Melayukini.net – Fakta Sebenar – Disebalik Tercetusnya Program Imam Muda Dan Ustazah Pilihan | Mungkin ada di antara kita tertanya-tanya, mengapa Imam Muda musim ketiga kali ini agak sedikit hambar. Seperti kurangnya promosi oleh pihak media. Selain itu mungkin kita tertanya-tanya mengapa pihak Astro Oasis tidak lagi membuat kerjasama dengan pihak JAWI. Ustaz Tuan Asmawi telah tampil memberi penjelasan di blognya. Jom kita ikuti apakah sebenarnya yang berlaku disebalik tercetusnya program Imam Muda dan Ustazah Pilihan ini.
1. Pertama sekali kita semua hendaklah merafa’kan syukur ke hadhrat Allah SWT atas limpah dan izin-Nya program siri pencarian Imam Muda telah diterima ramai oleh pelbagai lapisan masyarakat bahkan ia telah menjadi satu gelombang baru dalam dunia hiburan yang berpaksikan keagamaan di Malaysia. Malahan ,program Imam Muda juga yang telah memulakan langkahnya pada tahun 2010 telah berjaya menggamit kedatangan para media asing untuk melihat dari dekat keistimewaan program Imam Muda yang diterbitkan di Malaysia.
2. Menerusi tulisan ini , adalah diharapkan agar beberapa fakta penting mengenai program Imam Muda dan termasuklah Ustazah Pilihan yang selama ini cuba di’sorok’kan daripada pengetahuan umum akan dapat diketahui. Untuk makluman saudara / saudari sekalian, tujuan pendedahan ini bukan bersifat kehausan populariti yang mendesak , Cuma niat saya hanya satu sahaja iaitu untuk mengajar manusia atau individu-indvidu terlibat supaya bercakap dan berkata benar untuk beberapa fakta tentang Imam Muda dan Ustazah Pilihan.
3. Saya juga amat akur bahawa dengan kegemilangan yang dicipta oleh program Imam Muda yang telah melahirkan ikon-ikon muda yang berkaliber dalam menggerakkan usaha dakwah dan menarik minat semua lapisan masyarakat untuk mendekati agama maka sedari awal sudah ada ‘tangan-tangan ghaib’ yang cuba menangguk di air yang keruh dengan mencanang kepada masyarakat bahawa Imam Muda dan Ustazah Pilihan adalah lahir daripada pemikirannya. Banyak fakta-fakta yang bercanggah dan pelbagai versi diperolehi tentang siapakah yang merupakan pengasas dan pencipta sebenar program Imam Muda dan Ustazah Pilihan ini.
4. Sumber daripada yang boleh dipercayai iaitu para Imam Muda sendiri yang telah dipasak dengan informasi silap ini bahawa seorang ‘itu’ yang menyatakan bahawa Imam Muda ini adalah hasil ideanya yang diperolehi sewaktu pulang daripada masjid bersama anaknya , lalu anaknya bertanya , kenapakah tidak ada imam-imam muda.? Kononnya begitu idea itu lahir. MasyaAllah, saya fikir ‘elok’ kenyataan itu diberanikan untuk dikeluarkannya di hadapan saya. Kenapa kena tunggu ketiadaan saya barulah ingin dimaklumkhabarkan kepada para Imam Muda bahawa ‘dia’lah sebenarnya pengasas Imam Muda.
5. Terdapat sumber lain pula yang menyatakan bahawa program Imam Muda ini adalah lahir dari hasil dan penat lelah pemikiran ‘pengacara pertamanya’ , ini kerana sang pengacara ini sentiasa membuat perkhabaran ke serata tempat dimana beliau berceramah adalah sedemikian maksudnya bahawa beliau adalah yang bersusah payah bagi menjadikan program ini satu kenyataan.
