Manila: Gambar seorang budak lelaki belajar dengan diterangi lampu dari restoran McDonald di Mandaue, Cebu, yang tersiar di Internet, menjadi viral dan bantuan untuknya mencurah tiba.
Ibunya, Christina Espinosa, berkata, Daniel Cabrera yang berusia sembilan tahun kini boleh meneruskan cita-citanya menjadi polis selepas sumbangan wang tunai, peralatan sekolah dan biasiswa diberi kepadanya.
“Kami amat gembira walaupun saya amat terperanjat dengan semua sumbangan ini. Kini Daniel boleh meneruskan persekolahannya,” kata wanita berusia 42 tahun yang bekerja sebagai pembantu rumah dan jurujual sebuah kedai kepada AFP hari ini.
Gambar berkenaan disiarkan dalam Facebook bulan lalu, oleh seorang pelajar kolej menunjukkan Cabrera membuat kerja sekolahnya di atas bangku kayu sebagai meja berhampiran restoran McDonald bagi mendapatkan cahaya lampu.
Pelajar kolej perubatan itu, Joyce Torrefranca, 20, menyiarkan gambar itu bersama kata-kata: “Saya mendapat inspirasi daripada seorang budak.”
Gambar itu kemudian dikongsi hampir 7,000 kali di rangkaian laman sosial sehingga televisyen menyiarkannya.
Espinosa dan tiga anaknya termasuk Cabrera, tinggal dalam stor kedai runcit tempatnya bekerja selepas rumah setinggan mereka terbakar lima tahun lalu.
Pendapatannya hanya 80 peso (RM6.70) sehari bekerja di kedai itu serta sebagai pembantu rumah sambilan kepada majikannya. Dia mencari wang lebih dengan menjual rokok serta gula-gula di jalanan Mandaue.
Menurutnya, mereka tinggal berdekatan restoran McDonald itu yang menjadi sumber cahaya kepada Daniel belajar yang bapanya meninggal dunia pada 2013 akibat taun. Tiga lagi anak Espinosa, sudah berkahwin dan tinggal berasingan
Selain sumbangan wang tunai, peralatan sekolah dan biasiswa sehingga Daniel ke kolej, ada juga yang menyumbangkan pakaian seragam sekolah dan lampu membaca selain bantuan kewangan kepadanya yang disalurkan kepada jabatan kebajikan dan gereja.
Gambar yang disiarkan Torrefranca itu dikongsi di seluruh dunia dalam pelbagai bahasa oleh mereka yang tersentuh dengan kedaifan serta semangat kanak-kanak itu.
“Sukar untuk saya percaya ia menjadi viral hingga membantunya. Saya berasa terharu kerana ketika budak jalanan lain mengemis, dia belajar,” kata Torrefranca yang merakam gambar itu ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2015
@harianmetro online
No comments:
Post a Comment