nuffnang adv

lazada adv

Tuesday, September 4, 2012

Adakah Minum Air Suam Baik Untuk Kesihatan?


Oleh Zulkiple Ibrahim

Ini adalah bahagian akhir daripada dua artikel mengenai keperluan minum air untuk kesihatan badan. Tetapi pengamal penjagaan kesihatan memberi amaran keperluan ini hanya sesuai bagi mereka yang sihat buah pinggang dan bukan yang mengalami masalah ginjal kronik atau masalah yang bersangkutan dengan buah pinggang.

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Bila jerubu menyelubungi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia pada pertengahan bulan Jun lepas, beberapa lokasi di seluruh negara mencatat Indeks Pencemaran udara (API) yang tinggi.

Suhu juga telah meningkat dan berlegar sekitar 30 darjah Selsius atau lebih. Keadaan suhu yang agak panas dan merimaskan bagi penduduk di negara ini.

Pihak berkuasa kesihatan telah menasihati orang ramai yang tidak mempunyai urusan penting di luar rumah agar tinggal sahaja dalam rumah.

"Hadkan aktiviti (luar rumah) dan banyak minum air suam," Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai memberitahu pemberita pada satu majlis baru-baru ini, bila ditanya mengenai apa yang orang ramai perlu buat jika jerubu melanda.

Kenapa perlu minum air suam?

Ramai yang menyangka tabiat minum air suam hanya petua atau cerita daripada 'orang tua-tua' sahaja.

Tetapi, pengamal penjagaan kesihatan juga memang berpendapat bahawa minum air suam dapat memanjangkan umur sel badan!

AIR DINGIN

"Minum air sejuk mungkin boleh beri kepuasan bagi menghilangkan dahaga.

"Tetapi ahli sains percaya air yang sejuk akan mengentalkan lemak dalam makanan yang baru diambil dan menyukarkan sistem pencernaan lemak dalam badan.

"Ini selanjutnya menyukarkan pengeluaran bahan buangan lemak dari dalam badan," jelas pengamal perubatan Dr A.Radha.

Minum air sejuk atau yang mempunyai ketulan ais adalah tidak sebaik minum air biasa dari segi hidrasi badan.

Teorinya adalah air sejuk menyebabkan salur darah perut mengecut dan melambatkan proses penyerapan.

Ada pengkaji bidang perubatan yang mempunyai pandangan berbeza tentang sama ada minum air sejuk lebih baik daripada minum air suam terutama selepas melakukan senaman.

"Ada doktor yang menyarankan minum air biasa adalah lebih baik daripada minum air sejuk kerana badan terpaksa mengeluarkan tenaga lebih untuk memanaskan air sejuk ini ke tahap suhu badan, menyebabkan terjadinya kehilangan air dari badan.

"Tetapi ada juga doktor yang menyatakan bahawa selepas aktiviti senaman yang cergas, minum air sejuk akan mudah menyejukkan badan jika dibandingkan dengan air suam," jelas Dr Radha.

Kata Dr Radha, mereka yang minum air sejuk sebenarnya akan minum lebih banyak air kerana air sejuk rasanya lebih sedap dan lebih memuaskan.

MASALAH

Bila air sejuk melalui sistem dalam badan, ia mengentalkan lelemak makanan yang baru atau sedang dimakan.

Ini menyebabkan penghadaman serta penyerapan makanan lebih sukar selain dari membuang apa yang tidak perlu dari badan.

Tetapi jika ditukar air sejuk kepada air suam atau panas (seperti teh atau kopi), air yang suam itu akan membantu mencairkan lelemak dalam makanan yang diambil dan memudahkan pencernaan.

"Ia turut membantu membuang lemak dengan cara yang lebih senang dari sistem badan serta mengurangkan risiko salur darah tersumbat," kata beliau.

"Kalau nak bantu seseorang yang tengah demam panas, jangan guna air sejuk tetapi gunakanlah air yang agak suam.

Kata Dr Radha, air yang sejuk sebenarnya boleh merangsang dan menaikkan suhu badan. Jika mereka yang demam minum air sejuk, badan mereka akan jadi 'kesejukan'. Jadi air suam adalah pilihan yang baik.

Minum air suam juga boleh menenang dan merelakskan badan, kata beliau lagi.

WARNA KENCING

Menurut Dr Radha, indikasi terbaik sama ada badan mencukupi imbangan air adalah dengan melihat warna air kencing.

"Jika warna air kencing pekat kekuningan, seseorang itu mungkin tidak cukup air dalam badan, tetapi jika air kencing itu berwarna kuning pucat dan cerah maka kandungan cecair badan adalah mencukupi. Harus diingat warna air kencing pada sebelah pagi adalah lebih pekat.

Menurut beliau lagi, ahli sains percaya minum air suam ketika makan boleh membantu mengurangkan berat badan.

"Jika kita tukar air sejuk yang diminum dengan air suam seperti minuman teh, kopi atau herbal, lemak dalam makanan akan kekal cair dan lebih mudah bagi serapan serta pengeluaran dari badan.

"Ini akan membantu mengurangkan berat badan selain membuang lemak dari bersalut dalam salur darah," katanya.

Mengikut amalan perubatan tradisional Cina, untuk kekal sihat seseorang digalakkan minum air suam.

"Air sejuk sebenarnya tidak baik untuk perut anda," katanya lagi.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Get the lowest PRICE booking by ONLINE

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...