nuffnang adv

lazada adv

Monday, April 29, 2013

Perjuangan Rasulullah membentuk negara berasaskan keimanan


Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang,29 Apr 2013

Generasi yang dipimpin dan dibentuk oleh Rasulullah SAW, adalah generasi yang telah menempa sejarah awal kegemilangan umat Islam, lahir (tumbuh) dan berkembang di tempat yang jauh daripada unsur-unsur kebendaan dan kekuatan lahiriyyah yang dipandang oleh manusia semata-mata. Generasi yang subur jiwanya di tanah gersang yang kering kontang. Generasi yang mekar keperibadiannya di tengah-tengah ketandusan kebendaan.

Sejarah kegemilangan umat Islam yang pertama bukan sahaja mengemukakan suasana itu dalam kalangan individu dan jamaah Islam, tetapi kegemilangan itu berlaku juga dalam hubungan umat Islam dengan orang-orang yang bukan Islam. Umat Islam yang sedikit bilangannya itu dapat menguasai orang-orang bukan Islam yang menerajui pemerintahan.

Penguasaan ini bukan bererti kompromi buta dalam bentuk kerjasama dengan orang-orang bukan Islam atau persyarikatan dalam pemerintahan di satu negara ataupun wala’, ketaatan dan kepatuhan yang diberikan oleh umat Islam kepada pemerintah yang bukan Islam. Penguasaan ini ialah menerusi kerjasama dalam melaksanakan perinsip-prinsip pemerintahan Islam.

Sikap dan semangat inilah yang dibawa oleh umat Islam yang berkuasa di negara-negara Islam, sama ada menyangkut hal-ehwal hubungan dalam negeri atau antarabangsa. Sikap dan semangat yang bertitik tolak daripada konsep keadilan Islam yang hakiki. Kita dapat melihat dalam kenyataan sejarah bagaimana orang-orang Islam menghormati prinsip oleh orang-orang yang bukan Islam walaupun pada saat mereka bermusuh dengan orang-orang kafir. Prinsip keadilan yang berkuatkuasa ke atas setiap orang Islam di sepanjang zaman. Prinsip keadilan yang mesti dilaksanakan sama ada di waktu damai atau perang, sama ada di peringkat diri individu atau jamaah, masyarakat atau negara.

Buktinya dapat petik daripada kata-kata khulafa’ yang menjelmakan konsep keadilan ini, “Jangan kamu membunuh perempuan, jangan kamu membunuh kanak-kanak, jangan kamu memotong pokok kayu yang berbuah, jangan kamu membunuh (mengganggu) paderi-paderi yang beribadat di gereja-gereja mereka, jangan kamu membunuh orang-orang tua yang tidak terlibat di dalam peperangan, dan jangan kamu membunuh orang-orang awam yang tidak terlibat di dalam peperangan.”

Walaupun pada saat peperangan itu berlaku, prinsip keadilan ini mesti terus dijulang dan dilaksanakan tanpa soal. Menjunjung keadilan ini hanya boleh dilaksanakan oleh umat yang beriman dan tidak mungkin dapat dilakukan oleh umat yang kufur. Prinsip keadilan ini bukanlah merupakan butiran catatan bertulis di atas kertas, tetapi prinsip keadilan ini dinyatakan menerusi pelaksanaannya yang sebenarnya. Hal ini dapat dibuktikan apabila orang-orang yang bukan Islam yang membayar jizyah, tetapi nilai jizyah yang dibayar itu tidak mampu disamakan dengan tanggungjawab pemerintah Islam untuk memelihara dan melindungi hak dan kepentingan mereka di dalam negara Islam.

Perkara ini terbukti ketika tentera Islam yang dipimpin oleh Abu Ubaidah Al-Jarrah menguasai wilayah sebelah Timur. Pada waktu teraju pemerintahan berada di bawah kuasa umat Islam, berlakunya suatu peristiwa di mana tentera Rom telah berkumpul dengan jumlah yang besar untuk menyerang wilayah yang dikuasai oleh umat Islam itu. Justeru kerana Abu Ubaidah merasa sulit untuk menghadapi tentera Rom dan merasai tidak dapat menunaikan hak dan kewajipan untuk melindungi orang-orang bukan Islam yang berada di bawah pemerintahannya, maka Abu Ubaidah mengambil tindakan memulangkan kembali jizyah yang diambil daripada orang-orang bukan Islam.

