Anis Nazri, | 23 Apr 2013 |
KUALA LUMPUR: Tamrin Ghafar mendakwa rakan-rakannya yang tidak terpilih sebagai calon BN pada PRU13 ini menyatakan sokongan mereka kepada calon Pakatan Rakyat.
"Walaupun saya belum lagi menghubungi mana-mana pihak yang bertanding Bebas ini, tapi ramai lagi rakan yang tidak terpilih sebagai calon sudah menyatakan sokongan mereka secara serius kepada calon Pakatan Rakyat," tegas Tamrin sambil mendakwa masih ramai di pihak akar umbi yang tidak berpuas hati.
Menurut beliau, 61 orang yang menjadi calon bebas dan dipecat dari Umno itu merupakan satu angka yang tinggi, tidak termasuk pihak yang memprotes secara diam dan tidak bertanding sebagai calon Bebas.
Sementara itu, Tamrin menganggap bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Kamilia Ibrahim yang tidak diberikan laluan untuk bertanding kerana sikap Kamilia yang vokal.
"Sewajarnya, tokoh seperti Kamilia perlu diangkat, tapi Umno tidak boleh terima. Beliau seorang yang vokal, dan dikatakan sebagai seorang yang menentang NFC," tegasnya pada sidang media bersama Tan Sri Muhammad Muhd Taib di Pejabat Agung PAS, di sini hari ini.
Tambah beliau, sepatutnya inilah masa terbaik untuk Pengerusi Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak mengemukakan calon yang berkelayakan.
sumber: Harakah Daily
No comments:
Post a Comment