nuffnang adv

lazada adv

Showing posts with label exco Terengganu. Show all posts
Showing posts with label exco Terengganu. Show all posts

Monday, May 20, 2013

Terengganu Rancang Publisiti Khusus Untuk Tarik Pelancong Asing Ke Tasik Kenyir



HULU TERENGGANU, 21 Mei (Bernama) -- Kerajaan Terengganu akan menjalankan publisiti khusus untuk menarik pelawat luar negara ke Tasik Kenyir ketika Tahun Melawat Malaysia 2014.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Terengganu Datuk Mohd Jidin Shafee berkata langkah itu perlu selepas didapati kehadiran pelancong asing ketika Festival Kenyir 2013 kurang memberangsangkan.

Sekalipun festival lima hari bermula 16 Mei itu berjaya melangkau sasaran 35,000 pengunjung, majoriti daripada 37,500 pelawat yang datang adalah pelancong domestik manakala angka pelancong asing agak kecil, katanya kepada pemberita selepas menutup festival itu, di sini.

Menurutnya, segala persiapan untuk menarik pelancong asing ke Tasik Kenyir sudah sedia termasuk penguatkuasaannya sebagai kawasan bebas cukai bermula tahun depan.

"Kita akan sediakan infrastruktur yang lebih baik bagi merebut sebarang peluang dalam bidang pelancongan kerana Terengganu akan menjadikan sektor pelancongan punca pendapatan utama negeri ini kelak," katanya.

Katanya Tasik Kenyir mempunyai kriteria perlu untuk menjadi antara produk pelancongan utama Terengganu kerana kaya dengan khazanah alam semula jadi yang mampu memikat pelancong terutama dari negara luar.

Mengulas perkara berkaitan, Mohd Jidin berkata kerajaan negeri yakin sasaran 450,000 pelawat mengunjungi Tasik Kenyir tahun ini mampu dicapai berdasarkan sambutan dalam tempoh empat bulan pertama.

Setakat April lepas, lebih 90,000 orang mengunjungi tasik ini, tidak termasuk angka ketika festival ini dan sempena Tahun Melawat Terengganu 2013 kerajaan negeri merancang pelbagai lagi aktiviti untuk merancakkan industri pelancongan di Kenyir, katanya.

-- BERNAMA

Terengganu kaji perubahan portfolio Exco: Ahmad Said



KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri sedang membuat kajian untuk mengubah beberapa portfolio barisan Exco negeri Terengganu selaras dengan barisan Kabinet Persekutuan yang diumumkan minggu lalu. 

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, terdapat 30 kementerian dalam barisan Kabinet baharu itu dan kerajaan negeri sedang menyelaraskan portfolio ahli Exco negeri supaya selaras dengan kementerian. 
"Ia juga bertujuan memudahkan lagi urusan berkaitan perkhidmatan kepada rakyat dan perubahan itu bakal menyaksikan pelaksanaan yang lebih baik dan bersistematik. 


"Setiap ahli Exco negeri juga akan memegang dua atau tiga portfolio setelah perubahan diumumkan dalam tempoh terdekat ini," katanya selepas merasmikan sambutan Hari Guru peringkat negeri di sini, hari ini. 

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas, Ghazali Taib dan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Zakaria Husin. 

Bagi memastikan setiap Exco mampu menjalankan tugas dengan baik, kerajaan negeri turut mengadakan kursus khas untuk memberi penerangan terperinci mengenai portfolio setiap anggota Exco. 

"Kursus khas itu merangkumi pelbagai perkara termasuk pentadbiran, urusan tanah dan protokol yang perlu difahami setiap anggota Exco dan ia bergantung kepada mereka untuk memahaminya dengan tempoh masa tertentu mengikut kecekapan mereka," katanya. 
Mengulas ketiadaan Exco agama, Ahmad menjelaskan ia adalah di bawah kuasa Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (MAIDAM) serta diletakkan di bawah portfolio tugas khas yang akan terus memastikan syiar Islam terus terpelihara di negeri itu. - BERNAMA 

MB Terengganu Akan Rombak Potfolio Exco

Dato' Seri Haji Ahmad Said (tengah) menyentuh bola kristal gimik perasmikan Sambutan Hari Guru peringkat Negeri Terengganu di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Oleh: Suriati Ali


Kerajaan Terengganu akan melakukan rombakan kecil portfolio Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dalam tempoh terdekat bagi membolehkannya seiring dengan penubuhan kementerian serta Kabinet yang baru ditubuhkan Kerajaan Pusat.

