nuffnang adv

lazada adv

Monday, February 18, 2013

Dividen KWSP 2012..6.15%


Ini adalah kenyataan rasmi dari KWSP berkaitan DIVIDEN 2012
KWSP Isytihar Dividen 6.15 Peratus Untuk 2012

Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan kelulusan Menteri Kewangan, hari ini mengisytiharkan kadar dividen 6.15 peratus untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2012.
Kadar dividen ini adalah 15 mata asas lebih tinggi berbanding dengan kadar 6.00 peratus yang dibayar pada 2011, mencatatkan rekod baru berjumlah RM27.45 bilion yang diagihkan kepada ahli-ahli KWSP, meningkat 12.20 peratus daripada RM24.47 bilion yang dibayar pada tahun sebelumnya.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Pengerusi KWSP Tan Sri Samsudin Osman berkata, “Walaupun persekitaran pelaburan yang semakin kompleks, KWSP mengekalkan momentum kenaikan yang stabil untuk merekodkan keputusan yang paling kukuh sejak awal milenium, disokong oleh keberkesanan strategi pelaburan jangka panjang serta pendekatan berdisiplin dan berhemah.”
Pada 2012, KWSP mencatatkan pendapatan pelaburan kasar tertinggi setakat ini sebanyak RM31.02 bilion, meningkat 13.91 peratus berbanding 2011. Pembayaran dividen tertinggi ini sebanyak RM27.45 bilion diperoleh setelah ditolak perbelanjaan pelaburan dan operasi, caj berkanun serta peruntukan rugi terjejas bersih ke atas aset kewangan.
“Objektif utama KWSP adalah untuk melindungi simpanan persaraan ahli dengan menjana pulangan yang melebihi kadar inflasi. KWSP terus memenuhi komitmen ini dari tahun ke tahun menerusi Alokasi Aset Strategik (SAA) yang bertujuan memperoleh pulangan konsisten jangka panjang dalam had risiko yang boleh diterima bagi setiap kelas aset,” kata Tan Sri Samsudin. (Rujuk Carta 1).