Pengembalian jizyah ini adalah sebagai tanda bahawa orang Islam tidak dapat menunaikan tanggungjawab untuk memelihara keselamatan mereka dalam ancaman yang berat itu. Dan bagaimana orang yang bukan Islam enggan untuk menerima jizyah yang dipulangkan itu. Mereka lebih cenderung dan merasakan lebih baik berada di bawah pemerintahan Islam kerana keadilan Islam mampu untuk menjamin hak dan kepentingan mereka. Hal ini dapat dilihat dengan jelas ketika negara Islam menguasai Mesir, Afrika Utara, Parsi dan di sebelah utara benua India. Kita dapat menyaksikan betapa unggulnya sistem pemerintahan Islam dalam segala aspek dan manifestasinya.

Sistem pemerintahan yang hanya dikendalikan oleh segolongan minoriti umat Islam di dalam negara yang majoritinya bukan Islam. Keunggulan Islam yang tegak menaungi masyarakat ini berupaya pula membuka hati orang-orang bukan Islam untuk memeluk dan menerima agama Islam. Sebahagian besar daripada mereka menganut Islam bukan menerusi pemaksaan daripada golongan minoriti yang memerintah, atau daripada ugutan kekuatan ketenteraan, tetapi melalui penerapan prinsip keadilan yang sebenarnya. Prinsip keadilan yang membela hak dan kepentingan setiap warga-negaranya secara praktis dan dapat disaksikan sendiri oleh orang-orang bukan Islam.

Era generasi gemilang yang dicetuskan oleh Para Sahabat Rasulullah SAW ini bukan sahaja dirasai oleh orang-orang Islam bahkan juga dapat dinikmati oleh orang-orang bukan Islam. Di dalam era kegemilangan ini, pembelaan hak dan kepentingan yang diberikan oleh pemerintah Islam kepada orang-orang bukan Islam adalah jauh lebih baik daripada pembelaan orang-orang bukan sesama mereka. Prinsip keadilan yang diasaskan di atas dasar keimanan adalah jauh lebih murni dan berkesan daripada prinsip keadilan yang dibikin-bikin oleh manusia sendiri.

Inilah dia kejayaan yang gemilang dalam sejarah Islam. Oleh sebab itu, dalam rangka melaksanakan Islam ini, maka tidak timbul masalah masyarakat majmuk, masalah majoriti ataupun minoriti kerana ia telah dilaksanakan pada zaman kegemilangan umat Islam serta telah membuktikan kejayaannya. Peristiwa-peristiwa yang dapat menjadi hujah yang kuat bagi mereka yang meneliti sejarah Islam dengan cara yang adil dan benar.

Kegemilangan umat Islam dalam sejarah mereka dapat dilihat antaranya melalui kejayaan perundangan Islam dan syariat Islam yang dilaksanakan. Pelaksanaan konsep perundangan dan syariat Islam yang tidak mungkin dapat digambarkan dan difikirkan oleh manusia secara teori sahaja, tetapi terbukti secara praktikal.

Sebagai contohnya, peraturan al-hisbah yang diajar oleh Rasulullah SAW dan dilaksanakan oleh Para Sahabatnya yang taat. Peraturan al-hisbah ini neraca pengawal umat Islam dalam melaksanakan tugas amal makruf nahi munkar, peraturan yang menjadi salah satu daripada intisari pelaksanaan syariat Islam. Dengan berkuat-kuasanya peraturan al-hisbah ini, orang tidak berani hendak melakukan rasuah, penipuan, penyelewengan atau pemutar-belitan bukan kerana undang-undang yang zahir itu sahaja, tetapi kerana keimanan generasi Islam yang pertama itu terhadap Tuhan yang menciptakan undang-undang itu sendiri.

Sejarah telah mencatatkan suatu peristiwa berkenaan dengan seorang wanita Islam yang ingin melakukan penipuan di dalam jualan susu. Ketika yang sama juga Khalifah Umar al Khattab yang dikenali sebagai khalifah berjalan dan menyiasat hal ehwal rakyatnya, dan mendengar keinginan wanita tadi untuk mencampurkan susu dengan air supaya mendapat keuntungan yang lebih. Apabila si anak yang ada bersama-sama melarang ibunya jangan melakukan kerja menipu itu, lalu si ibu berkata, “Kalau saya buat kerja ini, Saidina Umar tidak akan tahu?”.

