nuffnang adv

lazada adv

Thursday, July 11, 2013

Che Long: Calon PAS PRK Kuala Besut yang kukenali

Dr Azman Ibrahim,10 Jul 2013

Tepat jam 11:55 malam, 9 Julai (malam tadi) bertempat di Kampung Nail, Kuala Besut, Tuan Guru Presiden PAS mengumumkan nama seorang aktivis parti yang akan memikul amanah PAS dan Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya Kecil N01 Kuala Besut, 24 Julai ini.

Nama Azlan mungkin agak asing bagi masyarakat di sini yang biasa memanggilnya dengan panggilan mesra, Che Long.

Walaupun dari segi kawasan pilihanraya, Jabi terletak dalam Parlimen Setiu, tetapi disebabkan jarak yang cuma bersepadanan serta persamaan dari segenap segi sosio-budaya, menjadikan saya tersangat akrab dengan pimpinan PAS kawasan Besut.

Bermula dari Yang Dipertua PAS Besut, Ustaz Wan Azhar, Timbalannya Cikgu Solah, Ketua Penerangannya Ustaz Wan Syukri, Setiausahanya Aminuddin yang mesra disapa Pak Su Amin, Datuk Hussein Awang, Ust Nik Zawawi dan ramai lagi untuk disebut namanya, semuanya adalah sahabat karib dalam menempuh suka duka perjuangan.

Che Long selaku bendahari PAS Besut selalunya mesra saya menyapanya dengan panggilan Abang Long sebagai menghormati perbezaan umur antara kami.

Saya mengenalinya sebagai seorang aktivis parti yang tawaduk, perlahan dan teratur dalam pertuturan, suaranya lemah lembut dan penuh kemesraan.

Sekarang Abang Long dipertanggungjawabkan memikul amanah parti untuk memahat sejarah baru dalam catatan negeri Terengganu. 16:16 akan menjadi kenyataan dengan izin Allah.

Tahniah serta takziah serentak saya ucapkan. Tahniah kerana mendapat kepercayaan pimpinan yang tentunya telah memilih yang terbaik antara yang terbaik manakala takziah disebabkan kita menyedari alangkah beratnya beban tanggungjawab yang akan dipikul.

Masyakat Kuala Besut bertuah, peribadi yang dikemukakan PAS untuk mereka undi dan pilih pada 24 Julai 2013 nanti, hakikatnya telah sekian lama menjadi sebahagian dari kehidupan masyarakat di sini.

Tua dan muda mengenalinya. Sebati dengan susah dan senang masyarakat setempat adalah kelebihan tersendiri Che Long sebagai pemimpin. Seorang kontraktor pembinaan yang terkenal dengan sifat dermawannya. Tidak keterlaluan kalau diistilahkan bahawa beliau salah seorang ‘bank’ PAS kawasan Besut. Warak serta memiliki pegangan agama yang kuat.

Saya doakan kejayaan Abang Long memikul amanah ini dengan cemerlang.

Seluruh negara malah seluruh dunia sedang memerhatikan kita. 16:16 akan menjadi suatu testimoni perundangan yang sangat menarik. Semuanya di tangan pengundi N01 Kuala Besut. Ayuh!!

Penulis ialah AJK Badan Perhubungan PAS Terengganu.

Khairy sambut baik syor jemput Ustaz Azhar Idrus

Salmiyah Harun,11 Jul 2013

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin mencadangkan Kementerian Belia dan Sukan mengundang penceramah ikon anak muda, Ustaz Azhar Idrus dalam usaha untuk menerapkan nilai-nilai Islam terhadap belia negara.

Menurut Hanipa, Azhar Idrus yang sangat dikenali di kalangan anak muda dan ia amat sesuai digunakan untuk menarik golongan belia bagi mendekatkan diri dengan Islam.

Katanya, dalam perkara ini kerajaan seharusnya menolak fahaman politik masing-masing demi belia yang kini rosak dengan gejala sosial.