Selaras dengan SAA, sebahagian besar aset pelaburan KWSP terus dilaburkan dalam instrumen berpendapatan tetap berisiko rendah dan stabil. Pelaburan Ekuiti adalah 38.77 peratus daripada jumlah aset pelaburan pada tahun 2012, manakala baki 3.59 peratus dan 2.42 peratus masing-masing diperuntukkan untuk  Instrumen Pasaran Wang, dan Hartanah dan Infrastruktur. (Rujuk Jadual 1).
“Walaupun KWSP melabur dalam pelbagai pelaburan, sebahagian besarnya dilaburkan dalam instrumen berpendapatan tetap berisiko rendah, kadar pulangan pelaburan tahunan (ROI) KWSP melebihi 6 peratus bagi tiga tahun berturut-turut. Ekuiti menjana ROI dua digit sebanyak 10.06 peratus manakala pulangan daripada instrumen berpendapatan tetap melebihi 5.50 peratus di sebalik suasana kadar faedah rendah semasa,” jelas Tan Sri Samsudin.
BerikutanBerikutan beberapa transaksi secara one-off pasaran modal pada 2012, pendapatan daripada Pinjaman dan Bon menunjukkan peningkatan tertinggi berbanding tahun 2011. Pelaburan dalam kelas aset ini menyumbang RM9.68 bilion kepada pendapatan   pelaburan kasar, naik 33.62 peratus atau RM2.44 bilion berbanding 2011.
“Selaras dengan kadar faedah yang rendah, KWSP beransur-ansur mengurangkan pendedahannya dalam aset berpendapatan tetap konvensional dan mengalihkan aset yang telah matang kepada aset yang menghasilkan pulangan lebih tinggi seperti ekuiti dan hartanah dalam had risiko yang boleh diterima,” kata Tan Sri Samsudin.
Bersandarkan pertumbuhan stabil dalam kedua-dua pasaran ekuiti domestik dan global pada 2012, Ekuiti menyumbang RM13.91 bilion pendapatan bersamaan 44.84 peratus pendapatan pelaburan kasar.
Sementara itu, pelaburan dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf, Hartanah dan Infrastruktur dan Instrumen Pasaran Wang masing-masing memperoleh RM6.26 bilion, RM595.63 juta dan RM574.91 juta. (Rujuk Jadual 2).
Aset pelaburan KWSP setakat 31 Disember 2012 berjumlah RM526.75 bilion melepasi angka setengah trilion, meningkat 12.31 peratus daripada RM469.04 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya. Peningkatan ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh caruman tahunan bersih ahli dan majikan serta prestasi pelaburan yang konsisten dan menggalakkan dalam semua kelas aset.
Dengan peningkatan jumlah keahlian, KWSP memerlukan RM4.46 bilion untuk membayar setiap satu peratus kadar dividen bagi 2012. Ini adalah peningkatan 9.34 peratus daripada RM4.08 bilion yang dibayar untuk setiap satu peratus kadar dividen pada 2011. (Rujuk Carta 2). Amaun yang diperlukan untuk membayar satu peratus kadar dividen akan terus meningkat 8 hingga 9 peratus setahun.
Salah satu urus niaga  utama pada 2012 adalah perluasan pelaburan hartanah KWSP di dalam dan luar negara termasuk projek Battersea Power Station di London, United Kingdom dan memuktamadkan pembelian 932 hektar tanah Institut Penyelidikan Getah di Sungai Buloh dengan harga RM2.28 bilion bagi membangunkan sebuah kawasan perbandaran baru.
Sejajar dengan strategi diversifikasi untuk mengoptimumkan pulangan jangka panjang kepada ahli, jumlah pendedahan KWSP di luar negara setakat 31 Disember 2012 ialah 15.70 peratus daripada jumlah aset pelaburan. Pada tahun 2012, tambahan USD7.10 bilion pelaburan telah dibuat dalam ekuiti global, bon global dan hartanah.
“Dalam menguruskan lebih daripada setengah trilion dana, KWSP berhadapan cabaran besar untuk terus memberikan pulangan kukuh di tengah-tengah persekitaran kadar faedah yang rendah, ketidaktentuan berterusan ekonomi global serta kekangan dalam pasaran modal domestik.
“Bagaimanapun, sebagai dana persaraan, KWSP akan terus berpandukan objektif pelaburan jangka panjang dan strategi pelaburan berhemah bagi memastikan kemampanan dan pulangan konsisten untuk kesejahteraan persaraan ahli KWSP,” kata Tan Sri Samsudin.
Ahli boleh mendapatkan Penyata Kira-kira mereka untuk menyemak pengkreditan dividen 2012 di Kios KWSP, kaunter atau i-Akaun mulai Isnin, 18 Februari 2013.
Ahli yang berumur 55 tahun dan ke atas boleh mengeluarkan dividen tahunan yang telah dikreditkan ke dalam akaun mereka sebagai salah satu pilihan bayaran di bawah Pengeluaran Umur 55 tahun. Untuk maklumat lanjut mengenai pengeluaran ini, sila hubungi Pusat Panggilan KWSP di 03-8922 6000 dari 8 pagi hingga 7 petang atau melayari laman web myEPF di www.kwsp.gov.my.
Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah dana simpanan persaraan terulung di Malaysia yang menyediakan jaminan asas kewangan bagi persaraan. KWSP sentiasa komited dalam menjamin dan meningkatkan simpanan ahlinya melalui amalan terbaik pelaburan dan tadbir urus korporat. Langkah berhemah sentiasa menjadi panduan dalam setiap keputusan pelaburannya.
Sebagai sebuah organisasi yang berfokuskan pelanggan, KWSP memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan untuk keselesaan ahli dan majikan berdaftar.
KWSP akan terus memainkan peranannya sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara, selaras dengan kedudukannya sebagai institusi simpanan terkemuka di Malaysia.

Tarikh: 17 Februari 2013

No comments:

Post a Comment

Get the lowest PRICE booking by ONLINE

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...