Tetapi anak itu mengatakan bahawasanya walaupun Saidina Umar tidak tahu, tetapi "Tuhan" Saidina Umar akan tahu. Peristiwa ini menjadi bukti yang nyata kepada mereka yang beriman bahawa pelaksanaan hukum dan undang-undang itu bukan sahaja berteraskan kepada konsepsi lahiriyyahnya, tetapi menunjangi keimanan mendalam dan pengabdian setulus murni ummat Islam kepada Allah yang mencipta hukum dan undang-undang itu sendiri.

Sejarah juga pernah merakamkan tentang sikap Saidina Ali bin Abi Talib dalam menghadapi kes dengan seorang Yahudi mengenai masalah baju besi yang terkenal itu, sehingga sanggup menegakkan keadilan walaupun baju yang dicuri oleh Yahudi itu tidak dapat diambil kembali. Dengan keadilan dan manifestasi keimanan ini jugalah yang telah menyebabkan si Yahudi tadi mengucapkan kalimah syahadah tanda iqrar untuk menghayati Islam.

Begitu juga dalam masalah hamba abdi dan masalah undang-undang jenayah. Orang yang memikirkan bahawa sekiranya dilaksanakan undang-undang potong tangan akan ramailah orang yang kudung dalam negara Islam. Mereka tidak memikirkan tentang kehebatan undang-undang potong tangan yang dapat dan mampu secara berkesan mengurangkan kadar kecurian. Undang-undang ini akan menyekat orang daripada melakukan pencurian. Demikian pula halnya dalam kes-kes yang lain. Semuanya dapat diatasi dengan cara sebaiknya pada zaman kegemilangan umat Islam.

Dalam masalah pembelaan hamba abdi pula, jika dibandingkan apa yang ada di dalam kitab Fiqh Islam dengan peraturan yang dikeluarkan oleh Abraham Lincoln di Amerika, maka kita akan dapat menarik beberapa kesimpulan. Dalam masalah hamba abdi, sudah tentu sistem Islam ini kelihatan terlalu longgar kerana masih membenarkan penggunaan hamba sahaya dalam sejarah perkembangannya, dengan sebab-sebab dan keadaan-keadaan tertentu, tetapi kukuh menetapi dasar-dasar dan peraturan-peraturan yang berlandaskan keimanan kepada Allah Taala. Barangsiapa yang membebaskan hamba abdi akan mendapat ganjaran yang tinggi daripada Allah dan sesiapa yang melakukan kesalahan dikehendaki membebaskan hamba abdi.

Walaupun Abraham Lincoln mengeluarkan suatu peraturan yang keras menghukum sesiapa yang memakai hamba abdi, tetapi sejarah telah membuktikan bahawa di dalam masyarakat Islam hari ini tidak wujud lagi hamba abdi, sedangkan dunia Barat yang berbangga dengan Abraham Lincoln masih tidak dapat membela hak-hak asasi manusia dan melakukan paksaan terhadap hamba-hamba abdi dengan cara yang lebih dahsyat dan liar daripada masa-masa lalu.

Ini adalah di antara kejayaan umat Islam pada zaman kegemilangan mereka yang merupakan hasil natijah setelah menjalankan sistem Islam secara praktis. Hakikat yang menunjukkan kepada kita bahawa Islam bukanlah merupakan teori yang baru hendak diuji dan dicuba dan yang belum tentu berjaya atau gagalnya. Tetapi ajaran-ajaran yang telah terbukti kejayaannya dalam era yang gilang-gemilang itu.

Di samping itu, musuh-musuh umat Islam tidak dapat menguasai negara dan bumi Islam walaupun di saat ummat Islam berada di dalam keadaan yang paling lemah, kecuali setelah mereka berjaya melancarkan serangan pemikiran atau al-ghazwul fikri yang mengikis keyakinan ummat Islam terhadap ajaran-ajaran Islam. Suatu bukti yang memperlihatkan hakikat bahawa zaman gemilang itu ialah zaman keimanan yang mendalam terhadap Allah.

Bukti kegemilangan itu dapat dengan jelas disaksikan jika kita bandingkan dengan zaman yang mutakhir ini dalam kalangan umat Islam. Zaman kegemilangan itu bukanlah kerana orang-orang zaman dahulu lebih intelektual daripada kita atau lebih mendalam pengkajian mereka daripada kita, tetapi kegemilangan itu dicapai menerusi keimanan, keyakinan dan pelaksanaan Islam yang sebenar-benarnya. Hal ini juga membawa erti bahawa kegemilangan umat Islam di zaman dahulu tidak dapat berulang kembali justeru berpunca daripada gelagat umat Islam kini yang meninggalkan ajaran Islam. Zaman kegemilangan itu berlaku apabila Islam itu diyakini, diimani dan dilaksanakan dengan cara yang sepenuhnya.