"YB Menteri boleh panggil Azhar Idrus, dia ikon anak muda. Panggil dia untuk menarik anak muda. Dia ada tarikan sendiri ataupun menteri duduk di sebelah dia," celah Hanipa ketika menteri berkenaan menggulung bagi Kementerian Belia dan Sukan.

Menteri berkenaan, Khairy Jamaluddin menyambut baik cadangan Hanipa namun tidak mahu dilihat berpolitik apabila mengundang Ustaz Azhar Idrus.

"Cadangan YB Sepang baik, ada lagi ustaz-ustaz lain yang boleh. Saya tidak mahu dipolitikkan," jelas Khairy.

Sebelum itu, Khairy menyokong cadangan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamd Abduh Nik Aziz yang meminta kerajaan mengislamkan dasar-dasar belia negara bagi mengelakkan masalah sosial terus menjadi serius.

Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan turut melahirkan kebimbangan terhadap insiden yang berlaku dalam perkampungan Sukma baru-baru ini.

Nasrudin juga mempersoalkan bagaimana begitu mudah arak dibawa masuk di dalam perkampungan Sukma dan meminta kementerian terbabit memberi gambaran jelas keadaan di perkampungan itu.

"Saya harap kejadian ini tidak lagi berlaku, arak dibawa masuk akhirnya berlaku pula jenayah. Minta pihak berkuasa ambil tindakan sewajarnya," katanya.

-Harakah Daily

Mesir: Revolusi yang belum berakhir


Khalil Abdul Hadi,
11 Jul 2013

Sebaik saja mendapat maklumat daripada kawan-kawan di Mesir mengenai kemuncak perancangan untuk menjatuhkan Presiden Mohammed Mursi saya terpaku di hadapan television mengikuti perkembangan di sana melalui stesen tv Al-Jazeera. Hampir jam 230 am 3 julai maka keluarlah berita rasmi Presiden Mursi digulingkan oleh tentera. Abdul Fatah As-Sisi, Menteri Pertahanan yang dilantik oleh Mursi muncul bersama-sama dengan pimpinan gerakan tamarrud-rebel mengumumkan berita yang mengejutkan ini. Mesir menambah satu lagi koleksi sejarah selepas Firaun, Namrud dan Qarun iaitu Abdul Fatah As-Sisi adalah jeneral tentera pertama yang menjatuhkan presiden yang dipilih oleh rakyat dengan jalan demokrasi yang diiktiraf oleh negara dan badan-badan dunia. Sejurus selepas penggulingan kuasa ini As-Sisi telah mengumumkan bahawa perlembagaan digantung buat sementara waktu, pelantikan presiden sementara dan dipercepatkan pilihanraya presiden.

Kejatuhan Mursi tidak akan berlaku melainkan dengan sokongan pihak tentera dan gerakan massa daripada rakyat bawahan. Pihak tentera khususnya yang berpangkat tinggi walaupun masih dilihat tergugat cengkaman mereka selepas kejatuhan Hosni Mubarak tetapi mereka hanya menunggu peluang yang baik untuk menunjukkan wajah mereka yang sebenar. Akhirnya peluang itu datang apabila gerakan tamarrud digerakkan oleh Ketumbukan Menyelamatkan Revolusi yang diwakili oleh parti-parti sekular, nasionalis dan kumpulan upahan Islam berjaya mengupah orang awam biasa yang mudah termakan dengan umpan wang ringgit yang sedikit kerana kesempitan hidup, mereka keluar di dalam himpunan dan demonstrasi dalam masa yang sama disokong oleh media upahan yang membesar-besarkan protes ini. Padahal himpunan penyokong Morsi lebih ramai jika dibandingkan dengan himpunan yang dilakukan oleh golongan tamarrud ini.

