nuffnang adv

lazada adv

Showing posts with label MB Terengganu. Show all posts
Showing posts with label MB Terengganu. Show all posts

Wednesday, May 22, 2013

MB T'ganu: Siasat semua masjid guna reka bentuk sama




 
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) menyiasat segera semua masjid yang menggunakan reka bentuk sama dengan Masjid Binjai Kertas di Hulu Terengganu yang runtuh malam Isnin lepas.

Ahmad berkata kajian perlu dilakukan bagi memastikan sama ada runtuhan berpunca daripada kesilapan reka bentuk atau pembekal yang menyediakan bahan yang kurang bermutu.

Sambil menyifatkan kejadian seumpama itu boleh dielak, beliau mahu JKR melakukan siasatan menyeluruh dan terperinci terhadap beberapa lagi masjid yang menggunakan reka bentuk sama di negeri itu bagi memastikan ia selamat digunakan.

"Reka bentuk masjid Kampung Binjai Kertas yang dibina dengan kos RM1.7 juta itu turut dijadikan model reka bentuk membabitkan beberapa masjid di tempat lain," katanya yang memberi tempoh dua minggu kepada JKR untuk menyerahkan laporan siasatan itu.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco pertama selepas pilihan raya umum ke-13, Ahmad berkata kejadian seumpama itu tidak sepatutnya berlaku jika JKR melakukan pemantauan ketat terhadap sesebuah projek.

Dalam kejadian itu, 12 jemaah masjid yang masih berada di masjid itu selepas menunaikan solat Isyak nyaris maut setelah bumbung hadapan masjid berkeluasan 30 x 30 kaki persegi itu runtuh.

Ahmad yang jelas menunjukkan reaksi kecewa dengan beberapa siri runtuhan sejak mengambil alih pentadbiran negeri pada tahun 2008 itu mahu JKR memantau semua projek pembinaan dengan mengikut prosedur terperinci bagi mengelak kejadian sama berulang.

"JKR perlu menyiasat sama ada kejadian itu berpunca akibat kegagalan reka bentuk masjid ataupun penggunaan material bahan pembinaan yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan...siasatan terhadap pembekal, kontraktor dan pihak yang bertanggungjawab juga perlu dilakukan dengan rapi.

"Saya juga mahu masjid itu diperbaiki sebelum Ramadan ini demi keselesaan penduduk menjalani ibadah mereka sepanjang bulan mulia itu," katanya.

Sementara itu tinjauan Bernama di masjid itu pagi tadi mendapati beberapa kakitangan dari Unit Forensik JKR Kuala Lumpur datang untuk menyiasat punca kejadian di masjid kampung berkenaan.

-Bernama

Monday, May 20, 2013

Terengganu kaji perubahan portfolio Exco: Ahmad Said



KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri sedang membuat kajian untuk mengubah beberapa portfolio barisan Exco negeri Terengganu selaras dengan barisan Kabinet Persekutuan yang diumumkan minggu lalu. 

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, terdapat 30 kementerian dalam barisan Kabinet baharu itu dan kerajaan negeri sedang menyelaraskan portfolio ahli Exco negeri supaya selaras dengan kementerian. 
"Ia juga bertujuan memudahkan lagi urusan berkaitan perkhidmatan kepada rakyat dan perubahan itu bakal menyaksikan pelaksanaan yang lebih baik dan bersistematik. 


"Setiap ahli Exco negeri juga akan memegang dua atau tiga portfolio setelah perubahan diumumkan dalam tempoh terdekat ini," katanya selepas merasmikan sambutan Hari Guru peringkat negeri di sini, hari ini. 

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas, Ghazali Taib dan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Zakaria Husin. 

Bagi memastikan setiap Exco mampu menjalankan tugas dengan baik, kerajaan negeri turut mengadakan kursus khas untuk memberi penerangan terperinci mengenai portfolio setiap anggota Exco. 