Sejarah Islam yang telah dilipat disembunyikan daripada generasi yang terkemudian dan sejarah yang diberi gambaran yang tidak jelas itu, bukanlah merupakan suatu kisah yang dibaca atau suatu bahan cerita yang menjadi hiburan semata-mata, tetapi merupakan suatu perkara yang menjadi pengiktibaran yang diulang-ulang oleh umat Islam untuk mengembalikan syakhsiyyah mereka sebagai umat yang diamanahkan oleh Allah.

Ia bukan bererti penghayatan Islam dalam kalangan individu atau sekadar menyampaikan Islam di sekitar anggota jamaah kita sahaja, tetapi suatu tanggungjawab yang lebih luas daripada itu. Suatu amanah yang berat dan sarat untuk menyampaikan risalah Islam kepada segenap penjuru alam secara terus-terusan. Kita janganlah menjadi seperti seorang cucu yang hanya berbangga dengan pedang sakti yang ditinggalkan oleh nenek-moyangnya dan diletakkan di dalam muzium sambil menggembar-gembur di sana sini tentang pedang nenek-moyangnya yang telah menempa sejarah gemilang. Sedangkan pada hakikatnya, dia sendiri pengecut dan dia sendiri tidak dapat menunaikan tanggungjawab untuk menempa sejarah yang sama.

Namun begitu, terdapatnya suatu petanda cerah yang membutir di tengah-tengah kelesuan umat Islam kini. Suatu petanda yang diterbitkan hasil daripada kegagalan sistem jahiliyyah yang dilaksanakan di dalam wilayah pemerintahan umat Islam. Suatu petanda yang memperlihatkan hasrat umat Islam untuk kembali merenung dan menyelami sejarah kegemilangan mereka.

Di sana sini, terdapatnya individu Islam yang memikirkan betapa perlunya dia untuk menghayati Islam dalam diri masing-masing, dan terdapat pula yang memikirkan betapa perlunya wujud jamaah Islam yang dapat melaksanakan seluruh ajaran dan ciri-ciri Hizbullah seperti yang disebut dalam ayat Allah Taala :

"Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripada-Nya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah reda akan mereka dan mereka reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberian-Nya. Merekalah penyokong-penyokong (agama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (agama) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya." (Surah Al-Mujaadilah:22)


Ciri-ciri yang terpancar cemerlang daripada diri Rasulullah SAW dan Para Sahabatnya yang gemilang. Sehingga ada pula kalangan yang menganggap bahawa abad ini merupakan abad kebangkitan umat Islam serta ditulis dalam ruangan yang banyak dan medan bacaan yang luas.

Dalam menyambut kecerahan masa depan ummat Islam ini, kita jangan pula menjadi seperti ayam jantan yang berkokok dan menganggap bahawa matahari itu naik kerana kokoknya sahaja, kerana kita bukanlah orang yang memulakan perjuangan ini dan juga bukan pula orang yang akan mengakhirkannya.

Marilah kita melaksanakan Islam dan menghayati Islam dalam kalangan individu dalam anggota jamaah kita, sehingga dapat membentuk masyarakat dan negara yang diamanahkan kepada kita. Amanah untuk membentuk masyarakat dan negara Islam yang tiada mungkin gugur daripada penanggungjawaban setiap diri yang mengakui dia Islam. Marilah kita sama-sama berganding bahu untuk menggerakkan umat Islam supaya kembali kepada era kegemilangan mereka. Dan marilah kita menganggap bahawa di mana bumi dipijak dan disitulah tempat kita akan bergerak untuk mencipta kegemilangan sejarah itu.

Yakinlah Allah sentiasa memberikan kekuatan Islam untuk menghadapi cabaran-cabaran yang terlalu banyak melanda umat Islam kini. Cabaran-cabaran itu merupakan muqaddimah daripada ujian yang membentuk jiwa kita untuk memenuhi ciri-ciri pejuang dan pembela agama Allah dan persediaan sebelum kita memikul amanah Islam yang besar itu.

http://www.tarbawi.my

No comments:

Post a Comment

Get the lowest PRICE booking by ONLINE

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...