nuffnang adv

lazada adv

Thursday, September 18, 2014

Adakah Tok Peramu itu Dato' Bahaman?



Menurut cerita seorang Imam yang tinggal di Peramu, sebelum Jepun masuk orang tua itu tinggal di Padang Lalang. Dulu kampung sekarang sudah jadi kawasan Industri. Tahu dimana Pdg.Lalang. Kalau kita nak ke Tg. Lumpur melalui jambatan Sg.Kuantan dan sebelum naik jambatan ada simpang ke kiri jalan menghala ke Tg. Api & Kg. Selamat. Di situlah Padang Lalang. Katanya: apabila Jepun mendarat di Kuantan, semua orang Kg.Pdg.lalang lari ke seberang ke Tg. Lumpur dan Peramu. “Aki mohlah naik perahu kita lari keseberang,” kata salah seorang orang kampung mengajak orangtua itu naik perahu. ” Mohlah deme dulu, aki ikut kemudian,” jawab orangtua itu. Apabila rombongan pelarian dengan perahu itu sampai keseberang, didapati orangtua itu sudah ada berdiri ditebing sungai.
Anih bukan! Jadi betullah dan saya yakin bahawa To Peramu itu adalah Datuk Bahaman.
Apa yang hendak saya ceritakan ialah episod rombongan 10 orang yang hendak menemu bual orang tua itu termasuk ayah saya.  Sebaik sampai dihadapan rumah Tok Peramu, ketua rombongan memberi salam. Salam dijawab oleh pengasuh lalu mempersilakan rombongan naik. Orang tua itu berbaring diatas katil dengan selimut sampai ke leher dan memakai cermin mata hitam. Di sebelah kepalanya terletak sebuah radio yg terus berkumandang tanpa tepat pada channel. Ahli Rombongan pun duduk. Tanpa berlengah ketua rombongan membuka mukadimahnya, ” pada tahun sekian sekian blah blah blah, Tok Aki duduk dimana?” Itulah pembuka kata yang awal dan akhir. Selepas setengah jam kemudian pertanyaan ketua rombongan tiada respond, ahli rombongan pun angkat punggung lalu balik.
Ada  yang tak puas hati. Minggu hadapannya, pakcik Hashim kawan ayah, bertindak sebagai ketua rombongan lalu membelah arus  Sungai Kuantan ke rumah Tok Peramu. Sebelum pergi,Pakcik Hashim minta isterinya,  buat pulut kuning dan ayam panggang. Se sampai saja dihadapan rumah orang tua tu, Rombongan memberi salam. Salam di jawab oleh pengasuhnya lalu mempersila  naik, sambil berkata, ” ini anak cucu datang bawok pulot kuning” Phuh!!! orang tua itu terus bangun lalu berdoa. Panjang doanya. Ahli rombongan pun berceloteh. Susah nak faham celotehnya, pekat loghat Kelantan purba. Orang Kelantan yang sama dlm. rombongan itu juga tidak faham. Diantara lain yang ayah dapat fahamkan bahawa katanya,
“Mat Kilau tu orang handal. Sepelepah daun nyior gugur, dia dah tahu berapa banyak regisnya (lidi).”


Dari ungkapan itu Ayah dan ahli rombongan yakin bahawa orang tua itu sebenarnya Datok Bahaman, bekas Orang Kaya Semantan, orang besar berempat Negeri Pahang.
Saya yakin bahawa Tok Peramu itu Datuk Bahaman, berasas kepada munculnya Mat Kilau di Pulau Tawar Jerantut suatu ketika dulu. Sebelum Mat Kilau muncul dan diisytihar kan, beliau tinggal di Batu 5 Jalan Gambang, kawasan Paya Besar. Mengikut cerita,Pahlawan melayu sangat taat kepada Raja, mereka tidak akan menderhaka malah raja perlu dilindungi. Justeru, betullah, Datuk Bahaman tinggal di Peramu, Mat Kilau tinggal di Paya Besar dan Tok Gajag tinggal di Rompin, mereka tidak boleh berjauhan dengan Raja.
Kesemua tiga pahlawan melayu terbilang ini telah meninggal dunia. Tamatlah cerita mereka, tanpa mendapat tempat dipersada pemerintah. Kalau adapun cucu cicitnya, mereka tak kesah. Barangkali mereka beranggapan, yang handal, yang gagah perkasa itu datuk nenek mereka, bukan anak cucunya.
Pengenalan Dato Bahaman

