nuffnang adv

lazada adv

Showing posts with label PKR. Show all posts
Showing posts with label PKR. Show all posts

Wednesday, February 22, 2017

Kaut untung RM76 juta selepas tiga bulan KWSP mengambil alih saham EKOVEST iaitu pemegang konsesi lebuhraya DUKE..kata Rafizi

Image may contain: 1 person, text 

SIDANG MEDIA 20 FEBRUARI 2017
ADIK DATO’ SERI HISHAMUDDIN TUN HUSSEIN UNTUNG RM76 JUTA DALAM TIGA BULAN SELEPAS KWSP MENGAMBILALIH SAHAM PEMEGANG KONSESI DUKE
(Carta harga saham, dokumen dan bukti lain boleh diteliti di:
http://rafiziramli.com/…/adik-dato-seri-hishamuddin-tun-hu…/)

Saya mengikuti perkembangan urusniaga pengambilalihan pegangan 40% di dalam pemegang konsesi Lebuhraya Duta Ulu Kelang (DUKE) yang melibatkan pembelian saham-saham di dalam Konsortium Lebuhraya Utara-Timur (KL) Sdn Bhd (Kesturi) (iaitu pemegang konsesi DUKE) oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada Ekovest Berhad.
Urusniaga ini yang diumumkan melalui satu notis yang difailkan di Bursa Kuala Lumpur Ogos lalu mendapat perhatian oleh kerana harga yang dibayar oleh KWSP dilihat terlalu tinggi dan ada laporan yang meletakkan harga yang dipersetujui KWSP itu sehingga 46% lebih tinggi dari nilai sebenar saham-saham yang dibeli.
Juga mendapat perhatian ialah pemilikan Ekovest Berhad yang dikawal oleh dua orang ahli perniagaan yang rapat dengan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak, iaitu:
i. Tan Sri Lim Kang Hoo, iaitu pemegang saham terbesar. Beliau juga adalah rakan kongsi syarikat dari China yang membeli tanah Pengkalan TUDM Sungai Besi dari 1MDB
ii. Dato’ Harris Onn Hussein, adik kepada Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein yang merupakan pemegang saham kedua terbesar
Dato’ Harris Onn Hussein mengawal sebanyak 13.38% saham-saham Ekovest mengikut notis 29B yang difailkan di Bursa Kuala Lumpur pada 18 November 2016. Dato’ Harris memegang saham-saham ini melalui sebuah syarikat bernama Kota Jayasama Sdn Bhd. Saya sertakan semakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang menunjukkan Kota Jayasama Sdn Bhd dimiliki oleh Dato’ Harris Onn.
Selain dari kontroversi mengenai harga yang dibayar KWSP kepada syarikat yang dikuasai oleh ahli perniagaan yang rapat dengan pentadbiran Dato’ Seri Najib, rentetan peristiwa sepanjang urusniaga jual beli pemegang konsesi Lebuhraya DUKE menimbulkan kerisauan rakyat sama ada KWSP juga sudah terheret di dalam urusniaga-urusniaga yang menguntungkan sesetengah pihak.
Saya sertakan rentetan peristiwa utama jual beli saham yang melibatkan pemegang konsesi DUKE ini:
1. Pemegang konsesi DUKE iaitu KESTURI adalah syarikat usahasama di antara Wira Kristal Sdn Bhd (yang dimiliki bersama Tan Sri Lim Kang Ho dan Dato’ Harris Onn) dan KWSP. WKSB memiliki 70% pegangan dan baki 30% dipegang Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB).
2. Dalam tahun 2012, pemilikan Tan Sri Lim Kang Ho dan Dato’ Harris Onn kemudiannya dipindahkan ke dalam Ekovest Berhad yang menjadikan kedua-dua mereka pemegang saham terbesar di dalam Ekovest Berhad. Dalam erti kata lain, mereka “menyuntik” konsesi Lebuhraya DUKE ke dalam Ekovest.
3. MRCB dikawal oleh KWSP sebagai pemegang saham terbesar. Dalam tahun 2012, pegangan KWSP di dalam MRCB adalah 42.16% dan dalam tahun 2014, KWSP memiliki 38.37% saham MRCB. Ini bermakna dalam kedua-dua tahun, KWSP mengawal keputusan MRCB.
4. Pada 29 Januari 2014, MRCB menjual kesemua 30% pegangannya di dalam KESTURI kepada Ekovest pada harga RM228 juta. MRCB melaporkan keuntungan sebanyak RM95 juta dari penjualan tersebut.
5. Pada 21 September 2016, Ekovest melaporkan kepada Bursa Kuala Lumpur bahawa ia akan menjual 40% sahamnya di dalam KESTURI pada harga RM1.13 bilion kepada KWSP.
