Ketika negara semakin menghampiri hari pengundian Ahad ini, kajiselidik terbaru Merdeka Centre mendapati rating Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak merosot 3 peratus berbanding tinjauan terakhirnya sebelum ini.

najib announcing affordable house penang 300413 01Kajiselidik di kalangan pengundi di Semenanjung antara 28 April hingga 2 Mei itu juga meletakkan Pakatan Rakyat mendahului BN dari segi parti pilihan untuk membentuk kerajaan.

Populariti Najib menurun sedikit daripada 64 peratus dalam kajiselidiknya yang dijalankan pada bulan Mac, kepada 61 peratus sekarang - beberapa hari sebelum hari pengundian Ahad ini.

Merdeka Centre berkata angka itu mencerminkan penurunan faktor "feel good" yang sebelum ini dijana ketika pengagihan besar-besaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan juga bentuk sumbangan wang tunai yang lain.

Kebimbangan terhadap ekonomi mendahului senarai isu-isu yang pengundi mahu diperbincangkan, iaitu pada 25 peratus.

Kerusi marginal tentukan pemenang
Berdasarkan hasil kajiselidik, Merdeka Center berkata pemenang pilihan raya umum kali ini akan ditentukan oleh pihak mana yang berjaya memenangi sebahagian besar daripada 46 kerusi marginal parlimen di seluruh negara - semuanya dalam margin 3 peratus undi.

Tiga puluh empat daripada kerusi marginal itu adalah di Semenanjung Malaysia manakala masing-masing enam kerusi di Sabah dan Sarawak.

Selain daripada kerusi marginal, pusat itu meramalkan bahawa BN akan menang kira-kira 81 kerusi Parlimen manakala Pakatan akan menang kira-kira 89 kerusi.

Kajiselidik itu dijalankan di kalangan 1,600 pengundi berdaftar melalui temubual telefon, dengan 59 peratus responden Melayu, 32 peratus Cina dan 9 peratus India.
NONE














-Malaysiakini