nuffnang adv

lazada adv

Thursday, May 9, 2013

Merebut Tawaran Satu Dibalas 700, itulah SEDEQAH



Oleh Kurniawati kamarudin

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Kehidupan ini akan menjadi lebih bermakna jika nikmat dan rezeki yang dimiliki dikongsi dengan orang lain walaupun sedikit.

Namun lumrah manusia, apabila memberi sesuatu, sering mengharapkan balasan yang lebih dari apa yang diberikan.

Siapa yang tidak mahu jika ditawarkan balasan yang besar seperti 'Satu dibalas 700'?. Pasti ramai yang berebut-rebut untuk mendapatkan tawaran itu.

Tawaran satu dibalas 700 itu nampak luar biasa, namun telah ramai kalangan kita yang merasai nikmat dan meyakini kebenarannya.

TIDAK LOGIK?

Pasti ramai yang menganggap tawaran satu dibalas 700 sebagai tidak logik dan mustahil atau berunsur judi yang menawarkan pulangan yang besar.

Namun menurut Eksekutif Zakat Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Ustaz Ahmad Adha Ahmad Zohdi, tiada apa yang mustahil bagi Allah yang telah menjanjikannya bagi mereka yang bersedekah dan membayar zakat.

Sepertimana janji Allah dalam Ayat 261, Surah Al-Baqarah :"Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih menumbuhkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya lagi meliputi ilmu pengetahuanNya".

Berdasarkan maksud ayat itu, pahala orang yang bersedekah akan dilipatganda seperti berkembangnya satu biji benih menumbuhkan tujuh tangkai dan setiap tangkai ada 100 biji. Malahan Allah boleh memberi lebih daripada itu mengikut kehendakNya.

Ini bermakna pahala sedekah bukan 10 atau 30 kali ganda, sebaliknya 700 kali ganda malahan lebih, katanya.

Ia ditambah dengan hadis Nabi S.A.W, "Tiga perkara ini Aku khabarkan kepada kalian dan kalian peliharalah ia. Pertama, tidak kurang harta yang dikeluarkan untuk sedekah, bahkan akan bertambah", Riwayat Imam At-Tarmidzi.

Bermakna bersedekah bukan sahaja menambah pahala, tetapi juga menambahkan harta yang mana perlu direbut dengan ikhlas oleh umat Islam.

HILANGKAN RIAK

Ahmad Adha berkata amalan berzakat perlu disertakan dengan niat yang ikhlas kerana Allah dan hendaklah menggunakan harta benda dan sumber pendapatan yang halal tanpa perasaan riak.

Bagi menghindarkan daripada perasaan tersebut, pembayar digalakkan menunaikan zakat di institusi-institusi zakat berwajib kerana pembayar dan penerima tidak mengenali antara satu sama lain.

Ini juga akan memudahkan untuk menyemak dan mentaksir tuntutan zakat yang wajib dikeluarkan.

"Pastikan zakat didahulukan bagi mereka yang layak kemudian barulah diikuti dengan sedekah sunat lain seperti derma, infaq atau wakaf.

"Selain itu wajib juga berusaha menyelesaikan hutang-hutang zakat (qadha zakat) yang belum dijelaskan sebelum ini demi memastikan kesempurnaan Islam seseorang itu seperti mana yang terdapat dalam Rukun Islam ketiga," katanya.

Dalam kerancakan bersedekah, pastikan juga kesempurnaannya dengan menyemak dan mentaksir tuntutan zakat yang wajib dibayar agar bertepatan dengan syarak.

PPZ-MAIWP menyediakan khidmat yang mudah bagi pembayar zakat dengan menghubungi talian 1-300-88-5757 atau www.facebook.com/myzakat untuk maklumat lanjut.

BERI KETENANGAN

Rasa terlepas tanggungjawab apabila dapat bayar zakat walaupun tidak banyak. Hidup rasa lebih tenang, dapat tidur lena, ujar Letta Tambi (perempuan), 61, seorang pembayar zakat.

Beliau yang membayar zakat emas sejak berumur 30 tahun berkata, banyak nikmat yang dirasakannya bukan sahaja rezeki yang semakin bertambah, tetapi juga nikmat kesihatan yang baik yang diberikan Allah.

Pada usia emas itu, Letta masih lagi diberikan kudrat mencari rezeki sebagai pembersih am di sebuah syarikat swasta di Cheras.

"Inilah sebahagian nikmat yang Allah bagi kepada mak cik. Masih sihat, mampu lagi bekerja mencari rezeki dan tidak meminta kepada anak dan orang lain," katanya yang kini menetap di Pudu.

Walaupun tidak layak untuk membayar zakat pendapatan, namun beliau sentiasa bersedekah terutama membantu keluarga terdekat untuk berkongsi rezeki yang diperoleh.

"Apa yang ada kita kongsikan bersama. InsyaAllah, hidup kita akan tenang. tak usah takut kalau duit tak cukup ke, takut tak makan ke... sebab janji Allah jika kita sedekah, makin diluaskan rezeki kita," katanya yang berasal dari Melaka.

REZEKI YANG MENCUKUPI

Bagi seorang kakitangan syarikat swasta, Syed Mazhar Syed Othman, 29, kesedaran membayar zakat timbul setelah merasakan pendapatan bulanannya sentiasa tidak cukup, malah kadangkala terpaksa meminjam daripada keluarga dan rakan-rakan.

"Duit tidak pernah cukup sedangkan saya belum berumahtangga lagi. Tak tahu mana duit tu dihabiskan setiap bulan. Nak menyimpan jauh sekali," katanya kepada Bernama.

Ujarnya , melalui ceramah mengenai pentingnya membayar zakat menyedarkannya akan tanggungjawab yang sepatutnya ditunaikan bagi menyucikan harta dan pendapatan yang ada.

"Saya nilai balik, mungkin ada silap di mana-mana yang menyebabkan saya lupa tunaikan tanggungjawab saya sebagai orang Islam," katanya yang membayar zakat melalui potongan gaji bulanan sejak setahun lepas.

Ujarnya, perubahan demi perubahan dapat dirasakan setelah menunaikan kewajipan itu terutama rezeki yang sentiasa dilapangkan.

"Saya lebih pandai menguruskan kewangan, walaupun gaji tak banyak tapi sentiasa cukup. Kita harus yakin kepada Allah yang memberi rezeki dan ikhlas menunaikannya," katanya yang turut merasakan hidup lebih tenteram setelah menunaikan rukun Islam ketiga itu.

TAMBAH NILAI ZAKAT

Perkara sama turut diakui oleh Zarifol Abdul Rahman, 40-an. Beliau yang membayar zakat pendapatan, wang simpanan dan emas sejak 10 tahun lepas dapat melihat pertambahan nilai zakat yang dibayar setiap tahun.

"Bila nilai zakat yang kita bayar bertambah setiap tahun, bermakna rezeki, nilai harta dan pendapatan kita juga telah bertambah," katanya.

Ujarnya, sebagai manusia, usaha dan doa menjadi senjata utama dalam kehidupan dan itulah yang diamalkannya bagi meningkatkan taraf ekonomi keluarga agar dapat sama-sama dikongsi dengan masyarakat yang memerlukan.

Setiap sebahagian rezeki yang kita miliki ada hak orang lain yang perlu kita kongsi termasuk melalui sedekah atau zakat, katanya.

"Tak usah takut untuk keluarkan zakat kerana yakinlah rezeki kita akan lebih berkat kerana akhirnya keredaan Allah juga yang kita cari," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Get the lowest PRICE booking by ONLINE

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...