6. Kemelut ini sedemikian membawa saya untuk mendedahkan perkara sebenarnya ialah apabila terlalu ramai yang ingin menjadi ‘wali sebenar’ maka saya ingat perlu dan wajar saya perjelaskan kekeliruan ini. Sebenarnya untuk makluman semua , Imam Muda adalah lahir dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang merupakan hasil idea asal saya dengan mempunyai sebab-sebab yang tersendiri dan bukan disebabkan oleh pertanyaan si anak yang baru pulang dari masjid bersama ayahnya. Kertas cadangan tersebut saya telah siapkan pada 2 ogos 2008 iaitu sehari selepas ulangtahun kelahiran saya pada 1 Ogos 2008..waktu itu juga saya merupakan hari ke-2 saya melapor diri ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) tambahan pula pada masa itu saya tidak mempunyai ruang pejabat lagi. Oleh yang demikian , selama seminggu juga saya berada di Surau Al-Muhajirin,JAWI disebabkan tiada meja lagi..maka disitu saya telah (pd 2 Ogos 2008) menghasilkan kertas cadangan Akademi Imam Muda (AIM) bukan pun lagi namanya Imam Muda.
7. Saya sebagai seorang yang mempunyai dua lapangan pengalaman iaitu agama dan produksi atau lebih tepat lagi penyiaran , maka saya amat yakin cadangan saya tersebut mampu untuk memecahkan tradisi dalam mempersembahkan sebuah program hiburan yang bercorak keagamaan sekaligus dapat menarik golongan yang pelbagai terutamanya orang-orang dewasa untuk mendekati agama.
8. Sebaik sahaja saya telah mula menjalankan tugas di JAWI dan sebagai pegawai perhubungan awam jabatan saya telah diminta untuk sentiasa menghadiri mesyuarat-mesyuarat pengurusan bersama Pengarah JAWI. Maka , dalam mesyuarat tersebut iaitu pada tahun 2008, saya telah menyatakan bahawa saya cuba untuk membuat satu kerjasama pintar dengan sebuah syarikat televisyen satelit iaitu Astro bagi menerbitkan idea saya iaitu nama asalnya Akademi Imam Muda (AIM). Mungkin ramai yang tidak mengetahui kenapa AIM itu boleh terhasil? Ia adalah juga singkatan bagi nama Anugerah Industri Muzik (AIM) , maka saya berfikir kenapa tidak saya tukarkannya menjadi Akademi Imam Muda. Cadangan dan idea saya tersebut telah dipersetujui oleh Y.Bhg Datuk Haji Che Mat bin Che Ali , Pengarah JAWI.
9. Rentetan daripada itu , saya telah menghantar mesej pesanan ringkas (SMS) kepada Haji Izelan Basar , Pengurus Saluran Astro Oasis menyatakan hasrat saya untuk mencadangkan program Akademi Imam Muda. Alhamdulillah , pada dasarnya beliau bersetuju kepada cadangan tersebut. Sebaik saja cadangan tersebut disampaikan melalui SMS , tempoh mendapatkan kepastian terakhir daripada pihak beliau tertangguh sekitar sebulan lebih kerana saya dimaklumkan bahawa beliau mempunyai urusan di Indonesia. Sejurus selepas itu , urusan dan beberapa kali perbincangan antara saya dengan beliau dan termasuk kumpulan produksi Astro Production Sendirian Berhad. Setelah kertas cadangan Akademi Imam Muda yang saya tulis tersebut dibentangkan kepada rakan-rakan APSB maka sudah ada petanda daripada pihak pengurusan tertinggi Astro untuk menjadikan program ini dengan lebih serius dengan kerjasama JAWI. Sehinggalah kepada terbitnya sebuah program Imam Muda pilot bagi tujuan mengenalpasti tahap penerimaan masyarakat penonton terhadap program ini.
10. Justifikasi kenapakah saya mencipta program Imam Muda antaranya ialah mengambil kira bahawa imam-imam yang telah berumur di sesetengah kawasan yang secara kebetulannya saya mengalaminya sendiri melakukan banyak kesilapan seperti bacaan,teknik khutbah yang kurang efektif,cara berkomunikasi dengan anak-anak qaryah yang agak tidak menepati,selain daripada keperluan-keperluan fardhu kifayah yang dilakukan dengan tiada kesempurnaan. Tambahan pula , apabila saya menyertai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang terletak di bawahnya ialah Bahagian Pengurusan Kariah yang mempunyai peranan yang besar dalam memberi nafas baru kepada institusi masjid yang ditadbir oleh para imam yang lebih dinamik dan dihormati.