Tindakan yang dilakukan oleh pihak tentera ini menimbulkan berbagai kemungkinan senario politik yang berlaku di Mesir samaada ianya akan bertambah reda dengan penyertaan pelbagai pihak untuk merangka pelan politik pasca kerajaan pimpinan Mohammad Mursi atau ianya akan berubah menjadi semakin parah dengan pertembungan antara penyokong Mohammad Mursi dan kalangan pembangkang dan lebih bahaya lagi ianya boleh membawa kepada pertempuran berdarah di wilayah-wilayah yang banyak dipengaruhi oleh golongan Islam yang banyak ditindas oleh pihak tentera sejak dari zaman berzaman.

Rampasan kuasa yang berlaku di Mesir ini bukanlah perkara baru, ianya pernah berlaku di Algeria pada awal 1990 an apabila parti Islam FIS menang dalam pilihanraya, pihak tentera ambil alih kuasa dan pimpinan FIS dipenjarakan seperti Abbasi Madani, Ali Belhadj dan lain-lain lagi. Begitu juga ianya pernah berlaku beberapa kali di Turki antaranya ketika parti Refah yang diketuai oleh almarhum Nejmuddin Erbakan mengambil alih kuasa pihak tentera masuk campur dan kerajaan pimpinan parti Refah digulingkan. Akan tetapi tindak balas pihak tentera menggulingkan Mohammad Mursi di Mesir ini berbeza kerana beberapa sebab antaranya:


1- Kuasa yang diperolehi oleh golongan Islam samaada gerakan Islam yang sederhana iaitu Ikhwan Muslimun melalui sayap politiknya parti Hurriyyah wa Al-‘adalah-Freedom and Justice atau yang mengikut aliran-aliran yang lain dalam pilihanraya yang diadakan pada tahun lepas seolah-olah mutlak bukan sahaja menguasai parlimen bahkan juga Majlis Syura dan Presiden yang dipilih juga adalah calon daripada Ikhwan Muslimin. Pengaruh Ikhwan Muslimun di dalam tampuk pemerintahan ini sangat dibimbangi oleh Israel dan Amerika Syarikat dan ianya juga dilihat boleh menggugat negara-negara Arab lain khususnya negara Teluk yang diperintah oleh sistem beraja yang mutlak dan menjadi sekutu rapat Amerika Syarikat. Ini adalah kerana Ikhwan Muslimun adalah Gerakan Islam paling lama yang sudah bertapak lebih daripada 80 tahun dan paling berpengaruh yang mempunyai cabang-cabang di seluruh negara Arab.

2- Kedudukan Mesir yang begitu strategik di dunia Islam samaada dari sudut ketenteraan, sosial politik dan geografi politik. Negara Mesir adalah antara negara yang mempunyai jumlah penduduk Islam teramai di negara Arab khususnya di kalangan Ahl As-Sunnah. Di tambah lagi dengan kedudukan geografinya yang begitu strategik, bersempadan dengan Israel dan juga Gaza yang dikuasai oleh kumpulan Islam HAMAS. Kewujudan Terusan Suez juga adalah yang menjadi penghubung laluan kapal-kapal dari seluruh pelusuk dunia juga memainkan peranan yang penting ditambah lagi dengan kesuburan tanahnya khususnya delta sungai Nil yang menjadi sumber pertanian yang besar.