"Kursus khas itu merangkumi pelbagai perkara termasuk pentadbiran, urusan tanah dan protokol yang perlu difahami setiap anggota Exco dan ia bergantung kepada mereka untuk memahaminya dengan tempoh masa tertentu mengikut kecekapan mereka," katanya. 
Mengulas ketiadaan Exco agama, Ahmad menjelaskan ia adalah di bawah kuasa Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (MAIDAM) serta diletakkan di bawah portfolio tugas khas yang akan terus memastikan syiar Islam terus terpelihara di negeri itu. - BERNAMA 

MB Terengganu Akan Rombak Potfolio Exco

Dato' Seri Haji Ahmad Said (tengah) menyentuh bola kristal gimik perasmikan Sambutan Hari Guru peringkat Negeri Terengganu di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Oleh: Suriati Ali


Kerajaan Terengganu akan melakukan rombakan kecil portfolio Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dalam tempoh terdekat bagi membolehkannya seiring dengan penubuhan kementerian serta Kabinet yang baru ditubuhkan Kerajaan Pusat.

 Menteri Besar Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata langkah itu diambil bagi menampung pelbagai peranan dan tugas terhadap rakyat yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan negeri agar ia seimbang dengan tanggungjawab di peringkat Pusat.

 “Rombakan kecil terpaksa dilakukan memandangkan di peringkat Pusat mempunyai 30 kementerian sedangkan yang memikul tanggungjawab itu hanya 10 exco di Terengganu. 

Haji Draman Muda dianugerahkan Tokoh Guru 2013.
“Semua exco termasuk muka baru sudah menghadiri kursus berkaitan portfolio masing-masing, kecekapan mentabdir negeri bergantung kepada kemampuan setiap exco, pada masa sama kita akan pantau apa yang kurang,” katanya.

 Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru, di Stadium Tertutup, Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini. Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato Haji Mazlan Ngah, Pengerusi Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas Negeri, YB Ghazali Taib dan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Zakaria Hussin.


Pada majlis itu, bekas Pengarah JPNT, Haji Draman Muda dianugerahkan Tokoh Guru Negeri. Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, pihaknya tidak bercadang untuk menambah portfolio agama, kerana hal ehwal agama diselia Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan berada di bawah bidang kuasa sultan.

 Katanya, langkah yang diambil itu bukan bermakna pihaknya sengaja mahu mengetepikan soal agama (dalam portfolio).





-Teganu Kita

Sunday, May 12, 2013

PAS mahu T'ganu salur peruntukan sama pada ADUN



 
PAS menyesali kenyataan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said bahawa beliau tidak akan melantik Pegawai Pembangunan DUN (PPD) dan Pegawai Pembangunan Parlimen (PPP) di kawasan BN kalah dalam pilihan raya umum baru-baru ini. 
Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas Negeri, Ariffin Deraman berkata PPD dan PPP tidak diwujudkan mungkin akibat rakyat 'tidak mengenang budi' BN hingga menyebabkan beberapa calonnya seperti di Bukit Payong, Ru Rendang, Bukit Tunggal dan lain-lain kecundang pada pilihan raya itu. 

"Sepatutnya peruntukan kepada ADUN pembangkang khususnya PAS juga diberi sama seperti yang disalurkan kepada PPD sebelum ini, baru berlaku keadilan dalam pengurusan," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu hari ini. 

Bagaimanapun, Ariffin berkata untuk jangka panjang, PAS sedia terima (kenyataan Ahmad) kerana ia memudahkan urusan Adun Pas untuk bersama dengan rakyat. 

Ariffin berkata demikian ketika mengulas pelantikan menteri besar dan 10 anggota exco Terengganu yang baru di Istana Maziah semalam. 

Adun Alor Limbat itu turut menyentuh kenyataan Ahmad bahawa projek perumahan mampu milik hanya akan dilaksana di kawasan yang dimenangi BN. 

Ariffin berkata, ini menunjukkan diskriminasi dan kezaliman.

Di negara demokrasi, amalan sedemikian tidak wajar berlaku, kata beliau. 

Bernama

Teras tuntut Najib perjelas kenyataan Ahmad Said

Harakahdaily,12 Mei 2013

KUALA LUMPUR: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) kesal Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menyatakan tidak ada pembangunan perumahan mampu milik  disediakan di kawasan BN kalah.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ini bermakna Ahmad bukan menjadi MB kepada hampir 48.48% rakyat Trengganu yang telah menolak BN.
Katanya, bermakna juga Ahmad seolah-olah mengatakankan hanya separuh sahaja Trengganu yang akan dibangunkan iaitu di kawasan yang BN menang sahaja.