Pahlawan Dato Bahaman
Abdul Rahman bin Tuanku Imam Nuh, lebih dikenali sebagai Dato’ Bahaman ialah orang besar yang menentang penjajahan Inggeris di Semantan, daerah kekuasaannya di Pahang, Tanah Melayu.
Bapa Dato’ Bahaman ialah Tuanku Imam Nuh yang berasal dari Bangkinang, Kampar, Riau. Ibunya pula ialah Rokiah Abdul Rahman, anak perempuan Tok Setia Perkasa Semantan yang berketurunan Bugis dari Sulawesi Selatan. Walaupun beliau dilahirkan di Rantau Panjang iaitu sebuah kampung di daerah Bentong, beliau banyak menghabiskan masa di Pekan kerana berkhidmat dengan Bendahara Ali iaitu ayahanda kepada Sultan Ahmad.
Dato’ Bahaman juga dikatakan pernah menjadi anak angkat kepada Bendahara Ali dan menjadi rakan sepermainan kepada Sultan Ahmad ketika mudanya. Apabila Sultan Ahmad menaiki takhta, Dato’ Bahaman terus menabur bakti kepada tanah airnya.
Dato’ Bahaman telah diangkat sebagai salah seorang Orang Besar Berlapan dan dianugerahkan dengan gelaran Dato’ Setia Perkasa Pahlawan Semantan kerana kerana beliau telah menunjukkan sikap serta kebolehannya sebagai panglima dalam perang saudara antara Sultan Ahmad dan adinda baginda Wan Mutahir serta memimpin pasukan Pahang untuk membantu Tengku Kudin dalam perang Saudara di Klang, Selangor. Selepas kematian Orang Kaya Indera Segara, Dato’ Bahaman telah dilantik oleh Sultan Ahmad sebagai Orang Kaya Temerloh. Dengan pangkat tersebut, kedudukan Dato’ Bahaman adalah sedarjat dengan Orang Besar Berempat dan seringkali diajak berunding oleh baginda Sultan Ahmad.
‘Seman Tahan’
Seorang yang pandai bersilat dan mempunyai ilmu kebal, kelebihan ini telah menyebabkan Dato’ Bahaman digelarkan ‘Seman Tahan’ oleh penduduk di sekitar kawasan itu sehingga sungai yang tidak bernama ketika itu diberi nama Sungai Seman Tahan dan seterusnya menjadi tempat persinggahan Inggeris. Beliau tidak mengiktiraf pemerintahan Inggeris diPahang sejak awal lagi dan mencetuskan kebangkitan di Pahang.
Awal penentangan
Segala-galanya bermula pada Oktober 1888 apabila British melantik JP Rodger sebagai Residen Pahang. Pihak Inggeris sememangnya sudah lama mengintai peluang untuk menjajah Pahang dan peluang mereka terbuka apabila mengetahui Sultan Pahang bermusuhan dengan dengan adindanya, Wan Mansur. Rancangan Wan Mansur untuk menyerang Sultan Ahmad diketahui British dan bangsa asing itu mengambil kesempatan untuk berbudi kepada Sultan Ahmad dengan mematahkan cubaan serangan itu.
Melihat seolah-olah Sultan Ahmad sudah termakan dengan budi yang ditabur mereka, British mengutuskan Hugh Clifford untuk memujuk Sultan supaya menerima seorang residen untuk membantu baginda memerintah Pahang. British sebenarnya memasang helah untuk menjajah Pahang bagi membolehkan mereka memungut hasil bumi yang banyak di negeri itu. Pihak British seterusnya memujuk Sultan Ahmad bagi membolehkan pihak Inggeris campurtangan di dalam pemerintahan Pahang kerana mahukan hasil bumi Pahang seperti balak, bijih timah, getah, gading, rotan, emas dan padi.
Untuk menangani masalah campurtangan pihak Inggeris di Pahang, Sultan Ahmad mengadakan mesyuarat bersama Dato’ Bahaman, Tok Gajah dan pembesar-pembesar Pahang di Kuala Bera, Temerloh. Selepas mesyuarat sulit yang diadakan di Sungai Salan, Pulau Tawar, Jerantut, semua pihak membuat keputusan tidak bersetuju membenarkan campurtangan pihak Inggeris ke atas Pahang.