3- Di sepanjang sejarah kebangkitan Islam, Mesir memainkan peranan yang sangat signifikan ketika umat Islam berada di saat-saat yang cemas dan genting. Pembebasan Baitul Maqdis dari tangan Salibiyyin oleh Sultan Salahuddin Al-Ayyubi bermula di Mesir iaitu setelah baginda mengambil alih pemerintahan kerajaan Fatimiyyah dan akhirnya berjaya menyatukan umat Islam sehingga berjaya membebaskan Baitul Maqdis pada tahun 583 hijrah. Begitu juga Ketika kerajaan Islam Abbasiyyah yang berpusat di Baghdad dibadai oleh bala tentera Tatar, seolah-seolah kerajaan Islam sudah berkubur, ribuan umat Islam dibunuh, masjid-masjid dimusnahkan dan kitab-kitab dijadikan jambatan di atas sungai Furat dan Dajlah sehingga airnya bertukar menjadi hitam. Lalu Sultan Qutuz yang merupakan salah seorang sultan daripada kerajaan Mamalik yang berpusat di Mesir memimpin umat Islam dan mengalahkan tentera Tatar di dalam peperangan Ain Jalut pada tahun 658 hijrah.
Maka di atas dasar ini tidak mungkin samasekali Amerika Syarikat akan berdiam diri dengan perkembangan yang berlaku. Ini juga berkait dengan masa depan negara haram Israel yang begitu tertekan dengan penguasaan golongan Islam di Mesir yang sudah tentu memberikan kekuatan kepada kerajaan HAMAS di Gaza yang menjadi duri di dalam daging kepada Israel. Ringkasnya sesuatu mesti dilakukan untuk menyekat ‘bahaya’ ini.

Setelah berlalunya revolusi 25 Januari yang menjatuhkan Hosni Mubarak dan kemenangan golongan Islam di dalam pilihanraya yang diadakan khususnya kemenangan Dr Mohammad Mursi sebagai presiden, tiada siapa yang menjangka akan berlaku satu lagi revolusi. Seolah-olah semuanya berjalan dengan baik kerana inilah jalan demokrasi, pihak yang kalah mestilah menerima kekalahan walaupun sepahit mana sekali pun tetapi apa yang berlaku mendedahkan wajah sebenar golongan Sekularis, Libralis dan Nasionalis yang tidak boleh menerima samasekali kemenangan golongan Islam. Demokrasi bagi mereka tidak boleh diterima jika sekiranya golongan Islam yang menang, mereka tidak akan berdiam diri kerana mereka tahu mereka disokong oleh kuasa-kuasa besar, inilah sikap hipokrit negara-negara Barat yang kononnya bertuhankan kepada Demokrasi. Setelah Dr Mohammad Mursi disingkirkan tidak ada negara yang mengecamnya melainkan Turki dan beberapa badan seperti Kesatuan Afrika. Mereka yang paling gembira ialah negara-negara Arab Teluk khususnya Arab Saudi dan UAE yang tidak berselindung langsung kegembiraan mereka dengan kejatuhan Mursi dan kerajaan pimpinannya, senada dengan kenyataan di dada akhbar-akhbar utama Israel yang menghemburkan pujian kepada As-Sisi kerana berjaya menggulingkan golongan Islam daripada tampuk pemerintahan.

Pada hari ini genap seminggu rampasan tentera di Mesir, keadaan masih kucar kacir, Adly Mansour presiden sementara yang dilantik masih lagi gagal untuk membentuk kerajaan sementara. Penyokong-penyokong Morsi memenuhi dataran-dataran di seluruh Mesir dalam masa yang sama mereka yang menyokong penyingkiran Morsi semakin surut kewujudan mereka di Dataran Tahrir. Puluhan penyokong Morsi dibunuh dengan begitu kejam ketika mereka menunaikan solat subuh ratusan lagi yang tercedera. Pihak-pihak yang bergabung di dalam gabungan Ketumbukan Menyelamatkan Revolusi pimpinan Mohammed El-Baredai dan lain-lain lagi makin tidak sependapat dengan pelan yang digariskan oleh pihak tentera. Berpuluh-puluh pimpinan Ikhwan Muslimun ditahan dan dipenjarakan, yang masih kekal bersama-sama dengan orang ramai menyatakan bahawa mereka tidak berganjak sehingga kuasa dikembalikan kepada Mursi. Al-Ustaz Mohammad Badi’, Mursyid Ikhwan Muslimun menegaskan bahawa rakyat yang berhimpun dengan aman lebih berkuasa daripada peluru-peluru hidup dan kereta-kereta kebal, kenyataan yang memberikan gambaran revolusi di bumi Mesir belum lagi berakhir.


