nuffnang adv

lazada adv

Showing posts with label islam rohingya. Show all posts
Showing posts with label islam rohingya. Show all posts

Monday, July 30, 2012

Global Peace Missions (GPM) Lancarkan Tabung Iftar Ramadhan Rohingya

GPM Mensasarkan Sumbangan RM1,000,000 Tabung Ifthar Ramadhan Rohingya

Oleh: Adli Zakuan Zairakithnaini (Koordinator Meja ASEAN, GPM)
Penghapusan kaum yang berlaku di Wilayah Arakan, Myanmar terhadap etnik Rohingya bukan lagi satu perkara yang tersirat dari mata dunia. Pembunuhan, penculikan, kecurian dan pemerkosaan adalah sebahagian daripada bentuk jenayah yang dibiarkan berleluasa oleh pihak berkuasa di sana. Saban hari kita mendengar pelbagai penganiayaan dikenakan terhadap kaum ini. Krisis ini menjadi semakin parah pada hujung minggu lalu apabila etnik minoriti ini diberitakan mengalami kekurangan makanan dan dilanda kebuluran.
Global Peace Mission (GPM) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah mengambil inisiatif untuk menghantar misi bantuan yang pertama malalui Yangon, Myanmar pada 11 Julai 2012. Misi ini bertujuan untuk mendapat gambaran menyeluruh berkenaan kejadian di Arakan dan membina jaringan bagi memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan untuk misi berikutnya.
Hasil perbincangan dengan beberapa NGO di Myanmar, beberapa aspek yang merangkumi sejarah, sosial, perundangan dan juga bukti-bukti kukuh menunjukkan terdapat satu usaha penghapusan kaum di Wilayah Arakan. Dengan berkuatkuasanya Undang-undang Kerakyatan Myanmar 1982 mengukuhkan lagi kenyataan ini di mana di antara 135 kaum yang diiktiraf pemerintah, etnik Rohingya tidak termasuk di dalamnya.
GPM bekerjasama dengan NGO-NGO tempatan yang diiktiraf oleh kerajaan Myanmar yang telah menghantar dan mengedarkan bantuan kemanusiaan sebanyak 2 kali ke 3 bandar utama kepada mereka yang terkesan daripada tragedi kali ini terutama etnik Rohingya yang kebanyakannya kehilangan tempat tinggal dan mata pencarian. Namun begitu, masih terdapat sekurang-kurangnya 100,000 mangsa yang lain yang kini hidup dikawasan hutan tebal dan pergunungan bagi mengelak dari terbunuh.
Bagi memenuhi sasaran, GPM dan ABIM dengan kerjasama Union of NGOs’ of Islamic World (UNIW) yang berpusat di Istanbul, Turki telah melancarkan Kempen RM200 Satu Keluarga terdiri dari lima orang dan mensasarkan sebanyak RM 1 juta bagi mempersiapkan 5 bahan asas keperluan yang terdiri daripada beras, tepung, minyak masak, susu dan kacang dhal yang bakal dimanfaatkan oleh 25,000 mangsa di sana. Selain bantuan kemanusiaan, GPM dan ABIM telah merangka beberapa perancangan strategik termasuk untuk mewujudkan pejabat pengurusan di Yangon bagi melicinkan operasi penyaluran bantuan yang disalurkan oleh mana-mana individu atau pertubuhan di Malaysia.
Tabung Ifthar Ramadhan Rohingya
Melihat pada situasi di Wilayah Arakan yang serius, ditambah dengan hujan yang berpanjangan, pastinya kaum etnik Rohingya yang tertindas terpaksa berdepan dengan keadaan sukar dalam menjalankan ibadah puasa pada bulan Ramadhan. Maka, adalah amat diharapkan agar kita dapat mengumpulkan dana secepat yang mungkin agar dapat membantu meringankan beban yang mereka tanggungi.
Sumbangan boleh disalurkan melalui cek atas nama Global Peace Mission atau melalui akaun Bank Islam Malaysia Berhad 1402 3010 0292 24 atau Maybank 5642 2161 1602.

Tuesday, July 24, 2012

Sejarah Rohingya, Myanmar- apa anda perlu tahu

 

Sejarah

Sejarah orang Rohingya dikatakan bertarikh dari awal kurun ke-7 di Negeri Arakan yang menjadi penempatan pedagang-pedagang Arab yang beragama Islam, namun bukti sejarah tersebut adalah sedikit.[2]
Orang Rohingya memiliki persamaan fizikal, bahasa dan budaya dengan orang Asia Selatan, terutamanya orang Benggali. Malahan, sesetengah orang Rohingya yang menetap di Arakan adalah keturunan orang Arab, orang Parsi dan orang Pashtun yang berhijrah ke Arakan semasa era pemerintahan Empayar Mughal.
Sultan Mahmood, seorang Rohingya yang kaya dan berpengaruh, merupakan setiausaha politik dalam kerajaan U Nu dan kemudiannya dilantik sebagai Menteri Kesihatan. Orang Islam Rohingya lain dalam kerajaan U Nu yang menjadi setiausaha parlimen antaranya ialah Sultan Ahmed dan Abdul Gaffar. Abdul Bashar, Zohora Begum, Abul Khair, Abdus Sobhan, Rashid Ahmed dan Nasiruddin (U Pho Khine) ialah juga ahli-ahli parlimen dalam kabinet U Nu