Pada tahun 1885, British telah mengangkat Wan Mansur, adik kepada Sultan Ahmad menjadi Raja Muda. Berikut berlakunya kematian seorang Cina di istana Sultan Ahmad telah menyebabkan Sultan Ahmad terpaksa menandatangani perjanjian membenarkan British campurtangan dalam pemerintahan Pahang. Walaupun pada mulanya baginda enggan menerima kehadiran bangsa asing, atas beberapa helah dan desakan dari British, Sultan Ahmad akhirnya terpaksa bersetuju untuk menerima seorang Residen British di Pahang.
JP Rodger pada mulanya hanya berkhidmat sebagai penasihat Sultan untuk memerintah negeri tetapi lama-kelamaan lelaki asing itu mula besar kepala. Dia mula mengambil alih urusan mentadbir Pahang serta masuk campur ke dalam adat dan agama penduduk tempatan. Rodger mula merangka pelbagai peraturan sesuka hatinya tanpa berunding dengan sultan atau pembesar negeri. Sultan Ahmad dipaksa meluluskan segala peraturan yang diperkenalkan olehnya. Antara peraturan diperkenalkan Rodger, ternyata melanggar adat resam orang Melayu. Antaranya ialah melarang penduduk membawa senjata atau keris sesuka hati.
Rodger juga melarang pembesar negeri memungut cukai walaupun sebelum itu, semua pembesar diberi mandat oleh Sultan untuk memungut cukai, sebaliknya, Rodger melantik pegawainya, E.A Wise untuk mengutip cukai. British juga melantik E.A Wise sebagai majistret dan pasukan polis di kalangan pegawai mereka bagi mengawal dan mengadili kes jenayah dan secara tidak langsung mengurangkan kuasa pembesar Melayu yang dipertanggungjawab menjalankan tugas berkenaan sebelum itu.
Tindakan Rodger menimbulkan kemarahan pembesar Melayu terutama Dato’ Bahaman. Beliau enggan tunduk kepada perintah British dan terus mengutip cukai di Semantan. Tindakan Dato’ Bahaman itu menyebabkan British menghantar surat amaran kepada beliau tetapi tokoh pahlawan itu tetap tidak mengendahkannya. Tindakan Dato’ Bahaman itu turut disokong penduduk yang enggan bertuankan bangsa asing di tanah air sendiri.
Ketegangan bermula pada bulan Disember 1890 ketika E.A Wise hendak mendirikan sebuah balai polis di Lubuk Terua yang terletak di kawasan Dato’ Bahaman, tanpa sebarang perundingan dengannya. Apabila Hugh Clifford, Pemangku Residen British Pahang, mengetahui hal tersebut, beliau menasihatkan Sultan dan baginda kemudian menitahkan Dato’ Bahaman supaya pergi ke Pekan agar perkara itu dapat disiasat. Oleh sebab Dato’ Bahaman enggan ke Pekan, Sultan mengeluarkan surat perintah yang melucutkan pangkat dan tarafnya sebagai Dato’ Setia Perkasa Pahlawan, Orang Kaya Semantan.
Oleh kerana perlucutan jawatannya oleh Sultan dipengaruhi oleh Inggeris, Dato’ Bahaman bersumpah akan menghalau orang-orang Inggeris keluar dari Pahang kerana mereka telah memalukannya.
Pada Oktober 1891, British menghantar 25 anggotanya ke Balai Polis Lubuk Terua bagi mengawasi tindak-tanduk Dato’ Bahaman. Kemuncak kepada kebiadapan British apabila pihak Inggeris menangkap 3 orang pengikut Dato’ Bahaman di Sungai Semantan ketika sedang memancing ikan. Ketiga-tiga orang pengikut Dato’ Bahaman itu dibawa ke rumah pasung Lubuk Terua untuk diadili dan dihukum. Pihak Inggeris menuduh Dato’ Bahaman menyuruh ketiga-tiga orang itu mencuri hasil hutan tanpa kebenaran dan memerintahkan Dato’ Bahaman ditangkap dan dihukum. Salah seorang pengikut Dato’ Bahaman yang telah ditangkap berjaya melepaskan diri dan memberitahu Dato’ Bahaman tentang rancangan jahat Inggeris.
