nuffnang adv

lazada adv

Tuesday, May 28, 2013

Barcelona gembira keputusan Neymar



BARCELONA - Jurulatih dan para pemain Barcelona cukup teruja dengan keputusan Neymar untuk menyertai kelab Catalan itu sekali gus mengetepikan musuh tradisi mereka, Real Madrid.
Pemain berusia 21 tahun itu bersetuju menyertai Barcelona selama lima musim dan menolak tawaran yang lebih lumayan dari Real Madrid.
"Kami mahu mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Neymar yang memilih kami atas dasar gaya permainan bola sepak dan bukannya kerana faktor ekonomi," kata pengurus Barcelona, Tito Vilanova.
Pengumuman Neymar itu datang sehari selepas Santos berkata, mereka telah menerima tawaran daripada Barcelona serta Real dan menyerahkan kepada pemain antarabangsa Brazil itu membuat pilihan.
"(Neymar) memilih Barcelona kerana dia percaya mampu menyesuaikan diri dengan gaya permainannya.
"Jika dia memilih faktor kewangan, Barcelona tidak mempunyai apa yang dia mahukan dan saya yakin dia mampu bermain dengan baik di Eropah serta membantu kami menjadi sebuah pasukan yang lebih hebat," kata Vilanova.
Vilanova melabelkan Neymar sebagai pemain yang dicari-carinya selama ini sambil menafikan keraguan sama ada bintang yang semakin bersinar mampu menyesuaikan diri di samping Lionel Messi.
"Jika mereka mengatakan Neymar adalah pemain yang terkenal di laman web Youtube, itu adalah satu pujian kerana dia adalah pemain bola sepak yang hebat serta mampu menjaringkan banyak gol menarik.
"Menjadi satu impian mana-mana jurulatih mempunyai sebuah barisan serangan yang lengkap sebegini dan memberikan banyak pilihan kepada saya dalam usaha memenangi perlawanan.
"Sekarang saya perlu menggabungkan mereka semua dalam langkah yang betul seperti mana sebelum ini serta memahami cara mereka bermain," katanya.
Barcelona meraih kejuaraan liga buat kali keempat dalam lima musim tetapi mereka dimalukan dengan agregat 7-0 oleh Bayern Munich dalam dua pertemuan separuh akhir Liga Juara-Juara musim ini.
Kehadiran Neymar cukup menggembirakan pertahanan dan rakan senegara, Dani Alves yang berkata, pemain itu bukannya pemain bintang pop dan David Villa pula menganggap adalah satu berita baik kepada para penyokong Barcelona.
Presiden Barcelona, Sandro Rosell yang turut mendapat pujian kerana menjadi watak penting memujuk Neymar ke Sepanyol berkata, masih belum dapat ditetapkan tarikh memperkenalkan pemain Brazil itu kepada pihak media.
Walaupun begitu, dia tidak mahu lain-lain pihak menganggap kejayaan mendapatkan Neymar sebagai satu kemenangan kepada Real Madrid.
''Kami tidak mahu mendapatkan pemain semata-mata mahu menunjukkan siapa lebih berpengaruh serta mengganggu perancangan pihak lain tetapi adalah untuk meningkatkan lagi kualiti pasukan," katanya. - AGENSI


-Utusan online

No comments:

Post a Comment

Get the lowest PRICE booking by ONLINE

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...