Pengalaman penumpang Air Asia Normi Binti AHmad Shafie yang mengalami ribut di Bandar Seri Begawa Brunei yang menakutkan. Kejadian berlaku 10 Julai 2015. Ikuti catatannya...
Kami mendarat dengan perasaan bercampur baur. Ramai yang bergenang air mata dan ada dua tiga orang yang saya terlihat menangis.
Bila kami dibenarkan turun, semua beriya-iya mahu segera keluar, kami tak sanggup berada di perut kapal lagi.
Wajah anak kapal tetap tenang walaupun mereka sendiri ketakutan. Mereka senyum tapi senyuman mereka seolah-olah nak kata, 'Alhamdulillah kita selamat.'
Selama 40 minit bertarung di dalam ribut, wanita yang saya tak tahu mana satu orangnya tak henti-henti membaca ayat al-Quran dengan kuat.
Bila kapal terbang bergoncang hebat dan agak menjunam, dia mengetuai laungan Allahuakbar. Saya sedikit tenang mendengar bacaan dan takbir dari wanita itu. Nak sangat ucap terima kasih kepadanya.
Tiba di imigresen Brunei, pegawai tersebut bertanya perasaan saya ketika di atas kapal terbang. Saya katakan saya ingat saya akan mati. Orang lain sama-sama mengangguk dan bergenang air mata.
Nampaknya semua orang di lapangan terbang tahu perjuangan kami di atas sana. Mereka nampak awan hitam tebal dan ribut badai, ya, kami di dalam sana.
Azimah sudah menanti dan terus bertanya keadaan saya. Walaupun baru pertama kali berjumpa, kami terus berkongsi cerita macam dah lama kenal. Saya masih terkejut dan meluahkan perasaan padanya.
Kami ke masjid di lapangan terbang. Kami solat di situ dan saya bersujud syukur. Menangis saya di hadapan Allah kerana tak sangka diberi peluang hidup. Betul, saya ingat tak mungkin saya selamat.
Ketika memandu keluar, pokok tumbang di kiri kanan. Kami singgah di masjid As-Shalihin sementara menunggu waktu berbuka. Di situ ada majlis pengislaman saudara baru. Dirai seperti pengantin.
Sebelum tiba di situ, Azimah mendapat panggilan dari hostel di Pusat Belia, mereka batalkan tempahan kerana bersiap sedia membantu mangsa di Kampung Ayer.
Runsing, di mana mahu tidur malam ni. Azimah pasti ada masalah lain di rumahnya kerana dia tak berani mengajak saya ke sana. Dia cuba menghubungi penginapan lain dan mesej teman-temannya.
Kemudian kami ke kawasan Serusop. Azimah mencari restoran yang lain kerana restoran yang ditempah Azimah membatalkan tempahan kerana ribut.
Niat nak ke pasar Ramadhan pun dibatalkan kerana kebanyakan khemah-khemah peniaga berterbangan. Banyak yang musnah.
Di Serusop kami makan bihun dan mi sup saja. Panggilnya Soto Bunut. Saya masih terkenang-kenang keadaan di atas udara tadi. Hilang lapar, tiada perasaan mahu makan ketika itu.
Saya menaip status petang tadi dengan tangan menggeletar. Saya sorok-sorok sedikit ketakutan saya agar Azimah tak perasan. Genang air mata pun saya sorok, malu.
Selepas berbuka, kami ke Masjid Jame' Asr Hasanul Bolkia sambil menunggu respon teman Azimah. Kami solat maghrib, isyak dan terawih di situ. Masjidnya sangat indah tapi hati saya masih gementar.
Ketika meninggalkan bandar itu, jalan sesak dek kerja-kerja membersihkan jalan dari pokok-pokok yang tumbang menghempap jalan.
Ada rumah-rumah yang atapnya terbang. Banyak garaj kereta yang runtuh. Banyak juga kereta-kereta rosak dihempap bumbung garaj, pokok dan papan tanda.
Kami ke kawasan yang berdekatan dengan Limbang. Azimah menumpangkan saya di rumah Arin yang tinggal bersama keluarganya. Rumahnya besar dan luas.
Saya disambut Arin dan ibunya. Kami berbual dua jam bercerita kisah kapal terbang dan mereka ceritakan tentang kejadian ribut yang paling teruk berlaku kali ini. Mereka sendiri tak sangka.
Azimah sudah segera pulang selepas menghantar saya. Rupa-rupanya kata Arin, bumbung rumah Azimah terbang dan rumahnya rosak dilanda ribut.
Kasihannya Azimah. Tapi sebenarnya Azimah belum tahu keadaan rumahnya, itu kata Arin. Azimah cuma segan mahu menumpangkan saya kerana rumahnya agak kecil sedikit dan ahli keluarganya ramai.
Tak mengapa saya faham. Saya bersyukur Allah temukan saya dengan orang-orang Brunei yang baik hati ini. Keluarga Arin melayan saya dengan sangat baik.
Azimah pun sungguh-sungguh membantu saya sejak saya di Malaysia lagi. Namun semua rancangan kami gagal hari ni. Manusia merancang, tapi Allah mahu memberi saya pengalaman yang berbeza.
Sekarang saya di bilik Arin. Sedang menaip dengan tangan yang masih menggeletar. Di berita TV Brunei keluar macam-macam cerita ribut di semua tempat di negara ini.
Saya harap esok saya semakin pulih dari ketakutan. Dan semoga esok hari cerah di Brunei.
*************
Ribut yang berlaku di Sabah dan Brunei adalah tempias dari Taufan Chan-Hom yang berlaku di bahagian utara Filipina pada waktu yang sama ketika ribut melanda Brunei.
Ribut yang berlaku di Sabah dan Brunei adalah tempias dari Taufan Chan-Hom yang berlaku di bahagian utara Filipina pada waktu yang sama ketika ribut melanda Brunei.
@facebook Norma Binti Ahmad Shafie
No comments:
Post a Comment