Dato’ Bahaman kemudiannya meminta pihak Inggeris membebaskan penduduk yang ditahan sebaliknya pihak Inggeris menunjukkan sikap besar kepala dan enggan mengikut arahan berkenaan. Mereka berkeras membawa tahanan itu ke Balai Polis Lubuk Terua untuk ditahan dan dibicara. Kesabaran Dato’ Bahaman berakhir dan beliau bersama pengikutnya menyerang pasukan polis British ketika mereka dalam perjalanan membawa tahanan ke balai polis berkenaan.
Setelah mengetahui peristiwa di Semantan itu, pegawai-pegawai Inggeris Pahang menyediakan tentera untuk melawan penentang Melayu. Ekoran dari itu pada 21 Disember 1891, satu pasukan yang diketuai oleh Clifford dan Tengku Mahmud pergi ke Kampung Kelubi yang merupakan kubu kedua pertahanan Dato’ Bahaman. Di sini berlaku sekali lagi pertempuran antara pihak Inggeris dengan Dato’ Bahaman tetapi pihak Inggeris sekali lagi ditewaskan.
Pada Disember 1891, Tengku Mahmud bersama-sama dengan 200 orang pengikutnya, dan Hugh Clifford bersama-sama dengan 60 orang Sikh di bawah pimpinan Kapten Summer telah mengaturkan gerakan untuk menyerang dan menangkap Dato’ Bahaman dan orang-orangnya. Bagaimanapun gerakan ini menemui kegagalan setibanya di Kelubi kerana keengganan pasukan Melayu bekerjasama dengan pasukan polis Sikh. Pihak Inggeris yang diketuai Hugh Clifford mengalami kekalahan dan terpaksa berundur dan meminta bantuan dari Singapura.
Pada Januari 1892, pihak Inggeris telah memaksa Sultan Wan Ahmad untuk menamatkan kebangkitan Dato’ Bahaman di Pahang. Satu pasukan yang dinamakan “Gerakan Sultan” telah dilancarkan pada 22 Januari 1892 dengan kekuatan 800 orang. Seramai 140 daripadanya mempunyai senjat api yang dipimpin oleh Tengku Ali, Rodger (Residen Pahang), Panglima Garang Yusof, Saiyid Ali Badoh dan Abdullah dari Bera. Gerakan ini juga menemui kegagalan kerana selain daripada hanya dapat memusnahkan 11 buah kubu kecil termasuk Kubu Batu Ampar, jejak Dato’ Bahaman tidak dapat dikesan dan tidak ada tanda-tanda yang memungkinkan Orang Kaya Semantan itu dan pengikut-pengikutnya yang terdekat akan tertangkap. Pada awal bulan Februari, 1892, keadaan tegang dianggap telah berakhir. Untuk sementara waktu, daerah Semantan telah diletakkan dibawah jagaan Abdullah Bera.
Pada Mac 1892, pasukan Dato’ Bahaman berjaya menawan semula Lubuk Terua. Perjuangan Dato’ Bahaman menjadi lebih hebat kerana dibantu oleh Tok Gajah. Pihak Inggeris kalah dan Abdullah Bera terpaksa pulang ke Bera. Kubu Lubuk Terua dikawal oleh orang-orang dari Cempaka dan Buluh. Ternyata mereka bersimpati dengan gerakan penentangan Dato’ Bahaman terhadap Inggeris.
Pada Mei 1982, Inggeris telah menyerang Lubuk Terua lagi. Pejuang Pahang terpaksa berundur ke Kelantan dan Terengganu. Di Terengganu, Ulama Tok Ku Paluh telah menyemarakkan semangat pejuang Pahang untuk berjihad menentang Inggeris. Pada 14 Jun 1894, Kuala Tembeling dan Jeram Ampai berjaya ditawan oleh Dato’ Bahaman bersama 100 orang pengikutnya.