11. Tujuan saya mencadangkan program ini agar Astro berkerjasama dengan pihak JAWI adalah amat bertepatan kerana JAWI merupakan sebuah agensi yang menguruskan hal ehwal Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan terutamanya Kuala Lumpur dan JAWI juga memiliki pelbagai prasarana dalam menyokong penerbitan program siri pencarian Imam Muda tersebut seperti kemudahan masjid , urusan pernikahan cerai dan rujuk , kebajikan Islam yang menguruskan jenazah-jenazah yang tidak berwaris di Hospital-hospital dalam Wilayah Persekutuan termasuk HUKM , Bahagian Penguatkuasaan dan banyak lagi. Dengan kata lain juga , antara tujuan lain saya mencetuskan Imam Muda ini ialah untuk membuat promosi dan pemakluman kepada masyarakat umum tentang apakah rutin aktiviti yang dilakukan oleh JAWI dalam menguruskan hal ehwal Islam di Wilayah Persekutuan.
12. Selain daripada itu , pihak JAWI boleh memberikan tunjuk ajar dengan lebih jelas kepada para peserta Imam Muda umpamanya pegawai-pegawai daripada Bahagian Penyelidikan yang bertanggungjawab dalam bidang pengurusan halal akan memberi tunjuk ajar tentang teknik dan cara-cara penyembelihan , begitu juga dengan Bahagian Pengurusan Dakwah yang merupakan bahagian yang bertanggungjawab untuk menguruskan jenazah-jenazah terutamanya yang tidak dituntut dan tidak berwaris dari Bilik Forensik , Hospital Kuala Lumpur untuk menunjukkan kepada para peserta bagaimana mengendalikan jenazah tersebut.Itu antaranya sahaja.
13. Pembelajaran para peserta Imam Muda bukan sekadar retorik dalam perancangan saya kerana saya telah menyediakan silibus-silibus khusus sepanjang tiga bulan mereka berada dalam akademi tersebut selain daripada memenuhi keperluan daripada pihak penaja. Silibus yang saya garapkan kepada bakal-bakal peserta Imam Muda adalah bersifat hands-on dan juga on-demand iaitu sememangnya saya mendedahkan kepada topik-topik yang biasanya menjadi perbincangan dan berkisar dalam masyarakat umum terutamanya dalam hal-hal yang berkaitan rukun Islam 5 perkara antaranya. Manakala , silibus-silibus saya garapkan tersebut telah disesuaikan dengan kepakaran pegawai-pegawai JAWI yang bakal menjadi tenaga pengajar dalam akademi tersebut. Oleh kerana perjalanan Imam Muda ini prosesnya terlalu panjang maka tidak terniat di hati saya untuk menafikan peranan rakan-rakan sekerja dalam tim penerbitan Imam Muda.Cuma yang mendorong saya membuat penjelasan lanjut begini ialah kerana sedikit ‘penipuan’ dan ‘penyorokkan’ fakta sebenar tentang dari mana dan siapakah yang mula mengasas program Imam Muda ini.
14. Alhamdulillah,kerjasama antara dua pihak berjalan dengan lancar setelah Imam Muda telah dilancarkan oleh YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Hj Baharom (B) , Menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk musim pertamanya. Apa yang menyedihkan saya ialah pada end credit pada setiap kali program yang pada asalnya diletakkan saya sebagai Konsep & Idea Asal – Tuan Asmawi bin Tuan Umar , namun setelah program Imam Muda mula memasuki episod ke-empat maka nama saya sebagai Konsep & Idea Asal telah ditiadakan dan digantikan dengan Konsep & Idea Asal oleh Unit Pembangunan Kandungan Astro. Memang saya juga tidak menafikan bahawa kertas cadangan saya itu telah berlakunya beberapa perubahan dari sudut cadangan kandungannya , walau pun begitu , ia masih tidak wajar untuk Astro mengakui bahawa Imam Muda itu adalah idea dan konsep mereka secara total.
15. Kisah yang sama juga berlaku kepada penerbitan program Ustazah Pilihan yang juga kertas konsep dan cadangan asaslnya ditulis oleh saya pada tempoh Imam Muda musim ke-2 sedang berjalan. Untuk maksud penerbitan Ustazah Pilihan ini , saya hanya sempat empat kali diundang ke mesyuarat penerbitan. Namun setelah saya menyerahkan kertas cadangan tersebut hanya menerusi emel kepada mereka yang berkenaan , dan kali keempat mesyuarat saya hadiri di Astro , maka itulah kali terakhir. Saya telah menunggu juga keputusan terkini daripada pihak Astro samada mereka benar-benar ingin meneruskan program tersebut , rupa-rupanya benar program itu diteruskan tetapi tidak lagi berkerjasama dengan pihak JAWI. Saya dalam hal ini amat sedih kerana selama ini saya memperjuangkan untuk program sebegini dapat memberikan kepentingan kepada kedua-dua pihak namun ternyata sangkaan saya begitu meleset.