Pencabulan Hak-hak Asasi Kemanusiaan

Menurut Amnesty International, orang Rohingya terus menerus menderita akibat pencabulan hak kemanusiaan oleh junta tentera Myanmar sejak tahun 1978, dan akibatnya ramai yang telah melarikan diri ke negara jiran seperti Bangladesh.[3]

"Gerakan pembebasan orang Rohingya disekat dengan keras dan pada hakikatnya sebahagian besar mereka telah dinafikan kewarganegaraan Myanmar mereka. Mereka juga tertakluk pada pelbagai bentuk pemerasan dan pencukaian sembarangan; penyitaan tanah; pengusiran paksa dan pemusnahan rumah; dan sekatan kewangan ke atas perkahwinan. Orang Rohingya terus menerus dipaksa menjadi buruh dalam pembinaan jalan raya dan di kem-kem tentera walaupun jumlah buruh paksa di utara Negeri Rakhine telah menurun sejak sedekad yang lalu."
"Pada tahun 1978, dianggarkan seramai 200,000 orang Rohingya telah melarikan ke Bangladesh berikutan operasi Nagamin’ (‘Raja Naga’) tentera Myanmar. Secara rasmi kempen ini mensasarkan "pemeriksaan setiap individu yang tinggal dalam negeri tersebut, menandai warganegara dan orang asing bertepatan dengan undang-undang dan mengambil tindakan terhadap orang asing yang menyusup masuk ke dalam negara secara haram". Kempen ketenteraan ini disasarkan secara terus kepada orang awam, dan mengakibatkan pembunuhan, rogol dan pemusnahan masjid serta penindasan agama secara besar-besaran."
"Semasa 1991-92, satu gelombang baru orang Rohingya yang dianggarkan berjumlah suku juta orang telah melarikan diri ke Bangladesh. Mereka melaporkan tentang buruh paksa di samping hukuman mati terus, penyeksaan dan rogol. Orang Rohingya dipaksa bekerja tanpa bayaran oleh tentera Myanmar di projek-projek infrastruktur dan ekonomi, lazimnya dalam keadaan yang teruk. Banyak pencabulan hak-hak kemanusiaan lain berleluasa dalam konteks buruh paksaan orang awam Rohingya oleh pasukan keselamatan."
Pada 6 Februari 2009, Menteri Luar Indonesia, Hassan Wirajuda telah mengkritik Burma kerana menzalimi pelarian Rohingya, selepas hampir 400 orang pelarian Rohingya diselamatkan di pantai Sumatra pada Januari 2009.[4]

Pelarian

Gelombang berikutnya yang mengandungi ratusan ribu orang Rohingya yang melarikan diri daripada Burma dan ramai pelarian itu membanjiri negara jiran iaitu Bangladesh seramai 250,000 orang pada tahun 1978 kesan daripada Operasi King Dragon di Arakan. Pada tahun 1991, berikutan tindakan keras terhadap orang Rohingya, seramai 250,000 orang pelarian mencari perlindungan di daerah Cox's Bazar di Bangladesh. Sesetengah mereka kemudiannya dihantar pulang ke negara tersebut yang menafikan kewarganegaraan mereka. Sesetengahnya masil berada dalam buangan dan tinggal di Bangladesh,Pakistan, Arab Saudi, UAE, Thailand, Malaysia dan Indonesia. Bermula pada tahun 2005, UNHCR telah membantu penghantaran pulang orang Rohingya dari Bangladesh, tetapi tuduhan mengenai pencabulan hak asasi manusia di kem-kem pelarian tersebut telah mengancam usaha ini.[5]
Di sebalik usaha-usaha terdahulu oleh PBB, majoriti besar pelarian Rohingya masih kekal di Bangladesh yang tidak dapat pulang kerana tidak diterima oleh rejim di Burma. Kini mereka menghadapi masalah-masalah di Bangladesh yang di sana mereka tidak mendapat sokongan daripada kerajaaan.[6] Pada Februari 2009, ramai pelarian Rohingya telah ditolong oleh pelaut-pelaut Aceh di Selat Melaka selepas berada selama 21 hari.[7]
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjangka kira-kira terdapat seramai 800,000 orang etnik Rohingya berada di Myanmar.

Penafian hak warganegara

Myanmar tidak mengiktiraf etnik Rohingya yang berketurunan Bengali sebagai rakyatnya kerana kumpulan itu hanya memasuki negara ini pada kurun ke-19 ketika pemerintahan Britain.
Menurut Perlembagaan Myanmar, hanya keturunan Bengali yang tinggal di negara ini sebelum kemerdekaan daripada Britain pada 1948 serta anak mereka, dianggap sebagai warganegara.
Justeru, mereka yang menetap di Myanmar selepas kemerdekaan secara rasminya dianggap sebagai pendatang asing dan mengancam keselamatan negara ini.
Pada asasnya, sukar untuk kebanyakan keturunan Bengali mendapatkan status warganegara dan mereka menghadapi diskriminasi selain pergerakan yang dihadkan, isu perkahwinan dan anak.[8]

sumber: http://ms.wikipedia.org/wiki/Orang_Rohingya

Get the lowest PRICE booking by ONLINE

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...