Pahlawan Tok Gajah
Pada 29 Jun 1894 sepasukan tentera kerajaan Inggeris yang diketuai oleh Jeneral Walker menyerang kumpulan penentang Inggeris yang diketuai oleh Datuk Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau dan Mat Kelubi di Jeram Ampai, Kuala Tembeling, Pahang. Dalam serangan itu Pemangku Penguasa Ulu Pahang bernama Wise, terbunuh bersama empat anggota polis. Serangan tersebut menyebabkan Mat Kilau berundur ke Kelantan. Ini menandakan berakhirnya perang menentang Inggeris di Pahang.
Sir Hugh Clifford, Residen Bristish di Pahang melancarkan serangan secara besar-besaran yang menelan belanja yang banyak, memburu mereka hingga ke Terengganu dan Kelantan.
Gerakan itu dihentikan pada bulan November 1895 apabila Datuk Bahaman, Pawang Nong dan Mat Lela dikatakan menyerah diri kepada kerajaan Siam tetapi diberi tempoh perlindungan dan ditempatkan di Chiengmai pada awal 1896, manakala Tok Gajah dan Mat Kilau diberitakan meninggal di Terengganu.
Kebangkitan Dato’ Bahaman selama 4 tahun (1891-1894) telah menyebabkan pihak Inggeris menanggung hutang yang banyak. Sultan Ahmad dipaksa membayar sebanyak 7200.00 dollar setahun bagi menyelesaikan hutang tersebut.

