nuffnang adv

lazada adv

Sunday, May 12, 2013

Lima langkah kurangkan berat badan






KINI, ramai wanita khususnya mula menitikberatkan mengenai masalah berat badan. Masing-masing semakin ghairah mencari penyelesaian terbaik bagi mendapatkan bentuk badan yang diidamkan.
Selain mengambil suplemen untuk kurus, segelintir wanita cenderung memilih rejim diet yang ketat dan melakukan senaman bagi membakar lemak yang menghuni dalam badan mereka.
Namun, tidak semua cara tersebut sesuai dengan semua orang.
Sungguhpun begitu, anda boleh mencuba lima langkah yang membantu mengurangkan berat badan.
Langkah 1
Strategi paling asas penurunan berat badan yang popular adalah membakar lebih banyak kalori daripada apa yang anda ambil.
Ia tidak sukar untuk dilakukan. Anda perlu belajar mengubah suai diet dengan mengurangkan makanan tinggi lemak serta melakukan senaman ringkas selama 20 minit sebanyak tiga kali seminggu.
Langkah 2
Menyertai pusat gimnasium yang menawarkan alat senaman yang bagus dan jurulatih bertauliah. Bersenam secara sistematik dan mengikut keupayaan tubuh membantu melancarkan proses penurunan berat badan.

SENAMAN ringkas selama 20 minit sebanyak tiga kali seminggu membantu mengurangkan berat badan seseorang.


Aerobik salah satu bentuk senaman ideal yang boleh dimasukkan dalam pelan senaman selain daripada sesi latihan angkat berat atau latihan rintangan. Sesi senaman tersebut membantu pembentukan tubuh dan secara tidak langsung meningkatkan keyakinan diri.
Langkah 3
Seperti yang kita sedia maklum sesi konsultasi bersama pakar pemakanan kadangkala memerlukan individu membelanjakan sejumlah wang yang tinggi. Namun usah berputus asa kerana anda masih berpeluang menurunkan berat badan dengan ilmu dan tip diet secara percuma. Caranya, banyakkan membaca info mengenai corak pemakanan seimbang menerusi blog dan laman web pakar pemakanan tempatan mahupun luar negara.
Sungguhpun begitu, ramai yang mengalah kerana bosan dengan kepelbagaian menu dalam pola diet tersebut. Sewajarnya, anda perlu kreatif dan bijak mengubah menu pemakanan asalkan ia seimbang, rendah kalori dan rendah lemak.
Langkah 4
Cari pasangan untuk melakukan senaman. Jika anda dan rakan mempunyai waktu terluang pada hari yang sama pilihlah untuk bersenam, berjoging ataupun berenang bersama-sama.

LATIHAN angkat berat salah satu cara untuk mendapatkan bentuk badan yang ideal.


Bersenam bersama teman lebih menyeronokkan berbanding bersenam seorang diri. Ia membantu menangkis rasa malas dan bosan sebaliknya ia membantu menyuntik motivasi untuk anda terus bersenam sebaik mungkin.
Langkah 5
Kebanyakan pengamal perubatan menasihatkan makan dalam kuantiti yang sedikit tetapi kerap. Kaedah tersebut merupakan cara yang terbaik kerana apabila menikmati makanan yang sedikit tetapi kerap memudahkan badan menyerap lebih banyak nutrien yang terdapat dalam makanan.
Walau bagaimanapun, proses penurunan berat badan bergantung kepada usaha, kegigihan dan tahap disiplin seseorang itu. Kombinasi senaman secara sistematik, pemakanan seimbang dan gaya hidup sihat membantu melancarkan proses penurunan berat badan dan memberikan hasil yang mengagumkan.
* Sumber: healthtips.net.in


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0510&pub=Kosmo&sec=Pesona&pg=ps_03.htm#ixzz2T8JlZ1oI 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment

Get the lowest PRICE booking by ONLINE

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...