Keputusan KWSP (secara tidak langsung melalui MRCB) menjual 30% pegangannya di dalam pemegang konsesi Lebuhraya DUKE dalam tahun 2014 pada harga RM288 juta, kemudiannya membeli kembali dua tahun setengah kemudian (dengan tambahan 10% saham menjadi 40%) pada harga RM1.13 bilion telah banyak dipersoalkan oleh pencarum dan orang ramai.
Walaupun jawapan rasmi KWSP adalah pembelian tersebut mengambil kira aliran tunai akan datang dari lebuhraya baru DUKE 2, beberapa perkara penting perlu diambil kira:
1. Nilaian 46% yang lebih mahal itu telah mengambil kira jumlah yang telah dan bakal dibelanjakan oleh Ekovest untuk membina DUKE 2
2. Jika aliran tunai akan datang dari DUKE 2 sangat menguntungkan, apakah sebabnya KWSP (secara tidak langsung melalui MRCB) menjual sahamnya dalam tahun 2014 mengambil kira bahawa perjanjian konsesi DUKE Fasa 2 (atau DUKE 2) telah pun ditandatangani seawal 3 Disember 2012. Bukankah pada ketika itu, KWSP (secara tidak langsung melalui MRCB) sepatutnya telah tahu bahawa nilaian Ekovest akan naik mendadak dan sewajarnya tidak menjual saham-sahamnya?
Ekoran dari urusniaga yang menjadi durian runtuh kepada Ekovest ini, saya telah mengikuti dengan dekat urusan jual beli saham pemilik saham terbesarnya.
Dato’ Harris Onn mula menjual sahamnya pada 11 November 2016 setelah harga saham Ekovest naik mendadak selepas pengumuman pembelian KWSP, seperti carta harga saham dibawah:
Di antara 11 November 2016 hingga yang terakhir 20 Januari 2017, Dato’ Harris Onn telah menjual sebanyak 43.876 juta sahamnya di dalam Ekovest yang memberi perolehan (hasil jualan saham) sebanyak RM105 juta.
Saya sertakan senarai urusniaga penjualan saham oleh Dato’ Harris Onn secara terperinci di dalam Lampiran untuk menunjukkan bagaimana beliau mula menjual saham Ekovest pada jumlah yang tinggi setelah harga saham Ekovest naik mendadak,
Dalam tempoh tiga bulan iaitu November 2016 ke Januari 2017, Dato’ Harris Onn telah membuat keuntungan sebanyak RM76 juta dari jualan saham yang naik mendadak setelah keputusan KWSP membeli kembali saham-sahamnya yang dijual dalam tahun 2014.
Sementara saya percaya KWSP ada jawapan yang baik, rakyat berhak mengetahui kenapa saham-saham ini dijual dalam tahun 2014 hanya untuk dibeli kembali dalam tahun 2016, sedangkan maklumat aliran tunai masa depan telah diketahui.
Pada masa adik menteri kanan dan sepupu Dato’ Seri Najib beraya sakan dengan durian runtuh RM76 juta, wang itu samalah seperti wang pencarum yang dibayar oleh KWSP.
RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN
Laporan penuh bersama lampiran boleh didapati di:
Blog | Rafizi Ramli
http://rafiziramli.com/
Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di:
Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan
Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

admin: apa yang admin kagum dengan Rafizi adalah setiap hujah yang dikemukan disertakan dengan bukti laporan dan sebagainya. Bermakna setiap tulisan dan laporan beliau adalah hasil bacaan dan kajian oleh beliau sendiri.

Sunday, May 12, 2013

Kuasa Sultan Selangor Dalam Menentukan Menteri Besar



Oleh Fadzli Ramli

SHAH ALAM, 11 Mei (Bernama) -- Siapa Menteri Besar Selangor yang baharu masih menjadi topik hangat walaupun pilihan raya umum ke-13 (PRU13) sudah hampir seminggu berlalu, namun satu hakikat yang harus disedari ialah bahawa kuasa melantik Menteri Besar adalah pada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Kuasa baginda untuk melantik Menteri Besar Selangor diperuntukkan dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 berdasarkan Artikel 51.