Pahlawan Mat Kilau semasa ditemuramah wartawan
Pengistiharan persetiaan
Semasa berada di Bunut Payung Kelantan, Dato Bahaman, Mat Kilau, Mat Lela & Mat Kelubi membuat satu pengistiharan persetiaan memberitahu bahawa mereka telah meninggal dunia.
Percubaan bunuh Dato’ Bahaman dan pengikutnya
Percubaan membunuh Dato’ Bahaman dan pengikutnya berlaku di Kuala Lebir, dekat Kota Baru pada tahu 1896. Satu jamuan makan serabai dan bubur jagung muda telah diadakan oleh orang besar adik beradik iaitu Wan Ngah, Wan Nik, Dato’ Lela dan orang besar Lebir. Seramai 15 orang termasuk 8 orang besar Kelantan dan Siam serta 7 orang pejuang Pahang. Kuih Serabai, bubur jagung muda dan air minuman yang dijamukan telah dibubuh racun. Mat Lela telah melarang Dato’ Bahaman dan kawan-kawannya dari menjamah hidangan yang beracun tersebut. Akhirnya, pembesar Kelantan dan Siam yang khianat memohon maaf dan mengakui kesalahan mereka.

Pahlawan Mat Kilau
Persetiaan sumpah
Memandangkan keadaan tidak selamat, Dato’ Bahaman dan pengikutnya telah mengambil keputusan pergi ke Siam. Sebelum itu satu persetiaan telah dilakukan di Kg. Bukit Haji Pak Jedih, Tanah Merah, dimana para pejuang bersumpah akan menggunakan nama lain dan tidak akan mendedahkan siapa diri mereka sebenarnya. Seramai 7 orang terlibat dalam sumpah persetiaan itu, iaitu Dato’ Bahaman (Panglima Kakap), Mat Kilau (Mat Siam, Mat Dahan, Mat Dadu, Mohamed Ibrahim), Mat Lela (Kilat Senja, Gong Poh), Mamat Kelubi (Tok Janggut).
Pada tahun 1911, Dato’ Bahaman telah kembali ke Kelantan manakala Mat Lela pergi ke Indonesia, sementara 2 orang pejuang lagi telah meninggal dunia di Patani, Siam. Pada tahun 1920, Dato’ Bahaman balik ke Kuantan dan tinggal di Kg. Paya Lalang (Padang Lalang) dengan memakai nama Lebai Deraman. Pada tahun 1926, Dato’ Bahaman berpindah ke Kg. Peramu dan dikenali sebagai Tok Guru Peramu. Mat Kilau pula dikatakan berpindah ke Kg Aur Rompin, Tanjumg Medang, Kg. pasir Panjang, Kg. Batu Tering Pekan, Kg. Batu Lima Jalan Gambang. Mamat Kelubi dan Panglima Hitam tidak diketahui kisahnya. Dato’ Bahaman tinggal di Kg. Peramu sehingga kematiannya.
Kedatangan Datuk Bahaman Ke Kelantan Versi Keturunan Long Gaffar ( Ayahku Limbat )
Semasa di Hulu Sat @ Machang, Long Mansur (cucunda Baginda Long Gaffar ) banyak menghabiskan masa dengan kegemarannya iaitu menjinakkan gajah yang diambil di Hulu Lebir (Hulu Kelantan). Pada satu masa, ketika baginda berada di sana, datang rombongan Dato’ Bahaman bersama keluarga dan pengikutnya bagi meminta perlindungan di Kelantan setelah melarikan diri dari buruan Inggeris di Pahang. Pemberontakan Dato’ Bahaman di Pahang bermula pada 8 Oktober 1891 selepas beliau dilucutkan jawatan sebagai Orang Kaya Semantan oleh Sultan Ahmad kerana  enggan menurut perintah Inggeris yang melarangnya mengutip cukai.
Beliau dikatakan telah melarikan diri ke Kelantan pada akhir tahun 1894 selepas gagal dalam pemberontakan tersebut. (Sejarah Darul Iman, m.s 241).Semasa kejadian peristiwa ini, pemerintahan Kota Bharu bertukar kepada SultanMansor. Dato’ Bahaman dikatakan merupakan keluarga Sultan Mansor (KotaBharu) dan beliau membahasakan Sultan Mansor sebagai “Abang” di dalam percakapannya. Berita kedatangan Dato’ Bahaman ini diketahui oleh Sultan Mansor, lalu beliau datang berjumpa Baginda Long Mansor di Machang bagi memintanya supaya menjaga dan melindungi Dato’ Bahaman dan keluarganya. Baginda Long Mansor pada masa itu tidak terfikir akibat daripada tindakannya itu tadi kepada kesinambungan pemerintahan keturunan Long Ghafar di Kelantan.
Tindakan Sultan Mansor tersebut adalah helah beliau bagi mengelakkan dirinya daripada tuduhan melindungi Dato’ Bahaman yang pada masa itu menjadi buruanInggeris.Kata Sultan Mansor, “ Pak Do tolong ambil orang kita di Hulu Lebir dan bawa balik ke rumah serta peliharalah”. Long Mansor tidak membantah,lalu tinggallah Dato’ Bahaman bersama keluarga dan pengikutnya di Machang di bawah jagaan Long Mansor. Menurut satu riwayat, beliau tinggal di sana selama 2 _ tahun. Menurut catatan di dalam buku SejarahDarul Iman (m.s 240) Dato’ Bahaman serta pengikutnya seramai 12 orang telah membuat kediaman di Sungai Ampul, iaitu cawangan daripada Sungai Lebir di Hulu Kelantan pada akhir tahun 1892.
Berita Dato’ Bahaman mendapat perlindungan di Kelantan akhirnya telah diketahui oleh Inggeris, lalu wakil kerajaan Inggeris telah datang ke Kelantan dan berjumpa Sultan Mansor di Kota Bharu meminta supaya menyerahkan“penderhaka” tersebut. Kata Sulltan Mansor,
“Kita tidak boleh buat apa-apa kerana kita di bawah takluk Bangkok. Kalau nak selesai dengan mudah minta sendiri pergi ke Bangkok minta kebenaran Raja Siam untuk tangkap keluarga Dato’ Bahaman”.