*Penulis adalah Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia

Thursday, July 4, 2013

Monday, July 1, 2013

Idris Jusoh: Pas tetap tak boleh perintah Terengganu



BESUT - Pas tidak akan boleh memerintah Terengganu walaupun parti itu menang dalam Pilihan raya Kecil (PRK) yang bakal diadakan.

Ketua Umno Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, kelebihan satu kerusi speaker menghalang Pas memerintah negeri ini walau pun ditakdir parti itu menang.

Menurutnya, sekarang BN mempunyai kedudukan 18 kerusi termasuk satu kerusi speaker, manakala pembangkang 15 kerusi dan kalau mereka menang PRK kali ini, kedudukan masih 16-17.

“Sekiranya pembangkang menangpun ia tidak memberi apa-apa keuntungan kepada mereka tetapi akan menyulitkan pembangkang. Justeru, rakyat perlu terus mengundi BN kerana rakyat akan mendapat manfaat yang besar,” katanya selepas Taklimat Khas PRK Dun Kuala Besut di Damai Beach Resort dekat Kampung Raja, semalam.

Hadir sama, kepimpinan parti peringkat negeri dan bahagian Besut.

Idris berkata, Umno sedang menyusun pelbagai strategi dan gerak kerja semua peringkat termasuk bantuan pusat untuk menghadapi PRK kali ini.

Beliau berkata, beberapa cadangan calon BN tempatan telah disenaraikan dan senarai akan dikemukakan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan calon.

“Kita akan mencari calon tempatan yang disenangi dan disukai oleh rakyat kerana calon yang disukai rakyat akan memberi lebih kemenangan,” katanya.

LPP kenal pasti tanah terbiar

Shamsuddin (empat, kanan) menyaksikan Bazlan (lima, kanan) menyerahkan geran kepada salah seorang peserta pada Kursus Kelapa Sawit dan Penyampaian Jentera di Balai Raya Darat Batu Rakit Hilir, semalam.

BATU RAKIT – Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Terengganu menyasarkan untuk mewujudkan kawasan agro makan di setiap mukim dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan tani di negeri ini.

Pengarahnya, Shamsuddin Mat Rani berkata, usaha itu bagi memastikan tanah terbiar dimanfaatkan sepenuhnya dengan aktiviti yang mampu memberikan pulangan lumayan.

“Langkah yang dibuat ini bukan sahaja dapat memberi peluang ekonomi yang lebih baik buat golongan pengusaha pertanian, malah turut menjadi salah satu cara memanfaatkan tanah kosong tanpa sebarang aktiviti yang boleh mendatangkan pulangan.

“Sehubungan itu, pihak kami sedang rancak mengenal pasti tanah atau kawasan kosong yang sesuai untuk diusahakan pertanian dengan harapan mampu mengembangkan lagi pengeluaran makanan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika hadir pada Kursus Kelapa Sawit dan Penyampaian Jentera di Balai Raya Darat Batu Rakit Hilir, di sini, semalam.

Menurut Shamsuddin, pihaknya turut berbangga apabila berjaya melahirkan usahawan tani yang memperoleh pendapatan melebihi RM3,000 sebulan melalui perusahaan yang disertai mereka.

“Melihat perkembangan positif ini, kita berharap lebih ramai melibatkan diri dalam bidang pertanian kerana ia terbukti mampu memberi pendapatan lumayan,” katanya.

Sementara itu, Adun Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman turut hadir menyempurnakan majlis perasmian kursus yang disertai 60 ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Maras/Batu Rakit.

Hadir sama Pengurus Besar PPK Maras/ Batu Rakit, Syed Nadzuan Sayed Jaafar.

-sinar harian

Get the lowest PRICE booking by ONLINE

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...