bila-bila masa dan di mana juga. Ada jawatankuasa diketuai rakan saya, Nik Aziz Hassan dengan kerjasama ahli akademik seperti Dr Chandra Muzaffar dan Sasterawan Negara, Datuk Baha Zain (Baharuddin Zainal) untuk melakukannya.
"Tuhan memberikan kamu akal. Gunakannya. Kerana Dia akan mempersoalkannya ketika hari pembalasan," katanya.
Kassim berkata, jika beliau 20 tahun lebih muda, beliau akan bertanding jawatan presiden Umno dan menyelesaikan masalah negara dalam tempoh 10 tahun.
Beliau kini sedang menyiapkan penerbitannya ke-21, terjemahan Al-Quran berbahasa Melayu yang lebih mudah untuk dibaca dan difahami. - 25 Februari, 2014.
sumber: Yahoo news

No comments:

Post a Comment

Get the lowest PRICE booking by ONLINE

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...