Mereka kemudiannya pergi ke Bangkok bagi meminta keizinan. Raja Siam memerintahkan dengan perintahnya,
“Kalau tak dapat Dato’ Bahaman, orang yang beri perlindungan kepadabeliau, siapa saja akan menjadi ganti”.
Maka terkenalah Baginda Long Mansor dengan tipu muslihat Sultan Mansor.Orang-orang Inggeris itu kemudiannya kembali semula ke Kelantan bersama-sama dengan askar-askar Siam. Berita kedatangan askar-askar Siam untuk mengambil Dato’ Bahaman itu diketahui oleh Baginda Long Mansor, lalu baginda pergi berjumpa dengan Tengku Chik Tua Machang meminta nasihat. Beliau menasihati Baginda Long Mansor dengan katanya,
“ Kita tak boleh lawan Siam, sebab anak kita duduk di Kota Bharu (iaitu Tengku Salleh, anak Long Mansor yang berkahwin dengan anak sultan yang bernama Tengku Tengah atau Tengku Kembang, anak Long Sulong atau Sultan Ahmad)”.
Tambahnya lagi,
“Jangan lawan Siam sebab seluruh keluarga kita akan dibunuh olehSiam”.
Selepas itu Baginda Long Mansor balik dan memanggil Dato’ Bahaman mengadap, lalu menceritakan keadaan yang sebenarnya. Kata Dato’Bahaman,
“Kita hanya patuh kepada keturunan raja Melayu yang asal, kitatidak kira siapa yang memerintah, mati pun kita redha, berkhidmat kepada raja Melayu”.
Baginda Long Mansor amat bersimpati akan nasib Dato’ Bahaman, lalu memintanya berundur daripada Machang. Terdapat duacara berudur yang digunakan, iaitu;
1. Keluarga Dato’ Bahaman berundur ke Kuala Berang, Terengganu.
2. Dato’ Bahaman pula, seorang diri pergi ke Menara (Narathiwat).
Pada masa Dato’ Bahaman mengadap Baginda Long Mansor itulah, askar-askar Siam telah mengepong keluarga serta pengikut Dato’ Bahaman di rumah Tengku Deraman di Kampung Kok Kiok di Bukit Bakau, Machang. Berita kepungan itu diketahui oleh Baginda Long Mansor,lalu katanya,
“Dato’, keluarga Dato’ telah dikepong oleh askar-askar Siam pada masa maghrib”.
Dato’ Bahaman kemudiannya terus pergi untuk menyelamatkan keluarganya yang sedang dikepong. Bersamanya dibawa lembing yang bernama “Beringin” (lembing berupa daun sireh), yangdikatakan mampu untuk memukau orang.
Apabila tiba di sana, lembing tersebut terus dipacakkan ke tanah di hadapan tangga rumah yang dikepong. Akibatnya semua askar Siam yang sedang mengepong itu dipukau dan tidak menyedari apa yang berlaku. Lantas Dato’ Bahaman menyuruh seluruh keluarganya turun dan melarikan diri ke Hulu Terengganu (Kuala Berang).
Kemudian, pada malam itu juga Dato’ Bahaman melarikan diri ke Menara. Menurut Buku Darul Iman (m.s. 242), pada November 1895, Dato’Bahaman, Awang Nong, Ibrahim, Haji Mat Wahid dan Mat Lela, telah menyerahkan diri kepada orang-orang besar Siam lalu dibawanya ke Siam.Sebenarnya Dato’ Bahaman tidak pernah menyerah diri kepada Siam. Apayang dilakukan ialah beliau melarikan di ke Menara dan bersembunyi disana.
Pada pagi keesokannya, askar-askar Siam itu menangkap Baginda Long Mansor dan di bawa ke Kota Bharu. Di sana tiga orang lagi ditangkapiaitu;
1. Pak Nik Ya (penghantar bunga emas).
2. Dato’ Lela PerkasaLundang.
3. Tuan Tabal.
Keempat-empat orang ini dibawa ke Bangkok sebagai tahanan selama tiga tahun. Apabila genap tiga tahun, tiga orang dihantar pulang ke Kota Bharu, tetapi Baginda Long Mansor dikatakantelah meninggal dunia semasa di dalam tahanan kerana penyakit “orang baik” (barah) dan dikebumikan di Bangkok (ditanam di dalam selut).Sebenarnya Baginda Long Mansor mati dibunuh dan hal ini diceritakanoleh Tok Kancil, iaitu pengawal peribadinya yang bersama-sama baginda semasa dalam tahanan di Bangkok.
Menurut ceritanya, kepala baginda disimpan dalam muzium di Bangkok sehingga ke hari ini, bersama-sama dengan kepala Tuan Lebih iaitu Raja Reman…..berdasarkan catatan ini jelas bahawa Datuk Bahaman tidak mati dibunuh oleh Siam (atas arahanBritish)…
beliau dikatakan muncul semula “lewat” kemunculan Mat Kilau….walaubagaimanapun kumunculan Datuk Bahaman (Tok Guru Peramu) tidak diiktiraf kerajaan khususnya kerajaan Pahang dipercayai atas sebab-sebab berkaitan dengan “takhta” Kesultanan Pahang….lagipun “TokGuru Peramu” juga enggan mengaku bahawa beliaulah Datuk Bahaman…jadi kisahnya kemudiannya lenyap begitu sahaja….
Nota: Fakta sejarah di atas telah diolah bahasanya dan diambil dari beberapa sumber. Penulis meminta maaf sekiranya terdapat fakta yang kurang tepat atau bercanggah dengan fakta sejarah sebenar. Pembaca diharap agar dapat memberi sedikit komen atau pembetulan fakta jika ada, di ruangan ‘comment’ yang tersedia. Wasalam.

@http://khalifahgayong.wordpress.com/

No comments:

Post a Comment

Get the lowest PRICE booking by ONLINE

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...