Sejarah mencatatkan, semasa pemerintahan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, baginda cukup tegas dalam menentukan pengganti Tan Sri Muhammad Muhamad Taib yang telah meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar pada 14 April 1997, di mana baginda mahu calon berkenaan disaring dan disemak bagi memastikan calon itu benar-benar bersih.

Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz menegaskan bahawa calon itu haruslah jujus dan ikhlas, dan baginda akan menolak seorang Menteri Besar yang mengejar kemewahan untuk diri sendiri.

Pada pertemuan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz dengan Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad pada 21 April 1997, baginda bertitah bahawa calon yang sesuai untuk jawatan itu masih belum dipilih dan pada 2 Mei baginda berkenan memilih Tan Sri Abu Hassan Omar sebagai Menteri Besar Selangor.

Profesor dan Penasihat Undang-Undang Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Datuk A. Halim Sidek berkata pelantikan Menteri Besar Selangor yang bakal dilakukan Sultan Sharafuddin Idris Shah adalah berpandukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 dan mengambil kira dua artikel penting.

"Pertama, baginda berhak untuk melantik seorang anggota Dewan Undangan Negeri yang menurut pertimbangan baginda mendapat keyakinan majoriti dewan. Manakala kedua, orang yang dilantik mestilah berketurunan Melayu dan beragama Islam," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata demikian dengan merujuk kepada Artikel 51 (1) berdasarkan Artikel 53 (2)(a); dan Artikel 51 (2) tertakluk kepada Artikel 53 (4) dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959.

Turut menarik perhatian ialah Artikel 51 (1A) yang menyebut baginda juga berhak memilih seorang Timbalan Menteri Besar Selangor.

PRU13 menghasilkan keputusan PAS dan DAP masing-masing memperoleh 15 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, manakala PKR memperoleh 14 kerusi daripada 56 kerusi. Barisan Nasional (BN) pula menguasai 12 kerusi.

Prof A. Halim berkata jika mengikut perkiraan bilangan kerusi, calon dari PAS, PKR dan DAP sama layak, tetapi dengan kuasa yang ada pada baginda berdasarkan artikel tadi, DAP tidak layak kerana mereka tiada calon Melayu beragama Islam di Selangor.

"Sama ada calon itu daripada PAS atau PKR tidak menjadi persoalan walaupun PKR kurang satu kerusi daripada PAS, kerana mereka boleh muafakat letak satu calon.

"Tetapi akhirnya kuasa memperkenan calon mereka itu terletak di tangan baginda, memperlihatkan baginda mempunyai hak mutlak memilih Menteri Besar Selangor," katanya.

Ketua Biro Transformasi Muslim, Majlis Perundingan Melayu, Datuk Dr Mohamed Ghazali Md Noor ketika mengulas kepentingan Menteri Besar Selangor berketurunan Melayu dan beragama Islam itu, berkata klausa itu penting bagi memastikan baginda mempunyai penasihat yang arif dalam isu berkenaan Melayu dan Islam.

"Baginda merupakan payung bagi orang Melayu dan tunjang kepada agama Islam, jadi perlulah seorang Menteri Besar yang berketurunan Melayu dan beragama Islam. Jika sebaliknya, bagaimana mahu menasihati baginda?" katanya.

Dr Mohamed Ghazali berkata satu lagi faktor yang perlu diteliti adalah faktor sejarah di mana negara ini sebenarnya telah mula dibina oleh Kesultanan Melayu itu sendiri dan kerajaan mula dibentuk oleh Kesultanan itu subur hingga ke hari ini sebagai Kerajaan Malaysia.

Mohamed Ghazali berkata Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu iaitu wasiat yang dititahkan Raja-Raja Melayu semasa menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957, jelas menyatakan kepentingan faktor orang Melayu dan beragama Islam itu.

"Wasiat itu merupakan amanah diberikan kepada pentadbir dipilih bagi peralihan daripada Raja Mutlak kepada Raja Berperlembagaan antaranya menyebut kepentingan Melayu dan Islam itu sendiri. Raja-raja Melayu mempunyai hak memilih pentadbir yang mampu mendukung kepentingan Melayu dan Islam ini," katanya.

-- BERNAMA

Get the lowest PRICE booking by ONLINE

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...