Malah beliau mengumumkan Kerajaan Negeri Terengganu tidak bercadang meneruskan khidmat Pegawai Pembangunan di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang BN kalah dalam pilihan raya umum ke-13 Ahad lepas.
Ahmad dilaporkan berkata rakyat di kawasan Parlimen dan Dun berkenaan perlu meminta bantuan daripada wakil rakyat yang mereka pilih.

“Inilah sikap pemimpin BN yang bebal dengan rakyat yang menolak BN. Sikap yang sama juga dizahirkan oleh bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Sri Ali Rustam apabila kalah di Parlimen Bukit Katil yang merakamkan kekesalan kepada rakyat yang menolak beliau dalam PRU13.

“Kami sangat kesal dengan sikap bebal yang jelas menunjukkan bahawa sebenarnya BNlah yang tidak boleh menerima kekalahan lalu rakyat menjadi mangsa,” ujar Mohd Azmi dalam satu kenyataan.

Tambahnya, sikap mendera rakyat apabila tidak menyokong BN semacam menjadi sebati dalam pemikiran politik pemimpin BN.

Jelas sekali, katanya sikap tidak demokratik malah sangat berbau politik tidak berrtamadun ini terserlah apabila seorang MB yang baru mengangkat sumpah akan berkhidmat kepada seluruh rakyat di hadapan Sultan tiba-tiba mangatakan "pembangunan akan diteruskan seperti yang telah dijanjikan, namun pembinaan rumah mampu milik tidak akan dibina di kawasan Dun yang kita (BN) kalah, kita akan bina di kawasan yang dimenangi BN".

Ini, katanya bermakna lafaz sumpah perlantikan MB untuk berkhidmat kepada seluruh rakyat yang terkandung dalam lafaz angkat sumpah di hadapan Sultan Terengganu adalah suatu pembohongan dan pengkhianatan bukan sahaja menyalahi Perlembagaan negeri malah mengkhianati Sultan sendiri.

Menurutnya, ini adalah pengkhianatan kepada janji yang pertama dilafazkan oleh seorang MB yang merasa terancam apabila hampir separuh rakyat Terengganu yang mengundi pada PRU13 menolak BN.

“Perdana Menteri harus menjelaskan adakah ini dasar pembangunan yang akan dilaksanakan di negeri-negeri yang diperintah oleh BN,” katanya.

Tambahnya, sikap yang ditunjukkan oleh pemimpin BN ini menandakan natijah dari keputusan PRU13 telah menonjolkan pendirian dendam kepada rakyat.

“Kami mendesak samada PM memperbetulkan sikap Ahmad Said ini dan mengarahkan kenyataan itu ditarik balik atau mengesahkan bahawa inilah sikap yang diamal oleh semua pemimpin BN di negeri yang ditadbir oleh BN.

“Berdalih bahawa kenyataan Ahmad Said disalahfahami dan diputar belit tidak akan menyelesaikan isu ini selagi pendirian yang jelas dari PM tidak dikeluarkan,” katanya lagi.

-Harakah Daily

Wednesday, May 8, 2013

Bakal MB Terengganu... terus dinantikan


Sehingga hari ini belum terjawab, siapa yang bakal mengisi jawatan MB Terengganu. Macam-macam persoalan dan andaian timbul tentang calon MB ini. Selain penyandang, Datuk Seri Ahmad Bin Said, juga turut disebut adalah YB Razif- DUN Seberang Takir, YB Datuk Tg Putera- DUN Kuala Brang dan YB Dato M Jidin- DUN Permaisuri.


Apakah akan berlaku perubahan legasi baru dalam kepimpinan baru Terengganu, sama-sama kita tunggu perkenan daripada Memanda Perdana Menteri dan Tuanku Sultan Terengganu.


Ia penting untuk disegerakan bagi membentuk barisan kepimpinan dan exce baru kerajaan bagi melaksanaan mandat dan janji-janji yang telah diwawarkan semasa PRU.

Harapan rakyat agar ianya dapat diselesaikan segera dan harmoni. Sama-sama kita tunggu bakal MB Terengganu.

Get the lowest PRICE booking by ONLINE

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...