16. Ternyata kedegilan pihak terbabit mengadakan kerjasama dengan pihak JAWI telah mengakibatkan banyak kecelaruan yang berlaku sepanjang tempoh Ustazah Pilihan berlangsung seperti ketiadaan silibus khusus , lokasi untuk assignment bagi para peserta Ustazah Pilihan seperti kemudahan yang diperolehi oleh peserta Imam Muda malah rata-rata yang memberi komentar ianya tidak lebih seperti ala-ala Akademi Fantasia. Lebih malang lagi , jika sekiranya program tersebut mempunyai silibus khusus , maka seperti kebiasaan pihak JAWI tidak teragak-agak untuk membuat rekomendasi untuk mendapatkan tauliah mengajar di Wilayah Persekutuan,jadi dengan kesombongan itu telah mengakibatkan para peserta Ustazah Pilihan dan Imam Muda musim ketiga tidak memperolehi tauliah mengajar dalam Wilayah Persekutuan yang merupakan keperluan seperti yang diperuntukkan dalam Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 Seksyen 11. Mengajar agama tanpa tauliah.
(1) Mana-mana orang yang mengajar atau mengaku mengajar apa-apa perkara yang berhubungan dengan agama Islam tanpa tauliah yang diberikan di bawah seksyen 96 Akta Pentadbiran adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
18. Sebenarnya jika ingin saya perkata tentang ini terlalu panjang dan saya perlu maklum kepada umum apa yang perlu sahaja. Untuk makluman juga terutama kepada para Imam Muda dan Ustazah Pilihan bahawa dengan mesej ini terpulang kepada saudara saudari untuk menilai sejauh mana kesahihannya kerana setahu saya anda semua telah dipasak dengan info yang berbeza. Barangkali jika anda semua menjadi kenyataan saya ini sebagai yang benar , anda semua mungkin berdepan dengan diGAM oleh pihak-pihak yang terbabit. Kepada semua, dalam apa keadaan sekali pun , tiada hinanya jika kita berkata BENAR.
Sekian,
TUAN ASMAWI BIN TUAN UMAR
Pengasas IMAMMUDA & USTAZAHPILIHAN
Pengasas IMAMMUDA & USTAZAHPILIHAN
10 Ogos 2012
Melayukini.net - Penjelasan yang diberikan oleh Tuan Asmawi bukanlah bersifat mahu mencari publisiti, tetapi mahu mendedahkan perkara yang sebenar tentang apa yang berlaku. Walaupun dipihak kita tidak mengetahui perkara yang sebenar, namun mungkin Tuan Asmawi ada jawapannya yang tersendiri.
P.S. I – 5 Tempat Paling Best di Malaysia
P.S. II – 8 Makanan Paling Menarik di UK
P.S. III – Perkahwinan Dengan Penguin di Langkawi. Biar betul???!
P.S. II – 8 Makanan Paling Menarik di UK
P.S. III – Perkahwinan Dengan Penguin di Langkawi. Biar betul???!
Sumber: Ustaz Tuan Asmawi | Koleksi Berita Informasi Melayukini.net
PS: Terima kasih kepada Tuan Asmawi Tuan Omar, kerana berkongsi kisah sebenar ini, sebagai rakan sekolej beliau, blogger juga turut bersimpati dengan kegiatan 'plagiat' idea dan konsep ini, sekurang-kurang kita respek dan hormat idea dan titik peluh orang lain. Apapun bagi blogger teruskan berkarya, mungkin channel lain masih memerlukan idea bernas anda seperti TV9 ataupun AL Hijrah mahupun Mediaprima sendiri. Blogger percaya, ia hanya titik mula untuk melahirkan karya dan idea yang lebih hebat selepas ini. Blogger percaya perjuangan ikhlas akan dimuliakan dan dihargai Allah swt.