 Menteri Besar Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata langkah itu diambil bagi menampung pelbagai peranan dan tugas terhadap rakyat yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan negeri agar ia seimbang dengan tanggungjawab di peringkat Pusat.

 “Rombakan kecil terpaksa dilakukan memandangkan di peringkat Pusat mempunyai 30 kementerian sedangkan yang memikul tanggungjawab itu hanya 10 exco di Terengganu. 

Haji Draman Muda dianugerahkan Tokoh Guru 2013.
“Semua exco termasuk muka baru sudah menghadiri kursus berkaitan portfolio masing-masing, kecekapan mentabdir negeri bergantung kepada kemampuan setiap exco, pada masa sama kita akan pantau apa yang kurang,” katanya.

 Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru, di Stadium Tertutup, Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini. Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato Haji Mazlan Ngah, Pengerusi Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas Negeri, YB Ghazali Taib dan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Zakaria Hussin.


Pada majlis itu, bekas Pengarah JPNT, Haji Draman Muda dianugerahkan Tokoh Guru Negeri. Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, pihaknya tidak bercadang untuk menambah portfolio agama, kerana hal ehwal agama diselia Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan berada di bawah bidang kuasa sultan.

 Katanya, langkah yang diambil itu bukan bermakna pihaknya sengaja mahu mengetepikan soal agama (dalam portfolio).





-Teganu Kita

Sunday, May 12, 2013

Tiga Muka Baharu Dilantik Anggotai Exco Terengganu



KUALA TERENGGANU, 11 Mei (Bernama) -- Tiga muka baharu mengangkat sumpah sebagai Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) Terengganu Sabtu.

Mereka ialah A.Latiff Awang (Pengkalan Berangan), Roslee Daud (Bukit Besi) dan Ghazali Taib (Ajil), yang merupakan calon muka baharu Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum ke-13.

A.Latiff, yang memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Penyampaian & Pengurusan Prestasi dan Teknologi Maklumat berkata,

"Saya akan bekerja bersama-sama di peringkat pegawai kerajaan bagi memenuhi agenda manifesto kerajaan pusat supaya rakyat negeri ini dapat merasai nikmat dan rahmat pembangunan yang dibawa oleh kerajaan negeri dan pusat."

Roslee pula berkata pelantikan itu sememangnya tidak diduga kerana hanya beliau yang mewakili BN Dungun selepas tiga kerusi DUN dan Parlimen kawasan itu tewas ke tangan pembangkang pada PRU13 baru-baru ini.

Beliau dilantik exco Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi.

Ghazali yang memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas berkata beliau akan meneruskan kecemerlangan pendidikan selaras hasrat kerajaan negeri yang mahu menjadikan Terengganu negeri anjung ilmu.

"Kita akan berusaha untuk mengekalkan momentum dan memperkasa sektor pendidikan di negeri ini, dan akan mencari tokoh agama yang sesuai dalam panel penasihat nanti supaya dapat memastikan pembangunan seimbang di kalangan rakyat Terengganu," katanya.

Pada istiadat Perisytiharan Pelantikan Menteri Besar dan Exco di depan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Maziah hari ini, bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu Datuk Tengku Putera Tengku Awang mengetuai majlis mengangkat sumpah barisan exco berkenaan.

Adun Kuala Berang, yang juga Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu itu dilantik Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perancang Kewangan dan Pelaburan, Tanah, Petroleum dan Sumber Asli, Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

Datuk Mohd Jidin Shafie (Permaisuri), yang dilantik Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan pula berkata beliau akan mengkaji semula sektor pelancongan di Terengganu.

-- BERNAMA

Get the lowest PRICE booking by ONLINE

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...